Saturday, August 28, 2010



J.K Rowling
Penulis Buku Harry Potter
Berpendapatan RM18.46 JUTA SEMINGGU @ 5 POUND @ RM30.76 SESAAT

Untuk bermula sebagai seorang penulis memang sukar. Seseorang itu bukan sahaja perlu kreatif, punya banyak idea dan berusaha untuk menulis, menghasilkan karya, membina nama tetapi juga perlu mengenali penerbit dengan lebih dekat agar karya-karya yang dihasilkan dapat diterbitkan dengan cepat tanpa perlu mengikut giliran dan bersaing dengan manuskrip-manuskrip lain.

Baru-baru ini, saya bertemu dengan seorang hamba Allah yang hanya saya kenali dari jauh sahaja, tetapi kekagumannya terhadap apa yang saya lakukan tidak pernah tergambar oleh fikiran ini. Itulah hebatnya bila menjadi 'Penulis Hantu @ Ghost Writer'.

Banyak perkara berlaku dalam hidupku sejak akhir-akhir ini. Perkembangan pelajaran anak-anak makin bagus. Mungkin kasih sayang adalah segala-galanya dalam hidup anak-anak. Sikap saya juga sudah banyak berubah. Kalau dahulu sentiasa inginkan kesempurnaan kerana terbawa-bawa dengan jawatan yang saya sandang di pejabat, tetapi hari ini, semua itu sudah tidak wujud lagi. Saya dan suami adalah kawan baik kepada anak-anak.

Apa yang paling saya suka, sejak akhir-akhir ini anak-anak mula menunjukkan minat menulis. Anak kedua, Muhammad Adib, 9 tahun, sanggup tidur hingga lewat pagi semata-mata mahu menterjemahkan idea menulis sebuah cerita penyiasatan di komputer dan mahu menunjukkan kepada saya bahawa dia boleh menulis. Tidak sangka, darah seni dan bakat menulis itu wujud dalam diri anak-anak. Alhamdulillah.

Saya percaya, segala apa yang berlaku dalam hidup saya hari ini ada hikmahnya. Kenapa, mengapa dan bagaimana? Soalan-soalan itu tidak pernah berlegar dalam kotak fikiran saya lagi. Hari ini saya lalui kehidupan ini dengan minda yang lebih positif. Saya pastikan segala impian dan cita-cita saya serta suami dan anak-anak akan tercapai. Tidak ada orang yang boleh mentertawakan impian saya sekeluarga.

Banyak lagi buku yang sedang saya tulis. Banyak rancangan sedang saya rancang. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang baik untuk saya sekeluarga.

Ramadhan ini adalah Ramadhan yang amat berbeza. Solat terawih bersama suami dan anak-anak dilakukan di banyak masjid di bandar Melaka, berbuka puasa bersama anak-anak yatim, bertemu ramai kawan yang positif dan punya kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya.

Cuma Baba semakin kurus dan tidak sihat, namun masih mahu meneruskan puasa. Mungkin rindukan arwah mak. Saya tidak dapat menyelami perasaannya tetapi apa yang saya tahu, dialah tunggak utama dalam hidup ini. Saya doakan baba sentiasa sihat dan dapat melalui kehidupan tuanya dengan lebih tenang.

Moga Raya ini memberi banyak kebaikan kepada saya sekeluarga. Amin.
Selamat berkarya rakan-rakanku.

Thursday, August 26, 2010

Ramadhan & Jualan Mega

Waktu amat pantas berlari mengejar Syawal yang kini tinggal beberapa hari lagi. Rindu terasa mencengkam di lubuk hati untuk mencatat sesuatu meluahkan karenah manusia yang menyelanak tidak tentu hala berpusu-pusu ke jualan mega yang tidaklah mega sebenarnya.

Hari pertama jualan mega di salah sebuah pusat beli-belah di bandar sangat ditunggu-tunggu. Bukan aku sahaja, rupa-rupanya hampir sebahagian besar penduduk di bandar bersejarah ini.

Jam tiga petang, tempat letak kenderaan penuh.
"Apa mereka ni tidak kerja ke hari ini?" kata hatiku.

Kelihatan kebanyakan pengunjung berpakaian formal /pejabat, ahh...mungkin melarikan diri dari pejabat untuk turut sama melihat jualan mega hari pertama itu.

Penangan jualan mega memanglah hebat. Semuanya disebabkan ikhlan hebat yang digantung begitu banyak di sekitar bandar.

Bulan Raya yang bakal menjelma juga adalah bulan membeli-belah untuk semua golongan. Namun tahun ini, Hari Raya kusambut sekeluarga bersederhana sahaja. Jika diikutkan hati dan nafsu, banyak yang perlu ditukar baharu. Namun, ada yang lebih penting yang perlu dilakukan selain menghabiskan kesemua simpanan. Kadang-kadang barangan yang tidak perlu turut dibeli akibat terpengaruh dengan harga yang ditawarkan bahana jualan mega. Apa pun, terpulang kepada perbelanjaan isi rumah masing-masing. Tepuk dada tanya poket.

Satu jam dari waktu aku menulis, waktu berbuka akan menyusul. Bau aroma dari masakan sauce spagheti menusuk ke hidung. Anak-anak sedang berehat sambil menonton television.

Alhamdulillah sebuah lagi novel dewasa berjudul WAJAH RAHSIA - terbitan PEKAN ILMU PUBLICATION sudah berada di pasaran. Dapatkan segera sebelum kehabisan.

Selamat berbuka dan bersahur.
Selamat berkarya.

Tuesday, August 03, 2010

Adli di Alam Fantasi - Penyelamat Alam



“Mereka tidak pernah berehat tetapi berlari seperti angin. Langit dan bumi adalah satu. Ia adalah milik mutlak dan perlu dijaga bersama. Satu untuk semua dan semua untuk satu. Sesuatu rahsia itu akan kekal rahsia. Sesiapa sahaja yang mahu melepasi tembok batu ini, perlulah sanggup membuat aku janji. Rahsia itu biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.”

Adli di Alam Fantasi hadir dengan misteri dan fantasi di sebalik kejadian meteor dan kehidupan dalam sebuah benua di dalam lautan. Sungguh menakjubkan dan kali ini hadirnya Adli sebagai Penyelamat Alam.

Segala persoalan bakal terjawab pabila para peminat siri Adli di Alam Fantasi meneroka dan menyelesaikan bacaan dari muka depan ke muka belakang siri terbaru Penyelamat Alam yang penuh suspen.

Selamat meneroka dunia ADLI DI ALAM FANTASI.