Sunday, July 14, 2013

RAMADAN PENUH KEBERKATAN

Sudah lima hari Ramadan berlalu pergi menaburkan kerahmatannya terhadap umat-Nya yang mahu merebut setiap keberkatan yang diberikan. Sudah lima hari jua, jutaan manusia berlumba-lumba mencari rezeki berniaga di Bazar Ramadan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Untuk pertama kalinya, aku dan suami singgah ke salah satu tapak bazaar Ramadan berhampiran rumah. Aroma makanan yang dijual sepanjang-panjang jalan, sungguh menyelerakan. Ayam panggang, ayam golek, ayam berempah, satay, ayam tomato, nasi ayam, kebab, ikan bakar, kuih-muih dan bermacam jenis air yang boleh dipilih untuk menjadi hidangan berbuka puasa. Meski pun teruja dengan makanan tersebut, namun aku dan suami pulang dengan tangan kosong petang tadi apabila teringatkan makanan yang sudah dimasak di rumah. Kasihan juga melihat makanan di meja jualan penjaja yang masih penuh.

Aku teringat seorang rakanku yang sanggup berhabis wang membeli kuih-muih atau makanan yang dijual penjaja bukan kerana dia inginkan makanan itu, tetapi kerana kasihan jualan penjaja tidak terjual. Makanan yang dibelinya itu dibawa pulang tidak bermakan. Ada juga insan begitu yang sangat prihatin. Meskipun aku tidak berdaya melakukan apa yang dilakukan oleh rakanku tadi, sedaya upayaku, setiap hari sepanjang Ramadan ini, aku cuba mengajar diriku dan keluarga agar sentiasa memberi tidak kira dalam bentuk wang, masa dan tenaga. Insya-Allah.

Petang ini berbuka puasa dengan nasi lemak bersama-sama ikan kembung bakar.

Resepi Ikan Kembung Bakar
Bersihkan ikan dan buang isi perut. Cuci dengan garam untuk hilangkan bau ikan. Kemudian lumurkan badan ikan dengan kunyit dan garam. Bakar ikan di atas kuali pembakar dan hidang dengan sambal.
Sedia untuk dimakan.

Sambal
Tumis bawang besar yang telah dimayang dalam kuali. Masukkan cili kering yang telah di mesin halus. Biarkan naik minyak dan masukkan garam, gula dan air asam secukup rasa. Biarkan mendidih dan angkat dari atas kuali. Curahkan sambal yang telah dimasak itu ke atas ikan yang sudah dibakar tadi.

Selamat mencuba.