Sunday, October 16, 2016

HADIAH TAHUN BAHARU 1438H

Syukur ke hadrat Allah SWT, sedang dibuka pintu keberkatan atas segala usaha yang telah saya lakukan. Menerima panggilan daripada pihak Yayasan Warisan Johor, novel 1819 Pura Daksina terpilih antara yang bakal menerima hadiah untuk Sayembara Novel Sejarah Johor V. Alhamdulillah, hadiah tahun baharu yang sungguh bermakna. Nampaknya kali ini tercapailah niat saya untuk mengambil hadiah setelah lulus sarjana sejarah setahun lalu. Terima kasih Allah atas segalanya.

Menggarap novel berbentuk sejarah perlu banyak kesabaran. Sebelum kerja kreatif dilakukan, penulis perlu membuat penyelidikan tentang kisah yang hendak digarap. Kali ini saya mengambil kisah pergolakan Raja Husin dan adindanya Raja Abdul Rahman merebut tahta Johor setelah kemangkatan ayahanda mereka Sultan Mahmud Syah 3. Bagaimana Singapura dibuka oleh Raja Husin sehinggalah negeri itu diserahkan kepada pihak Inggeris.

Menelusuri sejarah bukan sahaja mengambil tahu akan sejarah itu sendiri, tetapi latar waktu dan keadaan ketika itu juga perlu dikaji untuk menghidupkan watak serta penceritaan. Tidak mustahil watak kecil boleh dijadikan besar mengikut kehendak pengarang. Saya mulakan pengkisahan 1819 Pura Daksina dengan kesungguhan Raja Embong dan Wan Abdullah menerima tugas untuk membawa balik Raja Husin ke Singapura. Dari situ cerita ini berkembang dengan pergolakan istana dan sebagainya. Semoga ada ramai lagi di luar sana yang menjadikan sejarah sebagai genre dalam penulisan novel supaya sejarah bangsa tidak lenyap begitu sahaja dan boleh dibaca oleh generasi muda hari ini. Insya-Allah.

Terima kasih Allah.

ADIB DAN PT3

Sudah beberapa hari peperiksaan PT3 selesai. Anak kedua, Adib berasa sangat lega meskipun soalan peperiksaan agak sukar. Saya dan suami sempat hadir di sekolah anak pada hari kedua peperiksaan sahaja. Semoga segala usaha yang telah dilakukan oleh Adib mendapat keberkatan Allah SWT. Amin.

Wednesday, October 05, 2016

NOVEL GELUT RANTAU KEMILAU

Alhamdulillah novel aku yang berjudul Gelut Rantau Kemilau terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sudah ada di pasaran. Syukur tidak terhingga. Semoga segala apa yang tercatat di dalamnya dapat memberi pengajaran kepada pembaca di luar sana. Terima kasih kepada semua yang menyokong.


Tuesday, October 04, 2016

TAN SRI AZIZ TAPA - MENOLEH KE BELAKANG DAN MEMANDANG KE HADAPAN

Entah bila tarikh tepatnya ketika kali terakhir aku berada dekat dengan arwah. Ketika itu, aku dan suami sedang menulis sebuah buku biografi khusus tentang arwah. Beberapa kali aku datang ziarah Tan Sri sambil menemubual hal yang masih kabur. Akhirnya usaha itu terhasil dengan siapnya sebuah manuskrip.

Sayang sekali, sehingga akhir hayat tan sri, manuskrip itu tidak diterbitkan atas banyak alasan. Namun semua itu sudah tinggal kenangan. Kalaulah tidak aku ketemu dan berbicara secara dekat dengan tan sri, mungkin juga aku tidak kenal sejarah bangsa.

Pemergian tan sri pagi tadi adalah satu kehilangan kepada negara. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Semadilah dengan tenang di sisi Ya Rabb. Amin.

Sunday, October 02, 2016

Salam Maal Hijrah 1438 h

Selamat tahun baharu 1438 h. Marilah kita terus bersyukur ke hadrat Allah swt kerana masih diberi waktu, diberkati usia untuk meneruskan tugas sebagai khalifa di muka bumi ini.

Insya-Allah rancangan Allah itu lebih baik meskipun banyak yang kita sentiasa perlu kan yang masih tidak diperkenankan- Nya. Sesungguhnya hanya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Semoga tahun baharu iñi menjadikan kita insan lebih baik daripada tahun sebelum!nya Amin.