Tuesday, October 20, 2009

Mentari Indah




Sudah agak lama tidak menulis sesuatu di laman indah ini atas alasan yang tidak pernah aku ketahui puncanya.

Waktu semakin menghampiri garisan penamat sehingga aku semakin sesak memikirkan bila dan bagaimana akhirnya untuk menyudahkan sebuah manuskrip yang telah aku cipta sejak Januari 2009.

Apakah aku harus meninggalkan sejarah itu begitu sahaja tanpa menyudahkan apa yang sedang kulakarkan? Semangat itu sedang aku bina agar waktu yang tersisa ini dapat kulaksanakan sepenuh hati.

Sahabat-sahabatku mulai menghilang tanpa jejak. Mahu sahaja kujerit memanggil-manggil nama mereka, namun apakan daya, aku sudah semakin hampir ke garisan penamat.

Terasa sayang untuk melangkah pergi, namun i don't care...
Mentari yang bakal kulihat mulai esok adalah mentari yang lebih indah dari sebelumnya.

Selamat berkarya.

Monday, October 05, 2009

MUSAHNYA ALAM ATAS KUASA YANG ESA





Kemusnahan alam di Padang, Indonesia amat menyedihkan.
Gambar ini diambil dari akhbar online



Khamis pagi itu tidak terlalu sibuk meskipun sepatutnya aku harus menguruskan sebuah acara anjuran organisasi tempat aku bertugas. Malang sekali, kita hanya merancang tetapi hanya Allah yang menentukan segalanya. Aku tidak dapat menghadirkan diri untuk acara tersebut. Terasa agak syahdu namun apakan daya sudah itu disuratkan ke atas diriku. Namun, aku sentiasa percaya dan yakin bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmah yang Allah SWT ingin berikan ke atas aku.

Tidak menguruskan acara itu meringankan bebanku secara tidak langsung menyebabkan aku begitu lapang pagi itu. Kereta yang baharu seminggu kugunakan itu kuhantar ke pusat servis. Ketika menunggu kereta siap di service, aku melihat paparan berita di salah satu saluran tv swasta yang menyiarkan tentang kemusnahan alam di negara jiran Padang, Indonesia. Terus ku kirim sistem pesanan ringkas kepada dua rakanku yang menetap di sana. Kasihan mendengar berita sedih itu.

Malang memang tidak berbau. Bencana alam yang melanda negara jiran pasti ada hikmahnya. Dalam Aidilfitri masih disambut dan dirasai bahangnya, ada mangsa-mangsa yang terhimpit dengan masalah gempa. Jika aku punya waktu, mahu sahaja turut serta dalam program bantuan. Namun apakan daya, waktu tidak menginzinkan dan aku hanya berdoa agar segala bencana itu akan dapat diatasi dengan pelbagai bantuan dari Malaysia dan negara-negara dunia yang lain.

Kepada ibu Sastri, aku doakan engkau sekeluarga selamat.
Kepada ibu Erma, sama-samalah kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, segala pemusuhan dan pertelingkahan yang berlaku harus dilupakan. Moga segala yang berlaku ini akan merapatkan hubungan dua negara.
Amin.

Kepada para penulis di luar sana, gunakan apa yang berlaku ini sebagai ilham untuk menulis cerpen, puisi mahupun diselitkan beberapa bab dalam novel kalian. Moga kalian sentiasa sukses dan menjadi antara penulis billionaire seperti impian aku.

Penulis kecil berjiwa besar - Hanita Hassan
05 Oktober 2009

Thursday, October 01, 2009

CINTA ...LOVE




Wajah abah kembali ceria. Meski hatiku sebak melihat keadaan dirinya, kucuba gagahkan hati menghadapi segalanya. Allah maha kaya kerana mengurniakan aku seorang lelaki yang hebat yang mencintai aku sepenuh jiwa raganya. Seorang lelaki yang sanggup berbuat apa sahaja demi sang isteri dan keluarga. Mahu sahaja kuluahkan segalanya namun ayat-ayat cinta itu hanya tersekat di dada. Mahu ku khabarkan kepada seluruh isi alam tentang rasa cinta yang amat mendalam itu.

Sesekali rambut hitamku meliuk-lintuk ditiup angin. Kubiarkan sahaja. Jari-jari nakalku terus mengetuk satu persatu papan kekunci komputer ribaku dengan perkataan cinta untuk sebuah diari. Hatiku berbunga cinta meski banyak sekali dugaan sedang melanda hidupku tika ini. Kulelapkan seketika mataku, melupakan segala sesak di dada, kucampakkan ke sisi segala masalah, kerana cinta...aku tidak bimbang dengan apa sahaja dugaan.

Kutadah tanganku memohon kepada Allah. Setiap detik nafas ku, setiap perjalanan hidupku, bukan ditentukan oleh sesiapa, hanya Allah yang berkuasa atas segala-galanya.

Memandang wajah sang suami, aku tersenyum dan mendakap erat dirinya. Dalam dakapannya yang erat, aku melupakan segalanya.