Wednesday, November 22, 2006

SEL 2030

Aku agak terperanjat apabila menerima sebungkusan majalah dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan lewat sebulan lalu di hadapan porch rumahku. Waktu itu hujan lebat. Aku kebetulan tidak ada di rumah. Mungkin juga ada urusan bisnes. Encik Posmen telah mencampakkannya di tengah porch dengan harapan tidak basah dek hujan. Aku segera mencapai bungkusan itu. Agak terperanjat kerana tidak menjangka pihak DBPWS akan mengirimkan keluaran bulan itu kepada aku. Sedangkan aku kenal benar dengan kawan-kawan di sana. Mereka tidak perlu pos majalah itu. Biasanya dihantar terus apabila kawan-kawanku turun ke Melaka terus singgah ke pejabat. Setelah puas memikirkannya, aku menyelak helaian demi helaian Jendela Selatan itu. Rupa-rupanya, Cerpen aku yang telah kuhantar lewat bulan yang lalu tersiar di dalamnya. Alhamduliallah. Itulah ucapan dari mulutku. Jadi disebabkan blog aku ini begitu kosong dan menjemukan, maka aku sertakan cerpen itu untuk tatapan bersama.

Selamat membaca.


SEL 2030
oleh: HANITA BINTI HAJI HASSAN

Fikiranku kosong. Hatiku semakin membeku. Aku tidak tahu, apa lagi yang harus aku lakukan ketika ini, sedangkan landlover polis berwarna biru gelap yang akan membawa aku ke Penjara Wanita Kajang, telah pun tiba di perkarangan Balai Polis tempat aku dilokap. Aku masih menaruh harapan agar tidak dimasukkan ke sana, tempat di mana, segala jenis penjenayah wanita berada di dalamnya. Aku terus berdoa agar ada kelibat manusia-manusia yang memahami situasi yang berlaku ke atas diriku, datang memeluk erat diriku yang sedang duka nestapa, tanpa tempat bergantung. Datang membelai dan memujuk hatiku yang rawan dan nestapa. Aku pilu, aku keseorangan, aku kosong, beku dan terperangkap dalam diriku sendiri. Namun, siapa di belakang aku ketika aku begitu memerlukan mereka. Keluarga jauh sekali. Aku bagaikan sampah yang harus dibuang jauh-jauh daripada timbunannya agar bau busuknya tidak melekat di wajah mereka.

“Saya tak bersalah cik, sumpah saya tidak lakukannya?” Aku masih ingat lagi ketika dua polis wanita berbadan sasa singgah ke rumah pagi Jumaat itu. Pagi itulah, aku diheret ke balai polis atas laporan yang dibuat oleh anak-anak ibu tua yang aku rompak tiga hari yang lalu. Ketika aku mengetahui kedatangan polis wanita itu, aku dengan segera mencapai bayiku yang berumur satu tahun enam bulan dan terus menyembunyikan diri di dalam almari pakaian di salah sebuah bilik di rumah. Nasib aku kurang baik, suara tangisan bayi yang kukendung, didengari dua polis tersebut dari luar dan aku akhirnya digari dan dibawa ke sel sial ini.
“Saya tak bersalah cik, sumpah saya tak buat apa-apa? Kenapa tahan saya?” Suara sayu yang keluar daripada mulut aku tidak langsung diendahkan oleh polis wanita berkenaan. Aku seperti biasa, dengan wajah penuh kesayuan, cuba mencari helah agar tidak ditangkap, namun kali ini, tidak seperti helah-helah aku yang lalu, aku tertangkap juga.

“Kami hanya menjalankan tugas. Segala aduan dan ketidakpuasan hati, cik boleh kemukakan di balai nanti,” kata polis tersebut. Kebetulan pagi aku ditangkap, emak, abah dan adik bongsuku tiada di rumah. Seawal pagi lagi, mereka telah meninggalkan rumah. Entah untuk urusan apa, aku sendiri tidak ambil pusing. Dua anak perempuan aku belajar di sekolah berhampiran, telah pun kuhantar seawal jam 7.00 pagi. Yang tinggal hanya aku bersama bayi dan adik lelakiku. Aku menyerahkan bayi lelaki yang kukendung itu kepada adik lelakiku, yang kebetulan bekerja shif malam dan baru sahaja pulang dari kerja pagi itu. Tangisan bayiku menambah sayu dan pilu dihati kecilku ini.

Sejak hari sial itu, aku terus-terusan dikurung di lokap sementara menunggu kes aku didengar di mahkamah. Pada awal aku ditangkap, aku tidak boleh dijamin, tetapi atas budi bicara pihak polis dan mahkamah, atas alasan kasihan dengan anak-anakku yang masih kecil, aku dibenarkan untuk diikat jamin sementara menanti hari perbicaraan. Dan kes aku juga telah disebut di Mahkamah Tinggi.

“Emak, abah, abang dan adik-adik yang lain entah ke mana. Anak-anak di rumah, entah apa khabar agaknya mereka ketika ini,” aku mengeluh. Jam di dinding yang tersangkut di luar lokap menunjukkan ke angka 10 pagi. Setengah jam lagi, aku akan dibawa ke Penjara Wanita Kajang. Aku tidak pernah menyangka, aku akan merengkok di dalam penjara dalam usia aku baru mencecah ke angka 27 tahun.

Selama 12 hari aku di dalam lokap, aku sama sekali terpisah dengan dunia luar, dunia yang penuh keseronokan. Aku juga turut terpisah dari mendengar keriuhan dan kepetahan anak-anakku yang masih kecil, mungil, bersih, sebersih sehelai kain putih yang tunggu untuk diwarnakan sahaja. Aku terperangkap dengan kekalutan yang menguasai fikiran hingga sanggup merompak dan cuba mencederakan seorang ibu tua yang tidak bersalah sama sekali. Aku lakukan itu semata-mata kerana wang, wang, wang. Wanglah yang telah memenjara hati dan fikiran aku ketika itu. Entah ibu jenis apakah aku, sehingga aku lali dan lupa, segala yang aku lakukan, ada musibah yang perlu ditanggung oleh seluruh keturunanku sehingga akhir hayat mereka. Musibah inilah yang akan dibawa bersama anak-anakku, sehingga mereka dewasa.

“Mak, kalau boleh Syuhada tak nak ke penjara Kajang tu. Syuhada tak nak,” tanpa rasa kesal, aku memaksa emak untuk menjamin aku. Walaupun aku sedar, aku memang melakukan kesalahan itu, namun aku mohon agar emak dan adik beradik yang lain berbincang untuk menjamin aku.
“Berapa wang jaminnya,” tanya emak sambil tersedu-sedu menangisi nasib anak perempuannya yang malang sungguh itu.
“Tujuh ribu ringgit. Tapi, kalau kita letak geran tanah pun boleh mak,” kata aku dengan nada yang lembut dan penuh sopan, bagaikan aku tidak melakukan kesalahan itu. Aku cuba memujuk hati emak yang cepat cair itu.
“Mak, tolong Syuhada ya mak, Syuhada tak nak pergi penjara kat Kajang tu,”tanpa air mata, dengan keras hati, tabah dan kuat, aku terus mendesak emak dengan nada yang menusuk hingga ke jantung. Air mata sudah tidak ada lagi dalam kotak simpanannya. Air mataku bagaikan sudah kekeringan sejak banyak peristiwa yang berlaku dalam diari hidupku. Aku keseorangan lagi, tanpa tujuan setelah suami yang amat aku sayang meninggalkan alam yang fana ini. Dan dalam usia yang terlalu muda ini, aku digelar ibu tunggal atau bahasa yang mudah difaham, aku sudah menjadi janda dengan tiga orang anak.

Suami aku meninggalkan aku dan anak-anak dengan bebanan hutang yang terpaksa aku langsaikan. Duit KWSP tinggalan arwah suami aku, aku gunakan untuk membayar hutang-hutang dengan peminjam lintah darah yang kebiasaannya digelar along. Hajat hati ingin menyimpan wang tersebut bagi persekolahan anak-anakku terpaksa aku tangguhkan. Kalau tidak dibayar hutang-hutang tersebut, mati aku dikejar along dan kuncu-kuncunya.

“Sudah sebulan lu tidak bayar hutang lu, bunga sudah naik, bila lagi lu nak bayar hah, nanti gua culik anak lu kat rumah, baru lu tahu,” itulah ugutan yang selalu bermain di cuping telinga aku, setiap kali aku tidak dapat melangsaikan hutang-hutang tersebut tepat pada waktunya. Bunga dari pinjaman semakin bertambah. Pinjaman yang sedikit, bertambah berkali ganda dari asalnya.

“Bukan aku tak nak bayar, aku tak de duit sekarang, nanti bila aku ada duit, aku bayar dua kali ganda termasuk bunganya sekali,” jawapan-jawapan yang sama keluar dari mulut aku setiap kali aku kehabisan duit untuk melangsaikan hutang. Siapa yang ambil peduli, aku hidup ke, aku mati ke, tidak ada seorang pun ahli keluargaku yang ambil pusing. Aku hidup, hanya menyusahkan emak, abah dan keluargaku.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, aku sering menyusahkan emak dan abah. Ketika itu, aku bersekolah di asrama, aku terikut-ikut dengan kebebasan hidup bersama teman lelakiku, yang akhirnya menjadi suamiku. Aku bebas melakukan apa sahaja tanpa pengetahuan emak dan abah. Setiap kali cuti hujung minggu, aku membohongi emak dan abah bahawa aku tidak dapat pulang ke rumah atas sebab kerja sekolah yang terlampau banyak. Kepada warden asrama pula, aku katakan, aku pulang ke rumah emak dan abah aku. Padahal, dalam diam, aku mengikut teman lelakiku, dan ketika inilah aku dikenalkan dengan sejenis dadah yang aku sendiri tidak pasti jenis apakah itu. Bagi aku, hidup ketika itu adalah kebebasan dan kebebasan adalah hidup sebenar. Aku bukan penagih tegar, aku cuma mengambilnya sekali sekala, sekadar untuk suka-suka dan menghilangkan kebosanan yang bersarang dalam dada. Semuanya kerana keimanan dalam diri yang begitu nipis dan tipis hingga aku kalah dengan godaan syaitan. Dan kerana pengambilan dadah itu jugalah, aku sehingga kini, mengidap sakit di bahagian pinggang.

Aku tidak pernah memikirkan kepentingan keluarga dalam hal kebebasan aku, aku cuma tahu, aku mahu bebas dan hidup senang lenang. Bukan seperti kedua orang tua aku, yang sejak aku kecil hingga dewasa, aku lihat hidup mereka tidak pernah sesenang seperti orang lain. Mereka sering dihimpit kesusahan. Aku mahu lari dari kepompong masalah itu dan disimbahi wang. Kehadiran teman lelaki aku, yang sering menabur aku dengan wang ringgit, membelikan apa sahaja yang aku inginkan, membuatkan dunia aku yang gelap bertukar cerah.

“Ah...buat apa aku toleh ke belakang. Benda dah terjadi. Itu semua kemahuan aku, aku cari sendiri, bukan salah sesiapa, aku yang pilih jalan ini,” desis aku sambil mengesat peluh yang menyimbah membasahi pipi dan tengkuk. Pakaianku basah dek peluh yang mengalir dari tubuh badanku. Terik mentari jam 10.15 pagi itu, memasuki lokap dari celah-celah tingkap. Lokap akan aku tinggalkan 15 minit lagi. Namun, tidak ada siapa-siapa yang nampaknya akan datang menjamin aku. Doa masih terus-terusan aku panjatkan agar aku tidak dihantar ke penjara jahanam itu.

Sel berbau hamis, busuk dan berhabuk yang diduduki aku sejak 12 hari yang lalu, bakal aku tinggalkan. Sel yang tidak pernah dijaga itu sudah menempatkan entah berapa puluh pesalah di dalamnya. Aku salah seorang daripada pesalah itu. Beberapa sel lagi yang mengisi pesalah-pesalah yang tidak tahu apa kesalahannya, tapi sudah tentu kesalahan jenayah, masih terpersuk di celahan sel besi yang tegap, pejal dan kaku.

“Siti Nor Syuhada, awak akan dibawa ke Penjara Wanita Kajang, pagi ini, boleh bersiap sekarang,” suara garau polis wanita yang bertugas pagi itu mengejutkan lamunan aku. Suara itu adalah arahan, dan setiap arahan aku harus patuhi. Di sel ini, aku adalah pesalah walau sekecil mana kesalahan yang aku lakukan, aku tetap pesalah yang harus dihukum. Aku tidak menjawab, malah membatukan diri dengan keadaan diriku yang tidak terurus dan berbau hapak, aku bagaikan orang gila. Aku menarik-narik rambutku yang panjang dan gatal. Kemudian, aku duduk di lantai simen berdebu, sehingga meninggalkan kesan di atas seluar hitam yang aku pakai. Aku membetulkan ikat rambutku yang kusut. Tiada lagi air mata yang mengalir. Ia bagaikan tersekat.

Dua polis wanita berbadan sasa menghampiri sel dan membuka kunci sel, lalu membawa aku pergi. Masih kelibat-kelibat manusia yang berhati mulia, yang aku harap dapat membantu aku, tidak kelihatan. Aku tertunduk sayu. Harapanku musnah.

“Ini semua barang-barang yang awak bawa bersama ketika datang ke balai ini, sila pastikan semuanya ada,” kata salah seorang polis yang tertera namanya Zaiton. Aku meneliti satu persatu, barang-barang yang pernah kubawa tempoh hari, ketika hari aku ditangkap. Ada dompet duit, telefon bimbit dan baju yang dibawa oleh emak dan abah ketika melawat aku tempoh hari.

“Terima kasih.” kata aku kepada pegawai polis tersebut. Landlover polis yang telah dihidupkan enjinnya, sedia menanti aku. Aku diarah menaikinya dan duduk di dalamnya bersama-sama dua anggota polis wanita dan seorang pemandu. Landlover itu memecut laju meninggalkan perkarangan balai tempat aku ditahan reman.

“Selamat tinggal anak-anakku, ibu terpaksa menempuhi kesusahan yang lebih hebat lagi selepas ini. Semoga anak-anakku, kau akan meneruskan hidup ini dengan penuh ketabahan, amin,” aku berdoa berterusan. Dalam kesusahan begini, hanya Tuhanlah tempat aku bergantung. Tiada tempat lain lagi. Kalau sebelum ini, aku alpa padaNYA, kini baru aku sedar, aku benar-benar insaf, aku hanya ada DIA tempat mengadu. Landlover masih terus bergerak laju menuju tempat yang tidak pernah terlintas di benakku untuk menghuninya. Penjara Wanita Kajang sedang menggamit kedatangan aku. Telefon bimbit yang kupegang, sempat aku menghantar pesanan ringkas kepada adik aku.

“Tolonglah Iman, Angah tak nak ke penjara, pinggang angah dah semakin membengkak dan terlalu sakit, tolonglah minta emak datang jamin angah di penjara nanti,” dihantarnya pesanan ringkas itu ke telefon bimbit adik lelakinya. Hatinya puas. Aku berharap, hati emak dan abah akan cair dan membawa aku pulang dengan segera.

Jam ditanganku menunjukkan ke angka 12.30 tengah hari. Aku semakin menghampiri kawasan penjara. Suasana muram dan kelam, seperti keadaan penjara itu juga. Kuteliti tembok besar yang teguh, kaku dan sayup tingginya. Aku akhirnya tiba juga di sini. Aku kemudiannya diserahkan kepada pegawai penjara dan di sinilah, aku bakal menghabiskan sisa-sisa muda remaja aku di dalamnya. Sel 2030 akan menjadi tempat persinggahan aku, sementara aku dijatuhkan hukuman oleh mahkamah tinggi.

Hidup ku kaku dan beku
Dalam sel 2030
Beku, kaku, keras tanpa perasaan
Aku...
hidupku, kaku tanpa perasaan
Aku, beku, tanpa perasaan

Tinggallah aku di sini, bertemankan tembok batu yang kaku, beku tanpa kata. Oh Tuhan! Adakah lagi manusia-manusia lain yang masih menaruh simpati terhadap aku. Bermulalah hidup aku di dalam Sel 2030.

Friday, July 21, 2006

Kereta Kabel

Melaka bakal menjadi negeri ketiga di Malaysia mempunyai perkhidmatan kereta kabel? Kenyataan itu memeranjatkan ramai pihak. Nampaknya negeri Hang Tuah akan bertambah sibuk seperti ketika zaman kegemilangannya pada sekitar akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16. Apa tidaknya, apabila kemudahan perkhidmatan baru diperkenalkan di negeri pelancongan ini, sudah tentu lebih ramai pelancong yang ingin datang ke Melaka. Apatah lagi, Melaka terletak di antara dua buah lapangan terbang utama di bahagian Selatan iaitu KLIA dan Senai(Johor). Saya percaya, meskipun keputusan mengadakan perkhidmatan kereta kabel ini masih di peringkat awal, namun rakyat Melaka sudah mula memperkatakan tentangnya di mana-mana sahaja. Tidak salah mempersoalkannya, namun sebagai rakyat Melaka, kita seharusnya memberi pandangan membina yang boleh membantu kerajaan negeri mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan sedia ada selaras dengan hasrat Melaka yang akan mencapai negeri Maju menjelang 2010 iaitu 10 tahun lebih awal dari Malaysia iaitu 2020.

Pada ketika ini, perkhidmatan kereta kabel hanya boleh diperolehi di dua negeri iaitu di Pahang (Genting Highlands) dan di Kedah (Gunung Raya, Langkawi).

Wednesday, May 24, 2006

Seminar Hang Tuah Wira Alam Melayu

Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) akan mengadakan seminar Hang Tuah Wira Alam Melayu pada 25 Mei 2006 di Hotel AnCasa, MITC, Ayer Keroh Melaka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Hang tuah, pahlawan Melaka yang begitu terkenal dalam era Kesultanan Melayu Melaka kerana kehandalan dan kegagahan serta kebijaksanaannya di alam nusantara. Beliau berkhidmat di bawah tiga orang sultan iaitu Sultan Mansur Syah, Sultan Alaudddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Peranan beliau amat besar terutama dalam menyebarkan agama Islam ke beberapa negara seperti Majapahit, Pahang, Siak dan Kampar. Kesetiaannya terhadap Sultan Melaka menyebabkan ada pihak yang cemburu sehingga menimbulkan fitnah orang besar Melaka iaitu Pateh Kerma Wijaya.

Hang tuah juga merupakan pelayar antarabangsa kerana beliau juga pernah membawa utusan sultan hingga ke negeri China, Jepun, India, Arab, Rome dan beberapa kawasan berhampiran selain dari negeri-negeri di nusantara. Kegagahan dan keberaniannya telah ditunjukkan sejak kecil lagi apabila beliau berjaya menyelamatkan bendahara dari dibunuh disebabkan amukan orang jawa. Jasa-jasa Hang Tuah ini telah menyebabkan beliau dianugerahkan oleh Sultan Mansur Syah gelaran Orang Kaya Laksamana Tun Tuah.

Hari ini, nama beliau telah diabadikan pada nama-nama bangunan, sekolah, jalan, dan lain-lain bukan sahaja di malaysia tetapi juga di Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand. Pelbagai lagi kisah menarik tentang ketokohan hang tuah wira alam melayu ini bakal kita ketahui dalam kertas kerja yang bakal dibentangkan oleh tujuh pembentang dengan judul yang hebat-hebat belaka.



Saya yakin seminar Hang Tuah Wira Alam Melayu ini dapat memberi suatu gambaran yang jelas kepada masyarakat tentang peranan dan sumbangan tokoh dalam sejarah ketamadunan bangsa. Di samping itu, melalui seminar sehari ini, akan dapat mengkaji aspek-aspek kebijaksanaan dan kepimpinan beliau yang sangat penting dan relevan dalam peningkatan wawasan dan martabat bangsa melayu. Ia juga merupakan langkah awal untuk kerajaan negeri mengadakan lebih banyak seminar membicarakan tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam pelbagai bidang tidak tertakluk kepada bidang sejarah sahaja, malah bidang sains, politik, kemasyarakatan, komunikasi, ekonomi dan sebagainya bagi menjana kecemerlangan ilmu serta memartabatkan bangsa malaysia.

Selamat Berseminar

Adli dan Alam Fantasi

NO

Alhamduliallah, akhirnya sebuah lagi novel kanak-kanak aku siap aku tulis. Ceritanya mengenai Adli dan Alam Fantasinya. Siri pertama ini mengenai Sesat di Bandar Latos. Pagi nie aku nak hantar ke publisher. Harap-harap semuanya berjalan lancar.

Monday, February 27, 2006

Kabur

Sudah agak lama jari-jari saya tidak menekan komputer untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Terasa rindu, tetapi tidak tahu apakah yang harus saya tulis. Walaupun banyak yang ingin saya lontarkan, tetapi buat masa ini semuanya kabur.

Thursday, February 16, 2006

Resepi Sup Ayam





Setiap pagi, bila terjaga dari tidur, aku akan ke dapur untuk menyediakan minum pagi dan memasak untuk makan tengah hari. Itulah rutin hidup aku sejak anak-anak mula memasuki alam persekolahan. Walaupun penat, tetapi apabila menyaksikan keletah mereka, aku jadi terhibur terutama si kecil Adam yang baru berusia 1 tahun 3 bulan hari ini. Hari ini, aku masak sup ayam. Resepi ini baru dicipta semalam. Aku sedang dalam usaha membantu Biro Wanita DMDI menyiapkan sebuah buku resepi. Insya-Allah akan diterbitkan tahun ini. Kepada sesiapa yang berminat, boleh mencuba resepi ini.

Sup Ayam

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (dibersihkan, dipotong dan diperapkan 5 – 10 minit dengan campuran kicap, halia kisar, garam dan serbuk perasa)
1 sudu kicap cair, garam & serbuk perasa
2 sudu minyak masak
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 biji bawang besar - dimayang
3 ulas bawang putih – dihiris halus
2.5 cm halia (dikikis kulitnya, sebahagiannya ditumbuk halus dan digaul ke atas ayam yang dipotong dan selebihnya dihiris untuk tumisan)
Air masak mengikut hidangan
250 gm ubi kentang (dipotong dadu)
Bawang merah goreng
1 batang lobak merah (dihiris menyerong)
Lada hijau (dihiris menyerong)
2 tangkai daun sup (dicincang halus)
1 tangkai daun bawang (dicincang halus)

Cara-cara menyediakannya:
Pijarkan minyak di atas api yang sederhana dan masukkan rempah-rempah kering. Tumis selama 1-2 minit, kemudian masukkan bawang besar yang dimayang, bawang putih & halia yang dihilis hingga layu. Masukkan ayam yang telah diperap, besarkan api dan goreng hingga rata kuningnya. Kemudian masukkan air. Didihkan ayam 10 – 15 minit dengan mengacaunya sekali-sekala. Setelah ayam masak, masukkan kentang yang telah dipotong dadu, biarkan empuk. Kemudian masukkan lada hijau dan lobak merah. Bubuhkan garam dan serbuk perasa dan sesuaikan rasanya. Padamkan api dan hidangkan panas-panas. Taburkan atasnya dengan bawang merah goreng, daun bawang & daun sup yang telah dihiris halus ketika hendak dihidangkan.

Selamat mencuba.

Tuesday, February 14, 2006

Seminar International Perempuan

Seminar International Perempuan akan berlangsung di Sahid Jaya Hotel, Jakarta, Indonesia. Sayang sekali, aku tidak mampu untuk ikut sama buat masa ini. Aku cuma pernah menjejak kaki di lapangan terbang Sukarno Hatta saje. Masih segar dalam ingatan aku, pada tahun 2001, aku, suami dan Adibah (anak sulung) ketika itu berumur 20 bulan, transit di lapangan terbang ini sebelum mengambil penerbangan ke Palembang, Sumatera Selatan. Sedikit sebanyak, aku sudah ada gambaran mengenai keadaan di sana.


Walaupun tidak ikut serta, tetapi aku terpaksa juga menyiapkan ucapan-ucapan Ketua Menteri (dua dari lima ucapannya) pada beberapa pertemuan di Jakarta. Semoga seminar ini sukses.

Thursday, February 09, 2006

Penggunaan Bahasa Inggeris

Sudah agak lama aku tidak menulis di laman ini. Memang rindu tetapi ketiadaan masa yang sesuai membuatkan ia terbiar. Aku sedang punyai banyak projek. Novel-novel aku yang tergendala, sedang aku edit.

Pagi tadi, semasa dalam perjalanan menghantar anak-anak, aku berbual dengan Adibah (anak sulung). Dia bercerita kepada aku tentang salah seorang pelajar kelasnya yang tidak tahu berbahasa Melayu. Nama dia Danial Hakimi. Dia kata, kawan dia tu tak faham bila bercakap dalam bahasa Melayu. Adibah juga kata, budak itu bukan orang Melayu, tetapi orang Inggeris. Aku tersenyum. Hai...macam nielah orang kita, terlalu agungkan bahasa penjajah hinggakan terlupa bahawa bahasa ibunda itu amat penting. Walaupun dunia globalisasi memerlukan bahasa Inggeris, tetapi jika kita sebagai pemegang tradisi itu tidak mahu mengamalkannya lagi, siapa lagi?

Aku tanya Adibah, macam mana awak bercakap dengan dia? Kata Adibah, "Kak Long cakap bahasa Inggeris dengan Danial, baru dia faham." Oh...rupanya anak dah pandai cakap bahasa Inggeris. Aku tersenyum lagi.

Thursday, February 02, 2006

Pemikiran Sasterawan Negara A.Samad Said

"Setiap karya atau setiap ciptaan sebenarnya adalah jawapan seorang seniman terhadap peristiwa yang ditempuhinya," petikan kata-kata A.Samad Said.

Aku percaya dengan frasa itu kerana aku sendiri adalah seorang penulis novel. Mungkin ada sesetengah penulis berkata, karya yang dihasilkan cuma khayalannya, tetapi aku yakin, karya-karya yang terhasil, sudah pasti mempunyai watak-watak sebenar yang digambarkan melalui dunia realiti. Cuma ada penulis yang terlalu realistik yang mahu watak-watak yang diciptanya lebih ideal sehingga menokok tambah dengan berlebih-lebihan.

Apabila pertama kali aku menatap wajah tokoh tersohor dalam bidangnya itu, aku terasa seperti aku sedang melihat diriku sendiri yang berada di dalam diri penulis itu. Dadaku tiba-tiba sebak. Entah kenapa, aku sendiri tidak ketahui akan perasaanku sendiri ketika itu. Janggut yang menutupi dadanya, agak menyerabutkan mata yang memandang. Begitu juga dengan misainya yang tebal, berwarna putih seperti kapas dan tidak terjaga. Wajahnya comel dengan cermin mata kecil tidak menampakkan usianya yang sebenar.

Tiada ungkapan untuk aku suarakan apabila menatap wajah beliau. Mungkin juga kerana aku terasa begitu kerdil kerana aku hanyalah di antara beribu penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Tetapi, aku pasti, aku juga akan menjadi seperti beliau suatu hari nanti.

Aku doakan semoga Datuk A.Samad Said sihat dan dapat menulis lebih banyak karya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka, untuk membantu beliau dengan memberi dana berjumlah RM450,000 untuk jangka waktu tiga tahun bagi menghasilkan karya-karya bermutu untuk rakyat negeri Melaka. Negeri Melaka walaupun kecil tetapi hatinya besar. Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebenarnya amat prihatin dengan kebolehan anak negerinya. Aku percaya, dengan cara ini, A.Samad Said akan lebih rapat dengan negeri Melaka dan seluruh warganya. Insya-Allah.


Antara novel A.Samad Said:
Salina
Daerah Zeni
Hujan Pagi
Sungai Mengalir Lesu
Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri
Adik Datang
Keledang
Di Hadapan Pulau
Ke Mana Terbangnya

Menguliti karya-karya ASS, bakat beliau menulis dalam pelbagai genre, namun melalui novel, telah menjulang nama ASS terutama dalam Salina, Hujan Pagi, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri dan Sungai Mengalir Lesu.

Gaya tulisannya naturalis - semuanya ditulis, yang tidak baik pun ditulis tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan. Beliau juga adalah penulis yang terlalu merincikan setiap perlukisan watak sehinggakan watak itu berada seperti di depan mata dan hati pembaca di dalam bab-bab yang ditulisnya.

Friday, January 27, 2006

Lagi Kisah Pantun

Puii...lega rasa hati bila function dah selesai semalam. Sambutan daripada peserta Seminar Sejuta Pantun amat menggalakkan. Kita jangkakan hanya 250 orang sahaja tetapi yang hadir hampir 400 orang. Aduh ... bila buat function, beginilah jadinya, banyak yang dirancang, tapi last minute semua tunggang langgang. Mana nak handle protokol, perasmian, pembentang kertas kerj dan yang paling penting makan minum.
Petang nie bos panggil untuk buat post mortem.


Antara teks ucapan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Pantun ialah puisi tradisional Melayu turun-temurun yang tertua di dalam budaya Melayu. Ia adalah akar budi dan daya rasa yang selalu membijaksanakan fikiran dan memperindah perasaan. Boleh dikatakan semua suku bangsa di alam Melayu mempunyai bentuk pantunnya yang tersendiri dalam dialek atau bahasa ibunda masing-masing.

Pantun memang tidak asing kepada kebanyakkan kita. Mungkin ramai yang tidak menyedari akan hal ini. Kebanyakkan daripada kita menganggap pantun itu hanya boleh didengar ketika pertandingan berbalas pantun, sedangkan masyarakat sebenarnya saban hari didodoikan dengan pantun menerusi seni kata lagu yang terakam indah yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi Melayu. Begitu luasnya penggunaan pantun dalam masyarakat sehingga kita berasa yang pantun telah membentuk sebahagian daripada bahasa basahan seharian.

Pantun telah wujud sejak zaman berzaman, tetapi telah berkembang semenjak kerajaan-kerajaan Melayu ditubuhkan seperti kerajaan Melayu Champa dan Srivijaya dalam abad ke-7 dan kemuncak Empayar Melayu Melaka pada abad ke-15 dan 16. Pantun merupakan puisi yang begitu diminati oleh orang-orang Melayu hinggalah ke hari ini. Inilah peninggalan pusaka nenek moyang yang mewariskan kepada kita dari pujangga tak bernama, khazanah yang memperkayakan perbendaharaan sastera kita.



Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) akan menghasilkan sebuah buku ke arah sejuta pantun yang berbentuk kontemporari tetapi masih mengekalkan nilai dan estetika pantun khusus terhasil daripada cetusan idea para peserta seminar. Nampaknya, generasi muda hari ini boleh dibanggakan dengan pantun-pantun spontan yang digarap ketika berseminar. Semoga usaha ini akan dapat memperbanyakkan lagi pantun agar ia tidak lenyap dibawa arus permodenan.


Ini adalah pantun wajib yang sering diucapkan di Melaka

Kapal dagang dari seberang
Sarat muatan di kayu jati
Dari jauh tuan puan datang
Kami di sini sedia menanti

Beberapa pantun untuk dikongsi bersama

Apabila duduk berelok-elok
Bila tegak bertunak-tunak
Bila berjalan bersopan sopan
Bila bercakap dengan beradab

Rama-rama si kumbang jati
Khatib indah pulang berkuda
Patah tumbuh hilang berganti
Pusaka lama begitu juga

Sayang cendawan tumbuh serumpun
Hidup melata di dalam taman
Dalam zaman pesat membangun
Budaya kita dilupa jangan

Ttingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di pulau angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi bangsa kerana bahasa


Di atas robohan kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padu segenap baka
Untuk membela tanah pusaka

Hari-hari menembak rusa
Rusa sedang makan di tanah
Berjenis-jenis rupanya dosa
Berdosa besar pecah amanah


Dari mana punai melayang
Dari sawah turun ke kali
Dari mana datangknya sayang
Dari mata turun ke hati

Belayar kapal menuju muara
Muatan sarat berisi kayu
Jawablah ini soalan saya
Apa binatang tulangnya satu?

Syair seloka penghias mula
Nazam, pantun seninya indah
Negeri melaka tempat bermula
Budaya kita warisan sejarah


Mekar wangi pohon cempaka
Daunnya layu dipangkal berangan
Akar budi santun bahasa
Pantun melayu kekal berzaman

Tuesday, January 24, 2006

Seminar Sejuta Pantun

Aku dan teman-teman di IKSEP sedang sibuk menguruskan perjalanan majlis di atas. Y.A.B Ketua Menteri Melaka akan merasmikannya di Hotel Century Mahkota, Banda Hilir, Melaka pada 26 Januari 2006, jam 9.00 pagi. Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) mensasarkan seminar sejuta pantun ini sebagai antara aktiviti dan budaya fikir setempat yang harus dilaksanakan untuk suatu lencongan aktiviti pendigitalan alam pemikiran Melayu, dengan harapan dapat menghasilkan rasa tanggungjawab para pemimpin dan rakyat di negeri Melaka untuk tidak mengabaikan budaya dan warisan nenek moyang kita.

Penghasilan pantun-pantun yang terbit dari seminar ini, akan dijadikan satu titik tolak ke arah pengumpulan sejuta pantun yang akan dibukukan untuk rujukan sepanjang zaman. Saya percaya, dalam zaman globalisasi dan teknologi maklumat ini, bangsa Malaysia memerlukan tunjang seni sebagai santapan jiwa dan menjadi teras dalam sosiobudaya rakyat.

Contoh pantun:

Sayang cendawan tumbuh serumpun,
Hidup melata di dalam taman;
Dalam zaman pesat membangun;
Budaya kita dilupa jangan.

Air jernih sajaknya landai,
Jalan raya titian batu,
Berunding cerdik dengan pandai,;
Faham dua menjadi satu..


Pisau raut di bongkok hulu,
Bentang tilam tengah halaman,
Pasir dan laut menjadi guru,
Alam terbentang menjadi pedoman .

Kemuning di tengah balai,
Bertumbuh semakin tinggi,
Berunding dengan orang tak pandai,
Sebagai alu pengcungkil duri.

Monday, January 23, 2006

Ibu


Melihat wajah-wajah comel dan ceria ini, teringat aku tentang emak.

Ibu...
bila saja kusebut namamu
air mata ini pasti mengalir
tanpa dapat kutahan-tahan
sebak dadaku hanya Tuhan ngerti

Ibu...
tidak sempat rupanya
anakmu ini menatap wajahmu
walau untuk kali terakhir
pada hari-hari kau mengadap Illahi

Aku
cuba mencari kesalahan diri
aku
cuba mengertikan situasi itu
aku tiada untuk sama-sama menangisi ibu

Walau Bangkok terlalu jauh
namun kugagah hati pulang
dengan harapan melihat wajahmu ibu

namun
sudah suratan Illahi
wajah tua yang amat aku sayang
tidak juga dapat aku dakap
untuk terakhir kalinya

Tuesday, January 17, 2006

Kawan

Seorang kawan dari Medan, Sumatera Utara menghantar SMS kepada aku pagi tadi. Tengku Mira Sinar. Orangnya cantik, peramah dan masih solo. Tiba di Melaka semalam dan akan pulang ke Medan semula esok. Kesian dia, sebab aku tidak dapat berjumpa dengan dia. Aku juga sudah balas SMS yang dia hantar. Tapi, tulah, pesanan aku tu tak sampai agaknya. Aduh! Bagaimana rasanya kalau aku berada di tempat dia. Tentu sekali aku kecewa. Kesibukan tugas harian di pejabat mahupun mengurus anak-anak membuatkan aku kepenatan. Aku masih mencuba untuk mengurusi masa aku dengan lebih baik.

Monday, January 16, 2006

Masa

Kehidupan...
adalah seperti sebuah lakonan
manusia itu adalah pelakon-pelakon
aku juga adalah pelakon
dalam pentas tersendiri

Lakonan aku semakin hari semakin bagus
lalu aku ilhamkan kesemua lakonan terbaik aku
dalam sebuah illustrasi
menjadi bacaan pelakon lainnya
buat panduan dan renungan

Seperti Isnin yang mampir
adalah sebuah kemalasan yang bermaharajalela
dalam diari hidup seorang pelakon
yang bergelar manusia
seperti aku

Friday, January 13, 2006

Buku keempat aku. Lima Sekawan Di Bukit Botak.
Lima sekawan iaitu Mamat, Panjang, Daud, Farid dan Rashid ke Bukit Botak setelah rancangan untuk ke Taman Negara tidak dapat dijalankan. Mereka ke sana dengan menggunakan helikopter Pak Cik Bakar kerana jalan darat agar sukar. Di Bukit Botak, mereka menginap di sebuah banglo lama tetapi dijaga dengan baik oleh Pak Tua. Pak Tua menceritakan setiap malam terdengar bunyi seperti pokok tumbang di sekeliling bukit tersebut, tetapi Pak Tua tidak tahu apakah sebenarnya yang terjadi. Pada waktu siang pula di sekitar bukit tersebut senyap sunyi kerana bukit tersebut dikelilingi hutan tebal. Lima sekawan ingin mengetahui kejadian sebenar. Apakah yang mereka temui? Bagaimana mereka menyelesaikan masalah yang selama ini tidak dapat dikesan oleh pihak polis? Sertailah lima sekawan bercuti sambil membongkar misteri Bukit Botak.
Kalau ada kesempatan, dapatkan buku aku ini di kedai-kedai buku berhampiran atau lawatlah ke gerai Dawama. Buku bacaan ringan ini sesuai untuk kanak-kanak yang gemarkan adventure. Mungkin aku akan jadikan ia novel bersiri!!! Tapi tak pasti bila nak mula berimaginasi...


Wanita Misteri

Pagi nie, aku terlewat bangun. Jadi, tidak sempatlah aku masak untuk lunch suami dan anak-anak. Semalam aku sempat buatkan kek pisang untuk keluarga. Balik cuti raya hari tu, aku bawa balik sesikat pisang dari kampung. Jam 12.00 malam semalam baru kek aku siap. Masa tu, anak-anak dah lama dibuai mimpi.
Adibah terlewat lagi sampai ke sekolah tepat pada waktunya. Tiba di pagar sekolah sudah jam 7.30 pagi. Kasihan dia? Pagi nie juga, hati aku sakit bila sebuah kereta mercedes silver, pemandunya wanita, punyalah berlagak masa bawa kereta. Mentang-mentanglah aku bawa kancil, dia ingat aku takut. Akhirnya, kancil aku dapat memencung kereta besar dia tu. Taulah nak cepat, kita pun nak cepat, semua orang nak cepat. Itu sebabnya Tuhan bagi kita masa 24 jam. Masa tu cukup, cuma manusia nie tak pernah hargai masa. Selalu aje buang-buang masa begitu sahaja.
Cerita pasal buang masa, aku pun dah beberapa minggu membuang masa. Sejak novel baru aku siap, aku langsung tidak lagi mengadap depan komputer. Beban yang aku rasa sejak beberapa minggu menyiapkan Wajah Rahsia, adalah sebuah cabaran yang amat besar. Aku tidak akan melakukannya lagi, jika diminta. Menyesal rasanya kerana tidak menggunakan masa dengan bijak. Jika tidak, rasanya novel itu lebih baik daripada yang ada sekarang. Walau bagaimanapun, alhamduliallah kerana suami banyak membantu. Aku tiba-tiba tersedar daripada lena yang panjang. Tuhan telah kejutkan aku. Aku akan kembali menyinari dunia penulisan yang telah lama aku buang daripada diari hidup aku. Aku sedar bahawa anugerah Tuhan itu tidak harus aku sia-siakan.

Thursday, January 12, 2006

Wajah Rahsia

Semalam aku terima email Raihan, kawan baik semasa di ITM. Cemburu juga bila dia sudah berjaya untuk semester pertama. Aku bila lagi? Tidak mengapa yang penting, aku kena teruskan dengan apa yang sedang aku lakukan. Tuhan itu maha kaya. Kita selalu ingat rumput hijau yang di sebelah rumah jiran kita lebih baik daripada rumput hijau di rumah kita, sedangkan itulah yang terbaik yang Tuhan berikan untuk umatNYA. Alhamduliallah, aku bersyukur.
Semalam juga, aku terima cek dari DBP. Bayaran royalti bagi novel keempat aku Lima Sekawan Di Bukit Botak. Penantian aku selama ini akhirnya membuahkan kejayaan. Mungkin juga wajah 2006 adalah wajah seri aku setelah menyepi begitu lama.