Tuesday, December 20, 2011

SEBUAH CATATAN BUAT AYAH BONDA

Terkesima menekuni sajak-sajak hasilan karya Dr Siti Zaiton Ismail,maka aku mencabar diriku menukilkan sebuah puisi khusus buat kedua-dua ayahanda dan bonda yang telah banyak memberi inspirasi untuk aku meneruskan kehidupan hari ini. Semoga ayah bonda sentiasa aman dan ditempatkan bersama-orang orang beriman. Amin.



Ku pijak kakiku perlahan
Di atas lantai serambi rumah Melaka
Lalu kenangan pun muncul kembali
Zaman kecil bersama bonda
Zaman dewasa bersama ayahanda

Sewaktu ku cuba lelapkan mata
Di atas lantai beralaskan lembik
Ingatan-ingatan pilu menerawang
Sewaktu ayahanda terlantar lesu
Di atas lembik menanti waktu
Hatiku pilu tidak terperi

Seluruh maya pada bagaikan bersuara
Teratak bonda mesti ku pelihara
Teratak ayahanda jangan kau robohkan
Biar jasad tidak bersama
Namun bayangnya mekar sentiasa
Di segenap ruang di setiap sudut

Hanita Hassan
19 Disember 2011

PENULISAN KREATIF & KREATIS




Sudah beberapa hari setelah kursus penulisan kreatif dan kreatis yang dianjurkan oleh IPM berlalu dan sudah beberapa hari juga, hatiku meronta-ronta mahu menukilkan sesuatu tentang topik yang hangat dibincangkan di dalam setiap bengkel yang hanya disertai oleh lebih kurang 20 peserta itu.

Sayangnya waktu itu amat terhad kerna ada sebuah skrip yang harus kusudahkan sebelum menjelang 31 Disember ini. Semakin ku kira masa yang berdetik, semakin pantas ia meninggalkan aku. Insya-Allah skrip filem itu bakal siap dalam dua tiga hari lagi. Semoga paparan yang kusampaikan melalui skrip itu dapat membantu masyarakat mengurus keadaan hidup mereka pada hari ini.

Aku bersyukur kerana ditemukan dengan seseorang yang kukira banyak memberi tips dalam melukis dan menghasilkan lukisan yang baik. Alhamdulillah dan ucapan terima kasih buat teman baru yang ku kira seperti adik-adik yang tidak lokek berkongsi ilmu dunia melukis dengan aku yang baru berjinak-jinak dalam dunia itu.

Terima kasih kepada rakan-rakan IPM yang bekerja keras mengatur dan merencakan program penulisan tempoh hari. Hanya Allah sahaja yang membalas jasa semua.