Saturday, November 24, 2012

NOVEL UNTUK SAYEMBARA

Rembang senja mula kelihatan menutup siang yang singkat dan malam yang panjang. Malam yang panjang itu adalah nikmat masa yang perlu kupenuhi untuk menyiapkan sebuah novel untuk sebuah sayembara. Mengira-ngira hari dan berperang dengan diri sendiri, suatu hal yang harus kuakui perlu kutempoh sepanjang tempoh penulisan.

Apapun, aku harus siapkan mengikut tarikh yang tertera di borang penyertaan. Aku percaya menang atau kalah itu sudah tersurat. Tapi jika tidak kusudahkan penulisan yang setengah jalan ini, sudah pasti yang tersurat itupun tidak mungkin kuperolehi.

Inilah jalan yang kupilih. Aku perlu akur dan selalu muhasabah diri. Itulah dugaan untuk menulis. Apatah lagi anak-anak sedang cuti sekolah, banyak gangguan namun kujadikan semuanya inspirasi untuk novel yang baru sahaja bermula dan perlu kuselesaikan sebelum pertengahan disember ini. Moga Allah memberi jalan dan merestui aku. Amin.

Salam karyawan dan selamat berimaginasi.

Saturday, November 17, 2012

CUTI SEKOLAH

Rasanya baru semalam anak-anak menghumbankan beg-beg sekolah masing-masing di celah katil, membiarkan kasut-kasut mereka tidak berbasuh tersadai di tepi rak kasut, merengek-rengak mahu pergi bercuti, tersasul-sasul juga aku dan suami mahu menjawab pertanyaan anak-anak, dan semua itu sudah seminggu berlalu sejak sekolah ditutup. Banyak perkara yang sedang dirancang, namun terasa masa itu cukup pantas berlalu. Pejam celik, aku cuma punya beberapa hari sahaja untuk menyelesaikan novel yang belum lagi kutulis tetapi sudah banyak yang bermain di minda. Terasa beban juga. Namun, kukira untuk berjaya kita perlu memaksa diri untuk membuat sebaik mungkin kerana hanya kita sahaja yang tahu kebolehan dan kelebihan diri kita, bukan orang lain.

Alhamdulillah sebuah skrip adaptasi dari novel ke drama anjuran DBP sudah selamat kuhantar. Kukira telah membuat yang terbaik. Aku harap mendapat perhatian panel hakim dan penilai. Sementara menunggu jawapannya, ada banyak lagi karya yang sedang kugarap. Kuharap, dengan sembuhnya aku dari demam yang panjang ini, akan memberi suatu inspirasi baru dalam menghasilkan karya.

Selamat berkarya wahai karyawan di luar sana.