"Setiap karya atau setiap ciptaan sebenarnya adalah jawapan seorang seniman terhadap peristiwa yang ditempuhinya," petikan kata-kata A.Samad Said.
Aku percaya dengan frasa itu kerana aku sendiri adalah seorang penulis novel. Mungkin ada sesetengah penulis berkata, karya yang dihasilkan cuma khayalannya, tetapi aku yakin, karya-karya yang terhasil, sudah pasti mempunyai watak-watak sebenar yang digambarkan melalui dunia realiti. Cuma ada penulis yang terlalu realistik yang mahu watak-watak yang diciptanya lebih ideal sehingga menokok tambah dengan berlebih-lebihan.
Apabila pertama kali aku menatap wajah tokoh tersohor dalam bidangnya itu, aku terasa seperti aku sedang melihat diriku sendiri yang berada di dalam diri penulis itu. Dadaku tiba-tiba sebak. Entah kenapa, aku sendiri tidak ketahui akan perasaanku sendiri ketika itu. Janggut yang menutupi dadanya, agak menyerabutkan mata yang memandang. Begitu juga dengan misainya yang tebal, berwarna putih seperti kapas dan tidak terjaga. Wajahnya comel dengan cermin mata kecil tidak menampakkan usianya yang sebenar.
Tiada ungkapan untuk aku suarakan apabila menatap wajah beliau. Mungkin juga kerana aku terasa begitu kerdil kerana aku hanyalah di antara beribu penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Tetapi, aku pasti, aku juga akan menjadi seperti beliau suatu hari nanti.
Aku doakan semoga Datuk A.Samad Said sihat dan dapat menulis lebih banyak karya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka, untuk membantu beliau dengan memberi dana berjumlah RM450,000 untuk jangka waktu tiga tahun bagi menghasilkan karya-karya bermutu untuk rakyat negeri Melaka. Negeri Melaka walaupun kecil tetapi hatinya besar. Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebenarnya amat prihatin dengan kebolehan anak negerinya. Aku percaya, dengan cara ini, A.Samad Said akan lebih rapat dengan negeri Melaka dan seluruh warganya. Insya-Allah.
Antara novel A.Samad Said:
Salina
Daerah Zeni
Hujan Pagi
Sungai Mengalir Lesu
Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri
Adik Datang
Keledang
Di Hadapan Pulau
Ke Mana Terbangnya
Menguliti karya-karya ASS, bakat beliau menulis dalam pelbagai genre, namun melalui novel, telah menjulang nama ASS terutama dalam Salina, Hujan Pagi, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri dan Sungai Mengalir Lesu.
Gaya tulisannya naturalis - semuanya ditulis, yang tidak baik pun ditulis tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan. Beliau juga adalah penulis yang terlalu merincikan setiap perlukisan watak sehinggakan watak itu berada seperti di depan mata dan hati pembaca di dalam bab-bab yang ditulisnya.
No comments:
Post a Comment