Monday, February 27, 2006

Kabur

Sudah agak lama jari-jari saya tidak menekan komputer untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Terasa rindu, tetapi tidak tahu apakah yang harus saya tulis. Walaupun banyak yang ingin saya lontarkan, tetapi buat masa ini semuanya kabur.

Thursday, February 16, 2006

Resepi Sup Ayam





Setiap pagi, bila terjaga dari tidur, aku akan ke dapur untuk menyediakan minum pagi dan memasak untuk makan tengah hari. Itulah rutin hidup aku sejak anak-anak mula memasuki alam persekolahan. Walaupun penat, tetapi apabila menyaksikan keletah mereka, aku jadi terhibur terutama si kecil Adam yang baru berusia 1 tahun 3 bulan hari ini. Hari ini, aku masak sup ayam. Resepi ini baru dicipta semalam. Aku sedang dalam usaha membantu Biro Wanita DMDI menyiapkan sebuah buku resepi. Insya-Allah akan diterbitkan tahun ini. Kepada sesiapa yang berminat, boleh mencuba resepi ini.

Sup Ayam

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (dibersihkan, dipotong dan diperapkan 5 – 10 minit dengan campuran kicap, halia kisar, garam dan serbuk perasa)
1 sudu kicap cair, garam & serbuk perasa
2 sudu minyak masak
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 biji bawang besar - dimayang
3 ulas bawang putih – dihiris halus
2.5 cm halia (dikikis kulitnya, sebahagiannya ditumbuk halus dan digaul ke atas ayam yang dipotong dan selebihnya dihiris untuk tumisan)
Air masak mengikut hidangan
250 gm ubi kentang (dipotong dadu)
Bawang merah goreng
1 batang lobak merah (dihiris menyerong)
Lada hijau (dihiris menyerong)
2 tangkai daun sup (dicincang halus)
1 tangkai daun bawang (dicincang halus)

Cara-cara menyediakannya:
Pijarkan minyak di atas api yang sederhana dan masukkan rempah-rempah kering. Tumis selama 1-2 minit, kemudian masukkan bawang besar yang dimayang, bawang putih & halia yang dihilis hingga layu. Masukkan ayam yang telah diperap, besarkan api dan goreng hingga rata kuningnya. Kemudian masukkan air. Didihkan ayam 10 – 15 minit dengan mengacaunya sekali-sekala. Setelah ayam masak, masukkan kentang yang telah dipotong dadu, biarkan empuk. Kemudian masukkan lada hijau dan lobak merah. Bubuhkan garam dan serbuk perasa dan sesuaikan rasanya. Padamkan api dan hidangkan panas-panas. Taburkan atasnya dengan bawang merah goreng, daun bawang & daun sup yang telah dihiris halus ketika hendak dihidangkan.

Selamat mencuba.

Tuesday, February 14, 2006

Seminar International Perempuan

Seminar International Perempuan akan berlangsung di Sahid Jaya Hotel, Jakarta, Indonesia. Sayang sekali, aku tidak mampu untuk ikut sama buat masa ini. Aku cuma pernah menjejak kaki di lapangan terbang Sukarno Hatta saje. Masih segar dalam ingatan aku, pada tahun 2001, aku, suami dan Adibah (anak sulung) ketika itu berumur 20 bulan, transit di lapangan terbang ini sebelum mengambil penerbangan ke Palembang, Sumatera Selatan. Sedikit sebanyak, aku sudah ada gambaran mengenai keadaan di sana.


Walaupun tidak ikut serta, tetapi aku terpaksa juga menyiapkan ucapan-ucapan Ketua Menteri (dua dari lima ucapannya) pada beberapa pertemuan di Jakarta. Semoga seminar ini sukses.

Thursday, February 09, 2006

Penggunaan Bahasa Inggeris

Sudah agak lama aku tidak menulis di laman ini. Memang rindu tetapi ketiadaan masa yang sesuai membuatkan ia terbiar. Aku sedang punyai banyak projek. Novel-novel aku yang tergendala, sedang aku edit.

Pagi tadi, semasa dalam perjalanan menghantar anak-anak, aku berbual dengan Adibah (anak sulung). Dia bercerita kepada aku tentang salah seorang pelajar kelasnya yang tidak tahu berbahasa Melayu. Nama dia Danial Hakimi. Dia kata, kawan dia tu tak faham bila bercakap dalam bahasa Melayu. Adibah juga kata, budak itu bukan orang Melayu, tetapi orang Inggeris. Aku tersenyum. Hai...macam nielah orang kita, terlalu agungkan bahasa penjajah hinggakan terlupa bahawa bahasa ibunda itu amat penting. Walaupun dunia globalisasi memerlukan bahasa Inggeris, tetapi jika kita sebagai pemegang tradisi itu tidak mahu mengamalkannya lagi, siapa lagi?

Aku tanya Adibah, macam mana awak bercakap dengan dia? Kata Adibah, "Kak Long cakap bahasa Inggeris dengan Danial, baru dia faham." Oh...rupanya anak dah pandai cakap bahasa Inggeris. Aku tersenyum lagi.

Thursday, February 02, 2006

Pemikiran Sasterawan Negara A.Samad Said

"Setiap karya atau setiap ciptaan sebenarnya adalah jawapan seorang seniman terhadap peristiwa yang ditempuhinya," petikan kata-kata A.Samad Said.

Aku percaya dengan frasa itu kerana aku sendiri adalah seorang penulis novel. Mungkin ada sesetengah penulis berkata, karya yang dihasilkan cuma khayalannya, tetapi aku yakin, karya-karya yang terhasil, sudah pasti mempunyai watak-watak sebenar yang digambarkan melalui dunia realiti. Cuma ada penulis yang terlalu realistik yang mahu watak-watak yang diciptanya lebih ideal sehingga menokok tambah dengan berlebih-lebihan.

Apabila pertama kali aku menatap wajah tokoh tersohor dalam bidangnya itu, aku terasa seperti aku sedang melihat diriku sendiri yang berada di dalam diri penulis itu. Dadaku tiba-tiba sebak. Entah kenapa, aku sendiri tidak ketahui akan perasaanku sendiri ketika itu. Janggut yang menutupi dadanya, agak menyerabutkan mata yang memandang. Begitu juga dengan misainya yang tebal, berwarna putih seperti kapas dan tidak terjaga. Wajahnya comel dengan cermin mata kecil tidak menampakkan usianya yang sebenar.

Tiada ungkapan untuk aku suarakan apabila menatap wajah beliau. Mungkin juga kerana aku terasa begitu kerdil kerana aku hanyalah di antara beribu penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Tetapi, aku pasti, aku juga akan menjadi seperti beliau suatu hari nanti.

Aku doakan semoga Datuk A.Samad Said sihat dan dapat menulis lebih banyak karya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka, untuk membantu beliau dengan memberi dana berjumlah RM450,000 untuk jangka waktu tiga tahun bagi menghasilkan karya-karya bermutu untuk rakyat negeri Melaka. Negeri Melaka walaupun kecil tetapi hatinya besar. Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebenarnya amat prihatin dengan kebolehan anak negerinya. Aku percaya, dengan cara ini, A.Samad Said akan lebih rapat dengan negeri Melaka dan seluruh warganya. Insya-Allah.


Antara novel A.Samad Said:
Salina
Daerah Zeni
Hujan Pagi
Sungai Mengalir Lesu
Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri
Adik Datang
Keledang
Di Hadapan Pulau
Ke Mana Terbangnya

Menguliti karya-karya ASS, bakat beliau menulis dalam pelbagai genre, namun melalui novel, telah menjulang nama ASS terutama dalam Salina, Hujan Pagi, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri dan Sungai Mengalir Lesu.

Gaya tulisannya naturalis - semuanya ditulis, yang tidak baik pun ditulis tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan. Beliau juga adalah penulis yang terlalu merincikan setiap perlukisan watak sehinggakan watak itu berada seperti di depan mata dan hati pembaca di dalam bab-bab yang ditulisnya.