Thursday, September 23, 2010

WARNA-WARNI KEHIDUPAN






Alunan lagu Sepasang Kurung Biru mengiringi halwa telinga ketika ini. Seronok mendengar alunannya yang lembut dan syahdu. Aku seperti terbang dalam bait-bait senikatanya. Seketika, pabila kupandang sekeliling, suami dan anak-anak sudah lelap dibuai mimpi (mungkin).

Dalam kedinginan malam, aku teringatkan seorang rakan akrab yang menetap nun jauh di Selatan tanahair yang kini sedang berperang dengan dugaan Allah swt. Semoga segala dugaan dan cabaran yang diberikan Allah itu diterima dengan reda dan hati yang terbuka. Aku percaya DIA tidak akan menguji hamba-NYA jika DIA tahu hamba-NYA itu tidak dapat mengatasi dugaan itu. Setiap ujian itu pasti ada sesuatu yang ingin diberikan. Wallahualam. Semoga cepat sembuh wahai temanku.

Semalam,banyak coretan telah kutulis tetapi hilang kerana tidak sempat untuk ku kirim ke ruangan ini sebelum semuanya hilang. Ah...seperti yang kucoret di atas, apa yang terjadi semuanya ada hikmahnya. Pasti dan aku percaya.

Malam semalam ketika aku sedang menghadiri satu seminar, sebuah kiriman sms masuk ke dalam kotak mesej. Segera kubaca. Aku langsung tidak marah dengan si pengirim sms meskipun ayat-ayat yang dihamburnya berbau amarah yang teramat sangat. Berkata aku di dalam hati, 'rupa-rupanya manusia ini kalau tidak kawal emosi, semua yang dilakukan dalam hidupnya tidak mungkin akan menjadi dengan baik'. Kata seorang pakar motivasi terkenal, kejayaan dalam hidup hanya boleh dilaksana jika seseorang itu berjaya mengawal emosi. Sentiasa berfikiran positif.

Aku sentiasa percaya bahawa hati dan minda harus berfikir secara selari. Jika hati bercakap lain, minda berfikir lain, sudah tentu tidak ada magik yang boleh berlaku dalam hidup ini.

Abah semakin sihat meskipun masih perlu ditolong jika mahu bergerak. Terasa dadaku lapang menerima ujian ini. Melihat abah aku teringat masa aku di sekoleh rendah dahulu ketika abah ambil aku dari sekolah menaiki basikal tuanya. Aku yang kecil molek ini duduk di bahagian palang basikal. Ketika itu abah masih kuat. Peluh abah menitik macam air bah tetapi abah tetap tidak pernah mengeluh penat. Ketika aku diajar membaca, aku pernah dipukul abah dengan getah paip, dan buku laporan peperiksaan aku dibakar abah kerana aku tidak lulus matapelajaran tertentu. Semua itu adalah nostalgia yang aku tidak akan lupakan kerana tanpa usaha abah itu, tidak mngkin aku boleh masuk universiti, bekerja bergaji besar, kemudian menjadi penulis dan kini sudah boleh berdikari memulakan perniagaan sendiri.

Alhamdulillah, aku doakan agar abah sentiasa sihat dan dapat melihat kejayaan anaknya ini dan bergembira melihat cucu-cucunya.

Tuesday, September 21, 2010

Salam Aidilfitri dan Salam Lebaran buat semua.

Malam ini, jika dicongak-congak, sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah diraikan seluruh umat Islam selama 12 hari. Itu tandanya tinggal dua minggu lagi Aidilfitri akan melabuhkan tirainya. Maka berlumba-lumba teman-teman dan sanak taulan yang membuat'rumah terbuka'. Bila sudah terlebih makan, badan naik mendadak sedangkan sewaktu Ramadhan, berat badan susut beberapa kilo. Itulah bahana makan berlebihan.

Terasa cepatnya waktu berlalu sedangkan banyak lagi rumah sanak-saudara serta teman dan taulan yang belum sempat kukunjungi. Hampir dua minggu beraya, banyak rumah telah aku sekeluarga lawati.

Moga tali silaturrahim bertambah kukuh di bulan raya ini. Amin.

Sunday, September 05, 2010

Sepasang Kurung Biru



Nyaman halwa telinga tatkala mendengar alunan lagu ini. Maka bersempena dengan kehadiran Syawal ini, sempat kukongsikan lagu Sepasang Kurung Biru untuk menemani semua tatkala sibuk membuat persiapan Aidilfitri.

Waktu yang berlalu bagaikan tidak terasa. Macam baharu sahaja semalam anak-anak seronok kerana mahu menyambut Ramadhan, bersahur dan berbuka. Ketika aku menulis di laman ini, tinggal beberapa hari sahaja lagi Syawal akan menjelma.

Tahun ini, keadaan berbeza kerana aku punya banyak waktu untuk Ramadhan, berterawih bersama suami dan anak-anak, berbuka bersama anak-anak yang kurang bernasib baik, paling seronok kerana tidak perlu mengemas rumah sendirian. Anak-anak rupanya sudah semakin membesar. Banyak kerja rumah telah dapat mereka laksanakan dengan baik dan sempurna dengan arahan daripada aku (mamanya). Rupanya selama ini aku sahaja yang tidak sedar akan hal itu.

Rumah sudah dikemas dengan sempurna. Baju-baju raya anak-anak sudah digantung di almari, cuma tunggu untuk disarung di pagi raya. Kasut anak-anak meronta-ronta mahu disarung, cuma belum tiba masanya. Beg dompet anak-anak juga sudah tersedia untuk menerima duit raya.

Terasa sangat Ramadhan akan meninggalkan aku sekeluarga dan seluruh umat Islam. Hangat Syawal juga semakin terasa. Kuih raya tidak perlu dibeli kerana aku sendiri adalah pembekal kuih raya. Malah, emak mertua pula yang membekalkan kuih-kuih tradisional untuk aku.

Semalam selepas berbuka dengan keluarga suami, emak mertua kata raya ini beberapa ekor ayam kampung peliharaannya akan disembelih. Khusus untuk menjamu tetamu di Hari Raya nanti. Masakan kari ayam kampung emak mertua memang tiada tandingannya. Sudah acapkali aku cuba memasak menu yang sama menggunakan semua ilmu yang diajar oleh mertua, namun rasanya memang jauh berbeza. Air tangan emak memang sedapkan.

Ah...terkadang rindu dengan arwah mak yang telah lama meninggalkan aku tujuh beradik. Masak asam pedas emak paling aku suka. Kini bukan aku sahaja 'lovers' masak asam pedas, malah anak kecilku yang berumur enam tahun adalah peminat nombor wahid. Ada juga pewaris dalam keluarga yang gemarkan masakan yang sama.

Semalam petang, sempat kuhiburkan hati setelah mengemas rumah dengan menonton tayangan filem 'Ayat-ayat Cinta'. Ah...sungguh bagus ceritanya sehingga aku mengalirkan air mata. Jalan ceritanya lengkap, syahdu, penuh dengan cinta, konflik dan sebagainya. Di dalam hatiku berkata, 'patutlah novel ini jadi novel 'best seller' bukan sahaja di Indonesia tetapi di banyak negara termasuk Malaysia. Semalam juga sewaktu aku mengemas almari buku, sebuah novel berjudul 'Adam dan Hawa' yang dibeli adik aku tatapi di bahagian halaman judul. Kulihat novel itu sudah diulang cetak 15 kali sejak diterbitkan tahun 2006.

Penulis yang menulis buku best seller biasanya buat banyak research dan merangka penulisannya dengan teliti untuk menghasilkan sebuah novel yang sangat hebat. Tetapi pada aku, kehebatan sesebuah novel itu hanya diukur oleh pembaca sendiri. Ada juga novel yang bagus, tetapi hanya terselit di celah-celah rak tanpa dipedulikan. Semuanya itu sebenarnya rezeki dari Allah swt. Hanya kita yang perlu yakin akan segala kejadian yang berlaku ke atas diri kita.

Semalam juga timbul semangat yang membuak-buak mahu menulis sesuatu yang melankolik dan membuai perasaan. Sudah agak lama tidak menulis cerita cinta. Banyak yang ingin kucoret di waktu ini, namun ada manuskrip yang tidak siap yang perlu kuselesaikan. Janji harus kutunaikan. Kuharap manuskrip itu akan siap sebelum raya menjelma.

Buku Adli di Alam Fantasi sudah kuperolehi. Terasa teruja menatap kulit buku yang amat indah dan mempesonakan itu. Alhamdulillah wajah 2010 yang sudah sampai ke penghujungnya ini telah memberi kekuatan untuk aku menghasilkan lebih banyak nukilan perasaan setelah dua buah novel diterbitkan. Insya-Allah, aku berdoa kepada Allah moga sentiasa sihat, dan dilapangkan fikiran untuk terus menulis. Semoga semua penulis di luar sana juga terus menulis untuk bangsa Malaysia yang sangat memerlukan bahan bacaan yang luar biasa.

Selamat Hari Raya.