Thursday, September 23, 2010

WARNA-WARNI KEHIDUPAN






Alunan lagu Sepasang Kurung Biru mengiringi halwa telinga ketika ini. Seronok mendengar alunannya yang lembut dan syahdu. Aku seperti terbang dalam bait-bait senikatanya. Seketika, pabila kupandang sekeliling, suami dan anak-anak sudah lelap dibuai mimpi (mungkin).

Dalam kedinginan malam, aku teringatkan seorang rakan akrab yang menetap nun jauh di Selatan tanahair yang kini sedang berperang dengan dugaan Allah swt. Semoga segala dugaan dan cabaran yang diberikan Allah itu diterima dengan reda dan hati yang terbuka. Aku percaya DIA tidak akan menguji hamba-NYA jika DIA tahu hamba-NYA itu tidak dapat mengatasi dugaan itu. Setiap ujian itu pasti ada sesuatu yang ingin diberikan. Wallahualam. Semoga cepat sembuh wahai temanku.

Semalam,banyak coretan telah kutulis tetapi hilang kerana tidak sempat untuk ku kirim ke ruangan ini sebelum semuanya hilang. Ah...seperti yang kucoret di atas, apa yang terjadi semuanya ada hikmahnya. Pasti dan aku percaya.

Malam semalam ketika aku sedang menghadiri satu seminar, sebuah kiriman sms masuk ke dalam kotak mesej. Segera kubaca. Aku langsung tidak marah dengan si pengirim sms meskipun ayat-ayat yang dihamburnya berbau amarah yang teramat sangat. Berkata aku di dalam hati, 'rupa-rupanya manusia ini kalau tidak kawal emosi, semua yang dilakukan dalam hidupnya tidak mungkin akan menjadi dengan baik'. Kata seorang pakar motivasi terkenal, kejayaan dalam hidup hanya boleh dilaksana jika seseorang itu berjaya mengawal emosi. Sentiasa berfikiran positif.

Aku sentiasa percaya bahawa hati dan minda harus berfikir secara selari. Jika hati bercakap lain, minda berfikir lain, sudah tentu tidak ada magik yang boleh berlaku dalam hidup ini.

Abah semakin sihat meskipun masih perlu ditolong jika mahu bergerak. Terasa dadaku lapang menerima ujian ini. Melihat abah aku teringat masa aku di sekoleh rendah dahulu ketika abah ambil aku dari sekolah menaiki basikal tuanya. Aku yang kecil molek ini duduk di bahagian palang basikal. Ketika itu abah masih kuat. Peluh abah menitik macam air bah tetapi abah tetap tidak pernah mengeluh penat. Ketika aku diajar membaca, aku pernah dipukul abah dengan getah paip, dan buku laporan peperiksaan aku dibakar abah kerana aku tidak lulus matapelajaran tertentu. Semua itu adalah nostalgia yang aku tidak akan lupakan kerana tanpa usaha abah itu, tidak mngkin aku boleh masuk universiti, bekerja bergaji besar, kemudian menjadi penulis dan kini sudah boleh berdikari memulakan perniagaan sendiri.

Alhamdulillah, aku doakan agar abah sentiasa sihat dan dapat melihat kejayaan anaknya ini dan bergembira melihat cucu-cucunya.

No comments: