Saturday, October 13, 2012
ULASAN PANEL PENILAI SAYEMBARA NOVEL SEJARAH JOHOR IV
OMBAK DENDAM TANAH SELATAN
TEMPAT KEDUA
Kisah Raja Kecil pada awal abad ke-18, dan campur tangan Bugis dalam kesultanan Johor-Riau Lingga dipaparkan dalam novel Ombak Dendam Tanah Selatan. Pergolakan dalam Kerajaan Johor-Riau Lingga dipaparkan sangat dramatik dengan gambaran sejarah yang 'pekat' melalui seni penukangan fiksyen yang artistik. Bahasanya lancar sehingga dapat memberikan gambaran tentang pergolakan peristiwa dan gambaran watak yang dramatik. Sikap pengarang objektif, iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak, sama ada Raja Kecil, Bendahara Tun Abdul Jalil mahupun pihak Bugis Lima Bersaudara. Kesemuanya diberi ruang bersuara dan menyampaikan idealisme masing-masing. Ini merupakan teknik pensejarahan yang adil. Sejarah kemasukan orang Bugis dalam sejarah kesultanan Johor dapat diikuti dengan lebih mendalam apabila aspek manusiawinya dibentangkan melalui teknik pemaparan aliran bawah sedar di samping aksi dramatik yang hidup. Dialognya juga dapat memberikan nilai dramatik di samping memerihalkan perwatakannya. Semangat zaman juga dapat dinikmati melalui perincian gambaran budaya dan cara hidup masyarakat zaman itu.
1699: DESAH DARI SELATAN
TEMPAT KETIGA
Peristiwa pembunuhan Wan Anum (isteri Laksamana Megat Seri Rama) atas titah Sultan Mahmud Shah 11 kerana memakan seulas nangka milik sultan, telah menyebabkan Megat Seri Rama menderhaka dengan membunuh Sultan Mahmud sewaktu dijulang dalam perjalanan ke masjid. Kisah ini dipaparkan dalam novel 1699: Desah Dari Selatan. Peristiwa sejarah tersebut dihidupkan melalui aksi dramatik dan pendalaman batiniah watak-wataknya. Konflik batin watak-watak tersebut juga digambarkan dengan menarik seolah-olah wujud satu layar cerita di depan pembaca. Nilai sejarahnya juga terpelihara dengan baik walaupun banyak bumbu fiktif dimasukkan sebagai penyeri naratif sejarah. Hal ini menjadikan ceritanya bukan sahaja informatif, malahan hidup dan meruntun jiwa pembaca apabila sampai pada detik-detik yang menyedihkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment