Friday, September 30, 2016

MENCUNGKIL BAKAT MENULIS

Jika seseorang itu mulai sedar bahawa dia punya bakat untuk menulis, dan berminat untuk menceburi bidang penulisan secara serius, maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengambil sebatang pen dan kertas untuk mula menulis.

Sudah tentu timbul persoalan tentang apakah yang perlu ditulis. Maka sebagai orang baharu, buat permulaan, tulislah diari kehidupan yang berlaku kepada diri sendiri setiap hari. Tujuannya ialah untuk mengasuh diri menulis perkara yang benar yang berlaku di sekeliling kita sebelum berimaginasi kepada perkara yang lebih besar.

Selamat berkarya.


Thursday, September 29, 2016

BAKAT SEBAGAI PENULIS

Siapakah yang sejak lahir mengetahui bahawa dia mempunyai bakat istimewa. Bakat menulis, membuat pastri, bakat menjadi artis, pakar motivasi dan sebagainya. Aku tidak pernah tahu bahawa aku punya bakat menulis sehinggalah karya-karyaku diterbitkan.

Kalaulah manusia ini diberi kebenaran Allah SWT untuk melihat masa hadapan, mengetahui bakat yang kita ada, tidak mungkin kita boleh menghadapi kehidupan ini seperti adanya. Begitulah ketentuan Dia yang lebih mengetahui.

Begitulah manisnya melayari kehidupan sebagai penulis. Penuh suka duka pahit maung tetapi semua keperitan itu akan tertinggal jauh apabila saat manis itu mampir. Sabarlah faktor paling akrab untuk sang penulis menjiwai bakat yang dikurnia itu.

Jika dihitung, sudah lebih 20 tahun aku bergelumang dalam dunia indah ini. Pagi ini, aku terasa begitu rindu untuk menulis sejak sekian lama meninggalkan dunia ini dek kesibukan mengurus kehidupan dan keluarga.

Alhamdulillah, Allah SWT tidak pernah memberikan sesuatu kepada hamba-Nya jika Dia tahu hamba-Nya itu tidak boleh menerimanya. Rasanya sudah banyak yang diperap dalam kotak fikir untuk dimuntahkan. Banyak perancangan sedang diatur, aku berdoa agar Allah SWT merestui niat dan hasrat besar ini. Amin.


Wednesday, September 28, 2016

SELAMAT HARI LAHIR ANAKKU

Aku sepatutnya menulis entry ini lebih awal sebelum jam 09.14 pagi kerana 15 tahun lalu, seorang bayi lelaki dilahirkan. Alhamdulillah, bayi kecil itu hari ini meraikan ulang tahun yang ke 15. Aku doakan Muhammad Adib bin Ramly diberi keberkatan usia, menjadi anak yang soleh dan dapat menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan seluruh umat Islam. Amin.

Wednesday, September 07, 2016

UPSR dan Muhammad Adam

Sudah tiga hari peperiksaan besar buat murid-murid tahun enam berlangsung. Tinggal satu lagi kertas iaitu Sains. Sudah tiga hari juga Muhammad Adam menduduki peperiksaan penting itu. Tidak kira apa jua yang diperkatakan tentang peri pentingnya sesebuah peperiksaan itu, pada saya dan suami serta anak-anak lain, semua peperiksaan utama adalah penting. Itulah yang akan menjadi sejarah sepanjang kehidupan nanti.

Usaha mendapatkan keputusan cemerlang sebenarnya bukan terletak di bahu anak sahaja. Selain guru, ibu bapa adalah kunci kepada kejayaan anak. Beruntunglah saya dan suami kerana diberi kelapangan waktu dan kesihatan tubuh badan oleh Allah SWT untuk berada dekat dengan anak beberapa minggu sebelum peperiksaan dan sepanjang peperiksaan berlangsung. Dapatlah juga menurunkan serba sedikit ilmu yang ada.

Semoga Muhammad Adam dan kawan-kawannya di Kelas 6 Kenangan mendapat keputusan yang baik dan menggembirakan hati semua. Insya-Allah, Amin.