Siapakah yang sejak lahir mengetahui bahawa dia mempunyai bakat istimewa. Bakat menulis, membuat pastri, bakat menjadi artis, pakar motivasi dan sebagainya. Aku tidak pernah tahu bahawa aku punya bakat menulis sehinggalah karya-karyaku diterbitkan.
Kalaulah manusia ini diberi kebenaran Allah SWT untuk melihat masa hadapan, mengetahui bakat yang kita ada, tidak mungkin kita boleh menghadapi kehidupan ini seperti adanya. Begitulah ketentuan Dia yang lebih mengetahui.
Begitulah manisnya melayari kehidupan sebagai penulis. Penuh suka duka pahit maung tetapi semua keperitan itu akan tertinggal jauh apabila saat manis itu mampir. Sabarlah faktor paling akrab untuk sang penulis menjiwai bakat yang dikurnia itu.
Jika dihitung, sudah lebih 20 tahun aku bergelumang dalam dunia indah ini. Pagi ini, aku terasa begitu rindu untuk menulis sejak sekian lama meninggalkan dunia ini dek kesibukan mengurus kehidupan dan keluarga.
Alhamdulillah, Allah SWT tidak pernah memberikan sesuatu kepada hamba-Nya jika Dia tahu hamba-Nya itu tidak boleh menerimanya. Rasanya sudah banyak yang diperap dalam kotak fikir untuk dimuntahkan. Banyak perancangan sedang diatur, aku berdoa agar Allah SWT merestui niat dan hasrat besar ini. Amin.
No comments:
Post a Comment