Monday, March 02, 2020

Meneroka Sebuah Pengalaman

NO


Pengalaman adalah pelajaran paling berharga dalam hidup setiap manusia. Manis atau pahit, duka mahupun ceria, semuanya mengandungi sesuatu yang boleh dipelajari jika seseorang itu melihat dari sisi yang berbeza daripada kelompok manusia biasa. Pengalaman adalah inti yang baik untuk seorang pengarang menulis sesebuah karya. Penulis besar seperti Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said juga menulis novel-novelnya berdasarkan pengalaman hidup. Dalam novel Salina, Sungai Mengalir Lesu atau dalam novelnya Hujan Pagi.

Membaca novel Raiha Bahaudin dalam Kunang Pesisir Morten, terlihat jelas akan pengalaman penulis. Berkisar tentang Morten 1984, ketika itu sungai Melaka adalah sebatang sungai yang kotor, dipenuhi sampah dan ketam lumpur, juga pemisah dua komuniti bangsa selama berdekad-dekad. Pengalaman zaman kecilnya telah mewujudkan watak-watak seperti Dhiya, seorang pemikir visual genius bersama-sama sahabatnya Adi dan Lim mengembara ke serata ceruk kota Melaka, menjadi usahawan kecil, meneroka indahnya dunia lukisan Monet dan menjejak pencuri berkaki ghaib.

Penulis yakin bahawa setiap kanak-kanak itu istimewa. Mereka perlu diasuh dengan baik supaya daya bijaksana yang ada dalam diri dapat dikeluarkan. Kepercayaan itulah telah menjadi kekuatan kepada Raiha Bahaudin menghasilkan sebuah watak yang serba tahu dan bijak menyelesaikan apa jua masalah meskipun dalam usianya baharu sembilan tahun. Tidak salah untuk membayangkan sebuah watak yang serba suci tanpa cacat cela, kerana pada akhirnya, penulislah yang menentukan apakah watak yang mahu dipaparkan untuk tatapan umum.

Bukan mudah untuk menulis, apatah lagi jika unsur baik itu mahu dijana bersama kisah yang digarap. Namun, tidak mustahil untuk dilakukan. Cerita yang direka tanpa pengalaman adalah cerita yang kosong tanpa jiwa. Untuk mendapatkan jiwa, selamilah setiap inci kehidupan manusia.

No comments: