Wednesday, November 22, 2006

SEL 2030

Aku agak terperanjat apabila menerima sebungkusan majalah dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan lewat sebulan lalu di hadapan porch rumahku. Waktu itu hujan lebat. Aku kebetulan tidak ada di rumah. Mungkin juga ada urusan bisnes. Encik Posmen telah mencampakkannya di tengah porch dengan harapan tidak basah dek hujan. Aku segera mencapai bungkusan itu. Agak terperanjat kerana tidak menjangka pihak DBPWS akan mengirimkan keluaran bulan itu kepada aku. Sedangkan aku kenal benar dengan kawan-kawan di sana. Mereka tidak perlu pos majalah itu. Biasanya dihantar terus apabila kawan-kawanku turun ke Melaka terus singgah ke pejabat. Setelah puas memikirkannya, aku menyelak helaian demi helaian Jendela Selatan itu. Rupa-rupanya, Cerpen aku yang telah kuhantar lewat bulan yang lalu tersiar di dalamnya. Alhamduliallah. Itulah ucapan dari mulutku. Jadi disebabkan blog aku ini begitu kosong dan menjemukan, maka aku sertakan cerpen itu untuk tatapan bersama.

Selamat membaca.


SEL 2030
oleh: HANITA BINTI HAJI HASSAN

Fikiranku kosong. Hatiku semakin membeku. Aku tidak tahu, apa lagi yang harus aku lakukan ketika ini, sedangkan landlover polis berwarna biru gelap yang akan membawa aku ke Penjara Wanita Kajang, telah pun tiba di perkarangan Balai Polis tempat aku dilokap. Aku masih menaruh harapan agar tidak dimasukkan ke sana, tempat di mana, segala jenis penjenayah wanita berada di dalamnya. Aku terus berdoa agar ada kelibat manusia-manusia yang memahami situasi yang berlaku ke atas diriku, datang memeluk erat diriku yang sedang duka nestapa, tanpa tempat bergantung. Datang membelai dan memujuk hatiku yang rawan dan nestapa. Aku pilu, aku keseorangan, aku kosong, beku dan terperangkap dalam diriku sendiri. Namun, siapa di belakang aku ketika aku begitu memerlukan mereka. Keluarga jauh sekali. Aku bagaikan sampah yang harus dibuang jauh-jauh daripada timbunannya agar bau busuknya tidak melekat di wajah mereka.

“Saya tak bersalah cik, sumpah saya tidak lakukannya?” Aku masih ingat lagi ketika dua polis wanita berbadan sasa singgah ke rumah pagi Jumaat itu. Pagi itulah, aku diheret ke balai polis atas laporan yang dibuat oleh anak-anak ibu tua yang aku rompak tiga hari yang lalu. Ketika aku mengetahui kedatangan polis wanita itu, aku dengan segera mencapai bayiku yang berumur satu tahun enam bulan dan terus menyembunyikan diri di dalam almari pakaian di salah sebuah bilik di rumah. Nasib aku kurang baik, suara tangisan bayi yang kukendung, didengari dua polis tersebut dari luar dan aku akhirnya digari dan dibawa ke sel sial ini.
“Saya tak bersalah cik, sumpah saya tak buat apa-apa? Kenapa tahan saya?” Suara sayu yang keluar daripada mulut aku tidak langsung diendahkan oleh polis wanita berkenaan. Aku seperti biasa, dengan wajah penuh kesayuan, cuba mencari helah agar tidak ditangkap, namun kali ini, tidak seperti helah-helah aku yang lalu, aku tertangkap juga.

“Kami hanya menjalankan tugas. Segala aduan dan ketidakpuasan hati, cik boleh kemukakan di balai nanti,” kata polis tersebut. Kebetulan pagi aku ditangkap, emak, abah dan adik bongsuku tiada di rumah. Seawal pagi lagi, mereka telah meninggalkan rumah. Entah untuk urusan apa, aku sendiri tidak ambil pusing. Dua anak perempuan aku belajar di sekolah berhampiran, telah pun kuhantar seawal jam 7.00 pagi. Yang tinggal hanya aku bersama bayi dan adik lelakiku. Aku menyerahkan bayi lelaki yang kukendung itu kepada adik lelakiku, yang kebetulan bekerja shif malam dan baru sahaja pulang dari kerja pagi itu. Tangisan bayiku menambah sayu dan pilu dihati kecilku ini.

Sejak hari sial itu, aku terus-terusan dikurung di lokap sementara menunggu kes aku didengar di mahkamah. Pada awal aku ditangkap, aku tidak boleh dijamin, tetapi atas budi bicara pihak polis dan mahkamah, atas alasan kasihan dengan anak-anakku yang masih kecil, aku dibenarkan untuk diikat jamin sementara menanti hari perbicaraan. Dan kes aku juga telah disebut di Mahkamah Tinggi.

“Emak, abah, abang dan adik-adik yang lain entah ke mana. Anak-anak di rumah, entah apa khabar agaknya mereka ketika ini,” aku mengeluh. Jam di dinding yang tersangkut di luar lokap menunjukkan ke angka 10 pagi. Setengah jam lagi, aku akan dibawa ke Penjara Wanita Kajang. Aku tidak pernah menyangka, aku akan merengkok di dalam penjara dalam usia aku baru mencecah ke angka 27 tahun.

Selama 12 hari aku di dalam lokap, aku sama sekali terpisah dengan dunia luar, dunia yang penuh keseronokan. Aku juga turut terpisah dari mendengar keriuhan dan kepetahan anak-anakku yang masih kecil, mungil, bersih, sebersih sehelai kain putih yang tunggu untuk diwarnakan sahaja. Aku terperangkap dengan kekalutan yang menguasai fikiran hingga sanggup merompak dan cuba mencederakan seorang ibu tua yang tidak bersalah sama sekali. Aku lakukan itu semata-mata kerana wang, wang, wang. Wanglah yang telah memenjara hati dan fikiran aku ketika itu. Entah ibu jenis apakah aku, sehingga aku lali dan lupa, segala yang aku lakukan, ada musibah yang perlu ditanggung oleh seluruh keturunanku sehingga akhir hayat mereka. Musibah inilah yang akan dibawa bersama anak-anakku, sehingga mereka dewasa.

“Mak, kalau boleh Syuhada tak nak ke penjara Kajang tu. Syuhada tak nak,” tanpa rasa kesal, aku memaksa emak untuk menjamin aku. Walaupun aku sedar, aku memang melakukan kesalahan itu, namun aku mohon agar emak dan adik beradik yang lain berbincang untuk menjamin aku.
“Berapa wang jaminnya,” tanya emak sambil tersedu-sedu menangisi nasib anak perempuannya yang malang sungguh itu.
“Tujuh ribu ringgit. Tapi, kalau kita letak geran tanah pun boleh mak,” kata aku dengan nada yang lembut dan penuh sopan, bagaikan aku tidak melakukan kesalahan itu. Aku cuba memujuk hati emak yang cepat cair itu.
“Mak, tolong Syuhada ya mak, Syuhada tak nak pergi penjara kat Kajang tu,”tanpa air mata, dengan keras hati, tabah dan kuat, aku terus mendesak emak dengan nada yang menusuk hingga ke jantung. Air mata sudah tidak ada lagi dalam kotak simpanannya. Air mataku bagaikan sudah kekeringan sejak banyak peristiwa yang berlaku dalam diari hidupku. Aku keseorangan lagi, tanpa tujuan setelah suami yang amat aku sayang meninggalkan alam yang fana ini. Dan dalam usia yang terlalu muda ini, aku digelar ibu tunggal atau bahasa yang mudah difaham, aku sudah menjadi janda dengan tiga orang anak.

Suami aku meninggalkan aku dan anak-anak dengan bebanan hutang yang terpaksa aku langsaikan. Duit KWSP tinggalan arwah suami aku, aku gunakan untuk membayar hutang-hutang dengan peminjam lintah darah yang kebiasaannya digelar along. Hajat hati ingin menyimpan wang tersebut bagi persekolahan anak-anakku terpaksa aku tangguhkan. Kalau tidak dibayar hutang-hutang tersebut, mati aku dikejar along dan kuncu-kuncunya.

“Sudah sebulan lu tidak bayar hutang lu, bunga sudah naik, bila lagi lu nak bayar hah, nanti gua culik anak lu kat rumah, baru lu tahu,” itulah ugutan yang selalu bermain di cuping telinga aku, setiap kali aku tidak dapat melangsaikan hutang-hutang tersebut tepat pada waktunya. Bunga dari pinjaman semakin bertambah. Pinjaman yang sedikit, bertambah berkali ganda dari asalnya.

“Bukan aku tak nak bayar, aku tak de duit sekarang, nanti bila aku ada duit, aku bayar dua kali ganda termasuk bunganya sekali,” jawapan-jawapan yang sama keluar dari mulut aku setiap kali aku kehabisan duit untuk melangsaikan hutang. Siapa yang ambil peduli, aku hidup ke, aku mati ke, tidak ada seorang pun ahli keluargaku yang ambil pusing. Aku hidup, hanya menyusahkan emak, abah dan keluargaku.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, aku sering menyusahkan emak dan abah. Ketika itu, aku bersekolah di asrama, aku terikut-ikut dengan kebebasan hidup bersama teman lelakiku, yang akhirnya menjadi suamiku. Aku bebas melakukan apa sahaja tanpa pengetahuan emak dan abah. Setiap kali cuti hujung minggu, aku membohongi emak dan abah bahawa aku tidak dapat pulang ke rumah atas sebab kerja sekolah yang terlampau banyak. Kepada warden asrama pula, aku katakan, aku pulang ke rumah emak dan abah aku. Padahal, dalam diam, aku mengikut teman lelakiku, dan ketika inilah aku dikenalkan dengan sejenis dadah yang aku sendiri tidak pasti jenis apakah itu. Bagi aku, hidup ketika itu adalah kebebasan dan kebebasan adalah hidup sebenar. Aku bukan penagih tegar, aku cuma mengambilnya sekali sekala, sekadar untuk suka-suka dan menghilangkan kebosanan yang bersarang dalam dada. Semuanya kerana keimanan dalam diri yang begitu nipis dan tipis hingga aku kalah dengan godaan syaitan. Dan kerana pengambilan dadah itu jugalah, aku sehingga kini, mengidap sakit di bahagian pinggang.

Aku tidak pernah memikirkan kepentingan keluarga dalam hal kebebasan aku, aku cuma tahu, aku mahu bebas dan hidup senang lenang. Bukan seperti kedua orang tua aku, yang sejak aku kecil hingga dewasa, aku lihat hidup mereka tidak pernah sesenang seperti orang lain. Mereka sering dihimpit kesusahan. Aku mahu lari dari kepompong masalah itu dan disimbahi wang. Kehadiran teman lelaki aku, yang sering menabur aku dengan wang ringgit, membelikan apa sahaja yang aku inginkan, membuatkan dunia aku yang gelap bertukar cerah.

“Ah...buat apa aku toleh ke belakang. Benda dah terjadi. Itu semua kemahuan aku, aku cari sendiri, bukan salah sesiapa, aku yang pilih jalan ini,” desis aku sambil mengesat peluh yang menyimbah membasahi pipi dan tengkuk. Pakaianku basah dek peluh yang mengalir dari tubuh badanku. Terik mentari jam 10.15 pagi itu, memasuki lokap dari celah-celah tingkap. Lokap akan aku tinggalkan 15 minit lagi. Namun, tidak ada siapa-siapa yang nampaknya akan datang menjamin aku. Doa masih terus-terusan aku panjatkan agar aku tidak dihantar ke penjara jahanam itu.

Sel berbau hamis, busuk dan berhabuk yang diduduki aku sejak 12 hari yang lalu, bakal aku tinggalkan. Sel yang tidak pernah dijaga itu sudah menempatkan entah berapa puluh pesalah di dalamnya. Aku salah seorang daripada pesalah itu. Beberapa sel lagi yang mengisi pesalah-pesalah yang tidak tahu apa kesalahannya, tapi sudah tentu kesalahan jenayah, masih terpersuk di celahan sel besi yang tegap, pejal dan kaku.

“Siti Nor Syuhada, awak akan dibawa ke Penjara Wanita Kajang, pagi ini, boleh bersiap sekarang,” suara garau polis wanita yang bertugas pagi itu mengejutkan lamunan aku. Suara itu adalah arahan, dan setiap arahan aku harus patuhi. Di sel ini, aku adalah pesalah walau sekecil mana kesalahan yang aku lakukan, aku tetap pesalah yang harus dihukum. Aku tidak menjawab, malah membatukan diri dengan keadaan diriku yang tidak terurus dan berbau hapak, aku bagaikan orang gila. Aku menarik-narik rambutku yang panjang dan gatal. Kemudian, aku duduk di lantai simen berdebu, sehingga meninggalkan kesan di atas seluar hitam yang aku pakai. Aku membetulkan ikat rambutku yang kusut. Tiada lagi air mata yang mengalir. Ia bagaikan tersekat.

Dua polis wanita berbadan sasa menghampiri sel dan membuka kunci sel, lalu membawa aku pergi. Masih kelibat-kelibat manusia yang berhati mulia, yang aku harap dapat membantu aku, tidak kelihatan. Aku tertunduk sayu. Harapanku musnah.

“Ini semua barang-barang yang awak bawa bersama ketika datang ke balai ini, sila pastikan semuanya ada,” kata salah seorang polis yang tertera namanya Zaiton. Aku meneliti satu persatu, barang-barang yang pernah kubawa tempoh hari, ketika hari aku ditangkap. Ada dompet duit, telefon bimbit dan baju yang dibawa oleh emak dan abah ketika melawat aku tempoh hari.

“Terima kasih.” kata aku kepada pegawai polis tersebut. Landlover polis yang telah dihidupkan enjinnya, sedia menanti aku. Aku diarah menaikinya dan duduk di dalamnya bersama-sama dua anggota polis wanita dan seorang pemandu. Landlover itu memecut laju meninggalkan perkarangan balai tempat aku ditahan reman.

“Selamat tinggal anak-anakku, ibu terpaksa menempuhi kesusahan yang lebih hebat lagi selepas ini. Semoga anak-anakku, kau akan meneruskan hidup ini dengan penuh ketabahan, amin,” aku berdoa berterusan. Dalam kesusahan begini, hanya Tuhanlah tempat aku bergantung. Tiada tempat lain lagi. Kalau sebelum ini, aku alpa padaNYA, kini baru aku sedar, aku benar-benar insaf, aku hanya ada DIA tempat mengadu. Landlover masih terus bergerak laju menuju tempat yang tidak pernah terlintas di benakku untuk menghuninya. Penjara Wanita Kajang sedang menggamit kedatangan aku. Telefon bimbit yang kupegang, sempat aku menghantar pesanan ringkas kepada adik aku.

“Tolonglah Iman, Angah tak nak ke penjara, pinggang angah dah semakin membengkak dan terlalu sakit, tolonglah minta emak datang jamin angah di penjara nanti,” dihantarnya pesanan ringkas itu ke telefon bimbit adik lelakinya. Hatinya puas. Aku berharap, hati emak dan abah akan cair dan membawa aku pulang dengan segera.

Jam ditanganku menunjukkan ke angka 12.30 tengah hari. Aku semakin menghampiri kawasan penjara. Suasana muram dan kelam, seperti keadaan penjara itu juga. Kuteliti tembok besar yang teguh, kaku dan sayup tingginya. Aku akhirnya tiba juga di sini. Aku kemudiannya diserahkan kepada pegawai penjara dan di sinilah, aku bakal menghabiskan sisa-sisa muda remaja aku di dalamnya. Sel 2030 akan menjadi tempat persinggahan aku, sementara aku dijatuhkan hukuman oleh mahkamah tinggi.

Hidup ku kaku dan beku
Dalam sel 2030
Beku, kaku, keras tanpa perasaan
Aku...
hidupku, kaku tanpa perasaan
Aku, beku, tanpa perasaan

Tinggallah aku di sini, bertemankan tembok batu yang kaku, beku tanpa kata. Oh Tuhan! Adakah lagi manusia-manusia lain yang masih menaruh simpati terhadap aku. Bermulalah hidup aku di dalam Sel 2030.