Sunday, November 29, 2009

SEPI TERATAK BONDA

Aidiladha tahun ini seakan muram. Tidak ada kunjungan adik beradik ke teratak bonda seolah-olah sudah tiada siapa yang wujud di dalamnya. Teratak Bonda semakin sepi meski hari raya seharusnya dihiasi dengan tawa dan ria anak-anak dan cucu-cucu bonda.

Bonda telah tiada tetapi ayahanda masih sihat melayari bahtera hidupnya dan mengisi hari-hari yang semakin walang. Hakikat korban itu sering dilupakan sedangkan sudah puas di corong radio mahupun di kaca televisyen memaparkan konsep pengorbanan sempena Aidiladha. Terasa sedak menyaksikan renggangnya sebuah ikatan antara anak dan adik beradik sedangkan itulah yang paling ditakuti berlaku dalam sebuah ikatan persaudaraan.

Aku berdoa agar seluruh keturunan bonda dan ayahanda sedar dari khayalan dan bangkit untuk sebuah ikatan persaudaraan yang lebih kukuh. Bak kata pepatah bagaikan air yang dicincang tidak kan putus, begitu juga ikatan adik beradik. Apa pun yang berlaku, setiap kekurangan itu harus dirungkai dengan usaha yang berterusan. Ayahanda kelihatan sugul sedangkan dia seharusnya bergembira di hari raya.

Moga sinar cahaya bergemerlapan di hati setiap saudara ku. Moga ayahanda makin sihat dan melayari hidup ini dengan seadanya bersama anak-anakku yang menjadi penanti setiap untuk memeluk ayahandaku.

Friday, November 27, 2009

AIDILADHA MEMBERI SERIBU MAKNA

Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua umat Islam di seluruh dunia. Keletihan semalam masih terasa pabila terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas selama empat jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka negeri Bersejarah Warisan Dunia. Namun semuanya itu adalah rahmat yang diturunkan Allah untuk aku membantu rakan sehaluan menuju destinasi yang sama untuk sebuah masa hadapan yang lebih cerah.

Aidiladha tahun lepas disambut dengan korban dan Aidiladha tahun ini aku serta keluarga menerima sesuatu yang luar biasa dan cahaya gemilang semakin memperlihatkan sinarnya. Aku bersyukur.

Selamat hari raya Aidiladha. Maaf zahir batin.

Monday, November 23, 2009

AKU TERBANG DI AWANGAN

Aku seolah-olah sedang terbang di awangan menyaksikan kejayaan yang sudah makin hampir dengan diriku. Dalam menelusuri jalan kejayaan, kulemparkan semua anasir tidak menyenangkan keluar dari dalam hati dan perasaanku. Aku sedang terbang melayang-layang dengan sayapku yang besar dan berwarna-warni penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang.

Indah sungguh menyaksikan dunia dari atas awan temawan yang putih bersih bak salji. Kupatahkan semua rintangan untuk suatu keberhasilan yang luar biasa. Terbanglah wahai teman-teman bersamaku. Rasailah perasaan indah yang sedang kualami ini. Terbanglah kerana sebuah pencarian yang berkurun lamanya itu, sudah menampakkan lorong yang semakin luas dan gilang-gemilang hebatnya.

Kucapai mentari nan berbahang, namun tidak terasa bahangnya. Ku harungi sebuah kehidupan dengan minda yang benar-benar tenang sehingga aku bisa melakukan apa sahaja yang tidak pernah terjangkau oleh fikiranku sendiri.

Selamat beristirehat dan berkaryalah wahai teman.

Thursday, November 19, 2009

IKHLASLAH WAHAI TEMAN

Dan angin pun menerbangkan perkhabaran riang untuk aku yang berada nun jauh di sini tentang sesuatu yang tidak pernah kufikirkan akan terjadi. Naluriku berkata memang benarlah seperti kata sang bijak pandai tentang keikhlasan. Buatlah apa sahaja dalam hidup ini, tetapi buatlah dengan penuh keikhlasan. Keajaiban yang berlaku sepanjang tiga hari di Tanjung Piai memberi makna yang cukup besar dalam hidupku. Kejayaan itu adalah detik permulaan untuk aku terus percaya akan kebolehan diri ini.

Kulepaskan segala lelah dengan senyuman. Kucuba ukir nama indahmu di atas batu agar tidak hilang di telan waktu. Dan desir angin dari lautan Tanjung Piai memberi seribu makna untuk aku meneruskan langkah menjadi orang yang lebih hebat dari semalam.

Hatiku berbunga riang dan keyakinanku semakin bertambah. Jika ada hati yang kecewa, itu adalah lumrah alam. Dalam setiap kegembiraan orang lain, sudah pasti ada insan yang sedang melalui detik kekecewaan. Itulah timbal balik dari hukum Allah. Aku menerima segala yang berlaku dalam hidupku akhir-akhir ini seadanya. Angin perubahan ini amat bermakna buatku.

Hari ini, ada sinar bahagia menelusuri ke seluruh sendi-sendiku. Sang alam memanggil namaku dan memberi semangat bumi yang tidak pernah kufikirkan selama ini. Wahai sang penulis temanku, berbicaralah seadanya dan seikhlas mungkin dalam setiap bait bicara kerana itulah perasaan yang bisa meranapkan seluruh maya pada ini pabila sang pencinta mulai berbicara.

Berkaryalah wahai sang penulis kerana tanpa karya anda, ke manalah harus bait-bait indah itu hendak dimuntahkan. Moga kelopak mawar merah yang berterbangan di awangan mula melagukan lagu riang untuk seluruh isi dunia.

Selamat berkarya. Buatlah sesuatu dengan penuh keikhlasan.

TANJUNG PIAI - HARUMAN LAUTMU MASIH TERASA

Entah kenapa, tiba-tiba jari-jariku jadi kaku untuk menulis sesuatu di atas komputer ribaku ini tentang apa yang sedang kufikirkan ketika ini. Kebuntuan itu adalah sesuatu yang biasa bagi penulis. Apabila terjadi keadaan begini, keluarlah dari rutin hidup anda dan bercutilah. Percutian indah di Tanjung Piai membuka satu lembaran baru bagi aku. Ahh...banyak yang ingin kukongsi bersama, namun dalam keterbatasan waktu membuatkan aku tidak betah berfikir terlalu lama untuk memenuhkan blog yang sudah beberapa hari tidak diisi.

Tanjung Piai indah namanya. Pertama kali berkunjung ke sini, terasa ia begitu dekat dengan diriku. Keadaan tempatnya amat sunyi lagi mendamaikan, pepohon bakau dan lautnya memberi ilham untuk aku menebarkan ilham-ilham yang sedang kususun untuk pelbagai manuskrip. Di sini aku terasa seperti suatu semangat baru terpancar dari dalam diriku yang sudah berabad kupendam.

Tanjung Piai
Penghujung Selatan Benua Asia
Antara dua selat ia berdiri
Selat Melaka Selat Tebrau
Kau telah membangkitkan sebuah semangat

Aku menghirup udara segarmu
Aku merasai denyut nadimu
Aku melihat mentarimu yang indah
Aku melihat segalanya di sini
Aku menyaksikan sebuah emosi bangkit
Untuk hari-hari yang lebih indah
Untuk aku terus melakarkan sesuatu

Tanjung Piai
Kau telah nyalakan obor itu
Akan ku datang padamu
Suatu waktu nanti

Sunday, November 15, 2009

21 TAHUN SEBUAH REALITI

Rupa-rupanya hembusan angin yang berhembus melalui facebook telah menemukan aku dengan teman ketika sekolah yang terpisah sejak 1988. Sebaik sahaja mendapat keputusan SPM...aku meneruskan usahaku ke tingkatan enam sedangkan temanku ini terus ke program matrikulasi dengan harapan menggapai impian sebagai seorang doktor. Semalam, aku bertemu dia semula setelah 21 tahun terpisah. Meskipun sudah lima tahun dia menetap di negeri Hang Tuah, namun entah mengapa baru kini kami ketemu. Besarnya anugerah Allah. Dalam kesibukan aku mencari ubat-ubatan untuk dihantar ke sebuah madrasah tahfiz, alhamdulillah lorong itu dibuka oleh DIA. Aku ketemua temanku yang kebetulan sudah lima tahun punya sebuah farmasi. Akhirnya aku mendapat ubat-ubatan yang aku cari dan dalam masa yang sama bertemu teman lama. Indahnya.

Terima kasih temanku kerana membantu meringankan masalah anak-anak tahfiz dengan pemberian ubat-ubatan dari farmasimu. Semoga rezekimu bertambah dan hidupmu sentiasa bahagia bersama keluarga.

Hari ini, banyak sungguh peluang yang datang kepadaku dan suami. Aku bersyukur. Esok aku harus meninggalkan bumi Hang Tuah untuk sebuah percutian yang panjang. Manuskrip sejarah Johor masih banyak yang harus kutulis. Entah sempat atau tidak untuk sampai ke garisan penamat. Rasanya mindaku sentiasa memikirkan tentang manuksrip itu akhir-akhir ini. Aku yakin dapat menyiapkannya. Insya-Allah.

Selamat berjuang.

Thursday, November 12, 2009

TERSENYUMLAH WAHAI SANG PENULIS

Gegak gempita seluruh isi dunia pabila perihal suatu berita dihebahkan tentang suatu anugerah istimewa buat tokoh wibawa berjasa berbakti menggarap cerita menghebah ilmu untuk sang penduduk dunia.

Maka tersenyumlah sang penulis akan khabar gembira yang diterima itu. Bagaikan hari itu umpama hari-hari baharu yang menyinari seluruh kehidupannya kerana yang ditunggu-tunggu itu terlaksana jua atas usaha insan-insan istimewa memartabatkan sastera tanahair.

Hati ini tiba-tiba sebak menyaksikan kegembiraan itu. Dan khabar itu sudah merebak merata dunia sehinggakan menatap wajah sang penulis seakan ada siulan sang beburung seperti kembangnya bunga-bunga teratai, dan goyangnya pepohon di taman atas kuasa sang angin yang terlalu mengharap untuk suatu keberhasilan yang teramat lama dinantikan.

Salam buat para penulis...Doaku moga semuanya akan berjaya. Namun percayalah, hari gembira itu akan tiba jua meski bukan untuk waktu ini.

KEKUATAN DALAMAN

Bersedia dalam semua keadaan jika mahu menjadi seorang yang luar biasa. Bagaimana anda melakukan sesuatu perkara, adalah sebagaimana anda melakukan semua perkara.

Lebih cepat kita bertindak, lebih cepat kita akan memperolehi keputusannya. Selamat berjuang untuk kehidupan yang lebih bermakna demi keluarga tercinta.

Hari ini siapa yang lambat dia akan ditinggalkan jauh ke belakang. Selama berpuluh tahun kita hidup dan telah menghadapi kegagalan. Kenapa kita harus gagal lagi untuk tahun-tahun yang akan datang? Bangkitlah untuk suatu hari yang baharu dan dengan azam untuk diri sendiri dan keluarga, keluarlah dari kepompong ketakutan dan jadilah orang yang lebih positif dalam semua perkara.

Sebenarnya banyak peluang yang baik sedang berada di hadapan kita. Ramai yang tidak mengindahkan peluang tersebut kerana sentiasa berfikiran negatif. Antara kelemahan kita ialah mudah kecewa, mudah kecil hati, terlalu pentingkan diri sendiri, berkira-kira dalam semua perkara dan ambil mudah dalam melakukan sesuatu.

Percayalah, bila kita berkira-kira, rezeki pun akan berkira-kira datang kepada kita. Ikhlaslah bila melakukan sesuatu kerana pabila kita ikhlas, dengan sendirinya semua kekayaan yang kita hajati akan kita perolehi dengan hanya memetik satu jari. Itulah uniknya kuasa minda.

Bangkitlah hari ini untuk esok yang lebih cemerlang dan untuk kekayaan yang melimpah ruah.

Selamat berjuang.

Tuesday, November 10, 2009

ANUGERAH SASTERA NEGERI MELAKA 2009

Disember 2009 akan menutup tirai dan kerajaan negeri Melaka akan menganjurkan Anugerah Sastera Negeri Melaka pada 18 Disember 2009. Maka kepada sesiapa yang berminat untuk menghantar permohonan untuk diri sendiri atau rakan-rakan penulis anak negeri Melaka, bolehlah menghantar ke alamat tertera di bawah.

Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 adalah anjuran kerajaan negeri Melaka diselenggarakan oleh Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia (IKSEP)dengan kerjasama Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Persatuan Penulis Melaka (PENAMA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) & Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Warisan Negara Negeri Melaka



1.0 PENDAHULUAN
Kerajaan Melaka melalui Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia (IKSEP) dengan kerjasama Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Persatuan Penulis Melaka (PENAMA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Kebudayaan Keseniaan & Warisan Negara Negeri Melaka dengan ini mengumumkan Hadiah Sastera Negeri Melaka tahun 2009 akan dianugerahkan kepada penulis Melaka untuk empat kategori seperti berikut:

1.1 HADIAH ANUGERAH SASTERAWAN NEGERI MELAKA
1.2 HADIAH SASTERAWAN MUDA MELAKA
1.3 HADIAH SASTERA REMAJA MELAKA
1.4 HADIAH SASTERA BUKAN MELAYU MELAKA

Hadiah-hadiah ini merupakan hadiah yang akan dianugerahkan kepada para penulis yang telah menunjukkan daya kreativiti, kredibiliti dan kejayaan sebagai seorang penulis dalam memperjuangkan dunia kesusasteraan tanah air. Pencalonan boleh diterima daripada badan-badan penulis, orang-orang perseorangan atau penulis sendiri dengan menyertakan biodata penulis yang dicalonkan. Hadiah ini akan dinilai oleh panel penilai yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk Anugerah Sastera Negeri Melaka.

2.0 HADIAH ANUGERAH SASTERAWAN NEGERI MELAKA
Berupa wang tunai RM 5,000.00 beserta sijil, pluq dan hadiah iringan diberikan kepada seorang tokoh penulis yang telah mengharumkan nama negeri Melaka di peringkat nasional atau antarabangsa. Tokoh penulis ini telah menghasilkan karya-karya yang telah mantap dan terkenal, serta ciri-ciri lain yang difikirkan layak untuk menerima hadiah ini. Mereka yang pernah diberikan pengiktirafan Kerajaan Melaka dan Sasterawan Negara dikecualikan daripada pencalonan ini.

3.0 HADIAH SASTERAWAN MUDA MELAKA
Berupa wang tunai RM 2,000.00, sijil dan pluq akan diberikan kepada penulis muda berbakat besar, melahirkan karya-karya bermutu, aktif dalam penulisan dan dunia kesusasteraan. Panel Penilai hanya memilih seorang sahaja pemenang bagi tahun-tahun penilaian. Had umur bagi hadiah ini ialah 40 tahun ke bawah.

4.0 HADIAH SASTERA REMAJA MELAKA
Berupa wang tunai RM 1,000.00 diberikan kepada penulis remaja berbakat besar, melahirkan karya-karya bermutu, aktif dalam penulisan dan dunia kesusasteraan. Panel Penilai hanya memilih seorang sahaja pemenang bagi tahun-tahun penilaian. Had umur bagi hadiah ini ialah 18 tahun ke bawah.

5.0 HADIAH SASTERA BUKAN MELAYU MELAKA
Berupa wang tunai RM 1,500.00, sijil dan pluq diberikan kepada penulis bukan Melayu yang telah banyak menghasilkan karya asli pelbagai genre dalam bahasa Melayu.

6.0 SYARAT & KETERANGAN UMUM

Pemilihan penerima sama ada Anugerah Sastera atau Hadiah Sastera, akan dibuat melalui pencalonan yang akan dikemukakan oleh agensi-agensi, badan-badan tertentu atau orang perseorangan yang berwibawa. Pencalonan ini hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Anugerah Sastera Negeri dengan menggunakan borang pencalonan yang disediakan. Pencalonan sama ada yang dibuat oleh institusi, badan, persatuan atau penulis sendiri mestilah disertai butiran lengkap penulis yang dicalonkan, butiran tentang karya-karya yang telah disiarkan dan juga keterlibatan dalam aktiviti kesusasteraan.

6.1 Hanya penduduk negeri Melaka layak untuk dicalonkan dan dipertimbangkan menerima Anugerah Sastera dan Hadiah Sastera Negeri. Pengiktirafan penduduk negeri ialah:

6.2 Warganegara Malaysia, anak kelahiran Melaka yang berkarya di negeri Melaka, Malaysia dan luar negara

6.3 Warganegara Malaysia yang dilahirkan di Melaka tetapi bermastautin di luar negeri Melaka

6.4 Warganegara Malaysia yang lahir di negeri lain dan bermastautin di Melaka lebih daripada sepuluh tahun


7.0 PANEL PENILAI
Panel penilai akan dilantik oleh Kerajaan Melaka melalui Jawatankuasa Induk Anugerah Sastera Negeri Melaka. Panel penilai akan terdiri daripada para sarjana, sasterawan dan mereka yang cukup arif dalam bidang-bidang berkenaan. Ahli panel yang karyanya tersenarai untuk dinilai, dengan sendirinya digugurkan daripada menganggotai Panel Penilai dan tempatnya akan diganti dengan ahli panel yang lain atau karyanya dikeluarkan daripada senarai karya terpilih.

Penyelenggara tidak bertanggungjawab disebabkan kehilangan atau kerosakan naskhah yang dikirim melalui pos. Semua naskhah yang sampai kepada penyelenggara akan dimaklumkan penerimaannya. Naskhah-naskhah yang dikirimkan kepada penyelenggara tidak akan dikembalikan kepada penulis.

Penyertaan yang dikirimkan dengan menggunakan borang difotostst dibenarkan. Semua penyertaan hendaklah dihantar ke alamat di bawah pada atau sebelum 23 November 2009 (Isnin):

SEKRETARIAT
HADIAH SASTERA NEGERI MELAKA 2009
INSTITUT KAJIAN SEJARAH & PATRIOTISME MALAYSIA (IKSEP)
N0 6 JALAN MUTIARA MELAKA 3, TAMAN MUTIARA MELAKA,
BATU BERENDAM, 75350 MELAKA

(U.P PUAN HANITA BINTI HAJI HASSAN / CIK FARAWAHIDA BINTI SARIP)

No Tel: +606-317 4475 / 5450
No Faksimile: +606-317 2671
E-mel: iksepmelaka@yahoo.com
Laman web: www.iksepmelaka.com



BORANG PENYERTAAN

Sekretariat HADIAH SASTERA NEGERI MELAKA 2009
Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia (IKSEP)
N0 6 Jalan Mutiara Melaka 3, Taman Mutiara Melaka,
75350 Batu Berendam, Melaka.

Bersama-sama ini dikirimkan salinan buku / naskhah karya asli saya berjudul
bagi dinilai untuk:

HADIAH SASTERA NEGERI MELAKA 2009
Keterangan tentang diri saya adalah seperti berikut:

Nama Penuh:______________________________________________

Nama Pena:_______________________________________________

No. Kad Pengenalan: _______________________________________

Tarikh Lahir:_____________ Tempat Lahir: _________________

Umur:_______________ Pekerjaan:______________________

Alamat Surat Menyurat:
_____________________________________________________________________

_____________________________________________________________________


No. Tel (Pej): ______________ (Tel. Bimbit):______________

(Rumah): _________________ Faksimile:_________________

E-mel:____________________

Dengan ini saya mengesahkan karya-karya tersebut adalah karya asli saya dan saya mematuhi semua syarat yang ditetapkan dalam penganjuran Hadiah Sastera Negeri Melaka 2009

Tarikh:

Tandatangan:

Sunday, November 08, 2009

POTENSI DIRI

Ayam berkokok menandakan hari sudah merangkak siang. Fajar Subuh akan menyinsing. Suara azan Subuh juga akan berkumandang dari masjid berhampiran sebentar sahaja lagi. Jam di dinding menunjukkan ke angka 5.16 pagi. Aku sudah berjaga seawal 4 pagi lagi untuk menyiapkan projek penulisan yang masih separuh belum dilunaskan. Dalam masa yang sama, aku juga harus ke kota besar Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi untuk menghadiri pertemuan dengan rakan-rakan bisnis dari seluruh Malaysia.

Alhamdulillah, dalam ribut bekerja, menulis dan berkarya, menjaga keluarga, aku juga diberi Allah SWT ruang waktu untuk melakukan bisnis indah ini.

Untuk apa aku berhempas-pulas melakukan semua ini? Sudah tentu ada faktor penolak yang menyebabkan aku berubah hampir 360 darjah dari diri aku yang dahulunya. Semua yang berlaku sudah tentu ada yang menggerakkannya. Kalau tidak DIA yang memberi, sudah tentu aku tidak akan dapat menerimanya. Semuanya berlaku kerana aku sentiasa mencari dan memohon dari-NYA, dan sudah tentu aku akan mendapatkannya lambat atau cepat kerana aku sentiasa berusaha ke arah itu.

Menulis adalah suatu perkara yang telah sebati dalam hidupku. Ia datang tanpa diundang tetapi meninggalkan suatu kesan yang sangat mendalam. Apabila aku berkarya, suatu perasaan halus wujud dalam diri ini. Apakah perasaan itu, hanya penulis sahaja yang lebih mengetahuinya. Menulis tidak akan aku tinggalkan walau sibuk melaksanakan rutin harian kerana ilmu itu jika dikembangkan, ia akan berguna kepada ramai orang termasuk diri kita dan orang yang aku sayang.

Mungkin kita tidak pernah terfikir bahawa untuk menghadapi kehidupan pada hari ini, potensi diri yang berligar-ligar dalam diri kita perlu diteroka. Sebabnya, kita tidak pernah ambil tahu potensi diri kita sendiri.

Dalam diri setiap manusia, telah wujud sifat diri yang baik dan sebaliknya dan sekiranya seseorang itu mengenal potensi diri yang baik dan melaksanakannya, sudah tentu dan Insya-Allah, apa sahaja yang dilakukannya akan membuahkan hasil yang amat memeranjatkan. Sebaliknya jika kita tidak mengetahui potensi diri kita, kehidupan ini akan bergerak seperti putaran waktu yang biasa, menghadapi rutin harian yang sangat biasa dan hidup dengan keadaan yang amat biasa.

Orang yang tahu potensi dirinya, hidupnya lebih hebat dan luar biasa dari orang-orang biasa yang berada di luar sana.

Hiduplah hari ini untuk menjadi seorang yang luar biasa bukan orang yang biasa-biasa sahaja. Setelah berpuluh tahun kita hidup di muka bumi Allah dengan rutin harian yang biasa-biasa, kenapa kita harus meneruskan kehidupan kita untuk bertahun-tahun akan datang dengan rutin harian yang biasa-biasa sahaja?

Keluarlah dari kepompong bersikap tidak apa kerana hidup ini sebenarnya amat indah dan penuh bermakna jika kita tahu menggunakannya. Hiduplah untuk keluarga dan orang yang anda sayangi. Nescaya, dari kasih sayang itu, akan lahir lebih banyak sifat baik untuk membantu orang lain yang dekat dengan kita.

Selamat berkarya. Tulislah sesuatu yang luar biasa dalam karya anda kerana sudah banyak karya yang biasa-biasa kita lihat di luar sana. Jadilah penulis yang luar biasa untuk mencipta kejayaan sebagai Jutawan.

Selamat berjaya. Salam 1 Malaysia.

Friday, November 06, 2009

JUTAWAN





Kalau suatu waktu dahulu, perkataan JUTAWAN itu tidak pernah terlintas dalam kepala. Namun arus perubahan yang sedang berlaku dalam hidupku...telah banyak merubah sebuah kehidupan suram kepada sesuatu yang sukar diucapkan melalui perkataan. Alhamdulillah aku begitu bersyukur ke hadrat Allah.

Sikap bertangguh melakukan sesuatu itu tidak pernah salah dan tak akan salah, tetapi setiap kali kita bertangguh melakukannya, setiap kali itulah kejayaan yang hendak menjengok juga akan menangguhkannya untuk kita.

Apakah kita mahu hidup tanpa makna sepanjang hidup ini tanpa mahu membuat sedikit pun perubahan. Fikirlah menggunakan minda kerana akal kita sentiasa berniat jahat dan kejutkan minda agar apa sahaja yang ingin dicapai akan diperolehi Insya-Allah.

Apapun usaha tanpa doa tidak memberi kesan dan begitulah sebaliknya. Jadilah orang yang berbeza untuk diri anda dan keluarga. Semua yang ada di luar sana pasti merasai getaran kehebatan JUTAWAN tanpa anda sedar jika anda mahu berubah. Bantulah seberapa ramai orang di sekeliling anda, dan pasti lebih banyak yang akan datang kepada anda.

Selamat berkarya wahai kawan-kawan penulis. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha.

Thursday, November 05, 2009

HEBATKAH AKU!

Jika kita mahu menjadi seorang yang hebat, kita hendaklah berfikir dan melihat semua perkara dari sudut yang berbeza dari sudut pandangan orang biasa.

Bagus sekali kata-kata itu seakan ia membuatkan jantungku tersentak dari tidurnya yang lena sejak berpuluh tahun lalu. Hari ini bila tersedar, rupa-rupanya banyak lagi yang perlu aku lakukan untuk menjadi seorang yang hebat.

Semalam yang berlalu tidak aku lupakan tetapi kusimpan sebagai azimat dan semangat untuk meneruskan apa yang sedang aku lakukan hari ini.

Pagi ini, dalam kesibukan waktu bekerja, sempat aku menjengah seorang teman akrab bertanyakan khabar. Ah...sedih sekali, rupanya ada sesuatu yang sedang berlaku dalam hidupnya akhir-akhir ini. Tiba-tiba...ada air mata gugur dari kelopak mata meski cuba kutahan agar tidak mematahkan semangat rakanku itu.

Aku pasti dan yakin, setiap satu yang berlaku dalam hidup, sudah tentu disusuli dengan hikmahnya yang kita sendiri tidak boleh terjangkau memikirkannya. Aku cuba mengawal perasaan, namun apakan daya, menitik jua air mata ini.

Rupanya dalam hidup ini, kita sering berfikir bahawa kitalah orang yang paling malang tetapi sebenarnya di luar sana, lebih ramai lagi yang bernasib lebih malang dari nasib yang kita alami. Penyerahan bulat-bulat kepada-NYA tanpa usaha sudah tentu tidak akan membuahkan hasil. Kenapa harus duduk dan tunggu sesuatu sedangkan usaha itu kan tangga kejayaan. Peribahasa-peribahasa orang lama itu sebenarnya banyak sungguh ertinya. Cuma yang muda semakin melupakan pesan orang lama sedangkan semua itu dicipta kerana ada sebab dan musababnya.

Alhamdulillah, hari ini, aku diberikan peluang yang cukup besar dan luas dari Allah SWT. Syukur kupanjatkan ke hadrat Illahi atas semua yang diberikan ini ke atas aku, suami dan ahli keluarga.

Keluarlah dari masalah. Carilah mentor yang baik. Pulihkan semangat yang hilang. Nescaya jika semua ini dilakukan, sudah tentu keputusan yang akan diperolehi adalah keputusan yang sangat hebat.

Selamat berkarya. Aku sedang menyelesaikan tugas menulis Novel Sejarah Johor meskipun sibuk sekali dengan dunia bisnis yang sedang aku ceburi kini.

Salam 1 Malaysia.