Friday, November 06, 2015

TUAN DIREKTUR - HAMKA

Sebuah karya Hamka yang berjudul 'Tuan Direktur' kutemui semalam di sebuah kedai buku.



Karya ini sarat dengan ilmu kehidupan sehari-hari yang tanpa sedar sedang kita lalui. Syukur ku ke hadrat Allah SWT kerana menemukan aku dengan permata berharga ini untuk ku menginsafi diri akan segala kekurangan.

Thursday, June 18, 2015

Ramadan Ya Marhaban

Renyai pagi menyejukkan buat seluruh keluarga yang sedang berlawan dengan hawa nafsu pada hari pertama menghadapi Ramadan 1436 H. Sungguh pantas waktu sehingga tidak sedar usiaku semakin lanjut melihat anak-anak semakin membesar. Begitulah putaran waktu, yang kecil bertambah dewasa, yang muda semakin dewasa, yang tua telah pergi meninggalkan kita.

Ramadan mengingatkan aku kepada arwah mak dan baba. Setiap kali waktu berbuka, bermacam juadah pasti disediakan mak untuk aku adik-beradik. Kini, giliran aku menyediakan untuk anak-anak. Dahulu bila mak buat juadah berbuka, akulah orang yang paling takjub dengan kepandaian mak yang aku kira serba serbi tahu. Boleh masak, buat kuih, itu tidak lagi bab kreatif menjahit baju, langsir dan banyak lagi. Kini setelah aku berada di dalam situasi yang pernah mak lalui, baharulah aku sedar manusia itu matang dan bijak kerana usia dan persekitaran.

Agaknya apa juadah berbuka hari pertama ini. Aku sedang memikirkan setiap kesukaan ahli keluarga sebelum digabung menjadi satu dan itulah menu pada petang ini. Semoga Ramadan ini membawa seribu keberkatan buat aku sekeluarga serta adik-beradik yang lain. Semoga Ramadan ini memberi sinar kepada insan yang tidak bernasib baik di luar sana.

Insya-Allah, jika yakin dan percaya semua yang berlaku dalam hidup kita adalah ketentuan-Nya, kita pasti boleh lalui apa jua cabaran dan rintingan di hadapan untuk menuju jaya. Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak.

Friday, February 13, 2015

Ulang Tahun Perkahwinan Ke-17 Tahun

Senja gemilang bayu berpuput,
Gugur kenanga di celah jerami;
Besarlah hati kami menyambut,
Ulang tahun perkahwinan 17 tahun kami.

Masa tidak pernah menunggu sesiapa pun. Alpa kita maka tertinggallah. Sudah beribu jam aku kuncikan diri daripada menatap wajah blog ini. Hari ini entah kenapa terasa mahu menulis sesuatu di laman ini. Banyak yang telah kulalui sepanjang perkahwinan kami. Alhamdulillah Allah SWT masih memberikan kami kuasa cinta yang sudah sekian lama disemai. Semoga hari ini dan hari mendatang menjanjikan kebahagian kami dan dengan keberkatan ini diharapkan dapat berbakti kepada lebih ramai manusia di luar sana.

Amin.