Wednesday, January 28, 2009

MUSIM LURUH

Angin petang menghembus lembut menerpa pipiku. Pandangan mata ku sorot keluar menyaksikan jajaran pohon-pohon getah di kiri kanan jalan menuju ke kampung. Pemandangan ini tidak asing bagiku. Setiap kali pulang ke kampung suami, setiap kali itulah, aku akan menyaksikan pemandangan indah kehijauan dari ladang-ladang getah dan kelapa sawit di kiri kanan jalan saujana mata memandang.

Petang tadi, aku ke kampung lagi. Anak-anak sudah beberapa hari kutinggalkan di sana untuk bersama nenek dan datuk mereka. Hari ini sudah tiba masanya untuk aku jemput mereka pulang. Suami di sebelah memandu dengan tenang. Tiada perbualan hanyalah bunyi lagu dari corong radio bekumandang.

Kulihat dedaunan getah sudah kuning warnanya. Melihat keadaan itu ibarat seperti berada di negara empat musim yang daun-daunnya mulai luruh menyambut musim luruh. Semua yang kusaksikan itu telah aku rakam di dalam kotak mindaku ini. Rupa-rupanya, tanpa kita sedari, walau hidup di negara iklim khatulistiwa, di sini juga ada musim luruhnya. Cuma tafsirannya berbeza sekali.

Maka musim luruh yang mengikut putarannya setiap tahun yang berlaku di sini boleh disaksikan bila dedaun getah sudah kuning warnanya dan gugur ke tanah. Setiap kali musim luruh kembali, pokok getah akan kekeringan susunya. Hasil yang diperolehi para penoreh juga akan susut jauh dan keadaan ini berterusan sehingga tiga ke empat bulan sehingga pucuk baru mulai tumbuh. Kali ini tentu para penoreh getah yang hanya menyara keluarga dengan hasil getah akan mengeluh. Jika simpanan sudah susut, apa yang perlu mereka lakukan. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan akhir-akhir ini.

Musim luruh yang mampir kali ini mungkin akan meluruhkan segala isi hati mereka.

Saturday, January 24, 2009

MENULIS NOVEL SEJARAH

Menulis novel sejarah perlukan penyelidikan.

Penulis harus mendapatkan seberapa banyak fakta termasuklah peristiwa, watak utama dan sampingan, mengkaji adat resam dan budaya masyarakat ketika itu, bahasa pertuturan, pakaian dan sebagainya kerana apabila seseorang penulis mula menulis, dia harus menerangkan secara terperinci keadaan sesuatu peristiwa dengan latar tempat, pakaian dan sebagainya.

Untuk sesebuah novel diangkat sebagai novel sejarah, fakta di dalamnya tidak boleh dicipta pengarang sesuka hati. Carilah peristiwa besar, konfrontasi, tokoh dan sebagainya. Jangan sesekali gunakan cerita dari mulut ke mulut dalam novel sejarah kerana ia akan mengganggu kesahihan fakta di dalamnya memandangkan novel ini akan menjadi rujukan generasi akan datang. Jika fakta dan fikiran yang digunakan untuk garapannya tidak menggambarkan keadaan sebenar, ia bukanlah dikategorikan sebagai novel sejarah.

Biasanya watak-watak yang digunakan di dalam novel ini adalah watak-watak benar yang berlaku pada ketika kejadian itu. Cuma fikiran yang disampaikan melalui watak-watak itu biasanya adalah fikiran pengarang itu sendiri. Penulis masih boleh menggunakan watak-watak sampingan untuk disesuaikan tetapi tidak boleh meletakkan unsur magis dalam novel sejarah.

Apabila Yayasan Warisan Johor dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan menganjurkan bengkel penulisan novel sejarah, aku terpanggil untuk turut serta walaupun sudah banyak buku aku tulis. Namun, ilmu untuk menggarap sebuah novel sejarah belum ada dalam minda aku ketika ini. Banyak persoalan yang harus aku terjah sebelum memulakan penulisan novel sejarah.

Mungkin kebetulan sentiasa berlaku dalam hidup aku. Itu semua gerakan dari Allah yang maha Esa. Sudah beberapa minggu sejak Januari mampir, aku mula mengfokuskan mindaku untuk menghasilkan sebuah buku berbentuk kajian tentang kesan ke atas orang Melayu bandar akibat urbanisasi dengan kajian kes adalah negeri Melaka. Aku mula membaca banyak buku tentang sejarah Melaka secara terperinci kerana keadaan hidup masyarakat lampau banyak mempengaruhi pola masyarakatnya pada hari ini.

Kesan pembacaan aku yang semakin banyak, aku dapati perkara-perkara yang tidak aku ketahui selama ini, aku perolehi. Dan sejak aku mula menulis buku ini, terasa fikiran aku sentiasa bergerak mencari dan terus mencari bagi menyiapkan penulisan ini dengan lebih pantas. Nampaknya banyak yang harus aku lakukan bila 2009 menjengah wajahnya.

Sebuah novel sejarah sedang dalam perkiraan aku untuk digarap tahun ini. Insya-Allah.

Friday, January 16, 2009

PALESTIN

Manusia bergelimpangan di jalan-jalan
Bergelimpangan di lorong-lorong sempit
Bergelimpangan dengan darah dan air mata
Siapakah yang sempat untuk membantu

Sedang diri sendiri harus diselamatkan
Kanak-kanak menangis mencari ibunya
Ibu mengandung terburai perutnya
Bapa yang berjuang tidak pulang

Makanan di dapur sudahpun kontang
Apakah yang harus dilakukan
Sedangkan nyawa sudah dihujung tanduk
Zionis seakan Setan yang lupa diri

Waktu yang dilalui rakyat Palestin
Seakan lambat geraknya
Seakan kiamat sudah semakin hampir
Merampas semua yang dimiliki

Apakah bantuan sudah cukup
Untuk terus membantu Palestin
Sedangkan semangat mereka lebih tinggi
Setinggi air bah yang melanda Acheh
Seluas angkasa raya

Itulah Palestin
Rakyatnya cekal
Sanggup bermandi darah
Asal sahaja Israel dinyahkan
Dari muka bumi ini
Itu sudah cukup buat mereka.

Wednesday, January 14, 2009

PASRAH

Sesekali pabila diri disingkir
Sesekali bila hati terasa terusik
Sebuah kekesalan tiba-tiba mampir
Entah untuk apa harus kukesalkan

Sesekali kutoleh ke sekelilingku
Haruskah aku berada di sini lagi
Untuk kesekian kalinya
Aku rasa begitu terhina

Dan sesekali ini juga
Hati ini meronta-ronta
Mahu lepas bebas
Dari terus dibelenggu
Mahu lepas bebas
Dari semua kecelaruan ini.

Aku tahu semuanya ini
Adalah dugaan dari Yang Maha ESA.

Tuesday, January 13, 2009

SEBUAH JIWA SEBUAH MANUSKRIP

Malam hening. Terasa cukup puas. Akhhirnya malam ini menyaksikan kesudahan sebuah manuskrip sebuah jiwa yang kugarap lewat tahun-tahun lewa atas sebab-sebab tertentu yang sepatutnya telah kuselesaikan lebih awal dari sepatutnya. Lapang sungguh dada ini terasa pabila janji yang telah dimeterai akan kulaksanakan dua hari dari waktu aku menulis ruangan di laman maya ini.

Bagaikan wajah 2009 menampakkan sejuta harapan untuk aku menggarap ilham-ilham yang masih penuh di dalam kotak mindaku ketika ini. Ingin sahaja aku paparkan semuanya di skrin komputer ribaku ini, namun bagaimana harus aku berbuat begitu dalam masa yang singkat sedangkan aku juga punya keluarga untuk diberi perhatian, punya suami untuk disayang, juga punya kerja untuk ditunaikan yang terkadang-kadang memaksa aku supaya memilih apakah yang terbaik untuk aku ketika itu.

Nafas lelah tidak pernah terhenti begitu sahaja. Nadi ini terus bergerak seakan-akan aku punyak banyak waktu untuk menghasilkan lebih banyak karya baru lagi segar untuk tatapan pembaca di dunia sana.

Alhamdulillah, HARUSKAH AKU BERLARI sudah mula dikenali meski sukar untuk kutatap wajahnya di kedai-kedai buku yang kerap aku singgahi lewat sepulangnya aku dari kerja. Paparan yang kerap sering kulihat di dada akhbar dan majalah keluara Dewan Bahasa dan Pustaka. Ulasan yang menyentuh hati telah disiarkan di dua majalah iaitu Tunas Cipta dan Dewan Sastera. Aku panjatkan doa moga segala hasil kerja yang aku laksanakan akan menjadi buah mulut serta dapat memberi peluang untuk para pembaca menceduk banyak dari pengalaman yang telah aku lalui sepanjang mengharungi kehidupan di bumi Allah yang amat indah ini dari pembacaan mereka.

Aku sentiasa pohon agar Allah melapangkan waktu untuk aku terus berkarya.
Selamat menulis.

Friday, January 09, 2009

RESENSI NOVEL HARUSKAH AKU BERLARI

"Novel ini berjaya memainkan emosi pembaca, yang sekejap tenang mengikut ayunan langkah watak-watak ciptaan pengarangnya, dan ada waktunya pembaca turut lelah jiwanya lantaran hambatan langkah watak-wataknya yang tidak pasti dan bercelaru arah tujunya. Ke manakah arah yang perlu dipilih dalam situasi kejar dan mengejar cinta yang tidak pasti ini. Hanita Hassan berjaya membakar dan menyejukkan emosi pembaca dan novel ini pasti memberikan kesan katarsis kepada pembaca."

Judul Buku :Haruskah Aku Berlari
Pengarang :Hanita Hassan
Ulasan oleh:UMI AMMAR
Majalah Tunas Cipta Januari 2009
Ruangan Resensi m/s 26 & 27
Harga : RM25.00 (417 muka surat)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Banyak orang mengejar cinta dan dalam waktu yang sama banyak juga orang yang melarikan diri daripada cinta - tidak rela dirinya dicintai dan mencintai. Bagaimanakah pula dengan anda? Adakah anda sudah memiliki cinta sejati? Atau adakah anda seorang insan yang terperangkap dalam cinta yang tidak berbalas? Atau adakah anda telah ditawan oleh beberapa cinta dan keliru untuk memilih cinta sejati?

Haruskah Aku Berlari sebuah novel cinta yang merungkaikan permasalahan cinta tiga segi teruna dan dara. Jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sering dilabelkan sebagai penerbit yang menerbitkan novel serius yang rumit persoalannya, dan kompleks plotnya, Haruskah Aku Berlari berjaya membawa DBP keluar daripada label ini. Novel ini lebih santai dan ringan sesuai untuk pembaca yang gemar akan pembacaan yang menghiburkan dan merehatkan minda. Namun dalam novel ini banyak pengajaran dan iktibar yang boleh ditimba, terutama untuk para remaja.

Kisah cinta dalam novel ini berpusat pada watak utamanya Sofea Delaila. Sofea Delaila seorang gadis jelita yang gagal melanjutkan pengajiannya ke universiti. Sofea Delaila hanya berpeluang melanjutkan pengajiannya ke tingkatan enam. Kegagalannya melanjutkan pengajiannya ke universiti menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan kekasih hatinya, Zahrul.

Zahrul yang berjaya melanjutkan pengajiannya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjanji akan tetap setia bersama-sama Sofea Delaila, biarpun mereka terpaksa berpisah jauh. Bagi Sofea Delaila pula perpisahan ini semakin membakar semangat cintanya dan kerana cintanya kepada Zahrul juga dia berazam belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan dia juga akan menjejaki Zahrul, kalau dapat ke universiti yang sama. Kejayaannya dalam pelajaran sahaja yang dapat mendekatkan dirinya kepada Zahrul teruna pujaannya.

Zarul, jejaka kacak yang berada di kota besar yang terdedah dengan kehidupan yang serba mewah dan canggih akhirnya mulai luntur kesetiaannya kepada kekasih hati yang setia menantinya, Sofea Delaila. Kehidupannya di kampus yang sering dikejar oleh kesibukan dunia mahasiswa yang cantik dan cerdik melekakan Zahrul. Dia telah pun mendapat teman baharu bernama Alisah.

Sikap dingin Zahrul menghancurluluhkan hati Sofea Delaila. Namun begitu, bagi Sofea Delaila biarpun apa-apa yang dilakukan oleh Zahrul kepadanya dia tetap setia. Walau bagaimanapun, kesetiaan Sofea Delaila tiba-tiba tergugat dengan kehadiran Nasir. Nasir dikenali Sofea Delaila ketika dia bekerja sambilan semasa menunggu keputusan STPM. Kehadiran Nasir yang dianggap sebagai pengisian kesepiannya tidak sekali-kali merubah cintanya kepada Zahrul. Nasir tidak lebih dianggapnya sebagai abang angkatnya.

Sebaliknya pula, bagi Nasir sedikit demi sedikit, Sofea Delaila telah berjaya bertakhta di hatinya, dan mengisi kekosongan hatinya setelah tunang yang dikasihi meninggal dunia. Nasir, lelaki kacak yang lebih matang berbanding dengan Zahrul, dan mempunyai profesion yang tinggi dalam kerjayanya sentiasa sabar menanti pintu hati Sofea Delaila terbuka untuknya.

Kedinginan cinta Zahrul dan kehangatan cinta Nasir yang semakin dirasai oleh Sofea Delaila, apatah lagi dengan restu yang diberi oleh keluarga Sofea Delaila sendiri terhadap Nasir, menjadikan gadis ini semakin keliru dengan perasaannya. Dia tidak tergamak melukai hati Nasir, namun dalam waktu yang sama dia masih mengharapkan cinta Zahrul.

Dalam kekeliruan itu, takdir cinta Sofea Delaila bagaikan berpihak kepada Zahrul. Sofea Delaila berjaya cemerlang dalam STPM dan berjaya melanjutkan pelajaran di UiTM seperti yang diharapkannya. Dengan demikiran Sofea Delaila dapat mendekati Zahrul.

Zahrul yang merahsiakan hubungannya dengan Alisah masih cuba melayani Sofea Delaila seperti dahulu, dia masih berjaya membuai hati Sofea Delaila dengan lagu cintanya. Sofea Delaila yang asyik dengan buaian lagu cinta Zahrul itu semakin melupakan Nasir yang selama ini membuatkan hati cintanya bagaikan terbahagi dua. Sofea Delaila berasakan dilema cintanya telah berakhir, kerana cinta sebenarnya telah berada di hadapan matanya.

Namun begitu, kebahagiaan hati Sofea Delaila tidak berpanjangan. Cinta Zahrul yang telah berpaling kepada Alisah, gadis mewah yang berjaya menunaikan segala impian Zahrul akhirnya terbongkar, apabila Sofea Delaila sendiri terserempak dengan mereka berdua.

Bermula detik itu kehidupan Sofea Delaila mulai bergelora. Tumpuan pada pelajarannya agak terganggu. Dia terlalu kecewa dan dalam waktu yang sama dia cuba bangun bersaing dengan Alisah, untuk menuntut cinta Zahrul. Sofea Delaila akhirnya tewas, dia terlantar di hospital.

Dalam waktu derita menanggung kekecewaan itu, Nasir datang menziarahi Sofea Delaila. Pancaran cinta yang setia dari mata Nasir memberi harapan baharu kepada Sofea Delaila, kerana dia mulai yakin inilah cinta setia yang didambakan olehnya sekian lama. Biarpun cintanya kepada Zahrul tidak pernah padam, dia sedar kini dia tidak harus melarikan diri daripada jejaka yang tidak pernah lelah mengejar cintanya.

Zahrul yang dalam dua persimpangan untuk memilih Sofea Delaila atau Alisah, akhirnya membuat keputusan untuk memilih Sofea Delaila, cinta pertamanya. Zahrul telah mengaturkan pertemuan dan bersedia untuk mengatakan pendirian cintanya terhadap Sofea Delaila. Namun, sejambak bunga yang dibawa bersama-samanya tidak bermakna lagi, kerana gadis yang dinanti-nantikannya tidak kunjung tiba.

Alisah yang sentiasa menanti tautan cinta Zahrul tidak melepaskan peluang apabila Zahrul kembali menghulurkan tangannya untuk menggenggamkan kembali cintanya kepada Alisah yang hampir dilepaskan oleh jejaka itu.

Namun begitu, setelah Sofea Delaila dan Zahrul bagaikan menemui “pintu” cinta mereka yang sebenar-benarnya, kedua-duanya tiba-tiba berasa telah memilih laluan “pintu” yang salah. Zahrul berasa cintanya terhadap Sofea Delaila tidak akan berakhir di situ, jika dia tahu Sofea Delaila tidak hadir pada hari yang dijanjikan untuk mereka bertemu kerana dia dimasukkan ke wad. Sofea Delaila pula tidak akan semudah itu memberi laluan kepada Nasir untuk menerobos “pintu” hatinya, jika dia mengetahui Zahrul telah bersedia menemuinya dengan satu keputusan yang pasti menggembirakannya sepanjang hayat.

Apakah kesudahan cinta mereka? Haruskah Sofea Delaila berlari mengejar cinta Zahrul yang tidak pasti?

Novel ini berjaya memainkan emosi pembaca, yang sekejap tenang mengikut ayunan langkah watak-watak ciptaan pengarangnya, dan ada waktunya pembaca turut lelah jiwanya lantaran hambatan langkah watak-wataknya yang tidak pasti dan bercelaru arah tujunya. Ke manakah arah yang perlu dipilih dalam situasi kejar dan mengejar cinta yang tidak pasti ini. Hanita Hassan berjaya membakar dan menyejukkan emosi pembaca dan novel ini pasti memberikan kesan katarsis kepada pembaca.

Monday, January 05, 2009

HARI BARU BERMULA

Hari ini 5 Januari 2009. Anak-anak akan memulakan sesi persekolahan setelah lebih sebulan bersantai di rumah tanpa buku, tetapi cuma mengadap cerita-cerita karton dan cerita-cerita fantasi ala-Indonesia di peti televisyen setiap hari. Waktu ini, jam menunjukkan ke angka 5.45 pagi. Nampaknya hasrat untuk aku bangun awal pagi ini tercapai jua. Anak-anak masih nyenyak bersama papa mereka. Aku tetap di hadapan komputer riba mengisi blog yang sentiasa inginkan sesuatu untuk tatapan semua.

Tahun baru 2009 baru lima hari hadir dalam hidup aku sekeluarga. Sibuknya di awal tahun sehinggakan aku tidak punya waktu untuk menulis atau menyiapkan kerja-kerja yang masih terbengkalai. Buku-buku sekolah anak harus diteliti satu persatu. Kesemuanya harus dibalut. Baju sekolah harus digosok. Semalam baru aku teringat hendak mengenakan lencana sekolah pada baju baru anak-anak. Aduh...macam-macam hendak dilakukan. Almaklumlah, keempat-empat anak aku akan memulakan sesi persekolahan mereka pagi ini. Anak keempat aku akan memasuki tadika pagi ini. Bagaimana agaknya si kecil yang kadang-kadang aku panggil comel, kadang-kadang aku gelar baby dan macam-macam lagi, bila hari pertama masuk sekolah. Tentu seronok. Aku bimbang bukan si kecil yang menangis masuk sekolah, tetapi sebaliknya aku yang menangis melihat anak kecilku semakin membesar.

Masa itu terlalu pantas berlalu. Sedar atau tidak, usia juga sudah semakin meningkat matang. Dalam meniti usia yang sebegini, banyak perkara yang harus aku serta suami lakukan untuk membesarkan anak-anak. Anak sulung, sememangnya amat berdikari tetapi sering cemburu dengan adik-adik. Anak kedua, masih lemah dalam subjek Inggeris. Anak ketiga pemalu tetapi sudah menunjukkan perkembangan yang positif di tadika. Anak keempat, masih belum tahu.

Rasanya adalah tidak adil membiarkan anak-anak membesar tanpa melihat perkembangan mereka dengan baik. Cita-cita mahu menulis dan menulis harus aku seimbangkan dengan cita-cita mahu melihat kejayaan anak-anak. Jika aku berjaya sekalipun, anak-anakku hancur, itu bukan berjaya namanya. Maka, aku cuba melakukan kedua-duanya sekali walaupun aku sedar itu bukannya kerja yang mudah.

Tapi rasanya, seorang penulis yang baik adalah mereka yang sering berhadapan dengan pelbagai situasi di dalam kehidupan mereka. Tidak kiralah apa pun situasinya, ia akan mengajar seseorang itu untuk melihat dan menganalisa serta menjadikannya sebagai salah satu rencah dalam tulisannya. Rasa-rasanya banyak pengalaman yang aku telah lalui dan aku yakin semua itu akan mematangkan aku untuk terus menulis.

Azan Subuh sudah berkumandang dari masjid berhampiran. Aku harus menyelesaikan tugas menulis dan memulakan hari ini dengan pelbagai lagi tugas yang belum selesai. Selamat berkarya.

Friday, January 02, 2009

TAHUN BARU AZAM BARU

Pelbagai persoalan menerobos fikiranku ketika ini sedangkan aku harus meneruskan kerja-kerja di pejabat seperti sebelum ini. Terasa rindu bila sepagi jam lapan aku membuka kunci bilik pejabat setelah seminggu bercuti atas urusan sekolah anak-anak. Rupa-rupanya sayang juga aku pada tempat kerjaku. 2 Januari 2009, adalah hari baru untuk aku kerana perjalanan hidup dengan azam baru harus diteruskan meski yang kutunggu-tunggu bersama suami masih samar-samar. Doaku agar penantian itu akan menjadi kenyataan. Amin.

Ahh…tahun baru sudah pun bermula dan sudah hampir dua hari ia mengetuk pintu hidupku. Apakah yang harus aku lakukan dengan tahun baru ini masih aku fikirkan lagi. Pabila ku toleh ke belakang, nampaknya hajatku tercapai jua bila mana sebuah manuskrip novel sudah aku tamatkan. Cuma proses penyuntingan sedang aku lakukan dengan harapan dapat disiapkan dalam satu dua hari ini. Masa itu masih 24 jam sehari tetapi aku rasakan masa yang ada bagai tidak cukup untuk menyudahkan semua urusanku yang masih tertangguh. Apa pun, tanggungjawab dan janji yang telah dimeterai harus kulaksanakan agar tidak ada hati yang terluka.

Aku cuba memenuhi aktiviti menulis di blog, namun sering sahaja tidak punya waktu. Nampaknya tahun 2009 sudah menjelma dan aku bakal semakin sibuk dengan semua kerja penulisan yang masih banyak di dalam kantung komputer ribaku. Rasanya hidup kosong tanpa buku dan tulisan. Tahun ini aku mahu meningkatkan tulisan dan cuba tidak berlengah-lengah agar lebih banyak manuskrip boleh aku hasilkan. Bila tahun berganti tahun, musim bertukar ganti, sedar atau tidak, usiaku serta suami sudah semakin meningkat. Semakin meningkat usia, semakin banyak tanggungjawabyang harus dipikul. Apatah lagi, anak-anak semakin membesar.

Azam dan semangat untuk hidup itu perlu ada dalam diri setiap manusia. Berputus asa hanya ada dalam kamus mereka yang sentiasa tidak mensyukuri atas apa jua yang diberikan oleh Allah swt. Aku sentiasa yakin bahawa setiap yang aku lakukan adalah atas dorongan Allah swt. Tanpa dorongan daripada-NYA, mana mungkin dapat aku menzahirkan semua yang ada di dalam fikiranku di dalam satu manuskrip. Aku bersyukur atas apa yang telah aku lalui selama hidup ini. Punyai suami yang sentiasa menyayangi aku dan anak-anak comel yang memahami bidang tugas aku sebagai penulis. Jangan jadikan tanggungjawab keluarga itu sebagai beban kerana bila ia terpahat di minda, sudah tentu segala apa yang dilakukan tidak mungkin akan menjadi dengan baik. Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Mungkin esok belum tentu menjanjikan sesuatu. Hiduplah hari ini dan berbuat kebajikan untuk menambah keberkatan harta. Moga tahun 2009 menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk aku, suami dan anak-anak. AMIN.