Wednesday, September 19, 2012

Penulisan Skrip Punca Pendapatan

Waktu petang begini biasanya saya sibuk di dapur menyediakan makan malam. Namun petang ini terasa mahu berlama-lama duduk di depan komputer. Terkenang empat hari lalu ketika menghadiri kursus sehari penulisan skrip filem dan teater, rasanya majlis ilmu itu sangat berguna khususnya untuk para penulis skrip baru yang mahu menjinakkan diri dalam penulisan skrip.

Usaha Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM)menjemput para penceramah yang terdiri daripada penulis skrip terkenal - Siti Jasmina Ibrahim, Pengurus Besar TV Al-Hijrah - Zainal Rashid Ahmad, Penerbit drama tv dan filem - Haji Abu Hassan Morad dari Layar Consult Sdn Bhd dan tidak ketinggalan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka - Encik Sallehudin Abg Shokeran iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera membuatkan para penceramah tidak senang duduk menjawab pelbagai persoalan daripada para peserta.

Rupa-rupanya industri dalam bidang penulisan skrip drama tv dan filem sangat pesat terutama dengan wujudnya beberapa stesen televisyen baru seperti TV-Alhijrah yang memerlukan skrip berunsur Islam. Alhamdulillah betul langkah kaki saya tempoh hari. Sudah kena masanya. Percubaan menulis sayembara adaptasi novel ke filem anjuran DBP tempoh hari adalah langkah pertama saya mencuba masuk ke dunia penulisan skrip. Meskipun tidak tersenarai antara calon pemenang, ia langsung tidak mematahkan semangat.

Syukur kerana saya diberi kesempatan mengenali para pemain dalam industri yang berkaitan dengan dunia penulisan skrip. Usaha para penceramah mengirimkan senaskah cadangan contoh skrip kepada setiap peserta diucapkan ribuan terima kasih. Semoga Allah sahaja membalas budi mereka.

Para penulis yang bekerja sepenuh masa dalam bidang penulisan, bolehlah mencuba menceburi bidang penulisan skrip kerana pendapatan jauh lebih lumayan. Namun untuk bermula, setiap penulis skrip harus mengharungi titik bengik proses pengalaman itu. Saya berpesan kepada diri sendiri supaya tidak berputus asa dalam menghasilkan karya.

Selamat berkarya.

Sunday, September 09, 2012

Novel Sejarah Johor

Saya telah menerima undangan ke Johor pada 22 September 2012 ini. Acaranya ialah Majlis Penyampaian Hadiah Novel Sejarah Johor. Alhamdulillah dua buah novel yang dihantar lewat Januari 2012 yang lalu telah dinilai dan mendapat tempat dalam pertandingan besar itu. Cuma pihak penganjur masih merahsiakan kedudukan hadiah. Berdebar-debar mahu menerima hadiah itu, dalam masa yang sama saya berasa bersyukur kerana novel-novel yang digarap itu telah berjaya mendapat perhatian para penilai.

Semoga banyak lagi kejayaan bakal menyusun di belakangku.

Kepada suami dan anak-anak, terima kasih kerana sentiasa menyokong. Hanya keluarga pengarang sahaja yang tahu bagaimana situasi ketika proses kepengarangan itu sedang berlangsung.

Kepada para pengkarya, teruslah mengarang.

Sunday, September 02, 2012

Penulisan Skrip & Teater

Skrip pertama yang saya garap berkisar tentang kehidupan di alam roh. Ketika watak utama ditimpa kemalangan, koma, dia berjalan merentasi masa bersama seorang tua dan melihat setiap pembalasan yang telah dilakukan akibat perbuatannya sendiri.

Dalam usia 27 tahun ketika karya ini lahir, saya kira skrip ini digarap atas imaginasi setelah melalui pembacaan tentang alam roh dalam novel Panrita karya sasterawan negara iaitu Arenawati. Suatu kisah yang luar biasa dan perlu penghayatan yang bersungguh-sungguh sekiranya mahu memahami penceritaan yang digarap oleh beliau. Bertitik tolak dari situ, maka lahirlah sebuah skrip berkisar tentang dunia alam roh. Ia suatu yang luar biasa dan tidak pernah digarap oleh mana-mana penulis Melaka ketika itu.

Percubaan pertama saya pada awal pembabitan dalam bidang penulisan skrip telah disiarkan di Radio Melaka FM atau dikenali sebagai Radio Melaka dalam slot drama. Skrip ini lahir setelah saya menghadiri kursus pertama iaitu Kursus Penulisan Skrip anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka pada tahun 1996.

Walau bagaimanapun, bakat dalam penulisan skrip tidak saya teruskan, kerana selepas tahun-tahun tersebut, lebih banyak novel saya hasilkan.

Alhamdulillah pada tahun 2011, sayembara penulisan skrip adaptasi novel ke filem dan sayembara menulis drama pendek anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka telah saya sertai. Percubaan itu gagal mendapat sebarang tempat. Namun saya tidak pernah putus asa. Suatu cabaran yang sangat baik buat saya setelah lama tidak terlibat dalam penulisan skrip.

Pada tahun 2012, Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi menganjurkan sayembara penulisan skrip adaptasi novel ke drama dan drama pentas berunsur Islam. Syukur juga kerana Ikatan Persuratan Melaka (IPM) iaitu suatu badan yang memperjuangkan hal-hal penulisan mengambil inisiatif menganjurkan Kursus sehari Penulisan Skrip Filem dan Teater pada 15 September 2012 di Hang Tuah City Hotel Melaka. Penyertaan terbuka kepada semua dengan bayaran RM30 seorang. Kepada yang berminat, bolehlah mendaftar segera.

Selamat berkarya.