Monday, June 01, 2009

MELAKA SEBAGAI BAHAN PENULISAN





Indah sungguh foto yang diambil rakan yang sempat saya simpan sesalinan wajah senja di muara Sungai Melaka beberapa bulan lalu ekoran satu artikel yang ditulis untuk sebuah akhbar Melayu tempatan. Keindahan wajah senja dan roda raksaksa yang satu-satunya terdapat di negeri berstatus Bandaraya Warisan Dunia ini harus diterokai sekiranya menjejak kaki di bumi Hang Tuah penuh sejarah. Kehebatan ketua negerinya yang menguliti negeri kecil ini sejak 10 tahun lalu, memajukan semula Empayar Melaka yang dahulunya runtuh akibat banyak faktor dalaman, maka sudah pasti para penulis yang imaginasinya cukup kecil harus mengimbau kegemilangan Melaka melalui perspektif pandangan dan lakaran sebenar sekiranya amat berminat menulis kisah-kisah sejarah dalam genre cerpen, puisi mahupun novel.

Novel ADLI DI ALAM FANTASI - MENEROBOS TEROWONG MASA yang digarap oleh saya beberapa tahun lalu adalah hasil imaginasi mengenai sejarah lampau Melaka yang dikaitkan dengan pertemuan kapal portugis dan dijadikan sebuah cerita fantasi untuk bacaan kanak-kanak lingkungan umur 10 - 17 tahun. Buku terbitan PTS Publication Sdn Bhd itu adalah siri novel Adli di Alam Fantasi yang ke-2 dengan novel siri pertama berjudl ADLI DI ALAM FANTASI - MISI MONYET PUTIH.

Apabila memperkatakan mengenai Melaka, tentunya tidak akan kekeringan bahan kerana terlalu banyak yang hendak dikatakan. Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan Majapahit antara tahun 1396 hingga 1403. Kesultanan Melaka memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511 yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque. Sultan Mahmud Shah adalah sultan terakhir bagi Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah 11 menubuhkan Kesultanan Johor bagi kesinambungan Kesultanan Melaka.

Kewujudan, perkembangan dan kebangkitan Melaka sebenarnya ‘ulangan semula’ tradisi Srivijaya, yang secara kebetulan merupakan warisan langsung leluhur Parameswara. Melaka muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang dilihat setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya dan China. Kejayaan mengalih tumpuan perdagangan dari Srivijaya ke Melaka secara tidak langsung mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi. Ketika itu, hanya kuasa-kuasa besar sahaja mampu mengendalikan pusat perdagangan dengan segala macam kemudahan infrastruktur serba moden yang diperlukan oleh kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhannya.

Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah peniaga borong yang terbesar dan jumlah perkapalan serta perdagangan yang terbanyak di dunia…(Duarto Barbosa- seorang Portugis).

Zaman pemerintahan tiga raja pertama Melaka merupakan era kewujudan dan pengukuhan. Sehingga awal pertama abad ke-16, Melaka mengalami era pengembangan dan keemasan. (Prof Emeritus Datuk Wira Dr Muhammad Yusoff Hashim – Pertemuan Selat Melaka dalam Selat Melaka:Gapura Sejarah Alam Melayu).

Keupayaan Melaka dan kegahannya menyaksikan sebilangan besar negeri di bawah kekuasaan Siam dan Jawa beraleh untuk bernaung di bawah kekuasaan Melaka. Antara negeri tersebut ialah Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah dan Patani. Negeri-negeri ini secara sukarela beranung di bawah Melaka. Pasai yang terkenal dengan pusat perdagangan dan agama sentiasa berkirim salam dengan Melaka. Apabila Melaka berjaya menangkis serangan Siam sebanyak dua kali sehingga berjaya menakluk Kelantan menjelang kurun ke-16, dan memutuskan hubungan hormat dengan Siam, maka kuasa besar baru selepas Siam adalah Melaka. Perluasan wilayah Melaka berkembang sama pesat dengan perkembangan pemerintahannya.

Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Meski dikatakan Melaka adalah warisan Srivijaya, namun secara keseluruhan pencapaian Melaka berbeza jika dibandingkan dengan Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Pada era kegemilangan Melaka, pemerintahnya telah mengambil langkah bijak dengan mengembangkan kekuasaannya, mengukuhkan hubungan luar melalui pernikahan dan kerjasama diplomatik, melaksanakan pentadbiran yang cekap dan sistematik, berperanan sebagai pusat pengembangan agama Islam, merupakan pusat kegiatan segala ilmu dan pusat perdagangan yang sibuk dan pesat. Kewujudan Melaka sebagai sebuah entiti politik dan kerajaan amat besar ertinya dalam sejarah Malaysia. Jika diteliti secara kasar, wajar jika sejarah awal negara dimulakan dengan tradisi Melaka kerana di sinilah segala-galanya bermula.

3 comments:

Nory said...

slm kak nita..minat join facial prcuma..sila ke blog sy..khas utk mreka yng ingin try produk kecantikan Marykay

Rusdi Abd Rahman said...

Hanita,
1. Sudah lama tidak menghantar komen dalam blog ini, namun kunjungan ke blog ini tetap dipantau hampir setiap hari. Cantik foto itu seindah beberapa tempat di Melaka.
2. Walau diri ini di Johor, namun Melaka tidak dilupakan untuk kemajuan persuratan negeri (kecil atau besar)... apatah lagi dalam konteks pembahagian kerja-kerja hakiki antara Johor dan Melaka. Melaka memang tak boleh diketepikan sebagai sumber ilham dalam penulisan ilmiah dan kreatif.
3. Jangan dilupa perancangan program khas bersama IKSEP pada Oktober nanti, tapi jika ada program lain yang bersesuaian dengan matlamat persuratan serta kena dengan kosnya... tak salah buat 1 - 2 program sebelum program khas Oktober itu ya...

Hanita Hassan said...

Salam buat orang Johor,
Terima kasih atas kepercayaan tuan mempelawa pihak saya di Melaka untuk program bersama. Saya rasa molek juga kiranya satu program wacana karya penulis Melaka dibincangkan sebelum Ramadhan menjelma. Itu pun jika Johor tidak keberatan menghulurkan tangan.

Terima kasih atas kunjungan ke blog ini. Saya cuba menulis sesuatu yang boleh dikongsi bersama penulis lain setiap kali menulis di dalam blog ini dan saya berharap dengan sedikit ilmu yang ada itu, jika dapat dikongsi bersama penulis lain, sudah tentu dunia penulisan akan melebar dan membiak dengan cepatnya.

Cuma masa yang akan menentukan dan DIA yang menyuratkannya.