Monday, May 31, 2010

Saling Memerlukan

Manusia dijadikan Allah berpasang-pasangan. Setiap pasangan dijadikan untuk saling perlu-memerlukan antara satu sama lain. Setiap pasangan punyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Namun, ramai antara kita merasakan kekurangan pasangan masing-masing sebagai satu masalah sedangkan jika masalah itu ditangani dengan baik pasti ia akan menghasilkan satu keputusan yang maha hebat. Dan ramai antara kita tidak pernah melihat kelebihan pasangan sebagai satu kekuatan dalam sebuah perhubungan.

Hari ini, dalam setiap perhubungan, pasti akan wujud ketidakpuasan hati. Ini berlaku kerana kita tidak ikhlas menerima kelebihan dan kelemahan pasangan masing-masing. Rungutan demi rungutan hadir dari mulut pasangan kerana melihat kekurangan diri sebagai masalah yang cukup besar. Segala kelebihan diri pasangan tidak pernah diberi penghargaan. Setiap hari, ada sahaja yang tidak kena. Apabila timbul masalah, pasangan cuba mengubah pasangan mereka mengikut citarasa mereka. Sedangkan kita seharusnya menerima pasangan kita seadanya. Jika perubahan yang baik perlu dilakukan kepada pasangan, kita harus dorong-dorongkan begitu juga sebaliknya tetapi secara perlahan-lahan tanpa memberi tekanan yang negatif.

Dalam zaman serba canggih hari ini, ramai dalam kalangan pasangan di luar sana yang mahukan kesempurnaan dalam kalangan pasangan masing-masing. Ramai kalangan sang isteri yang merasakan hidup terseksa kerana terpaksa bekerja sekaligus menguruskan anak-anak dan keluarga serta suami dan jika punyai perniagaan sendiri, dia perlu menguruskan bisnis sehingga merasakan hidupnya semakin tertekan. Apa yang perlu kita lakukan agar semua masalah itu boleh diatasi? Tepuk dada tanya selera. Dalam hidup ini, adam dan hawa dijadikan berpasang-pasangan kerana mereka saling perlu memerlukan dalam apa jua perkara. Maka sayangilah pasangan anda kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, tidak guna segala penyesalan.

Kesibukan melakukan banyak perkara tidak menghalang saya menyaksikan sebuah filem berjudul Robin Hood petang tadi. Banyak yang boleh saya pelajari disebalik cerita itu terutama jika kita kaitkan dalam hubungan seperti yang saya sebut di atas. Wanita tanpa lelaki tidak sempurna begitu juga lelaki tanpa wanita tidak sempurna.

Selamat berkarya. Semoga banyak karya lahir dalam waktu terdekat ini.

Friday, May 28, 2010

Pengalaman Baharu

Banyak yang ingin kukongsi bersama dalam blog ini namun apakan daya tidak punya banyak waktu untuk berbicara di sini. Alhamdulillah apa sahaja yang berlaku dalam hidupku hari ini memberi banyak idea untuk sebuah penulisan yang lebih matang. Beberapa cerpen telah kusiapkan tetapi masih tersimpan dalam komputer riba. Beberapa manuskrip perlu disiapkan tetapi masih tergendala. Pihak penerbit sudah beberapa kali mengingatkan aku. Rupa-rupanya berniaga dan menulis dalam satu masa perlu kubahagikan. Aku berharap dapat merebut masa yang berlari meninggalkan aku. Aku melihat ke hadapan dan menyaksikan banyak peluang yang datang. Idea baharu wujud satu demi satu. Cuma aku sedang memikirkan, bilakah kesemua ide itu dapat kumuntahkan ke dalam sebuah tulisan.

Hari ini aku faham, untuk menjadi penulis yang bagus, kita harus menulis sesuatu yang dilihat hasil dari pengalaman sendiri. Tulislah dari hati kerana tulisan yang ditulis dari hati akan menghasilkan sebuah manuskrip yang amat hebat. Percayalah.

Aku berharap dapat menulis lebih panjang namun anak-anak sudah memanggil untuk bersarapan pagi. Semoga kita bertemu lagi.

Dua buah novel (dewasa) dan kanak-kanak dan sebuah komik akan terbit tahun ini Insya-Allah. Akan kuwar-warkan kepada rakan-rakan sekiranya ia sudah ada di pasaran.

Kepada rakan penulis, teruskan berkarya kerana generasi hari ini dan esok memerlukan lebih banyak bahan penulisan untuk pembacaan.

Sunday, May 02, 2010

Terengganu Ku Hadir Jua

Kuinjak kaki di bumimu
Kuhirup segar udaramu
Kupandang sekeliling wajahmu
Mungkinkah akan kuinjak kaki ke sini lagi

Semalam
Kupijak pasirmu yang halus
Lalu deruan ombak mendamaikan
Hatiku tenang setenang sang ketam
Sedang bersembunyi di celah kelam malam

Semalam
Banyak cerita terungkap
Sedang hati masih berbicara
Apakah rahmatnya di sebalik semua itu
Ku cuba mencari jawapan
Namun kubiarkan angin menjawab segala persoalan
Kubiarkan wajah senja memberi ilham
Kubiarkan segala-galanya memberi jawapan
Atas persoalan yang tidak pernah kujangkakan

Moga ada sinar bahagia
Di sebalik segala yang sedang berlaku

Kupandang wajah anak-anak
Kalianlah sinar hidupku
Kupandang wajah suami
Kaulah kekuatanku