Pertemuan dan perpisahan dalam kehidupan adalah suatu lumrah. Setiap dari kita tidak terlepas dari menghadapi saat-saat itu. Saya masih ingat ketika semester akhir di universiti, terasa sayang mahu meninggalkan semua teman seperjuangan. Namun apakan daya, setiap manusia punya cita-cita dan kemahuan dan masing-masing perlu mengikut haluan sendiri untuk menjayakan hasrat yang telah tertanam kian lama dalam sanubari.
Saya tidak pernah punya cita-cita mahu menjadi seorang penulis. Namun naluri untuk menulis karya novel datang dengan sendirinya. Dahulu, saya percaya semuanya berlaku kerana sikap saya yang terlalu banyak membaca, tetapi kini saya sedar selain faktor ilmu dan pengalaman, saya juga dianugerahkan Allah satu kurniaan yang tidak saya sedari iaitu bakat menulis. Alhamdulillah sejak novel pertama diterbitkan tahun 1996 sehingga 2010, sebanyak 9 buah novel telah saya hasilkan tidak termasuk buku umum yang lain.
Antara novel yang telah terbit:
1. Wajah Rahsia - 2010 (Pekan Ilmu Publication)
2. Adli di Alam Fantasi - Penyelamat Alam - 2010 (PTS One)
3. Haruskah Aku Berlari - 2008 (DBP)
4. Adli di Alam Fantasi - Misi Monyet Putih - 2007 (PTS One)
5. Adli di Alam Fantasi - Menerobos Terowong Masa - 2007 (PTS One)
6. Lima Sekawan di Bukit Botak - 2005 (DBP)
7. Lelaki Akukah Yang Terlewat - 1999 (Rytham Publication)
8. Hafiz Iskandar - 1998 (Alaf 21)
9. Diari Buat Rothman - 1996 (Melati Publisher)
Apa yang saya ingin sampaikan ialah, empat hari yang lepas, semasa saya mengunjungi sebuah kedai makan untuk bersarapan bersama teman-teman satu bisnis, saya terserempak dengan kawan lama satu universiti. Paling syok bila anak perempuannya teruja kerana melihat orang yang menulis buku yang dibacanya ada di depan mata.
Kawan seuniversiti yang telah agak lama tidak ketemu rupa-rupanya sudah punya anak yang sudah meningkat remaja dan mulai suka membaca. Buku saya adalah antara koleksi buku yang ada menjadi kegemarannya.
Bila dihitung masa, terlalu pantas ia berlalu. Jika saya tidak menulis dan menghasilkan karya 15 tahun lalu, tidak mungkin saya boleh menyenaraikan novel dan hasil tulisan saya di dalam laman sesawang ini. Alhamdulillah semua yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya.
Ramai antara kita hari ini yang hendak menghasilkan karya tetapi selalu tertahan-tahan dengan kekangan waktu dan menangguh-nangguhkannya. Tanpa mereka sedari, waktu terus berlalu, namun hasil dan karya tidak juga dapat disiapkan. Semuanya kerana tidak serius dengan cita-cita sendiri. Jika hari ini setiap pengkarya dapat menghasilkan satu naskah karyanya setiap tahun, sudah pasti industri buku di negara kita akan berkembang dengan pesatnya.
Semoga banyak lagi buku yang boleh saya hasilkan untuk tatapan pembaca di luar sana.
Selamat berkarya dan selamat membaca buku.
Kepada anak-anak buah saya yang sedang menghadapi peperiksaan, terus berusaha dan jangan putus asa serta sentiasa bertawakal setelah berusaha. Insya-Allah pasti akan berjaya.
Terima kasih kepada suami dan anak-anak yang tidak jemu-jemu menyokong hasil usaha saya ini.
No comments:
Post a Comment