Monday, May 14, 2012

Memasarkan Karya

"Yahoo...karya aku dah terbit!"

Itu adalah teriakan gembira sang penulis setiap kali karya anda terbit. Teruja menatap karya anda sehingga lupa tentang perkara lain. Aku juga sering begitu setiap kali karya aku menjengah ke muka pintu. Namun apa selepas itu? Adakah anda mahu menghasilkan manuskrip seterusnya, atau mahu berehat dan mula mempromosikan karya anda. Bagaimana mahu mempromosi? Atau biar penerbit sahaja yang melakukan tugas mereka. Atau anda tunggu kunjungan cek royalti setahun kemudian. Adakah itu yang sang penulis lakukan di luar sana? Rata-rata begitulah.

Aku tidak pernah kisah bagaimana cara penerbit mahu memasarkan karya aku. Sedang karya-karya aku berada di pasaran, aku juga sibuk menguruskan hal-hal harian dan tempat kerja. Maka aku tidak punya waktu bertanya perihal jualan karya aku dan sebagainya. Sehinggalah sehelai cek mampir di muka pintu rumah setahun kemudian, barulah aku sedar bahawa karya aku sudah dicetak buat kali kedua. Penerbit juga tidak sempat memaklumkan kepada aku. Namun semuanya tercetak dalam kiraan stok buku yang dihantar ke rumah.

Bagi penerbit yang punya sistem pemasaran dan kiraan simpanan stok yang sistematik, itu adalah sesuatu yang sangat baik. Tidak kurang juga berlaku sebaliknya kepada penerbit kecil-kecilan yang selalu tidak sempat mengira stok walaupun karya sudah tercetak menjangkau dua ke tiga tahun. Akibatnya tiada cek yang akan tiba di kotak mel pengkarya. Bagi yang tidak menunggu, tidaklah terlalu hampa. Bagi yang menjadikan penulisan periuk nasi mereka, kedatangan cek royalti amatlah dinantikan.

Bergelumang dalam dunia penulis perlukan kesabaran yang tinggi. Sebagai penulis dan penghasil karya, bukan mudah untuk menulis dan dalam masa yang sama memasarkan karya sendiri. Ia adalah dua perkara yang berbeza. Namun jika para pengkarya punya strategi luar biasa,bolehlah menulis, mencetak dan memasarkan sendiri hasil anda. Itu lebih terjamin, namun kenalah lakukan dengan bersungguh-sungguh dan bersedia mengumpul modal untuk melalui proses itu.

Selamat berkarya. Penulis yang baik tidak perlu memikirkan titik bengik urusan dalam dunia penerbitan. Anda hanya perlu menulis dan menulis dan biarlah orang lain yang memikirkan cara memasarkan produk anda.


No comments: