Wednesday, May 09, 2012

Pelupusan Buku


Seorang penulis itu pasti teruja bila pihak penerbit bersetuju menerbitkan manuskrip mereka. Tidak kira dalam genre novel atau buku ilmiah, ia satu penghargaan yang sangat membanggakan penulis terutama bagi penulis yang pertama kali karyanya bakal terbit. Setiap hari menghitung waktu. Sebaik sahaja manuskrip berjaya dibukukan, dijual di pasaran, perkara pertama yang difikirkan oleh penulis ialah bagaimana penerimaan pembaca? Apa kata pengkritik? Jika pembaca suka, mereka beli buku anda, jika pengkritik suka, mereka akan kritik yang baik-baik sahaja. Jika semuanya berjalan dengan baik, sudah pasti pendapatan penulis hasil jualan lumayan. Jika berlaku sebaliknya, penulis patah hati.

Masalah buku tidak terjual berlaku di mana-mana. Ada novel yang telah diterbitkan tahun 2009 masih tidak dikira royaltinya sehingga 2012. Ada penulis yang kali terakhir terima royalti tahun 2008, masih tidak dikira royaltinya sehingga 2012. Ada juga penulis yang tidak sedar bahawa dia tidak pernah terima royalti hasil dari jualan bukunya???

Jika kita mencari masalah, masalah akan membesar. Jika kita mencari penyelesaian, kita pasti dapat penyelesaiannya. Namun itulah realiti yang berlaku dalam dunia penerbitan. Buku dan novel berlumba-lumba menambat hati pembaca. Pelan pemasaran yang berkesan tidak dilakukan, yang menjadi mangsa penulis kerana buku terbit, tiada hasil. Maka angan-angan untuk menjana pendapatan hasil dari penulisan jadi angan-angan sahaja.

Namun ada penerbit yang sangat aktif di pasaran. Buku-buku terbitan mereka sangat laku macam goreng pisang panas. Dengan penerbit ini, setiap tahun royalti dikira. Alhamdulillah. Tidak kurang juga dalam kalangan penulis yang patah hati, patah semangat disebabkan jualan buku mereka yang tidak memberangsangkan. Ada penerbit yang memaklumlah tentang ketidakberhasilan mereka untuk menjual buku penulis dan ada juga penerbit yang hanya membatukan diri. Akhirnya buku yang tidak terjual dilelong atau dilupuskan.

Itulah dunia buku di negara kita.
Seperti kerjaya lain, kerjaya dalam bidang penulisan juga tidak kurang hebatnya. Setiap penulis perlu membina nama dan populariti sehingga dikenali agar karya mereka dibeli di pasaran. Jangan cepat patah hati. Bukan senang untuk berjaya. Ia memerlukan banyak pengorbanan.

Salam karyawan. Selamat beristirehat.

No comments: