Waktu petang begini biasanya saya sibuk di dapur menyediakan makan malam. Namun petang ini terasa mahu berlama-lama duduk di depan komputer. Terkenang empat hari lalu ketika menghadiri kursus sehari penulisan skrip filem dan teater, rasanya majlis ilmu itu sangat berguna khususnya untuk para penulis skrip baru yang mahu menjinakkan diri dalam penulisan skrip.
Usaha Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM)menjemput para penceramah yang terdiri daripada penulis skrip terkenal - Siti Jasmina Ibrahim, Pengurus Besar TV Al-Hijrah - Zainal Rashid Ahmad, Penerbit drama tv dan filem - Haji Abu Hassan Morad dari Layar Consult Sdn Bhd dan tidak ketinggalan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka - Encik Sallehudin Abg Shokeran iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera membuatkan para penceramah tidak senang duduk menjawab pelbagai persoalan daripada para peserta.
Rupa-rupanya industri dalam bidang penulisan skrip drama tv dan filem sangat pesat terutama dengan wujudnya beberapa stesen televisyen baru seperti TV-Alhijrah yang memerlukan skrip berunsur Islam. Alhamdulillah betul langkah kaki saya tempoh hari. Sudah kena masanya. Percubaan menulis sayembara adaptasi novel ke filem anjuran DBP tempoh hari adalah langkah pertama saya mencuba masuk ke dunia penulisan skrip. Meskipun tidak tersenarai antara calon pemenang, ia langsung tidak mematahkan semangat.
Syukur kerana saya diberi kesempatan mengenali para pemain dalam industri yang berkaitan dengan dunia penulisan skrip. Usaha para penceramah mengirimkan senaskah cadangan contoh skrip kepada setiap peserta diucapkan ribuan terima kasih. Semoga Allah sahaja membalas budi mereka.
Para penulis yang bekerja sepenuh masa dalam bidang penulisan, bolehlah mencuba menceburi bidang penulisan skrip kerana pendapatan jauh lebih lumayan. Namun untuk bermula, setiap penulis skrip harus mengharungi titik bengik proses pengalaman itu. Saya berpesan kepada diri sendiri supaya tidak berputus asa dalam menghasilkan karya.
Selamat berkarya.
No comments:
Post a Comment