Sunday, September 02, 2012

Penulisan Skrip & Teater

Skrip pertama yang saya garap berkisar tentang kehidupan di alam roh. Ketika watak utama ditimpa kemalangan, koma, dia berjalan merentasi masa bersama seorang tua dan melihat setiap pembalasan yang telah dilakukan akibat perbuatannya sendiri.

Dalam usia 27 tahun ketika karya ini lahir, saya kira skrip ini digarap atas imaginasi setelah melalui pembacaan tentang alam roh dalam novel Panrita karya sasterawan negara iaitu Arenawati. Suatu kisah yang luar biasa dan perlu penghayatan yang bersungguh-sungguh sekiranya mahu memahami penceritaan yang digarap oleh beliau. Bertitik tolak dari situ, maka lahirlah sebuah skrip berkisar tentang dunia alam roh. Ia suatu yang luar biasa dan tidak pernah digarap oleh mana-mana penulis Melaka ketika itu.

Percubaan pertama saya pada awal pembabitan dalam bidang penulisan skrip telah disiarkan di Radio Melaka FM atau dikenali sebagai Radio Melaka dalam slot drama. Skrip ini lahir setelah saya menghadiri kursus pertama iaitu Kursus Penulisan Skrip anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka pada tahun 1996.

Walau bagaimanapun, bakat dalam penulisan skrip tidak saya teruskan, kerana selepas tahun-tahun tersebut, lebih banyak novel saya hasilkan.

Alhamdulillah pada tahun 2011, sayembara penulisan skrip adaptasi novel ke filem dan sayembara menulis drama pendek anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka telah saya sertai. Percubaan itu gagal mendapat sebarang tempat. Namun saya tidak pernah putus asa. Suatu cabaran yang sangat baik buat saya setelah lama tidak terlibat dalam penulisan skrip.

Pada tahun 2012, Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi menganjurkan sayembara penulisan skrip adaptasi novel ke drama dan drama pentas berunsur Islam. Syukur juga kerana Ikatan Persuratan Melaka (IPM) iaitu suatu badan yang memperjuangkan hal-hal penulisan mengambil inisiatif menganjurkan Kursus sehari Penulisan Skrip Filem dan Teater pada 15 September 2012 di Hang Tuah City Hotel Melaka. Penyertaan terbuka kepada semua dengan bayaran RM30 seorang. Kepada yang berminat, bolehlah mendaftar segera.

Selamat berkarya.

No comments: