Friday, January 04, 2013

HADIAH TAHUN BARU

Pada 02 Januari 2013, hari kedua tahun 2013, hari pertama anak-anak mula bersekolah, sebuah bungkusan tiba di muka pintu sekitar jam 5.30 petang. Hati saya berdebar-debar ingin tahu isi kandungannya. Saya melihat alamat urus setia, rasa syukur saya ke hadrat Allah swt atas ketentuan-Nya,tahun baru ini bermula dengan hadiah kemenangan sayembara menulis esei kraf. Kegembiraan ini berterusan apabila saya menerima berita keputusan peperiksaan agama anak lelaki cemerlang dengan 4A 2B 2C. Syukur saya bertambah-tambah.

Tahun 2012,adalah tahun kejayaan apabila saya terpilih tempat kedua dan ketiga dalam sayembara menulis novel sejarah IV. Kejayaan itu menyuntik semangat saya sehingga sebelum tahun 2012 menutup tirai, sempat saya siapkan dua buah manuskrip (Skrip adaptasi novel ke drama tv dan sayembara novel).

Bahagia yang saya kecapi ini hasil semangat suami dan anak-anak. Mereka sentiasa di belakang saya, memberi sokongan selepas saya mengambil keputusan berhenti kerja dan memberi tumpuan dalam bidang penulisan.

Kini saya faham, kenapa ramai orang berjaya di luar sana berkata bahawa manusia punya dua pilihan dalam hidup. Mereka boleh memilih untuk bahagia atau memilih untuk derita. Pilihan adalah di tangan sendiri. Alhamdulillah Illahi telah tunjukkan jalan. Saya yakin dengan ketentuan-Nya.

Syukur, ketika ini, saya berjaya menyiapkan puisi-puisi untuk sayembara anjuran ITBM-PENA-Berita Harian. Seingat saya, sudah berpuluh tahun tidak ada puisi yang saya hasilkan. Apabila ada sayembara seperti ini, terasa bersalah kepada diri sendiri jika tidak menyertainya. Seperti kata pepatah, untuk mendapat kejayaan, kita perlu lakukan yang terbaik. Saya tidak pernah terfikir mahu bersaing dengan sesiapa, tetapi saya sentiasa menulis untuk kepuasan diri sendiri.

Semasa bekerja sebagai wartawan, jika berita tidak sampai ke meja Editor seperti yang dikehendaki, memang teruklah wartawan tu kena bambu. Kebiasaan itu juga saya sering gunakan ketika menyiapkan manuskrip-manuskrip saya. Alhamdulillah, berkata bantuan dan sokongan keluarga, dan restu Ya Rabb, saya berjaya berada di tahap ini. Syukur, syukur.

Kepada teman penulis, tulislah bersungguh-sungguh seolah-olah itulah karya anda yang terakhir. Moga usaha kita mendapat keberkatan daripada Yang Esa. Amin.

Salam Tahun Baru 2013.

No comments: