Monday, January 04, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Sudah empat hari tahun 2010 menjengah wajahnya ke dalam diari hidupku. Maka rasanya sudah empat hari juga, aku meninggalkan tahun 2009. Terasa sungguh pantas masa berlalu bagaikan tidak terasa usia makin meningkat. Akhirnya tahun 2009 berakhir tanpa sempat aku siapkan sebuah manuskrip untuk sebuah pertandingan yang cukup hebat. Namun aku masih mencuba menyiapkannya dalam waktu terdekat ini.

Muhammad Adli anak ketiga memulakan alam persekolahan hari ini. Dia langsung tidak menunjukkan kebimbangan malah aku sebagai ibunya yang amat risau. Kuat sungguh semangatnya hingga tidak gentar apa pun rintangan di sekolah barunya.

Muhammad Adam, anak kecilku berlari-lari memasuki perkarangan taskanya awal pagi tadi untuk memulakan hari barunya.

Nur Adibah dan Muhammad Adib, seawal subuh sudah menyiapkan diri untuk bertemu sahabat dan rakan yang terpisah sejak lebih sebulan lalu di kelas masing-masing.

Kesibukan mengurus anak-anak akan bermula hari ini. Namun ada azam baru yang tersemat kejap dalam mindaku dan minta dimuntahkan. Masanya seakan sudah tiba dan ia laksana bom yang akan meletup bila-bila masa sahaja.

Semalam ketika menerima satu jawaban dari pesanan ringkas seorang teman yang bakal menguliti novelku, jantungku tersentak membaca sms yang amat pedih untuk kukongsi bersama. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui kesedihan itu. Aku mungkin bukan penulis yang hebat buat ketika ini, Insya-Allah akan kubuktikan bahawa dia juga tidak layak untuk mengulas novelku jika beginilah keadaannya.

Semoga 2010 memberi semangat yang lebih kuat untuk aku dan keluarga menempuhi hari-hari seterusnya. Amin.

No comments: