Thursday, June 18, 2015

Ramadan Ya Marhaban

Renyai pagi menyejukkan buat seluruh keluarga yang sedang berlawan dengan hawa nafsu pada hari pertama menghadapi Ramadan 1436 H. Sungguh pantas waktu sehingga tidak sedar usiaku semakin lanjut melihat anak-anak semakin membesar. Begitulah putaran waktu, yang kecil bertambah dewasa, yang muda semakin dewasa, yang tua telah pergi meninggalkan kita.

Ramadan mengingatkan aku kepada arwah mak dan baba. Setiap kali waktu berbuka, bermacam juadah pasti disediakan mak untuk aku adik-beradik. Kini, giliran aku menyediakan untuk anak-anak. Dahulu bila mak buat juadah berbuka, akulah orang yang paling takjub dengan kepandaian mak yang aku kira serba serbi tahu. Boleh masak, buat kuih, itu tidak lagi bab kreatif menjahit baju, langsir dan banyak lagi. Kini setelah aku berada di dalam situasi yang pernah mak lalui, baharulah aku sedar manusia itu matang dan bijak kerana usia dan persekitaran.

Agaknya apa juadah berbuka hari pertama ini. Aku sedang memikirkan setiap kesukaan ahli keluarga sebelum digabung menjadi satu dan itulah menu pada petang ini. Semoga Ramadan ini membawa seribu keberkatan buat aku sekeluarga serta adik-beradik yang lain. Semoga Ramadan ini memberi sinar kepada insan yang tidak bernasib baik di luar sana.

Insya-Allah, jika yakin dan percaya semua yang berlaku dalam hidup kita adalah ketentuan-Nya, kita pasti boleh lalui apa jua cabaran dan rintingan di hadapan untuk menuju jaya. Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak.

No comments: