Thursday, November 19, 2009

IKHLASLAH WAHAI TEMAN

Dan angin pun menerbangkan perkhabaran riang untuk aku yang berada nun jauh di sini tentang sesuatu yang tidak pernah kufikirkan akan terjadi. Naluriku berkata memang benarlah seperti kata sang bijak pandai tentang keikhlasan. Buatlah apa sahaja dalam hidup ini, tetapi buatlah dengan penuh keikhlasan. Keajaiban yang berlaku sepanjang tiga hari di Tanjung Piai memberi makna yang cukup besar dalam hidupku. Kejayaan itu adalah detik permulaan untuk aku terus percaya akan kebolehan diri ini.

Kulepaskan segala lelah dengan senyuman. Kucuba ukir nama indahmu di atas batu agar tidak hilang di telan waktu. Dan desir angin dari lautan Tanjung Piai memberi seribu makna untuk aku meneruskan langkah menjadi orang yang lebih hebat dari semalam.

Hatiku berbunga riang dan keyakinanku semakin bertambah. Jika ada hati yang kecewa, itu adalah lumrah alam. Dalam setiap kegembiraan orang lain, sudah pasti ada insan yang sedang melalui detik kekecewaan. Itulah timbal balik dari hukum Allah. Aku menerima segala yang berlaku dalam hidupku akhir-akhir ini seadanya. Angin perubahan ini amat bermakna buatku.

Hari ini, ada sinar bahagia menelusuri ke seluruh sendi-sendiku. Sang alam memanggil namaku dan memberi semangat bumi yang tidak pernah kufikirkan selama ini. Wahai sang penulis temanku, berbicaralah seadanya dan seikhlas mungkin dalam setiap bait bicara kerana itulah perasaan yang bisa meranapkan seluruh maya pada ini pabila sang pencinta mulai berbicara.

Berkaryalah wahai sang penulis kerana tanpa karya anda, ke manalah harus bait-bait indah itu hendak dimuntahkan. Moga kelopak mawar merah yang berterbangan di awangan mula melagukan lagu riang untuk seluruh isi dunia.

Selamat berkarya. Buatlah sesuatu dengan penuh keikhlasan.

No comments: