Aidiladha tahun ini seakan muram. Tidak ada kunjungan adik beradik ke teratak bonda seolah-olah sudah tiada siapa yang wujud di dalamnya. Teratak Bonda semakin sepi meski hari raya seharusnya dihiasi dengan tawa dan ria anak-anak dan cucu-cucu bonda.
Bonda telah tiada tetapi ayahanda masih sihat melayari bahtera hidupnya dan mengisi hari-hari yang semakin walang. Hakikat korban itu sering dilupakan sedangkan sudah puas di corong radio mahupun di kaca televisyen memaparkan konsep pengorbanan sempena Aidiladha. Terasa sedak menyaksikan renggangnya sebuah ikatan antara anak dan adik beradik sedangkan itulah yang paling ditakuti berlaku dalam sebuah ikatan persaudaraan.
Aku berdoa agar seluruh keturunan bonda dan ayahanda sedar dari khayalan dan bangkit untuk sebuah ikatan persaudaraan yang lebih kukuh. Bak kata pepatah bagaikan air yang dicincang tidak kan putus, begitu juga ikatan adik beradik. Apa pun yang berlaku, setiap kekurangan itu harus dirungkai dengan usaha yang berterusan. Ayahanda kelihatan sugul sedangkan dia seharusnya bergembira di hari raya.
Moga sinar cahaya bergemerlapan di hati setiap saudara ku. Moga ayahanda makin sihat dan melayari hidup ini dengan seadanya bersama anak-anakku yang menjadi penanti setiap untuk memeluk ayahandaku.
No comments:
Post a Comment