Sunday, November 08, 2009

POTENSI DIRI

Ayam berkokok menandakan hari sudah merangkak siang. Fajar Subuh akan menyinsing. Suara azan Subuh juga akan berkumandang dari masjid berhampiran sebentar sahaja lagi. Jam di dinding menunjukkan ke angka 5.16 pagi. Aku sudah berjaga seawal 4 pagi lagi untuk menyiapkan projek penulisan yang masih separuh belum dilunaskan. Dalam masa yang sama, aku juga harus ke kota besar Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi untuk menghadiri pertemuan dengan rakan-rakan bisnis dari seluruh Malaysia.

Alhamdulillah, dalam ribut bekerja, menulis dan berkarya, menjaga keluarga, aku juga diberi Allah SWT ruang waktu untuk melakukan bisnis indah ini.

Untuk apa aku berhempas-pulas melakukan semua ini? Sudah tentu ada faktor penolak yang menyebabkan aku berubah hampir 360 darjah dari diri aku yang dahulunya. Semua yang berlaku sudah tentu ada yang menggerakkannya. Kalau tidak DIA yang memberi, sudah tentu aku tidak akan dapat menerimanya. Semuanya berlaku kerana aku sentiasa mencari dan memohon dari-NYA, dan sudah tentu aku akan mendapatkannya lambat atau cepat kerana aku sentiasa berusaha ke arah itu.

Menulis adalah suatu perkara yang telah sebati dalam hidupku. Ia datang tanpa diundang tetapi meninggalkan suatu kesan yang sangat mendalam. Apabila aku berkarya, suatu perasaan halus wujud dalam diri ini. Apakah perasaan itu, hanya penulis sahaja yang lebih mengetahuinya. Menulis tidak akan aku tinggalkan walau sibuk melaksanakan rutin harian kerana ilmu itu jika dikembangkan, ia akan berguna kepada ramai orang termasuk diri kita dan orang yang aku sayang.

Mungkin kita tidak pernah terfikir bahawa untuk menghadapi kehidupan pada hari ini, potensi diri yang berligar-ligar dalam diri kita perlu diteroka. Sebabnya, kita tidak pernah ambil tahu potensi diri kita sendiri.

Dalam diri setiap manusia, telah wujud sifat diri yang baik dan sebaliknya dan sekiranya seseorang itu mengenal potensi diri yang baik dan melaksanakannya, sudah tentu dan Insya-Allah, apa sahaja yang dilakukannya akan membuahkan hasil yang amat memeranjatkan. Sebaliknya jika kita tidak mengetahui potensi diri kita, kehidupan ini akan bergerak seperti putaran waktu yang biasa, menghadapi rutin harian yang sangat biasa dan hidup dengan keadaan yang amat biasa.

Orang yang tahu potensi dirinya, hidupnya lebih hebat dan luar biasa dari orang-orang biasa yang berada di luar sana.

Hiduplah hari ini untuk menjadi seorang yang luar biasa bukan orang yang biasa-biasa sahaja. Setelah berpuluh tahun kita hidup di muka bumi Allah dengan rutin harian yang biasa-biasa, kenapa kita harus meneruskan kehidupan kita untuk bertahun-tahun akan datang dengan rutin harian yang biasa-biasa sahaja?

Keluarlah dari kepompong bersikap tidak apa kerana hidup ini sebenarnya amat indah dan penuh bermakna jika kita tahu menggunakannya. Hiduplah untuk keluarga dan orang yang anda sayangi. Nescaya, dari kasih sayang itu, akan lahir lebih banyak sifat baik untuk membantu orang lain yang dekat dengan kita.

Selamat berkarya. Tulislah sesuatu yang luar biasa dalam karya anda kerana sudah banyak karya yang biasa-biasa kita lihat di luar sana. Jadilah penulis yang luar biasa untuk mencipta kejayaan sebagai Jutawan.

Selamat berjaya. Salam 1 Malaysia.

No comments: