Novel Haruskah Aku Berlari karya Hanita binti Hassan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka tahun 2008 telah dibicarakan oleh saudara Mohamad bin Musip pada 22 Januari 2010. Program setengah hari itu adalah anjuran Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan bersama Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.
Pembicara mengupas novel ini melalui pendekatan Pemaparan Wacana Psikologi Cinta Menerusi Janaan Ayat Yang Mesra Nahu Dalam ‘Haruskah Aku Berlari’ Suatu Penerapan Pendekatan Stilistik.
Suatu hal yang amat menarik mendengar pembicara mengulas novel ini ialah apabila pembicara mengatakan bahawa HAB memperlihatkan dua dimensi yang terjalin erat iaitu dimensi kebijaksanaan psikologi (psikologi cinta) dan dimensi keupayaan berbahasa. Kedua-dua dimensi ini merupakan kerangka yang membina karya. Kerangka inilah yang menyumbangkan makna dalam pembacaan. Dalam konteks ini, Roger Webster (Shamsuddin Jaafar (penterjemah), 2004) menjelaskan pandangan seorang penulis Barat bernama Roland Barthes. Menurut Barthes, dalam sesebuah karya, bahasalah yang berbicara dan bukannya pengarang. Turut disentuhnya ialah makna yang terkandung dalam teks sastera yang terfokus kepada pembaca bukannya pengarang. Namun, umum menyedari bahawa pada hakikatnya, pengaranglah yang menggunakan bahasa dalam karya lantaran keupayaannya memanipulasi bahasa itu sendiri.
Pembicara juga percaya bahawa disebabkan pengarang adalah mantan wartawan, maka penggunaan bahasa yang digunakan di dalam novel HAB cukup indah dan puitis serta sangat tepat dengan situasi yang didepani watak utama Sofea Delaila. Pembicara juga berpendapat bahawa jika suatu usaha dapat dilakukan untuk mengumpul perangkaan tentang lelaki atau gadis yang pernah kecewa dalam kancah percintaan, dan kemudiannya dapat dirawat, maka HAB ialah contoh bahan bacaan yang dapat dikelompokkan sebagai bahan bantu untuk melaksanakan terapi psikologi yang mujarab.
Menekuni HAB membawa pembicara terkepung dengan naluri ingin tahu meskipun sewaktu membaca ayat pertama, ia seolah-olah hanya memaparkan klise emosi percintaan yang amat biasa. Namun, pembicara akhirnya cakna kepada HAB malah setelah membaca ayat demi ayat, seterusnya perenggan demi perenggan, bab demi bab maka minatnya tumbuh subur sehingga ia memberikan kepuasan membaca kepada pembicara.
Hal yang demikian bertepatan dengan pandangan Othman Putih (1986) yang menyatakan bahawa sastera remaja pada dasarnya haruslah dapat berfungsi memberikan pendidikan dan hiburan kepada masyarakat pembaca remaja itu sendiri. Haruskah Aku Berlari adalah kisah dilemma memilih cinta sejati.
Sofea Delaila hidup berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana di Kampung Bukit, Melaka Tengah, Melaka. Bersandarkan keputusan SPM yang baik, dia layak meneruskan persekolahan di tingkatan enam di sebuah sekolah ternama, Sekolah Tinggi Melaka (STM/MHS). Di sekolah ini, Zahrul, pelajar lama STM yang turut melaporkan diri untuk belajar di tingkatan enam, terpikat dengan Sofea. Mereka akhirnya menjadi sahabat yang akhrab. Persahabatan yang baru terjalin antara dua remaja ini tiba-tiba renggang kerana Zahrul menerima tawaran untuk belajar di UiTM Shah Alam. Jarak yang jauh di antara Melaka dengan Shah Alam, ditambah dengan kesibukan Zahrul mengikuti kuliahnya, telah menjadikan hubungan Zahrul dan Sofea dingin. Akibatnya, Sofea berdepan dengan kekeliruan sama ada Zahrul masih mengingatinya atau sebaliknya. Sewaktu menunggu keputusan STPM, Sofea berpeluang bekerja sementara di sebuah syarikat. Di syarikat ini, Sofea diperhatikan dengan penuh minat oleh Nasir, seorang jurutera muda yang kematian tunang. Nasir begitu mengambil berat tentang diri Sofea. Akhirnya, Sofea menyambut salam persahabatan daripada Nasir. Ketika itu, perasaan Sofea kian tertekan dan keliru, memikirkan sama ada Zahrul masih mengingatinya atau dia perlu menerima Nasir sebagai teman istimewa.
Berbekalkan keputusan STPM. Sofea berjaya mengikuti jejak langkah Zahrul, belajar di UiTM dalam jurusan kewartawanan. Di UiTM, Sofea dapat melihat sendiri betapa sebenarnya Zahrul sudah mempunyai teman rapat yang sejurusan dengannya iaitu Alisah. Namun, Zahrul masih meluahkan madah berhelah kepada Sofea dengan mengatakan Alisah cuma rakan sekuliah. Sofea terdorong untuk menolak cinta Zahrul. Kesan menempuh hujan ketika dipaksa membonceng motosikal Zahrul, Sofea lalu terkena demam panas sehingga perlu dirawat di sebuah hospital di Kelang. Ketika di hospital, Sofea diziarahi Nasir yang menerima perkhabaran tentang dirinya ketika dia sedang berkursus di Kuala Lumpur. Pertemuan semula di hospital itu menghidupkan kembali semangat Sofea. Dia yang sedang mengalami kegawatan cintanya gara-gara diabaikan oleh Zahrul, ditakdirkan bertemu dengan Nasir yang sabar menanti. Mereka akhirnya menjadi pasangan kekasih.
Pembicara menekankan bahawa novel HAB sarat dengan persoalan psikologi, tentang jiwa, emosi, suka, duka, rindu, benci, marah, sayang serta puja dan puji dan pengarang dengan jelas memberitahu pembaca bahawa percintaan sesama insan sering disaratkan oleh pengharapan yang menggunung dan terjebak oleh kekecewaan yang menggaung.
Pembicara juga amat kagum dengan kebijaksanaan pengarang yang telah mengolah watak Sofea Delaila dengan begitu sempurna iaitu seorang gadis yang sedar akan hakikat kejadian insan dan olahan watak ini dirasakan pembicara mampu mengundang kekaguman pembaca. Meskipun Sofea Delaila terkejut oleh kecurangan kekasih hatinya, namun fikiran sedarnya tetap meletakkan agama di puncak diri dengan meluahkan kata-kata:
“….Jika inilah takdir Illahi, aku pasrah. Biar aku sahaja yang menanggung derita ini. Mungkin jodoh tidak menyebelahi kita. Setakat ini sahaja perhubungan kita.
Aku amat terluka…” (hal. 3)
Pembicara mengatakan bahawa jalan cerita HAB berkembang secara kronologi dalam 20 bab yang padu, termasuk sisipan sejumlah subplot. Novel HAB ialah novel percintaan yang bersulamkan nilai positif. Gaya penceritaan yang bervariasi, segar dan rinci oleh pengarang novel HAB membolehkan pembaca mempelajari karenah manusia dalam mengharungi kancah kehidupan. Pengarang yang terdidik dengan ilmu dan adab, secara langsung atau tidak langsung akan menggunakan kesempatan yang terbaik untuk mendidik pembaca supaya berpegang kepada kebenaran mengikut tuntutan agama. Judul Haruskah Aku Berlari mencerminkan pemikiran kreatif pengarang yang bijak untuk menggambarkan keputusan yang perlu diambil oleh watak utama, Sofea Delaila untuk lari daripada kemelut cinta yang dijalin dengan lelaki yang tidak jujur, Zahrul. Novel HAB mampu menghiburkan pembaca menerusi variasi ayat yang mesra nahu dan elemen bahasa laiannya iaitu catatan peribadi, lirik lagu, sajak, peribahasa, surat dan e-mel.
2 comments:
Salam Ziarah,
Tahniah kerana karya puan dibicarakan dengan cemerlang, oleh pembicara yang tekun dan teliti, dan mampu mengangkat wajah sastera.
Terima kasih saudara Azhar.
Post a Comment