Renyai pagi Selasa mendinginkan tubuhku. Ku buka pintu rumah dan merangkul pagi dalam dakapanku erat agar dingin yang menusuk hingga ke tulang sum-sumku tidak terlepas. Ku perhatikan kesayanganku si comel berbulu lebat yang tidak bernama seakan-akan tersenyum melihat kehadiranku di belakang dapur yang sejuk. Si comel berlari-lari mendapatkan aku dan sengaja mendekatkan bulunya ke kakiku, yang sesekali melompat dan mengiau-ngiau meminta ku lambakkan makanan berupa biskut-biskut ikan yang menjadi sajian utama setiap kali waktu makan menjelma. Antara aku dan si comel punya satu perasaan yang sukar dimengerti hatta oleh aku sendiri.
Begitulah kehidupan yang penuh misteri. Tidak ada satu pun yang bernama makhluk bernyawa di muka bumi ini yang tidak memerlukan kasih sayang. Sekalian alam subur kerana dibajai oleh kasih sayang dan pabila ku perhatikan lenggok-lenggok buah-buah mangga yang lebat buahnya, ku sedar bahawa kasih sayang yang ku baja bersama-sama suami dan anak-anak menjangkiti seluruh makhluk yang hidup subur di sekelilingku.
Aidil Adha hadir dengan penuh kesyukuran bahawa melihat seluruh hidupku lewat hari-hari yang berlalu, adalah paparan pengalaman yang sangat bernilai. Kasih sayang yang melimpah-ruah ini mencahayai seluruh rumah agam Haji Hassan dan Hajah Iyah sepanjang Aidil Adha ini. Ku panjatkan kesyukuran kerana segala titik hitam yang lalu sudah mulai terhakis sedikit demi sedikit untuk sebuah kehidupan yang lebih bercahaya. Percayalah bahawa untuk mendapatkan sesuatu dalam hidup ini, pasti ada rintangan yang perlu dilalui. Untuk belajar berjalan, seseorang haruslah berani jatuh dan berasa kesakitan itu. Untuk menyatakan kasih dan sayang, seseorang itu harus berani menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang mampir.
Bagi sang penulis, menghasilkan karya juga ada banyak cabarannya. Jika tidak mahu dikritik tidak perlu berkarya. Jika takut karya tidak diterima masyarakat, tutuplah pintu hati dan padamkan niat untuk berkarya. Setiap sesuatu yang diingini oleh manusia ada harga yang perlu dibayar. Karya yang bermutu bukan terhasil dari satu karya sahaja tetapi terhasil setelah banyak karya dinukil.
Dalam kehidupan ini, setiap manusia punya pilihan masing-masing. Sebagai pembuat keputusan, kamulah yang membuat pilihan tentang hidupmu. Bukalah hatimu kerana sudah tentu alam semesta ini akan membuka seluruh pintunya kepadamu. Saat kamu menyakinkan dirimu akan mendampingi sesuatu yang baik, saat itu jugalah kamu sebenarnya sedang melangkah masuk ke dunia penuh magik yang menarik setiap yang baik ke dalam hidupmu.
Selamat berkarya.
No comments:
Post a Comment