Dalam kesibukan mengurus anak-anak, sempat juga ku teruskan hasrat bersama-sama kawan-kawan penulis dalam program Bicara Karya anjuran IPM dan DBP tempoh hari. Sebuah novel berjudul Gelora Belantara karya saudara Razali Endun telah dibicarakan oleh saudara Hamzah Hamdani. Saya sangat tertarik mendengar saudara Hamzah Hamdani membicarakan karya ini. Beliau mengupas novel ini dalam perspektif tersendiri tetapi amat berkesan sehingga membuatkan saya terasa mahu memiliki senaskah.
Beberapa penulis seperti Jong Chian Lai (Suara dari Rimba, DBP, 2008) dan A.Rahman C.M (Igau, DBP,2008) adalah antara penulis yang menulis tentang persoalan dan tema yang sama seperti yang ditulis oleh saudara Razali Endun. Namun, adalah tidak adil membanding-bandingkan ketiga-tiga novel kerana pada pendapat saya, setiap penulis punya gaya tersendiri dalam penulisan.
Saya percaya untuk menggarap karya seperti ini, penulis perlu kaya dengan pengetahuan tentang etnik Penan, serta perlu melakukan banyak rujukan sama ada dalam bentuk buku atau temuramah supaya fakta yang ditulis mencerminkan keadaan kehidupan sebenar dan tidak semata-mata karya khayalan sahaja. Bagi saya, apabila sesebuah karya diterbitkan maka karya ini akan menjadi bahan rujukan untuk masyarakat maka adalah baik jika penulis menulis fakta tetapi berdasarkan pengalaman beliau sendiri dengan watak-watak yang saya kira punya kesamaan dengan watak-watak yang berlaku dalam masyarakat hari ini tidak kira dalam kalangan etnik Penan mahupun masyarakat lain umumnya.
Dalam novel Gelora Belantara, selain persoalan berkisar kehidupan Penan dan penerimaan pembangunan, saudara Razali bijak kerana turut menyelitkan tema percintaan yang saya kira bagus untuk meluaskan khalayak pembaca tidak tertakluk kepada pembaca dewasa tetapi dalam lingkungan umur 20-an juga boleh menghayatinya. Penulis membiarkan watak Rosli iaitu watak utama yang juga jurubicara pengarang bermain-main dengan perasaannya ketika bertemu Busak Elon iaitu wanita Penan beragama Kristian yang sangat cantik, yang telah bersuami dan punya anak yang dikiranya telah memberi harapan cinta dalam hidupnya.
Novel terbitan DBP 2011 ini akhirnya sudah kumiliki dan masih kubaca dalam kesibukan menyiapkan beberapa penulisan. Tahniah kepada penulis atas kreativiti menghasilkan sebuah karya novel yang sangat baik untuk cerminan masyarakat secara umumnya.
Novel ini merungkaikan kehidupan sekumpulan kaum Penan di dalam belantara Baram, Sarawak yang masih berpegang kuat cara hidup primitif iaitu hidup secara berpindah-randah. Pelbagai konflik dialami rombongan ekspedisi dari Semenanjung, antaranya pertembungan budaya dan tamadun primitif dengan budaya kontemporari berasaskan tamadun moden, episod percintaan antara watak utama Rosli dengan Busak yang menimbulkan konflik rumah tangganya.
Konflik budaya, penebangan balak dan cinta terlarang ini menjadikan belantara itu semakin bergelora. Berjayakah rombongan ekspedisi ini menyakinkan kaum Penan supaya menerima kehidupan moden?
Terleraikan pertentangan di antara pembalak-pembalak dengan kaum ini yang menganggap hutan adalah dunia mereka? Cinta terlarang di antara Rosli dengan wanita Penan, bagaimanakah kesudahannya? Dapatkan naskah ini di pasaran.
Selamat membaca dan teruskan menghasilkan karya yang baik untuk tatapan masyarakat.
No comments:
Post a Comment