Thursday, April 19, 2012

Pesta Buku Antarabangsa

Aku tidak ingat kali terakhir ke Pesta Buku Antarabangsa. Mungkin beberapa tahun lalu. Ketika itu aku dan suami ke sana semata-mata ingin bertemu salah seorang editor sebuah syarikat penerbitan atas tiket mahu membincangkan proposal novel terbaru yang telah kuhantar kepada editor berkenaan. Sayang seribu kali sayang, harapan itu tidak kesampaian kerana aku tidak dapat menembusi pintu masuk ke dalam dewan. Malah, aku hanya dapat berlegar-legar di luar sahaja. Hasrat bertemu editor berkenaan gagal dan aku hampa pulang ke negeri Hang Tuah dengan tangan kosong.

Apa yang ingin kusampaikan ialah pesta besar yang menjadi kegilaan para penulis, editor, syarikat penerbitan buku, pencinta seni, penjual iklan dan banyak lagi seni yang berkaitan dengannya, yang sedang berlumba-lumba mengambil kesempatan dari pesta yang diadakan ini. Aku pula masih tidak berkesempatan untuk turut sama dalam pesta besar itu. Mungkin suatu ketika yang indah, bila waktu itu tiba, aku juga mahu bersama-sama sang pencinta buku yang lain membelek dan meneliti satu persatu buku yang terdapat di sana untuk diri sendiri. Insya-Allah.

Beberapa penulis kulihat sedang teruja mempromosikan diri masing-masing untuk muncul di Pesta Buku tersebut. Semoga lebih banyak produk baru akan terhasil dari Pesta Buku itu nanti.

Sejak aku terjerumus dalam mengedalikan program motivasi sendiri, aku sering membaca buku-buku motivasi tulisan penulis dari luar negara. Bahasanya bukan sahaja mudah difahami, malah tulisan mereka memberi inspirasi luar biasa bagi banyak pihak termasuk aku sendiri. Untuk menghasilkan buku-buku motivasi, seorang penulis itu bukan sahaja perlu menjadi motivator untuk diri sendiri dan orang lain tetapi juga perlu banyak membaca buku motivasi daripada penulis luar.

Aku teringat ketika aku masih berkerja di salah sebuah anak syarikat kerajaan di Melaka, seorang wartawan telah menghadiahkan aku dua buah buku yang aku kira sebagai salam persahabatan kami. Dan setelah wartawan itu meninggal dunia, buku pemberiannya masih elok dalam rak buku ku. Itulah hadiah paling berharga buatku dan setiap kali membelek buku tersebut, aku pasti teringatkan wartawan itu. Al-Fatihah buatnya.

Rasanya sangat indah bila aku dapat masuk ke dalam gedung buku. Bau haruman kertas yang dicetak sudah cukup buatku teruja. Sebagai seorang pelajar kewartawanan, aku pernah belajar tentang perihal mencetak akhbar dan majalah. Maka dunia buku dan penulisan adalah tidak asing buatku. Dan ketika bertugas dengan kerajaan negeri Melaka, aku sempat menguruskan penerbitan akhbar Suara Melaka. Maka setiap kali melihat buku, aku memang sangat teruja.

Jadi aku belum bersedia untuk masuk ke gedung buku seperti Pesta Buku Antarabangsa ini jika datang dengan poket kosong. Aku perlu penuhkan poketku dahulu. Insya-Allah ada ketika, aku akan bersama-sama karyawan lain jua.


Selamat membaca dan selamat berkarya.
Malam nan indah buat sang karyawan.

1 comment:

mohamad kholid said...

itulah kelemahan kita, jika datang dgn poket kosong alamat meleleh air liur...