Thursday, August 16, 2012

Hari-hari Terakhir Ramadan

Bingit bunyi penyedut hampagas memenuhi ruang tengah teratak bonda. Itu tandanya anak-anak sedang sibuk mengemas. Karpet yang sudah dipenuhi habuk dibersihkan buat kesekian kalinya. Dinding luar teratak bonda akan bertukar warna tahun ini. Semua sudah bersetuju warna kuning perlu ditukar agar ada kelainan.

Biskut raya tidak perlu dibuat atau ditempah. Baharu sebentar tadi, kekanda sulung yang tinggal di sebelah teratak bonda menghulurkan kuih bawang seplastik besar. Alhamdulillah syukur atas rezeki yang Allah janjikan ini. Menantu bonda bawa pulang dua balang biskut tat blueberry dan almond london serta satu pek kerepek pedas. Maknanya sudah ada empat jenis kueh raya yang boleh diisi dalam balang biskut nanti.

Aku masih setia di teratak bonda menerima tetamu jauh yang jarang menjengak ke sini atas banyak faktor. Sibuk dengan urusan harian, urusan anak-anak, pekerjaan dan sebagainya. Akulah penunggu setia teratak bonda sejak sekian lama. Aku tidak pernah kesal kerana aku sangat sayang akan teratak peninggalan bonda dan ayahanda. Di sini banyak kenangan yang tidak betah kutinggalkan.

Aidilfitri nan penuh bermakna ini meninggalkan kepiluan buaku, Pak Long iaitu kekanda arwah bonda telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini tanggal 14 Ogos 2012 lalu. Tiada lagi orang tua rujukan keluarga malah tempat untuk aku sekeluarga berkumpul setiap tahun. Aku doakan moga rohnya bersama orang-orang yang beriman.

Hangat aidilfitri makin terasa. Cucunda bonda sudah meningkat dewasa. Jadi, urusan mengemas teratak bonda banyak kulakukan bersama anak-anak. Moga banyak lagi kebaikan yang hadir menjelang hari-hari terakhir Ramadan.




No comments: