Sunday, October 16, 2016

HADIAH TAHUN BAHARU 1438H

Syukur ke hadrat Allah SWT, sedang dibuka pintu keberkatan atas segala usaha yang telah saya lakukan. Menerima panggilan daripada pihak Yayasan Warisan Johor, novel 1819 Pura Daksina terpilih antara yang bakal menerima hadiah untuk Sayembara Novel Sejarah Johor V. Alhamdulillah, hadiah tahun baharu yang sungguh bermakna. Nampaknya kali ini tercapailah niat saya untuk mengambil hadiah setelah lulus sarjana sejarah setahun lalu. Terima kasih Allah atas segalanya.

Menggarap novel berbentuk sejarah perlu banyak kesabaran. Sebelum kerja kreatif dilakukan, penulis perlu membuat penyelidikan tentang kisah yang hendak digarap. Kali ini saya mengambil kisah pergolakan Raja Husin dan adindanya Raja Abdul Rahman merebut tahta Johor setelah kemangkatan ayahanda mereka Sultan Mahmud Syah 3. Bagaimana Singapura dibuka oleh Raja Husin sehinggalah negeri itu diserahkan kepada pihak Inggeris.

Menelusuri sejarah bukan sahaja mengambil tahu akan sejarah itu sendiri, tetapi latar waktu dan keadaan ketika itu juga perlu dikaji untuk menghidupkan watak serta penceritaan. Tidak mustahil watak kecil boleh dijadikan besar mengikut kehendak pengarang. Saya mulakan pengkisahan 1819 Pura Daksina dengan kesungguhan Raja Embong dan Wan Abdullah menerima tugas untuk membawa balik Raja Husin ke Singapura. Dari situ cerita ini berkembang dengan pergolakan istana dan sebagainya. Semoga ada ramai lagi di luar sana yang menjadikan sejarah sebagai genre dalam penulisan novel supaya sejarah bangsa tidak lenyap begitu sahaja dan boleh dibaca oleh generasi muda hari ini. Insya-Allah.

Terima kasih Allah.

No comments: