Saturday, November 12, 2016

PELANCARAN NOVEL GELUT RANTAU KEMILAU

Alhamdulillah telah berlangsung pelancaran novel Gelut Rantau Kemilau oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan pada 09 November 2016. Selain GRK, dua lagi novel karya penulis Melaka turut dilancarkan iaitu Ilang oleh Abang Saifuddin Abang Bohari dan Cinta Di Hati Umi oleh Zamidah Hashim.

Pelancaran tersebut telah dilakukan oleh YB Datuk Wira Othman Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Pengerusi Persatuan Penulis Melaka atau PENAMA di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka.

Terima kasih saya kepada Pengarah DBP Wilayah Selatan, Abang Hilman Abang Julai, Puan Zura, serta semua yang terlibat termasuk pihak Perpustam, Encik Azymudin serta pegawai Perpustam sepanjang program berlangsung. Terima kasih juga kepada Cik Zety, moderator pada program tersebut.

Sebelum pelancaran novel, tiga karyawan yang novelnya dilancarkan turut membicarakan cabaran dalam mendepani proses kreatif sepanjang penggarapan novel masing-masing. Banyak ilmu yang diperolehi mendengar buah fikir pengarang kerana setiap karyawan mempunyai cara berbeza dalam mendepani proses kreatif itu. Semoga ilmu ini boleh saya jadikan panduan untuk menulis novel seterusnya.






CABARAN KREATIF GELUT RANTAU KEMILAU

Permulaan yang menarik dalam sesebuah novel akan mempengaruhi pembaca untuk meneruskan pembacaan sehingga akhir. Dalam Gelut Rantau Kemilau atau selepas ini saya sebut GRK, penulis memulakan penceritaan dengan Prolog.

Pembaca dibawa masuk ke dalam dunia perkampungan di sebuah tanah rancangan felda sebagai latarnya dengan gambaran suasana persekitaran perbualan di antara Semah dan Atan di rumah sewaktu hampir maghrib bercerita tentang perjuangan dan kehidupan dan diakhiri dengan situasi panik apabila lori milik mereka dibakar.

Kenapa dibakar? Suspen yang sengaja diwujudkan sebagai gula-gula kepada pembaca untuk terus menguliti GRK sehingga ke akhirnya.

INTIPATI NOVEL

GRK mengisahkan pergolakan hidup masyarakat Melayu di sebuah tanah rancangan felda di Melaka. Pembangunan dan pemodenan tidak memberi impak kepada penduduk malah mereka terus hanyut dibuai mimpi. Kepulangan Fadly dari kota kosmopolitan untuk membantu menyelesai masalah keluarga telah memberi kesan positif kepada sesetengah penduduk. Permasalahan utama tentang pengurusan ladang bapa Fadly telah memberikan inspirasi kepada Fadly untuk membantu peneroka yang terperangkap dengan kuasa para kontraktor dan mainan pihak koperasi yang tidak amanah dalam menguruskan ladang. Namun usaha murninya itu mendapat tentangan daripada Haji Baharom dan beberapa orang penduduk yang sememangnya mempunyai kepentingan peribadi. Berjayakah Fadly mempengaruhi Haji Baharom dan konco-konconya dan seterusnya membanteras penyelewengan yang berlaku.

Secara keseluruhannya, GRK ialah konflik tentang kehidupan, pergelutan, persahabatan, persengketaan sama ada di dalam keluarga mahupun di dalam sebuah komuniti demi mencapai hasrat untuk kejayaan diri.

JUDUL - GELUT RANTAU KEMILAU

Maksud judul ialah perjuangan atau perlumbaan dalam merebut kekuasaan dan kekayaan di sebuah daerah terpencil.


FALSAFAH

Paparan realiti kehidupan manusia yang menjadi mangsa penindasan di tanah milik sendiri oleh kontraktor dan pengurusan koperasi sehingga membawa kesengsaraan dan kemiskinan. Pengarang mengetengahkan bentuk sosial yang bersifat realisme seperti judi, rasuah, salah guna kuasa sebagai cerminan budaya masyarakat yang dilihat akan terus berlaku jika tidak dibendung. Tanah dan warisan dijadikan aset oleh generasi kedua dan seterusnya untuk mengaut keuntungan dan bersenang-lenang tanpa usaha untuk memajukan diri.

Namun begitu, kaum wanita digambarkan sebagai penggerak membantu ekonomi para suami. Contohnya, Semah iaitu isteri Atan yang menjual cup cake secara atas talian, Mak Yam dengan bisnes kerepek pisang serta usaha membantu wanita mendapatkan peluang modal melalui program Amanah Iktiar. Begitu juga dengan program keusahawan seperti kursus ternak ayam kampung, ayam daging, ternak lembu dan kambing, kursus buat roti dan kek, buat mi kuning, kursus cili dan banyak lagi diberi secara percuma.

Semangat integrasi perkauman yang utuh di antara kaum Melayu, Cina dan India turut dipaparkan dalam GRK. Penulis menggambarkannya di permulaan plot ketika lori Ah Seng masuk ke kampung untuk menjual ikan-ikannya kepada suri rumah. Ah Seng telah 20 tahun berniaga tanpa masalah. Malah ketika lori Ah Seng rosak, Atan yang tahu serba serbi enjin membantu tanpa mengharapkan pulangannya.

Meskipun jauh di pendalaman, pendidikan masih menjadi keutamaan oleh penduduk kampung. Apabila Fadly mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sekolah rendah, dia telah dihantar ke sekolah bandar berasrama dan faktor kewangan tidak dijadikan alasan. Begitu juga yang berlaku kepada generasi kedua dan seterusnya. Pendidikan tidak diabaikan meski jauh di pendalaman.


PLOT

Pada permulaan plot cerita atau bab satu, pembaca dibawa masuk ke dalam pengkisahan GRK melalui lori ikan milik peraih Cina bernama Ah Seng. Biasanya ketika inilah, kaum wanita dapat keluar rumah dan bertemu dengan jiran sekali gus dapat berkongsi cerita keluarga serta menyampaikan berita seputar yang berlaku di kampung. Keadaan ini biasa berlaku di mana-mana pun.

Babak kedua penulis membawa pembaca terbang jauh ke Sumatera Barat mengenal watak utamanya iaitu Fadly. Seorang anak muda yang sejak kecil telah mengenal dunia perantauan kerana kepandaiannya. Malah penduduk kampung memang mengenalinya kerana kebijaksanaannya. Kenapa penulis membawa pembaca ke negara luar bagi mengesahkan bahawa watak utama sangat luas pengalaman.

Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk, ayat 15 yang maksudnya: "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya kamu (kembali setelah) dibangkitkan (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)." (Surah Al-Mulk, ayat 15).

KISAH DI SEBALIK GRK

Realiti kehidupan di tanah rancangan yang akan terus berlaku jika tidak dicari jalan penyelesaian.


PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN KETIKA MULA BERKARYA

Pemilihan Cerita
Saya percaya di luar sana sudah terdapat berpuluh-puluh judul novel terbit setiap bulan dengan pelbagai cerita. Namun, ini tidak bermakna pengarang telah kehabisan cerita untuk digarap. Masih banyak cerita yang boleh digarap dan diolah semula dengan kebijaksanaan penulis untuk dijadikan novel. Bagi saya, semuanya bergantung kepada kemampuan serta pengalaman penulis bagaimana untuk melakar tema yang dipaparkan mengikut kaca mata pengarang. Meskipun ceritanya ringan kerana cara pengolahan yang bijak, ia menjadi sebuah cerita yang menarik. Pengalaman dan pengetahuan pengarang juga penting dalam pemilihan cerita. Jika hendak memilih kisah cinta, pengarang perlu mempunyai ilmu yang luas tentang subjek yang akan dinaratifkan dan yang paling penting kreativiti pengarang. Sinopsis yang sama diberi kepada 10 pengarang berbeza, hasilnya juga berbeza. GRK tidak boleh digarap tanpa pengalaman yang panjang dan luas kerana watak yang dilukis di dalamnya sahaja begitu ramai dengan falsafah serta konflik yang pelbagai memerlukan suatu penggarapan yang sabar dan berhati-hati.

Sabar
Saya percaya, cabaran paling sukar ketika hendak memulakan proses kreatif ialah mengurus emosi dan kesabaran. Apatah lagi apabila kita bercakap soal mahu menggarap sebuah novel yang hari ini perlu setebal 400 - 500 muka surat. Sifat yang perlu ada dalam diri seorang penulis ialah sentiasa sabar, tenang dan tahu apa yang dilakukannya. Ini kerana kerja seorang penulis adalah kerja bersendirian.

Pengolahan Jalan Cerita
Pengolahan jalan cerita berbeza mengikut sudut pandang pengarang sama ada menempatkan dirinya terhadap cerita atau dari sudut mana pengarang memandang ceritanya.
a. Sudut pandang orang pertama, sudut pandang ini biasanya menggunakan kata ganti aku atau saya. Dalam hal ini pengarang seakan-akan terlibat dalam cerita dan bertindak sebagai tokoh cerita;
b. Sudut pandang orang ketiga, sudut pandang ini biasanya menggunakan kata ganti orang ketiga seperti dia, ia atau nama orang yang dijadikan sebagai titik berat cerita;
c. Sudut pandang pengamat serba tahu, dalam hal ini pengarang bertindak seolah-olah mengetahui segala peristiwa yang dialami tokoh dan tingkah laku tokoh dan
d. Sudut pandang campuran, (sudut pandang orang pertama dan pengamat serba tahu). Pengarang mula-mula menggunakan sudut pandang orang pertama. Selanjutnya serba tahu dan bagian akhir kembali ke orang pertama.

Perkaitan Antara Pemindahan Ide Dan Persekitaran
Biasanya ia berkait langsung dengan dunia pengarang, pengalaman kawan-kawan, tempat kerja dan sebagainya.

Halangan dan Cabaran
Pengarang perlu hadam apa yang hendak digarap, tahu subjek dengan sebenar-benarnya, jika tiada bahan, hendaklah membuat penyelidikan atau bertanya mereka yang berpengalaman, di samping penggunaan bahasa puitis yang dapat menarik minat pembaca untuk terus menguliti sesebuah karya.

Ketaksuban terhadap ide asal
Pengarang boleh mengolah sinopsis pada awal penulisan, namun jangan terlalu taksub kerana pengarang boleh mengubahnya dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan faktor olahan.

PANDANGAN PERIBADI
Karya bagaimana yang dicari oleh pembaca?
Penulis perlu bertanya kepada diri apakah menulis itu sebagai hobi atau kerjaya. Menulis sebagai kerjaya dan hobi itu adalah dua perkara berbeza kerana sasarannya juga berbeza. Dalam konteks ini saya boleh kategorikan kepada empat aspek:
Penulis yang membentuk pembaca;
Penulis yang dibentuk oleh penerbit;
Penulis yang dibentuk oleh pembaca dan
Penulisan atau penghasilan karya untuk sayembara atau pertandingan.

Pemenang hadiah Nobel termuda iaitu pengarang Malala dengan novelnya I Am Malala pada ketika dia menulis bukunya, dia tidak pernah berimpian untuk memenangi hadiah tersebut.

JK Rowling ketika mula menulis kisah Harry Powter, tidak pernah menjangka dia perlu mengulangi penulisan dalam bentuk bersiri dengan edisi terjemahan lebih 10 bahasa untuk pasaran di seluruh dunia sehingga novelnya difilemkan.

KESIMPULAN

Apa yang berlaku pada masa hadapan tidak siapa yang boleh menjangka. Jika seorang penulis tidak pernah menulis novel, maka bermulalah dengan menulis cerita pendek atau cerpen dahulu. Penulis perlu mendepani cabaran dan pengalaman ketika menulis cerita pendek, sebelum menggarap cerita yang lebih panjang seperti novel.

Monday, November 07, 2016

SPM dan Nur Adibah

Hari yang ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar generasi seusia anak perempuanku Nur Adibah binti Ramly sampai jua. Esok pagi bermulalah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM dengan diawali kertas Bahasa Melayu. Saya dan suami telah diberi ruang waktu dalam kesibukan tugas hakiki bertemu dan memberikan tips akhir sebelum Nur Adibah memulakan hari pertamanya di dewan peperiksaan.

Hanya doa dan harapan, semoga segala usaha yang telah dilakukan selama ini diberikan petunjuk serta hidayah Allah SWT. Semoga semua calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM dapat menjawab dengan baik. Amin.

Saturday, November 05, 2016

ADIWARNA NOVEL : MENDEPANI CABARAN PROSES KREATIF

Satu program bual bicara iaitu Adiwarna Novel : Mendepani Cabaran Proses Kreatif dan pelancaran novel yang dibicarakan akan diadakan pada 9 November 2016 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka. Novel Gelut Rantau Kemilau adalah salah satu novel yang dibicarakan sendiri oleh penulisnya.

Saya percaya, cabaran paling sukar ketika hendak memulakan proses kreatif ialah mengurus emosi dan kesabaran. Apatah lagi apabila kita bercakap soal mahu menggarap sebuah novel yang hari ini perlu setebal 400 - 500 muka surat. Sifat yang perlu ada dalam diri seorang penulis ialah sentiasa sabar, tenang dan tahu apa yang dilakukannya. Ini kerana kerja seorang penulis adalah kerja bersendirian.

Banyak proses kreatif yang perlu difikirkan sepanjang menggarap sebuah novel. Penulis perlu mencipta watak-watak utama, watak kedua dan sampingan dengan plot-plot yang bergerak dari satu babak ke satu babak dengan konflik ke konflik sehingga memikirkan penamat kepada novel yang digarap.

Jika seorang penulis tidak pernah menulis novel, maka bermulalah dengan menulis cerita pendek atau cerpen dahulu. Penulis perlu mendepani cabaran dan pengalaman ketika menulis cerita pendek, sebelum menggarap cerita yang lebih panjang seperti novel.



SAYEMBARA NOVEL SEJARAH JOHOR V

Alhamdulillah, novel 1819 - Pura Daksina telah dipilih oleh panel Sayembara Novel Sejarah Johor V sebagai pemenang saguhati. Majlis penyampaian hadiah telah berlangsung pada 4 November 2016 lalu di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru secara serba sederhana bersekali dengan penyampaian hadiah Sastera Johor kali ke-10.

Komen Panel Penilai Novel 1819 - Pura Daksina. Novel ini memaparkan intrig politik istana Johor pada abad ke-19 selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III. Tumpuan kisah adalah kepada krisis penafian hak Tengku Husin sebagai pengganti Sultan bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga apabila Tengku Abdul Rahman pula dilantik sebagai sultan.

Dalam kemelut politik itu, Inggeris dan Belanda telah memainkan peranan mereka untuk menguasai kepulauan Melayu. Tokoh-tokoh kolonial seperti Raffles, Crawfurd dan Farquhar telah memainkan peranan mereka sehingga akhirnya Perjanjian Inggeris-Belanda dimeterai pada tahun 1824. Akibatnya, Empayar Johor-Riau-Lingga telah terpecah, dan kerajaan Melayu tidak lagi berkuasa penuh di kepulauan Melayu. Pemaparan sejarah ini telah memberikan iktibar bahawa perpecahan dalaman hanya akan menyebabkan kehilangan kuasa besar Melayu.

Kesederhanaan dari sudut teknik penukangan fiksyen dapat dikesan pada gaya pengisahannya. Plotnya tersusun secara mendatar, tidak memberikan kesan ketegangan. Pengarang terikat dengan fakta sejarah yang kronologikal lalu menafikan sarana cereka yang lebih artistik. Keterikatan dengan fakta menyebabkan naratif ini berbentuk demikian.

Namun begitu, sebagai bacaan sejarah yang manusiawi, novel ini telah memberikan gambaran perwatakan yang seimbang antara dua pihak, iaitu watak-watak kolonial dan watak-watak tempatan dengan paparan perwatakan yang menarik. Oleh itu, membaca novel ini tidak seperti membaca buku sejarah, tetapi seperti membaca novel biasa yang mementingkan aspek manusiawi.