"Novel ini berjaya memainkan emosi pembaca, yang sekejap tenang mengikut ayunan langkah watak-watak ciptaan pengarangnya, dan ada waktunya pembaca turut lelah jiwanya lantaran hambatan langkah watak-wataknya yang tidak pasti dan bercelaru arah tujunya. Ke manakah arah yang perlu dipilih dalam situasi kejar dan mengejar cinta yang tidak pasti ini. Hanita Hassan berjaya membakar dan menyejukkan emosi pembaca dan novel ini pasti memberikan kesan katarsis kepada pembaca."
Judul Buku :Haruskah Aku Berlari
Pengarang :Hanita Hassan
Ulasan oleh:UMI AMMAR
Majalah Tunas Cipta Januari 2009
Ruangan Resensi m/s 26 & 27
Harga : RM25.00 (417 muka surat)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Banyak orang mengejar cinta dan dalam waktu yang sama banyak juga orang yang melarikan diri daripada cinta - tidak rela dirinya dicintai dan mencintai. Bagaimanakah pula dengan anda? Adakah anda sudah memiliki cinta sejati? Atau adakah anda seorang insan yang terperangkap dalam cinta yang tidak berbalas? Atau adakah anda telah ditawan oleh beberapa cinta dan keliru untuk memilih cinta sejati?
Haruskah Aku Berlari sebuah novel cinta yang merungkaikan permasalahan cinta tiga segi teruna dan dara. Jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sering dilabelkan sebagai penerbit yang menerbitkan novel serius yang rumit persoalannya, dan kompleks plotnya, Haruskah Aku Berlari berjaya membawa DBP keluar daripada label ini. Novel ini lebih santai dan ringan sesuai untuk pembaca yang gemar akan pembacaan yang menghiburkan dan merehatkan minda. Namun dalam novel ini banyak pengajaran dan iktibar yang boleh ditimba, terutama untuk para remaja.
Kisah cinta dalam novel ini berpusat pada watak utamanya Sofea Delaila. Sofea Delaila seorang gadis jelita yang gagal melanjutkan pengajiannya ke universiti. Sofea Delaila hanya berpeluang melanjutkan pengajiannya ke tingkatan enam. Kegagalannya melanjutkan pengajiannya ke universiti menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan kekasih hatinya, Zahrul.
Zahrul yang berjaya melanjutkan pengajiannya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjanji akan tetap setia bersama-sama Sofea Delaila, biarpun mereka terpaksa berpisah jauh. Bagi Sofea Delaila pula perpisahan ini semakin membakar semangat cintanya dan kerana cintanya kepada Zahrul juga dia berazam belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan dia juga akan menjejaki Zahrul, kalau dapat ke universiti yang sama. Kejayaannya dalam pelajaran sahaja yang dapat mendekatkan dirinya kepada Zahrul teruna pujaannya.
Zarul, jejaka kacak yang berada di kota besar yang terdedah dengan kehidupan yang serba mewah dan canggih akhirnya mulai luntur kesetiaannya kepada kekasih hati yang setia menantinya, Sofea Delaila. Kehidupannya di kampus yang sering dikejar oleh kesibukan dunia mahasiswa yang cantik dan cerdik melekakan Zahrul. Dia telah pun mendapat teman baharu bernama Alisah.
Sikap dingin Zahrul menghancurluluhkan hati Sofea Delaila. Namun begitu, bagi Sofea Delaila biarpun apa-apa yang dilakukan oleh Zahrul kepadanya dia tetap setia. Walau bagaimanapun, kesetiaan Sofea Delaila tiba-tiba tergugat dengan kehadiran Nasir. Nasir dikenali Sofea Delaila ketika dia bekerja sambilan semasa menunggu keputusan STPM. Kehadiran Nasir yang dianggap sebagai pengisian kesepiannya tidak sekali-kali merubah cintanya kepada Zahrul. Nasir tidak lebih dianggapnya sebagai abang angkatnya.
Sebaliknya pula, bagi Nasir sedikit demi sedikit, Sofea Delaila telah berjaya bertakhta di hatinya, dan mengisi kekosongan hatinya setelah tunang yang dikasihi meninggal dunia. Nasir, lelaki kacak yang lebih matang berbanding dengan Zahrul, dan mempunyai profesion yang tinggi dalam kerjayanya sentiasa sabar menanti pintu hati Sofea Delaila terbuka untuknya.
Kedinginan cinta Zahrul dan kehangatan cinta Nasir yang semakin dirasai oleh Sofea Delaila, apatah lagi dengan restu yang diberi oleh keluarga Sofea Delaila sendiri terhadap Nasir, menjadikan gadis ini semakin keliru dengan perasaannya. Dia tidak tergamak melukai hati Nasir, namun dalam waktu yang sama dia masih mengharapkan cinta Zahrul.
Dalam kekeliruan itu, takdir cinta Sofea Delaila bagaikan berpihak kepada Zahrul. Sofea Delaila berjaya cemerlang dalam STPM dan berjaya melanjutkan pelajaran di UiTM seperti yang diharapkannya. Dengan demikiran Sofea Delaila dapat mendekati Zahrul.
Zahrul yang merahsiakan hubungannya dengan Alisah masih cuba melayani Sofea Delaila seperti dahulu, dia masih berjaya membuai hati Sofea Delaila dengan lagu cintanya. Sofea Delaila yang asyik dengan buaian lagu cinta Zahrul itu semakin melupakan Nasir yang selama ini membuatkan hati cintanya bagaikan terbahagi dua. Sofea Delaila berasakan dilema cintanya telah berakhir, kerana cinta sebenarnya telah berada di hadapan matanya.
Namun begitu, kebahagiaan hati Sofea Delaila tidak berpanjangan. Cinta Zahrul yang telah berpaling kepada Alisah, gadis mewah yang berjaya menunaikan segala impian Zahrul akhirnya terbongkar, apabila Sofea Delaila sendiri terserempak dengan mereka berdua.
Bermula detik itu kehidupan Sofea Delaila mulai bergelora. Tumpuan pada pelajarannya agak terganggu. Dia terlalu kecewa dan dalam waktu yang sama dia cuba bangun bersaing dengan Alisah, untuk menuntut cinta Zahrul. Sofea Delaila akhirnya tewas, dia terlantar di hospital.
Dalam waktu derita menanggung kekecewaan itu, Nasir datang menziarahi Sofea Delaila. Pancaran cinta yang setia dari mata Nasir memberi harapan baharu kepada Sofea Delaila, kerana dia mulai yakin inilah cinta setia yang didambakan olehnya sekian lama. Biarpun cintanya kepada Zahrul tidak pernah padam, dia sedar kini dia tidak harus melarikan diri daripada jejaka yang tidak pernah lelah mengejar cintanya.
Zahrul yang dalam dua persimpangan untuk memilih Sofea Delaila atau Alisah, akhirnya membuat keputusan untuk memilih Sofea Delaila, cinta pertamanya. Zahrul telah mengaturkan pertemuan dan bersedia untuk mengatakan pendirian cintanya terhadap Sofea Delaila. Namun, sejambak bunga yang dibawa bersama-samanya tidak bermakna lagi, kerana gadis yang dinanti-nantikannya tidak kunjung tiba.
Alisah yang sentiasa menanti tautan cinta Zahrul tidak melepaskan peluang apabila Zahrul kembali menghulurkan tangannya untuk menggenggamkan kembali cintanya kepada Alisah yang hampir dilepaskan oleh jejaka itu.
Namun begitu, setelah Sofea Delaila dan Zahrul bagaikan menemui “pintu” cinta mereka yang sebenar-benarnya, kedua-duanya tiba-tiba berasa telah memilih laluan “pintu” yang salah. Zahrul berasa cintanya terhadap Sofea Delaila tidak akan berakhir di situ, jika dia tahu Sofea Delaila tidak hadir pada hari yang dijanjikan untuk mereka bertemu kerana dia dimasukkan ke wad. Sofea Delaila pula tidak akan semudah itu memberi laluan kepada Nasir untuk menerobos “pintu” hatinya, jika dia mengetahui Zahrul telah bersedia menemuinya dengan satu keputusan yang pasti menggembirakannya sepanjang hayat.
Apakah kesudahan cinta mereka? Haruskah Sofea Delaila berlari mengejar cinta Zahrul yang tidak pasti?
Novel ini berjaya memainkan emosi pembaca, yang sekejap tenang mengikut ayunan langkah watak-watak ciptaan pengarangnya, dan ada waktunya pembaca turut lelah jiwanya lantaran hambatan langkah watak-wataknya yang tidak pasti dan bercelaru arah tujunya. Ke manakah arah yang perlu dipilih dalam situasi kejar dan mengejar cinta yang tidak pasti ini. Hanita Hassan berjaya membakar dan menyejukkan emosi pembaca dan novel ini pasti memberikan kesan katarsis kepada pembaca.
No comments:
Post a Comment