Saturday, July 25, 2009

Cerpen 1 - Mahu Jadi Jutawan




Waktu seakan lambat bergerak sedangkan aku mahu segera keluar dari pejabat. Jika dikira jarum jam yang berdetik, lagi lambat rasanya. Dingin suhu di dalam bilik pejabatku tidak langsung mendinginkan hatiku. Aku cuba menenangkan diri. Jika dalam keadaan tidak tenang, aku tidak boleh memusatkan fikiran untuk menulis tiga ucapan untuk program seminar yang bakal berlangsung itu. “Ah…begitulah resam hidup penulis.” Keluh hatiku.

Ada waktunya, aku boleh siapkan ucapan dalam waktu yang singkat. Adakalanya spirit untuk menulis itu naik 360 darjah tingginya sehingga aku dapat rasakan semua yang ada di dalam kepalaku ini mahu kumuntahkan segera. Aku mahu segala persoalan dan cerita dapat kukongsi bersama pembaca di luar sana. Adakalanya aku dapat rasakan, wujud satu penghalang untuk aku terus memuntahkan idea yang entah kenapa hilang seperti angin. Telefon bimbitku menjerit minta dijawab. Aku membiarkan ia berdering satu dua kali, lalu kujawab juga panggilan itu.

“Assalamualaikum kak! Sibuk?” kata suara di sebelah sana. Aku seakan kenal dengan suara itu. Walaupun bukan teman karib, tetapi sering bertemu di majlis-majlis rasmi mahupun mesyuarat yang berkaitan dengan pejabat.

“Waalikumsalam, aha.. tengah sibuk nie. Minggu depan ada seminar.” Kataku. “Kenapa! Ada cerita baik ke?” tanyaku pula ingin tahu.

“Aha…saya ada tiket untuk program potensi jutawan. Nak ikut tak? Lagipun tiket nie harganya murah je cuma RM30.00. Itu pun cuma tinggal satu tiket sahaja. Kalau nak diikutkan, harga tiket nie RM400 lebih tau.” Kata Musni. Sebelum Musni menelefon aku, dia juga telah mengirimkan sistem pesanan ringkas kepadaku. Namun aku tidak membalas pesanan itu. Kubiarkan sahaja kerana aku mahu berbincang dengan suamiku. Tiba-tiba Musni telefon. Mungkin mahu tahu persetujuan aku.

“Nanti akak fikirkan boleh tak?”
“Kak…jangan fikir lama sangat. Nanti rugi. Bukan senang nak dapat kursus murah macam nie. Tiket pun dah habis terjual.” Musni menyakinkan aku.

“Rahsia potensi jutawan! Nak ikut tak ikut, nak ikut tak ikut!” Hatiku berkata-kata. “Mungkinkah Allah mahu memberiku peluang untuk mengenal diri sebelum menjadi jutawan?” aku tidak boleh mendapatkan jawapan itu. Allah menggerakkan hati Musni sudah tentu ada sebab-sebabnya yang tersendiri. Bila aku fikirkan logik itu, memang ada benarnya. Allah selalu memberikan sesuatu kepada umat-Nya melalui orang perantara. Siapa orang itu, kita sendiri tidak pasti. Itu hanya Allah yang maha tahu.


Rupa-rupanya bukan mudah untuk menjadi jutawan. Setakat kerja makan gaji, sampai tua pun aku tidak akan jadi jutawan. Memang hasratku untuk menjadi penulis billionaire, tetapi tidak tahu bilakah hasrat itu akan terlaksana. Banyak buku baruku yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Banyak juga buku yang sedang kutulis dalam kesibukan melaksanakan tugas di pejabat. Kadang-kadang aku terfikir untuk melantik seorang pembantu untuk membantu aku dalam kerja-kerja penulisan. Namun hasrat itu belum lagi kutunaikan.

Rahsia jadi jutawan. Aku mencongak-congak hari. Jika tidak ada aral yang melintang, mungkin aku mahu mengikuti program sehari itu. Leka dengan impian menjadi jutawan, aku tersenyum sendiri dan mahu menelefon suami tentang perkara itu. Dentingan jam di tempat perakam waktu adalah tanda untuk aku segera pulang. Moga ada mentari jutawan yang sedang masuk ke dalam hidupku. Aku tersenyum dan terus keluar dari pejabat dengan perasaan penuh lega dan bersemangat.

Monday, July 20, 2009

Cerpen 1




Beberapa ekor kucing bersih bulunya berkeliaran di sekitar kedai makan. Aku tidak ambil pusing, malah terus makan tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Tulang-tulang ikan yang ada di pinggan tidak kubuang ke tanah. Aku biarkan kucing itu berusaha mencari makanannya. Kedai makan yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan pejabat itu memang sering kukunjungi. Meskipun ada banyak lagi deretan kedai berhampiran yang menjual makanan, namun kedai itu juga yang menjadi pilihanku.

Air teh limau panas telah habis kuminum. Perut sudah kekenyangan. Aku membayar harga makanan yang kumakan lalu beredar dari situ. Di dalam fikiranku hanya memikirkan tentang tugas yang belum diselesaikan di pejabat. Ada tiga ucapan yang harus kukarang. Itu tidak termasuk urusan tentang penceramah, urusan hotel, penyertaan peserta dan banyak lagi yang tidak sempat diingat semuanya. Tugas-tugas itu harus kubahagi-bahagikan dengan kakitanganku agar kerja yang kutanggung dapat dikurangkan ke paras minimum.

Tugas-tugas kecil boleh kuserahkan kepada kakitanganku tetapi tidak dalam urusan penulisan teks ucapan. Ia harus kutulis sendiri. Itulah anugerah Allah yang paling berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Namun jika aku tidak didedahkan dengan tugas-tugas menulis ucapan oleh datuk, sudah tentu aku sendiri tidak tahu akan kelebihan diri sendiri. “Ah…terasa menyesal pula memarahi datuk tadi.”

Tergesa-gesa aku berjalan ke arah pejabat. Aku ingin menghantar sistem pesanan ringkas kepada datuk memohon maaf akan perangaiku tadi. Kasut tumit tinggi jenama kurang terkenal itu kuredah. Habuk berterbangan menerpa pipiku. Sesekali kubetulkan tudung yang sedikit berkelipit dihembus angin tengah hari. Baju kurung berwarna hijau putih itu ku padankan dengan tudung hijau lumut. Padan sekali kelihatannya di mataku. Entah bagaimana penerimaan orang lain, aku tidak begitu ambil pusing. Jika mahu diikutkan fesyen semasa, sudah tentu akulah orang yang selalu ketinggalan.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang pejabat, telefon bimbitku berbunyi. Deringannya membingitkan. Aku segera menjawabnya.

“Amy dah masuk labour room. Kata doktor sudah buka tiga cm.” Berita itu sedikit sebanyak mengganggu tugas-tugas aku pada petang itu. Jika ikut pengalaman aku, sekiranya bukaan untuk laluan bayi baharu tiga cm, maknanya mungkin bayi akan keluar dalam masa beberapa jam lagi. Ada kes yang mana bukaan laluan keluar bayi berlaku dengan pantas. Ada kes berlaku sebaliknya. Mengingatkan waktu-waktu melahirkan, aku jadi ngeri. Terlupa sebentar akan kerja-kerja yang sudah lama menanti untuk aku siapkan.

“Petang nanti kita jengok Amy.” Aku tidak mengiakan juga tidak menidakkan. Dalam keadaan tertekan, aku perlu orang lain membantuku membuat keputusan. Itulah kelemahan yang ada dalam diriku. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk tidak melayan kelemahan diri tetapi sentiasa cuba melawan kekurangan dengan kelebihan diri.

Tuesday, July 14, 2009

Cerpen 1





Cuaca agak panas di luar. Silau cahaya terasa menyucuk-nyucuk sepasang mataku yang besar dan penuh lesu. Aku memerlukan sesuatu untuk menutup silau itu. Lalu ku buka tas tangan tidak berjenama dan mengambil cermin mata hitam prada yang ku beli dengan harga RM10 menutup kedua belah mata. Jam tangan jenama Alba pemberian suami menunjukkan ke angka satu tengah hari. Seawal pagi, aku tidak sempat melapang sedikit waktu untuk mengisi perut. Konvensyen yang akan berlangsung selang beberapa hari itu mengundang terlalu banyak tugasan yang belum diselesaikan.

Sudah agak lama tidak menguruskan sebuah acara dan sesekali bila terpaksa melakukan pekerjaan itu semula, terasa buntu pula dibuatnya. Namun sebagai pengemudi acara, aku harus gagahkan untuk suatu keberhasilan yang luar biasa. “Caiyok…caiyok, kau pasti boleh lakukan.” Kata hati kecilku. Tengah hari itu aku sudah tekad untuk keluar dari pejabat. Aku mahu menghabiskan satu jam waktu rehat di luar. “Sambil makan boleh juga menjamu mata.” Kataku. Duduk seharian di pejabat seawal lapan pagi juga menyebalkan otakku.

“Walau apapun yang berlaku, aku harus keluar dari pejabat segera sebelum bos cari aku lagi.” Aku segera mengambil tas tangan dan keluar dari pejabat untuk mengisi perut yang mula berkeroncong. Teringat masak asam pedas sambal belacan, air liurku seakan mahu meleleh. “Jika ada jeruk binjai lagi sedap.” Itulah masakan kegemaranku. Seorang teman dari selatan tanahair juga meminati masakan itu. Apa agaknya yang istimewa sehinggakan setiap kali temanku berkunjung ke negeri Melaka, pasti itulah makanan yang dicarinya. Kalau tak dapat, mahu menangis dibuatnya.

“Mungkinkah aku sudah tidak punya hati untuk terus bekerja di sini?” Soalan itu tidak dapat aku jawab. Kubiarkan ia melayang-layang pergi bersama bayu panas yang menghembus pipiku yang gebu. Cermin mata berjenama prada itu kubiarkan terus menutup silau cahaya. Fikiranku kacau memikirkan berita sedih yang kuterima lewat beberapa hari lalu. Semuanya berlegar-legar di dalam kepala.

“Pastikan ucapan YAB Ketua Menteri disiapkan segera. Cari statistik tentang perceraian dan perkahwinan pasangan muda.” Arahan dari Datuk aku iyakan sahaja. Ingin sahaja aku baling fail-fail yang bertimbun di atas meja kerana arahan sebentar itu. Sayang sekali, apa yang kufikirkan tidak kulakukan.

Monday, July 13, 2009

Taman Botanikal Melaka Edisi Baru



Taman Botanikal Melaka untuk edisi baru bakal diterbitkan tahun ini. Bunyinya sungguh hebat dan menggembirakan kerana saya telah ditawarkan untuk sekali lagi menulis buku ini. Tawaran itu sebenarnya menggusarkan hati saya kerana ia harus disiapkan dalam jarak waktu tiga bulan. Saya mencongak waktu dan tarikh serta beberapa manuskrip yang harus disiapkan yang masih diuliti untuk mengejar deadline.

Sebagai seorang penulis, saya tidak pernah mengatakan tidak kepada semua pelawaan yang pernah, akan atau telah saya terima untuk menulis. Saya cuba penuhi permintaan yang datang sementara diperlukan. Banyak sekali buku yang sedang saya tulis tidak langsung berkaitan dengan apa yang saya pelajari semasa di universiti (kewartawanan). Contohnya buku Taman Botanikal seharusnya ditulis oleh seorang yang dekat dan tahu mengenai alam, tumbuh-tumbuhan, hutan, cuaca dan sebagainya. Jika difikirkan logik, bagaimana seorang bekas pelajar kewartawanan atau mantan Pengarang akhbar tabloid Suara Melaka boleh menulis sesuatu yang di luar skop bidang? Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, pasti di situ ada jalannya. Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Jika sesuai, apa salahnya mencuba. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Apa pun, untuk berjaya menjadi penulis billionaire, saya mahu mencuba semuanya. Doakan semoga semuanya sukses.

Kepada para penulis di luar sana, buatlah apa sahaja, kerana untuk nama anda dikenali di persada tanah air bukanlah sesuatu yang mudah. Untuk mendapat peluang juga bukan mudah, tetapi anda haruslah mengejar peluang yang ada. Jika peluang sudah ada di depan mata, jangan sesekali lepaskan ia.

Selamat berkarya.

Friday, July 10, 2009

Novel Kekuatan Cinta

- "Sesungguhnya kebahagiaan dalam meniti gerbang perkahwinan punya banyak suka dan duka. Hanya wanita yang cekal dan tidak pernah kenal erti putus asa akan menggapai bahagia. Imaginasi dan kreativiti penulis dialirkan dengan penuh bersahaja tetapi bisa meruntun perasaan segenap pembaca dalam novel Kekuatan Cinta karya Sastri Bakri. Syabas!" Hanita Hassan - Novelis Malaysia.


Sebuah novel cinta tentang dunia keperempuanan sedang saya baca dengan penuh semangat. Seingat saya sudah agak lama tidak membaca novel disebabkan kerja-kerja yang harus disiapkan sehingga tidak berkesempatan membaca satu persatu novel-novel yang sudah berlambak di rak-rak buku. Kali ini, melihat sahaja grafik luar kulit buku meruntun perasaan saya dan dengan penuh perasaan dan konsentrasi, saya mula membaca dua hari yang lalu. Membuka lembaran pertama, hati saya sudah terasa ingin terus membacanya. Novel karya Sastri Bakry itu adalah novel dari Indonesia yang dikirim penulisnya lewat beberapa hari lalu sebagai penghargaan untuk saya menitipkan satu dua coretan untuk cetakannya yang terbaru.

Benar sekali kata orang, kekuatan cinta itu jika wujud dalam diri sepasang suami isteri, apa pun yang terjadi, dua jiwa itu tetap akan bersatu. Sukar dibayangkan dalam dunia moden, lelaki atau suami tidak segan melakukan kerja-kerja yang sejak azali dilakukan oleh kaum wanita. Sementelaah pula sang isteri amat sibuk dengan kerja-kerja di pejabat mahupun kerja-kerja persatuan. Namun kerana cinta suami kepada isteri, segalanya bisa dilakukan. Saya seperti melihat diri saya di dalam novel ini.

Beberapa babak yang saya baca menyebabkan ada air mengalir dari kelopak mata ini. Entah kenapa terasa sungguh terharu. Setiap kali saya membaca dari bab ke bab, ceritanya semakin meruntun perasaan dan terasa seperti cerita itu amat dekat dengan diri penulis sehingga siapa sahaja yang baca pasti akan merasa sedih.

Sesungguhnya kekuatan cinta bisa membuatkan seorang isteri itu tabah menghadapi saat-saat kematian suami yang amat dia cintainya.

Thursday, July 09, 2009

Buku Politik

Tiba awal pagi di perkarangan pejabat, hanya kelihatan sebuah kereta milik setiausaha bos. Saya terlupa bahawa hari ini ada beberapa pegawai dan staf di pejabat yang akan menuju ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Jika dihitung dengan jari, rasanya setiap kali berlakunya pilihanraya kecil, setiap kali itulah ada sahaja program yang berkaitan dilaksanakan oleh pejabat.

Melihat perkembangan politik mutakhir ini, menyaksikan berita-berita politik yang tidak pernah ada kesudahannya membuatkan saya mempercepatkan penulisan sebuah buku mengenai tokoh politik dan budayawan yang telah dimulai projek itu sejak tahun 2008 yang lalu. Alhamdulillah setelah beberapa kali menemuramah tokoh, maka siap akhirnya tulisan itu.

Dahulu, setiap kali saya membaca buku berbau politik, dan bila mendengar pandangan umum, ramai yang berpendapat menulis buku genre ini tidaklah sukar. Penulis cuma perlu mencari fakta dan menulis mengikut gaya penulis sendiri. Namun berlainan bagi saya kerana setelah menulis buku seperti ini, terasa begitu sukar untuk menterjemahkan semua yang berlaku dengan perkataan dan ayat yang betul. Saya sentiasa percaya bahawa apa sahaja yang kita tulis bakal menjadi rujukan generasi masa kini dan generasi akan datang. Maka saya cuba menulis yang baik-baik sahaja meskipun dari segi logik dan seharusnya perkara yang buruk juga harus diterjemahkan untuk pengetahuan umum, namun tulisan itu perlu tidak dengan emosi. Banyak sudut yang perlu penulis fikirkan ketika menulis buku berbau politik. Tentang adakah boleh ditulis corak begini, atau bolehkah disiarkan semua yang rahsia dan sebagainya.

Jika penulis di luar sana yang amat teruja dan berbakat menulis buku politik, tulislah perkara yang baik untuk agama, bangsa dan negara. Ketahuilah bahawa mata pena itu lebih tajam dari segalanya.

Selamat berkarya.

Tuesday, July 07, 2009

Projek Penulisan

Projek penulisan yang perlu diselesaikan masih banyak yang tersangkut. Perkara pokok yang harus dilakukan dalam lingkungan keluarga telah diselesaikan. Rasanya dalam jangka waktu senggang ini, saya harus siapkan semuanya agar tidak tersangkut lagi. Masa untuk berkarya terutama dalam genre novel sudah tidak dilakukan. Asyik menguliti buku non-fiction mengundang rindu pada suasana kreatif alam fantasi. Ada dua novel yang masih tersangkut di dua penerbit yang saya harapkan dapat mengetuk pintu peminat novel fantasi dan dewasa dalam masa terdekat. Insya-Allah doakan semoga semuanya berjalan lancar.

Tanggal Julai sudah menandakan waktu menghantar manuskrip untuk sebuah pertandingan novel sejarah sudah semakin hampir. Seingat saya, sudah berbulan juga tidak meneliti manuskrip yang telah sebahagian kecil siap. Fakta-fakta sejarah yang dikumpul juga belum selesai. Tapi usaha itu kalau tak diteruskan seakan suatu pembaziran. Jika tidak ada aral melintang, akan saya selesaikan kerja-kerja yang tertangguh itu.