Tuesday, March 24, 2009

SEBUAH PERASAAN






Hari yang indah disambut dengan penuh keriangan. Beburung sepagi Subuh sudah membingitkan telinga. Apakan daya, aku harus bangkit dan melakukan rutin harian sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja. Bukan perkara mudah melakukan semua itu dalam satu masa.

Waktu berputar pantas dan di antara pusingan pagi, petang hingga ke malam. Putaran ini adalah putaran alam yang cukup nikmat kiranya setiap insan di muka bumi ini mensyukuri akan apa yang diperolehinya. Rahmat Allah itu besar serta tidak terhitung. Hanya manusia sahaja yang tidak pernah menyedarinya.

Perhimpunan besar sebuah parti iaitu Persidangan Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung selama lima hari bermula dari 24 hingga 28 Mac 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menyaksikan perhimpunan terbesar umat Melayu dan Islam membincangkan pelbagai isu Melayu semasa. Bagi calon-calon yang bertanding, terlalu banyak andaian yang bermain di benak masing-masing. Kalau menang, ia suatu petanda bahawa masa hadapan mereka semakin cerah. Sudah pasti ada jawatan besar yang bakal menanti. Walau bagaimanapun, bagi yang kalah, itulah hari yang paling sial dalam hidup mereka.

Dalam hidup ini, adat menang dan kalah itu semuanya perkara biasa yang harus diterima dengan hati terbuka. Langit memang tidak selalunya cerah. Itulah perumpamaan yang harus diterima. Apabila hujan turun, apabila kekalahan berpihak kepada individu tertentu, jangan ditamatkan hidup yang masih panjang. Hujan yang turun sebenarnya untuk mensucikan segala dosa yang dilakukan tanpa sedar sepanjang bergelumang dalam dunia politik penuh bangsat. Mungkin hari ini seseorang itu jatuh, esok lusa belum tentu nasibnya bagaimana? Apa yang berlaku, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui rahmat di sebaliknya.

Pejabat tiga tingkat yang sunyi lagi sepi sejak akhir-akhir ini semakin diselubungi sepi. Kerja-kerja hakiki yang harus diselesaikan masih tersisa di atas meja di dalam komputer. Semangat kerja yang hadir dalam hati ini sudah semakin malap.

Mac sudah semakin meninggalkan aku. Janji untuk menyiapkan sebuah buku untuk seorang kawan masih tertangguh sejak beberapa bulan yang lalu kerana tugas membantu ketua adalah tugas nombor wahid. Itu aku harus akui. Namun, apakan daya, bila langit itu mendung dan hujan turun mencurah-curah, ke mana agaknya mahu dialirkan air yang turun itu? Kasihan dan kecewa merajai hati pabila penat lelah yang dilakukan punah begitu sahaja. April bakal menjelma. Aku punya masa dua bulan untuk menyudahkan sebuah manuskrip untuk janji yang telah aku patrikan. Moga Allah memberikan aku waktu lapang itu untuk menyiapkan manuskrip itu.

Novel Sejarah yang sedang aku garap sudah nampak akan jalan ceritanya. Kisah Sultan Mahmud 11 yang membunuh Wan Anum adalah sebab yang membawa kepada akibat campurtangan putera-putera Bugis lima bersaudara keturunan Opu Daeng Rilaka ke atas pemerintahan Johor. Cuma aku sedang memikirkan tajuk apa yang harus aku letak bagi menggambarkan keseluruhan novel itu. Fakta-fakta yang kuharapkan masih terapung-apung dengan pelbagai versi yang membuntukan fikiran untuk memilih yang mana satu. Moga semua pekerjaan yang sedang kulakukan dapat disiapkan menjelang deadline.

Selamat menulis kepada penulis di luar sana. Jiwa kosong jangan dibiarkan begitu sahaja tanpa dirawat. Berceritalah dan tulislah sebuah diari bagi menyatakan perasaan dan segala kebuntuan yang pastinya akan meredakan segala kepayahan hidup.

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Hanita,

1. Apa khabar orang Melaka?

2. Janganlah berduka lara..., teruskan hidup seperti biasa, siapkan kerja hakiki dan kerja menulis dengan baik... ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!

Sekian.

Syed Zul Tojo said...

'jangan ditamatkan hidup yang masih panjang..'

I like that

Hanita Hassan said...

Salam Rusdi,
Orang Melaka agak suram ketika ini. Kerja menulis sudah sebati dan tidak mungkin dapat dipisahkan walau seketika. Saya sedang menulis dua buku dalam satu masa. Bila tidak menulis, terasa hidup agak beku dan kaku tanpa perasaan.

Doakan semoga saya dapat menyudahkan apa yang sedang saya lakukan sekarang.

Hanita Hassan said...

Salam Rusdi,
Orang Melaka agak suram ketika ini. Kerja menulis sudah sebati dan tidak mungkin dapat dipisahkan walau seketika. Saya sedang menulis dua buku dalam satu masa. Bila tidak menulis, terasa hidup agak beku dan kaku tanpa perasaan.

Doakan semoga saya dapat menyudahkan apa yang sedang saya lakukan sekarang.

Hanita Hassan said...

Zul,
'Jangan ditamatkan hidup yang masih panjang...'

Ramai lupa bahawa selain apa yang dikejar berciciran, yang dikendung juga terlepas begitu sahaja akibat terlalu alpa.