Monday, March 02, 2009

Fasal Awal Novel Sejarah

Aku sedang memasuki fasa awal menulis sebuah novel sejarah. Rasa-rasanya ia suatu pengalaman yang amat besar dalam hidup aku setakat ini. Rupa-rupanya benarlah seperti kata penulis-penulis yang pernah dan sedang mencuba menulis novel sejarah, ia bukannya perkara yang mudah. Namun aku sentiasa percaya, jika sudah Allah gerakkan hati ini untuk menulis tentang apa yang akan aku tulis ini, aku akan selesaikan apa yang aku lakukan ini.

Sudah tentu barangkali apa sahaja yang digerakkan itu, ada hikmah yang besar di sebaliknya. Aku sentiasa cuba mencari sesuatu yang positif agar fikiran yang sedang kusut ini dapat ku sejukkan. Ah...amat sukar untuk mencipta watak-watak dalam penceritaan kali ini. Aku masih mencari dan membaca semua jenis buku yang berkaitan sejarah zaman yang sedang aku tulis itu.

Aku melihat banyak perkara, dari sekecil-kecil benda kepada yang sebesar-besarnya kerana dalam menulis sesuatu, penulis harus mengetahui tentang perkara itu sebelum melebarkan sayap kreativiti kepada tingkat yang lebih tinggi.

Aku sedang berada dalam babak perjalan laksamana di dalam sebuah kapal perang. Apakah yang harus aku selitkan dalam mengisi watak-watak di dalam kapal itu? Persoalan inilah yang menjadi beban ketika ini. Aku cuba mencari watak-watak yang memang wujud di dalam kapal seperti nakhoda, jurumudi, awak-awak, panglima perang, imam, budak suruhan panglima, anak raja dan berbagai lagi untuk menghidupkan suasana di dalam kapal perang itu sendiri.

Aku jangkakan akan mula menulis pada pertengahan tahun ini, tetapi nampaknya Allah telah menggerakkan hati aku untuk bermula lebih awal. Alhamdulillah, semoga Allah memberi aku waktu yang lapang dan hati yang tenang untuk menyudahkan babak-babak seterusnya.




2 comments:

Anonymous said...

Hanita,

1. Dalam majalah Dewan Siswa Mac 2009, dalam ruangan 10 judul terlaris terbitan DBP (halaman 38), buku HARUSKAH AKU BERLARI duduk di tempat ketiga. Tahniah!

2. Ada beberapa bahan yang mungkin dapat membantu dalam mencari beberapa maklumat dalam menghasilkan novel sejarah, ya... bahan yang diperoleh dari Pekanbaru... nantikan.

Sekian.

rar/

Hanita Hassan said...

Terima kasih atas keprihatinan itu. Amat dihargai.