Thursday, April 02, 2009

TERKENANG WAKTU MELAHIRKAN

Saya masih ingat ketika melahirkan anak kedua, memanglah teramat mudah. Kata orang yang lebih berpengalaman, jika jarak antara anak pertama dan kedua terlalu dekat, maka laluan untuk anak kedua lebih mudah. Saya mengakuinya. Anak pertama berusia 2 tahun 2 bulan, anak kedua lahirlah. Masa hari kejadian, saya sepatutnya menghadiri satu mesyuarat penting yang berlangsung pada jam 9.30 pagi.

Pagi tu, tidak terasa apa-apa dan tidak ada tanda saya akan melahirkan bayi saya. Seperti biasa sebelum bersiap ke pejabat, saya sempat memasak. Dalam jarak waktu jam 7 pagi ke 8 pagi, keadaan diri sudah rasa tidak selesa. Tapi masih tidak menjangka akan melahirkan kerana tarikhnya masih jauh. Gagah juga masuk kereta nak ke pejabat. Kebetulan kakak minta bantuan hantar ke klinik. Maka dengan selamba, menumpangkannya ke klinik sedangkan perut sudah macam memulas-mulas. Kalau tidak kerana ada mesyuarat penting, saya mungkin tidak ke tempat kerja pagi tu.

Nak dijadikan cerita, kerana tak tahan sakit, suami mencadangkan singgah sahaja ke hospital kerana jarak rumah dan hospital cuma 5 minit menaiki kenderaan. Setelah diperiksa, semua yang ada dalam bilik kelam kabut. Terjerit-jerit sebab laluan saya untuk melahirkan sudah terbuka 7 cm. Biasanya bayi akan keluar bila bukaan sudah 10 cm.

'Baby dah nak keluar.' Jerit Staff Nurse bertugas. Saya sendiri kelam kabut kerana mental belum bersedia ketika itu.

Berlari-lari staff nurse tolak saya masuk ke dalam bilik bersalin. Tepat jam 9.14 minit pagi, anak kedua pun lahir. Suami saya belum pun selesai buat pendaftaran di kaunter mendaftar, bayinya sudah pun selamat dilahirkan. Nasib baik segala keperluan bayi sudah ada di dalam kereta.

Suami saya sempat berseloroh, kalau nak pergi mesyuarat masih sempat lagi sebab baru jam 9.15 pagi. Dalam sakit sempat ketawa.

Pengajaran dari kisah benar ini, tidak kira wanita itu sudah bersuami atau sedang mengandung, prestasi kerjanya tetap tip top. Apa yang penting kerjasama dengan pihak pengurusan dan keluarga itu amat penting. Sudah tentu dunia akan menjadi lebih aman. Tidak ada hasad dengki dan sebagainya. Amin.

2 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Hanita,
Saya kini sudah selama 33 hari menjadi 'ibu' menjaga dan menguruskan dua anak (darjah 4 dan 1) tanpa ibunya. Ibunya kini ditahan @ direhatkan di hospital sudah 33 hari kerana kandungan berusia 7 bulan alami masalah iaitu uri di bawah. Jarak anak kedua dengan kandungan kini jauh iaitu 7 tahun. Menurut doktor, isteri mungkin kena tahan @ direhatkan di hospital sehingga cukup tempoh untuk melahirkan bayi dalam kandungan itu (mungkin sehingga minggu pertama Mei). Namun ini semua merupakan dugaan dan cabaran-Nya yang ada rahmat tersendiri.

Sekian.

Hanita Hassan said...

Salam Rusdi,
Tahniah Bapa Mithali.

Bukan semua bapa boleh melakukan pekerjaan menjaga anak bila isteri tiada di rumah atau tidak sihat. Bila ada masalah, biasanya suami hantar anak ke rumah ibu bapa.

Insya-Allah saya pasti awak boleh melakukan tugas sebagai ibu. Apa yang penting kerjasama. Kalau tidak ada tolak ansur, sudah pasti semua yang kita rancang tidak akan menjadi kenyataan.

Saya selalu percaya dan yakin bahawa setiap kejayaan itu pasti terkandung banyak cabaran untuk diharungi.