Friday, January 09, 2009

RESENSI NOVEL HARUSKAH AKU BERLARI

"Novel ini berjaya memainkan emosi pembaca, yang sekejap tenang mengikut ayunan langkah watak-watak ciptaan pengarangnya, dan ada waktunya pembaca turut lelah jiwanya lantaran hambatan langkah watak-wataknya yang tidak pasti dan bercelaru arah tujunya. Ke manakah arah yang perlu dipilih dalam situasi kejar dan mengejar cinta yang tidak pasti ini. Hanita Hassan berjaya membakar dan menyejukkan emosi pembaca dan novel ini pasti memberikan kesan katarsis kepada pembaca."

Judul Buku :Haruskah Aku Berlari
Pengarang :Hanita Hassan
Ulasan oleh:UMI AMMAR
Majalah Tunas Cipta Januari 2009
Ruangan Resensi m/s 26 & 27
Harga : RM25.00 (417 muka surat)
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Banyak orang mengejar cinta dan dalam waktu yang sama banyak juga orang yang melarikan diri daripada cinta - tidak rela dirinya dicintai dan mencintai. Bagaimanakah pula dengan anda? Adakah anda sudah memiliki cinta sejati? Atau adakah anda seorang insan yang terperangkap dalam cinta yang tidak berbalas? Atau adakah anda telah ditawan oleh beberapa cinta dan keliru untuk memilih cinta sejati?

Haruskah Aku Berlari sebuah novel cinta yang merungkaikan permasalahan cinta tiga segi teruna dan dara. Jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sering dilabelkan sebagai penerbit yang menerbitkan novel serius yang rumit persoalannya, dan kompleks plotnya, Haruskah Aku Berlari berjaya membawa DBP keluar daripada label ini. Novel ini lebih santai dan ringan sesuai untuk pembaca yang gemar akan pembacaan yang menghiburkan dan merehatkan minda. Namun dalam novel ini banyak pengajaran dan iktibar yang boleh ditimba, terutama untuk para remaja.

Kisah cinta dalam novel ini berpusat pada watak utamanya Sofea Delaila. Sofea Delaila seorang gadis jelita yang gagal melanjutkan pengajiannya ke universiti. Sofea Delaila hanya berpeluang melanjutkan pengajiannya ke tingkatan enam. Kegagalannya melanjutkan pengajiannya ke universiti menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan kekasih hatinya, Zahrul.

Zahrul yang berjaya melanjutkan pengajiannya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjanji akan tetap setia bersama-sama Sofea Delaila, biarpun mereka terpaksa berpisah jauh. Bagi Sofea Delaila pula perpisahan ini semakin membakar semangat cintanya dan kerana cintanya kepada Zahrul juga dia berazam belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan dia juga akan menjejaki Zahrul, kalau dapat ke universiti yang sama. Kejayaannya dalam pelajaran sahaja yang dapat mendekatkan dirinya kepada Zahrul teruna pujaannya.

Zarul, jejaka kacak yang berada di kota besar yang terdedah dengan kehidupan yang serba mewah dan canggih akhirnya mulai luntur kesetiaannya kepada kekasih hati yang setia menantinya, Sofea Delaila. Kehidupannya di kampus yang sering dikejar oleh kesibukan dunia mahasiswa yang cantik dan cerdik melekakan Zahrul. Dia telah pun mendapat teman baharu bernama Alisah.

Sikap dingin Zahrul menghancurluluhkan hati Sofea Delaila. Namun begitu, bagi Sofea Delaila biarpun apa-apa yang dilakukan oleh Zahrul kepadanya dia tetap setia. Walau bagaimanapun, kesetiaan Sofea Delaila tiba-tiba tergugat dengan kehadiran Nasir. Nasir dikenali Sofea Delaila ketika dia bekerja sambilan semasa menunggu keputusan STPM. Kehadiran Nasir yang dianggap sebagai pengisian kesepiannya tidak sekali-kali merubah cintanya kepada Zahrul. Nasir tidak lebih dianggapnya sebagai abang angkatnya.

Sebaliknya pula, bagi Nasir sedikit demi sedikit, Sofea Delaila telah berjaya bertakhta di hatinya, dan mengisi kekosongan hatinya setelah tunang yang dikasihi meninggal dunia. Nasir, lelaki kacak yang lebih matang berbanding dengan Zahrul, dan mempunyai profesion yang tinggi dalam kerjayanya sentiasa sabar menanti pintu hati Sofea Delaila terbuka untuknya.

Kedinginan cinta Zahrul dan kehangatan cinta Nasir yang semakin dirasai oleh Sofea Delaila, apatah lagi dengan restu yang diberi oleh keluarga Sofea Delaila sendiri terhadap Nasir, menjadikan gadis ini semakin keliru dengan perasaannya. Dia tidak tergamak melukai hati Nasir, namun dalam waktu yang sama dia masih mengharapkan cinta Zahrul.

Dalam kekeliruan itu, takdir cinta Sofea Delaila bagaikan berpihak kepada Zahrul. Sofea Delaila berjaya cemerlang dalam STPM dan berjaya melanjutkan pelajaran di UiTM seperti yang diharapkannya. Dengan demikiran Sofea Delaila dapat mendekati Zahrul.

Zahrul yang merahsiakan hubungannya dengan Alisah masih cuba melayani Sofea Delaila seperti dahulu, dia masih berjaya membuai hati Sofea Delaila dengan lagu cintanya. Sofea Delaila yang asyik dengan buaian lagu cinta Zahrul itu semakin melupakan Nasir yang selama ini membuatkan hati cintanya bagaikan terbahagi dua. Sofea Delaila berasakan dilema cintanya telah berakhir, kerana cinta sebenarnya telah berada di hadapan matanya.

Namun begitu, kebahagiaan hati Sofea Delaila tidak berpanjangan. Cinta Zahrul yang telah berpaling kepada Alisah, gadis mewah yang berjaya menunaikan segala impian Zahrul akhirnya terbongkar, apabila Sofea Delaila sendiri terserempak dengan mereka berdua.

Bermula detik itu kehidupan Sofea Delaila mulai bergelora. Tumpuan pada pelajarannya agak terganggu. Dia terlalu kecewa dan dalam waktu yang sama dia cuba bangun bersaing dengan Alisah, untuk menuntut cinta Zahrul. Sofea Delaila akhirnya tewas, dia terlantar di hospital.

Dalam waktu derita menanggung kekecewaan itu, Nasir datang menziarahi Sofea Delaila. Pancaran cinta yang setia dari mata Nasir memberi harapan baharu kepada Sofea Delaila, kerana dia mulai yakin inilah cinta setia yang didambakan olehnya sekian lama. Biarpun cintanya kepada Zahrul tidak pernah padam, dia sedar kini dia tidak harus melarikan diri daripada jejaka yang tidak pernah lelah mengejar cintanya.

Zahrul yang dalam dua persimpangan untuk memilih Sofea Delaila atau Alisah, akhirnya membuat keputusan untuk memilih Sofea Delaila, cinta pertamanya. Zahrul telah mengaturkan pertemuan dan bersedia untuk mengatakan pendirian cintanya terhadap Sofea Delaila. Namun, sejambak bunga yang dibawa bersama-samanya tidak bermakna lagi, kerana gadis yang dinanti-nantikannya tidak kunjung tiba.

Alisah yang sentiasa menanti tautan cinta Zahrul tidak melepaskan peluang apabila Zahrul kembali menghulurkan tangannya untuk menggenggamkan kembali cintanya kepada Alisah yang hampir dilepaskan oleh jejaka itu.

Namun begitu, setelah Sofea Delaila dan Zahrul bagaikan menemui “pintu” cinta mereka yang sebenar-benarnya, kedua-duanya tiba-tiba berasa telah memilih laluan “pintu” yang salah. Zahrul berasa cintanya terhadap Sofea Delaila tidak akan berakhir di situ, jika dia tahu Sofea Delaila tidak hadir pada hari yang dijanjikan untuk mereka bertemu kerana dia dimasukkan ke wad. Sofea Delaila pula tidak akan semudah itu memberi laluan kepada Nasir untuk menerobos “pintu” hatinya, jika dia mengetahui Zahrul telah bersedia menemuinya dengan satu keputusan yang pasti menggembirakannya sepanjang hayat.

Apakah kesudahan cinta mereka? Haruskah Sofea Delaila berlari mengejar cinta Zahrul yang tidak pasti?

Novel ini berjaya memainkan emosi pembaca, yang sekejap tenang mengikut ayunan langkah watak-watak ciptaan pengarangnya, dan ada waktunya pembaca turut lelah jiwanya lantaran hambatan langkah watak-wataknya yang tidak pasti dan bercelaru arah tujunya. Ke manakah arah yang perlu dipilih dalam situasi kejar dan mengejar cinta yang tidak pasti ini. Hanita Hassan berjaya membakar dan menyejukkan emosi pembaca dan novel ini pasti memberikan kesan katarsis kepada pembaca.

Monday, January 05, 2009

HARI BARU BERMULA

Hari ini 5 Januari 2009. Anak-anak akan memulakan sesi persekolahan setelah lebih sebulan bersantai di rumah tanpa buku, tetapi cuma mengadap cerita-cerita karton dan cerita-cerita fantasi ala-Indonesia di peti televisyen setiap hari. Waktu ini, jam menunjukkan ke angka 5.45 pagi. Nampaknya hasrat untuk aku bangun awal pagi ini tercapai jua. Anak-anak masih nyenyak bersama papa mereka. Aku tetap di hadapan komputer riba mengisi blog yang sentiasa inginkan sesuatu untuk tatapan semua.

Tahun baru 2009 baru lima hari hadir dalam hidup aku sekeluarga. Sibuknya di awal tahun sehinggakan aku tidak punya waktu untuk menulis atau menyiapkan kerja-kerja yang masih terbengkalai. Buku-buku sekolah anak harus diteliti satu persatu. Kesemuanya harus dibalut. Baju sekolah harus digosok. Semalam baru aku teringat hendak mengenakan lencana sekolah pada baju baru anak-anak. Aduh...macam-macam hendak dilakukan. Almaklumlah, keempat-empat anak aku akan memulakan sesi persekolahan mereka pagi ini. Anak keempat aku akan memasuki tadika pagi ini. Bagaimana agaknya si kecil yang kadang-kadang aku panggil comel, kadang-kadang aku gelar baby dan macam-macam lagi, bila hari pertama masuk sekolah. Tentu seronok. Aku bimbang bukan si kecil yang menangis masuk sekolah, tetapi sebaliknya aku yang menangis melihat anak kecilku semakin membesar.

Masa itu terlalu pantas berlalu. Sedar atau tidak, usia juga sudah semakin meningkat matang. Dalam meniti usia yang sebegini, banyak perkara yang harus aku serta suami lakukan untuk membesarkan anak-anak. Anak sulung, sememangnya amat berdikari tetapi sering cemburu dengan adik-adik. Anak kedua, masih lemah dalam subjek Inggeris. Anak ketiga pemalu tetapi sudah menunjukkan perkembangan yang positif di tadika. Anak keempat, masih belum tahu.

Rasanya adalah tidak adil membiarkan anak-anak membesar tanpa melihat perkembangan mereka dengan baik. Cita-cita mahu menulis dan menulis harus aku seimbangkan dengan cita-cita mahu melihat kejayaan anak-anak. Jika aku berjaya sekalipun, anak-anakku hancur, itu bukan berjaya namanya. Maka, aku cuba melakukan kedua-duanya sekali walaupun aku sedar itu bukannya kerja yang mudah.

Tapi rasanya, seorang penulis yang baik adalah mereka yang sering berhadapan dengan pelbagai situasi di dalam kehidupan mereka. Tidak kiralah apa pun situasinya, ia akan mengajar seseorang itu untuk melihat dan menganalisa serta menjadikannya sebagai salah satu rencah dalam tulisannya. Rasa-rasanya banyak pengalaman yang aku telah lalui dan aku yakin semua itu akan mematangkan aku untuk terus menulis.

Azan Subuh sudah berkumandang dari masjid berhampiran. Aku harus menyelesaikan tugas menulis dan memulakan hari ini dengan pelbagai lagi tugas yang belum selesai. Selamat berkarya.

Friday, January 02, 2009

TAHUN BARU AZAM BARU

Pelbagai persoalan menerobos fikiranku ketika ini sedangkan aku harus meneruskan kerja-kerja di pejabat seperti sebelum ini. Terasa rindu bila sepagi jam lapan aku membuka kunci bilik pejabat setelah seminggu bercuti atas urusan sekolah anak-anak. Rupa-rupanya sayang juga aku pada tempat kerjaku. 2 Januari 2009, adalah hari baru untuk aku kerana perjalanan hidup dengan azam baru harus diteruskan meski yang kutunggu-tunggu bersama suami masih samar-samar. Doaku agar penantian itu akan menjadi kenyataan. Amin.

Ahh…tahun baru sudah pun bermula dan sudah hampir dua hari ia mengetuk pintu hidupku. Apakah yang harus aku lakukan dengan tahun baru ini masih aku fikirkan lagi. Pabila ku toleh ke belakang, nampaknya hajatku tercapai jua bila mana sebuah manuskrip novel sudah aku tamatkan. Cuma proses penyuntingan sedang aku lakukan dengan harapan dapat disiapkan dalam satu dua hari ini. Masa itu masih 24 jam sehari tetapi aku rasakan masa yang ada bagai tidak cukup untuk menyudahkan semua urusanku yang masih tertangguh. Apa pun, tanggungjawab dan janji yang telah dimeterai harus kulaksanakan agar tidak ada hati yang terluka.

Aku cuba memenuhi aktiviti menulis di blog, namun sering sahaja tidak punya waktu. Nampaknya tahun 2009 sudah menjelma dan aku bakal semakin sibuk dengan semua kerja penulisan yang masih banyak di dalam kantung komputer ribaku. Rasanya hidup kosong tanpa buku dan tulisan. Tahun ini aku mahu meningkatkan tulisan dan cuba tidak berlengah-lengah agar lebih banyak manuskrip boleh aku hasilkan. Bila tahun berganti tahun, musim bertukar ganti, sedar atau tidak, usiaku serta suami sudah semakin meningkat. Semakin meningkat usia, semakin banyak tanggungjawabyang harus dipikul. Apatah lagi, anak-anak semakin membesar.

Azam dan semangat untuk hidup itu perlu ada dalam diri setiap manusia. Berputus asa hanya ada dalam kamus mereka yang sentiasa tidak mensyukuri atas apa jua yang diberikan oleh Allah swt. Aku sentiasa yakin bahawa setiap yang aku lakukan adalah atas dorongan Allah swt. Tanpa dorongan daripada-NYA, mana mungkin dapat aku menzahirkan semua yang ada di dalam fikiranku di dalam satu manuskrip. Aku bersyukur atas apa yang telah aku lalui selama hidup ini. Punyai suami yang sentiasa menyayangi aku dan anak-anak comel yang memahami bidang tugas aku sebagai penulis. Jangan jadikan tanggungjawab keluarga itu sebagai beban kerana bila ia terpahat di minda, sudah tentu segala apa yang dilakukan tidak mungkin akan menjadi dengan baik. Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Mungkin esok belum tentu menjanjikan sesuatu. Hiduplah hari ini dan berbuat kebajikan untuk menambah keberkatan harta. Moga tahun 2009 menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk aku, suami dan anak-anak. AMIN.

Wednesday, December 17, 2008

IDEA MENCURAH-CURAH

Apabila idea mencurah-curah, aku selalunya berhenti dan tidak mengeluarkan kesemuanya. Aku suka buat macam gitu. Jadi dalam masa aku membuat kerja lain, kepala akan terus berfikir tentang idea yang belum tertulis itu. Maka apabila aku mula duduk di depan komputer, sudah tentu idea mencurah-curah dan boleh menulis sehingga selesai satu bab atau lebih.




Aku sedang menyiapkan sebuah manuskrip novel. Manuskrip ini telah dihasilkan untuk pertandingan sayembara novel 50 tahun DBP tetapi aku tidak meraih apa-apa hadiah. Jadi aku telah baca semula manuskrip ini dan mendapati banyak yang harus ditambah dan dibuang. Maka itu, aku sedang membedah manuskrip itu dan sedang menulis di bahagian-bahagian akhir untuk menjadikan cerita ini lebih bagus dari yang asal.

Aku masih berfikir-fikir ke mana harus aku hantar manuskrip ini?

Saturday, December 13, 2008

KAMBING OH KAMBING

Eiduladha sudah beberapa hari meninggalkan kita. Para jemaah haji akan pulang ke tanahair setelah menunaikan ibadat haji. Rindu kepada keluarga akan terubat bila bertemu semula dengan keluarga tercinta. Hari Raya Haji tahun ini memberi seribu kepuasan kepada aku serta suami dan seluruh ahli keluarga. Tahun ini, rezeki kami dimurahkan dan keinsafan bertambah membuatkan aku merancang melakukan ibadah korban.

Cerita pasal korban, ia datang dengan tanpa aku rancang. Beberapa hari sebelum hari raya haji, aku mengajak suami untuk melakukan korban. Tanpa banyak soal, hanya dengan satu soalan "Duit ada ke?" aku pula menjawab "dah ada." Terus kami mencari beberapa tempat kononnya untuk masuk dalam korban kelompok. Malang sekali, kebanyakan tempat telah tutup. Jika tidak dengan lembu, boleh gunakan kambing. Maka pencarian pun bermula.

Nak cari kambing pun susah. Ada satu tempat tu yang jual sehingga RM1 ribu lebih untuk seekor kambing jenis import. Aku masih berusaha dan tidak putus asa. Masa tu dah jumaat. Nak dijadikan cerita, dalam perjalanan ke tempat kerja, aku dan suami ternampak papan tanda menjual kambing untuk korban. Apa lagi, kami pun ambillah nombor telefonnya. Ada dua tempat. Satu tempat jual RM620 seekor dari kambing jenis Boer iaitu kambing import dari IndoChina. Satu tempat lagi jual dengan harga RM650 seekor.

Maka kami pun bersetuju dengan tempat yang jual dengan harga RM620. Petang itu, pulang dari kerja, kami singgah di tempat jual kambing. Alhamdulillah kebetulan tinggal dua ekor sahaja kambing yang boleh dijual untuk korban. Kedua-dua kambing itu sihat dan besar. Rezeki kami.

Pencarian untuk kambing dah selesai. Kemudian kami jumpa imam di kampung. Berbincang tentang siapa yang nak sembelih dan kenduri. Aduhai...aku kecewa sebab pak imam tak boleh buat pada hari raya pertama. Sibuk sebab telah dipanggil menyembelih di kandang di kampung aku. Suami aku setuju pulak. Sedangkan pada hari raya kedua aku kena kerja. Tidak boleh cuti sebab ada mesyuarat lembaga pengarah di pejabat. Satu hal, kebanyakkan adik beradik aku tidak boleh balik.

Maka pencarian untuk orang sembelih dan melapah kambing kami bermula dengan harapan dapat juga buat pada hari raya pertama. Dengan pertolongan dari seorang pakcik, kawan baik kami, akhirnya seorang bilal di kampung aku bersetuju sertelah dipujuk. Dia dan anak menantunya akan menyembelih dan melapah. Lega satu bab walaupun terpaksa dibuat pada sebelah petang. Setelah semuanya confirm, barulah aku menghubungi adik beradik menjemput.

Rupa-rupanya bukannya satu kerja mudah untuk melakukan korban. Seseorang yang ingin berkorban itu harus melalui banyak perkara sebelum hari korban itu. Pengajarannya ialah, amalan korban adalah amalan yang besar. Jadi sekiranya kita mahu melakukannya, kita harus merancang dari awal dan membuat persedian. Tetapi kata orang tua, kerja baik itu sudah tentu akan dirahmati Allah. Dengan niat yang ikhlas dari hati aku serta suami, akhirnya ibadat korban itu dapat dilakukan di rumah sendiri.

Korban dapat dibuat, adik beradik berkumpul, kenduri doa selamat dan tahlil juga dapat dilakukan. Banyak hikmahnya dari ibadah korban yang kami lakukan pada tahun ini. Aku yakin bila kita hendak melakukan benda yang baik, jangan berkira-kira. Sudah tentu ada sahaja rezeki akan datang menjengah.

Selamat malam.

Saturday, November 29, 2008

SUARA DARI BALKONI

Angin petang berhembus perlahan. Hawa sejuk menerawang sehingga masuk ke dalam kondo yang aku serta suami sewa. Anak-anak sibuk melihat bilek masing-masing. Aku dan suami membiarkan mereka dengan aktiviti mereka. Aku tahu, hati anak-anak lapang bila dapat bercuti. Hari ini adalah hari Jumaat. Hari Jumaat adalah penghulu bagi segala hari dan aku paling suka bila tiba Jumaat.

Nun jauh di hadapan mata,kelihatan ombak menghempas pantai. Burung-burung terbang rendah seakan mencari makanan di pasir pantai. Kalau bernasib baik, dapat juga cacing, mungkin anak ketam untuk makanan mereka petang itu. Terasa mahu segera ke pantai. Cuaca panas di luar membuatkan aku harus bersabar ditambah dengan keadaan diri yang tidak sihat. Entah kenapa pantai dan diri aku amat sebati sekali. Pantai membawa begitu banyak kenangan dalam hidup aku mahupun suami. Ilham pasti lahir setiap kali aku duduk di bangku balkoni di kondo yang aku sewa.

Puas hati aku kerana akhirnya dapat juga aku, suami dan anak-anak berlibur walaupun beberapa jam. Seronok lihat anak-anak mandi manda di kolam renang. Aku sendiri terasa lega bila dapat keluar dari rutin harian dan bercuti bersama keluarga.

Waktu-waktu yang terbatas, sentiasa mengejar waktu, kami harus membahagikan waktu antara pekerjaan, perniagaan dan anak-anak. Memang dalam keadaan sekarang, masa itu emas. Jika lambat, anda pasti akan ditinggalkan jauh. Kalaupun mahu kembali ke waktu yang telah kita tinggalkan itu, tidak mungkin waktu yang kita impikan itu sama. Kecuali kita punya kuasa untuk kembali ke masa lalu macam cerita-cerita dalam novel aku Adli di Alam Fantasi.

Anak-anak memerlukan perhatian dalam waktu mereka sedang membesar. Apabila melihat perangai anak-anak yang macam-macam, aku sedar bahawa mereka juga manusia biasa yang memerlukan belaian yang lebih dari sepatutnya. Bila aku dan suami dapat membawa anak-anak berlibur, mereka terus sihat. Kalau tidak, macam-macam hal. Demam, muntah, selsema dan batuk. Semua sakit itu datang serentak kepada tiga dari empat anak aku. Aku sendiri tidak sihat.

Sejak aku diperkenalkan dengan blog XMC, aku terasa rindu setiap kali berjauhan dan tidak menatap blog itu. Bermacam cerita yang dicoretkan tidak kurang yang mengenang kisah lalu, kisah suka duka, pendapat yang pelbagai, yang aku sendiri tidak sempat untuk meninggalkan jejak aku dengan komen-komen mereka. Setiap orang punya pendapat masing-masing dalam banyak perkara yang dibincangkan. Semua pendapat itu benar tertakluk kepada pendirian mereka yang menulis itu. Bagi aku, insan yang serba kekurangan ini, apa juga pendapat, mencerminkan diri kita sendiri.

Apabila mahu menulis sesuatu topik, kita harus berfikir terlebih dahulu. Tidak terlalu emosi dan tulis sesuatu yang boleh memberi semangat kepada orang lain.

Wednesday, November 26, 2008

RINDU UNTUK MENULIS

Melihat ketidakaktifan blog ini, aku terpanggil untuk menulis sesuatu. Banyak perkara yang ingin aku kongsi bersama kalian tetapi apakan daya, aku tidak punya kesempatan untuk meluahkan segala isi hatiku ini.

Apabila leka menulis blog, nanti banyak kerja tertangguh?

Aku cuba membuat jadual menulis di blog, menyelesaikan tugas pejabat, menulis buku dan novel dalam masa 24 jam. Waktu seakan terlalu singkat. Detik waktu tidak boleh aku tahan-tahan. Dalam masa yang sama, aku juga harus memperuntukkan waktu untuk suami dan anak-anak yang semakin membesar. Semuanya memerlukan belaian aku. Kadang-kala aku terfikir, tidak penatkah buat semua kerja-kerja itu setiap hari?

Sehingga ke hari ini, aku suka semua kerja yang aku lakukan. Ditambah dengan kesibukan aku melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama Badan Bukan Kerajaan di negeri Hang Tuah ini, rasanya hidup aku lebih terisi dan dapat memanfaatkan semua pengetahuan dengan masyarakat di sekeliling aku.

Suami semakin memahami aku. Sejak anak-anak sudah pandai berdikari, boleh mengurus diri masing-masing, tugas aku semakin mudah. Adibah, Adib, Adli dan Adam, anak-anakku yang comel. Mereka amat memahami aku. Malah kagum melihat novel-novel yang aku tulis walaupun belum lagi berupaya untuk membacanya.

Cuti sekolah sudah hampir dua minggu. Tidak banyak aktiviti yang aku atur untuk anak-anak kecuali anak kedua yang aku hantar ke kelas pemulihan intensif. Semuanya untuk membantu dia menulis dan membaca dengan lancar. Dahulu, ketika anak sulung aku bersekolah darjah satu, dia tidak punya banyak masalah. Dia boleh membaca dan menulis dalam bahasa melayu dengan baik dan boleh membaca dan menulis dalam bahasa inggeris juga dengan baik. Jadi ketika di darjah satu, dia tidak ketinggalan di dalam kelas.

Namun, apabila anak kedua aku yang bermasalah masuk ke sekolah yang sama dengan kakaknya, banyak masalah timbul. Semuanya gara-gara anak aku itu tidak berapa pandai membaca dan menulis. Jadi natijahnya maka anak aku itu seperti ditinggalkan walaupun belajar di sebuah sekolah yang memang terkenal dengan kebagusannya. Jadi dalam hal ini, aku sedar, anak itu harus dididik dari rumah bukan di sekolah. Jika kita sebagai ibu bapa tidak dapat mendidik anak kita sendiri, belum tentu pihak sekolah boleh.

Nampaknya setelah hampir dua minggu di kelas pemulihan, banyak perubahan yang telah dia perolehi. Aku memohon agar Allah sentiasa memberi anak-anakku peluang untuk menjadi yang terbaik dan aku akan pastikan mereka dapat yang terbaik dari usaha aku dan suami sendiri.

Banyak lagi yang tersimpan di dalam kepala. Tetapi tidak mungkin aku dapat curahkan semuanya dalam satu masa. Ada masa ada kesempatan, aku akan mampir lagi dengan cerita yang lebih baik.

Selamat berkarya.

Friday, September 12, 2008

Memburu dan Diburu Cinta

Judul : Haruskah Aku Berlari
Penulis : Hanita Hassan
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM25.00
Pengulas : Saira Salim

Dewan Sastera September 2008


Haruskah aku berlari bagi mengejar cintamu, atau haruskah aku berlari bagi melarikan diri daripada diburu oleh cintamu, merupakan hambatan perasaan yang membungkus hidup Sofea Delaila. Sofea Delaila, siswa yang keliru dikejar dan mengejar cinta berada dalam dilema untuk membuat keputusan memilih antara dua jejaka yang berjaya menambat hatinya.

Zahrul, merupakan jejaka pertama yang dicintainya, sejak di alam persekolahan. Zahrul yang telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti, berjanji akan membawa bersama cinta Sofea Delaila ke kampus. Dia berjanji akan menanti Sofea Delaila dengan penuh kesetiaan di sana. Dengan semangat dan cinta Zahrul itu, Sofea Delaila berazam akan belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan suatu hari nanti dia akan dapat bersama-sama Zahrul, sebagaimana yang dijanjikan.

Namun begitu, setelah Zahrul berada di kampus, dia telah melupakan janjinya. Dia telah menemui gadis lain, yang biarpun tidak secantik Sofea Delaila, tetapi gadis itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bahkan, gadis itu dapat memenuhi tuntutan hidupnya yang terdesak dengan kesempitan kewangan. Gadis itu daripada keluarga berada dan dengan kemewahan wang ringgitnya, dia dapat membeli hati Zahrul hingga Zahrul tidak lagi mengingati janji setianya bersama-sama Sofea Delaila.

Sofea Delaila yang setia dalam penantian amat kecewa, namun kedinginan Zahrul tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran. Dalam kesepian dan keterasingan disisihkan oleh jejaka yang dicintainya sepenuh hati itu, dia telah diketemukan secara tidak sengaja dengan seorang jejaka yang sangat jujur, baik dan mengasihinya sepenuh hati. Nasir, jejaka yang sudah stabil dari segi profesion dan kewangan, juga jauh lebih matang daripada Zahrul. Nasir, telah merasai derita kehilangan tunang yang telah pergi buat selama-lamanya. Dia amat berhati-hati dalam menilai dan menghargai sebuah cinta.

Nasir tetap sabar menanti Sofea Delaila membuka pintu hati untuk menerima cinta murni daripadanya. Biarpun terlalu banyak kebaikan yang dinilai oleh Sofea Delaila sendiri terhadap Nasir, namun hatinya tetap terpaut pada cinta Zahrul yang rapuh dan tidak berpendirian. Zahrul pula dalam keadaan terpaksa membuat pilihan antara dua orang gadis itu. Zahrul mulai merasakan dia sepatutnya menerima Sofea Delaila. Dia berasa amat bersalah kerana telah mengingkari janji yang dibuat olehnya. Maka, Zahrul bertekad untuk menebus segala dosanya kepada Sofea Delaila. Dia telah mengaturkan temu janji untuk menautkan kembali cinta yang terlerai sekian lama. Dapatkah Zahrul membuktikan kejujurannya?

Sebuah novel cinta romantis yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh pembaca begitu sahaja di rak buku atau di mana-mana sahaja. Novel ini membongkar sikap seorang lelaki terhadap nilai sebuah cinta dan lelaki yang hanya menjadikan wanita sebagai mangsa keegoan dan ketamakan hati.

Thursday, September 11, 2008

ULASAN NOVEL HARUSKAH AKU BERLARI DALAM DEWAN SASTERA SEPT 08

Aku teruja pabila mengetahui bahawa novel aku bertajuk Haruskah Aku Berlari yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2008 telah pun diulas di dalam Dewan Sastera keluaran September 2008.

Kesibukan menguruskan aktiviti untuk anak-anak yatim dalam bulan Ramadhan ini membuatkan aku tidak sempat untuk mendapatkan naskah tersebut. Memang aku rasa teruja bila mendapat tahu novel aku diulas kerana ia satu penghargaan buat aku, apakan daya semalam ketika singgah di sebuah kedai menjual majalah, pekerja kedai mengatakan naskah dewan sastera belum dihantar ke kedainya.

Hampa. Tidak mengapa aku harus bersabar. Sudah banyak tahun aku bersabar takkan kali ini tidak boleh. Sejak berpuasa, aku terasa begitu letih. Siang bekerja seperti biasa, malam berjaga menyudahkan banyak kerja penulisan yang harus disiapkan sebelum hari raya. Mengejar deadline ni memang kegemaran aku. Bila ada deadline, baharulah bekerja dengan bersungguh-sungguh. Kalau tidak, aku akan buat sambil lewa.

Parlimen akan bersidang selepas hari raya. Banyak perkara akan dibahaskan. Tugas aku untuk meneliti dan membuat penyelidikan serta menulis perbahasan bertambah banyak. Aku berdoa agar Allah sentiasa memberikan aku kesihatan yang baik agar dapat aku menyelesaikan tanggungjawab ini.

Nampaknya menjelang hari raya, aku akan mendapat bayaran royalti untuk beberapa buah buku yang aku tulis. Lumayan. Aku harap aku akan sentiasa diberi idea yang kreatif oleh Allah untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu.

Selamat berkarya kepada warga penulis.

Friday, August 22, 2008

Politik dan Penulisan

Sudah beberapa bulan aku menemuramah seseorang (tokoh politik dan budaya) yang terkemuka, namun sukar sekali rasanya untuk menyiapkan sebuah manuskrip pada hal semua informasi yang aku perlukan sudah ada dalam simpanan aku. Juga seingat aku, sudah beberapa kali juga aku buka dan tutup komputer riba aku, dan hampir setiap malam aku peruntukkan khusus untuk menulis dan menyudahkan sebuah manuskrip bukan kreatif ini, namun sehingga ke hari aku menulis makalah ini, aku masih tidak bisa menyelesaikannya.

Apabila aku mula menceburi bidang penulisan, aku hanya menulis karya-karya kreatif seperti sajak, cerpen, skrip drama dan novel khasnya. Tetapi aku lebih menyerlah dalam penulisan novel tidak cerpen.

Namun, aku terasa begitu sukar sekali untuk menulis buku berbau politik ini. Ia terasa seperti batu berat yang sedang duduk di atas kepalaku. Susah teramat susah. Satu mungkin kerana aku bukannya dari golongan politik dan aku tidak langsung terlibat dalam dunia politik. Cuma aku dikelilingi dengan orang-orang politik peringkat tertinggi dan juga bawahan atas sebab jawatan yang aku sandang ini. Namun, untuk terlibat secara langsung, tidak pernah terlintas di hati aku.

Jika kita baca buku-buku berbau politik, kita selalu menganggap buku-buku seperti ini hanyalah sebuah penulisan yang ringan tetapi jauh di sudut pandangan penulis politik, ia sebenarnya suatu kerja yang cukup berat. Penulis masih harus membuat penyelidikan untuk mendapatkan bahan. Malah semua bahan yang diperolehi hendaklah benar-benar sahih supaya apabila buku ini sudah dicetak, tidak akan timbul soal salah fakta dan sebagainya.

Apabila seseorang penulis sudah bersetuju menerima tanggungjawab untuk menulis sebuah buku bau politik, sudah tentu banyak perkara yang perlu difikirkan. Setiap perkataan yang ditulis juga harus berhati-hati kerana dibimbangi ada ayat-ayat atau perkataan sensitif yang boleh menyebabkan buku itu dihalang dari diedarkan di pasaran terbuka.

Mungkin sudah jodoh aku dengan tokoh terbabit, akhirnya aku juga yang dipilih untuk menulis buku berkenaan. Semoga apa yang aku tulis ini direstui oleh Allah.

Amin.

Friday, July 25, 2008

MUSIM MENUAI




Aku masih ingat, semasa kecil sebaik sahaja padi menguning dan sudah boleh dituai, emak tersenyum lebar, begitu juga dengan abah. Sawah dua petak yang diwarisi emak dari nenek sudah cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

Bagaimana rasanya bila tuaian kita mengeluarkan hasil yang baik dan banyak? Aku baru sedar hari ini setelah apa yang aku tanam telah mula membuahkan hasil.

Seronok bila tiba musim menuai. Penat menanti tuaian masak pun sudah tidak terasa. Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa memberkati usaha aku ini.

Kepada mereka yang masih menunggu musim tuaian masing-masing, bersabarlah. Sabar itu separuh daripada iman. Apa yang terjadi semuanya sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Nantikan kemunculan SIRI TERBARU ADLI DI ALAM FANTASI....lebih suspen

aku menulis - 25.07.08

Sunday, July 13, 2008

PELANCARAN BUKU TAMAN BOTANIKAL MELAKA

menerima sijil penghargaan

bersama Datuk A. Samad Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya

bersama Datuk Haji Yaakob Md Amin, Exco Pengajian Tinggi Melaka

aku tidak melepaskan peluang meminta tandatangan Datuk untuk bukunya 68 Sonata Pohon Ginkgo

Seorang penulis kecil diganding bersama seorang Sasterawan Negara yang dikenali ramai di Malaysia dalam satu majlis pelancaran buku Datuk A.Samad Said, aku terasa begitu kerdil dan diberi penghormatan yang cukup besar. Buku Taman Botanikal Melaka hanyalah sebuah karya kecil aku tentang taman dan kehijauan serta kedamaiannya.

Aku seharusnya gembira dengan pencapaian tahun ini.

Ada beberapa buah buku yang sedang dan bakal aku tulis. Nampaknya, jadual aku bertambah padat. Dan aku sedang berfikir-fikir tentang menulis sesuatu yang besar. Jika diizinkan Allah, dibukakan hati ini, aku akan mula menulis buku tersebut dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.

Wednesday, July 09, 2008

PELANCARAN BUKU TAMAN BOTANIKAL MELAKA





Beberapa jam lagi, fajar Subuh akan menjelma dan sebuah lagi buku terbaru yang ditulis oleh aku, Hanita Hassan, akan dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Ketua Menteri Melaka. Pelancaran Buku Taman Botanikal Melaka akan dilaksanakan di Kampung Buku Melaka bersama Buku Warisan Melaka, iaitu sembilan buah buku karya Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang telah dicetak semula dengan versi kulit buku yang lebih bernyawa.

Tidak pernah terlintas atau terdetik di fikiran bahawa aku akan bersama-sama seorang penulis tersohor iaitu Sasterawan Negara esok sedangkan aku hanyalah seorang penulis penyek yang masih jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan Datuk A.Samad Said. Siapalah aku. Namun, jika ditanya tentang buku Datuk bertajuk Salina, aku tidak ingat berapa kali aku membacanya. Aku masih boleh menggambarkan apa yang ditulis oleh Datuk meskipun hanya membacanya melalui ayat-ayat yang dibinanya yang begitu teliti dan aku seperti melihat diri aku di dalam dirinya.

Alhamdulillah, semua yang berlaku telah dijodohkan oleh Allah yang maha berkuasa. Pasti semuanya berlaku ada hikmahnya. Semuanya adalah kerja Allah. Aku cuma insan biasa yang tidak pernah merancang semuanya ini. Aku selalu mengingatkan diri aku bahawa menulis itu aku lakukan dalam hati yang tulus dan ikhlas. Hasilnya juga berbeza jika anda membaca karya tulisan aku.

Bacalah karya-karya yang telah aku garap kerana ia akan membuatkan hidup anda berubah dan terasa seperti berada di dalam cerita-cerita itu.

Buku Taman Botanikal Melaka aku garap dengan penuh perasaan. Aku bermain dengan segala keindahan flora dan fauna serta kehijauan dan keindahan alam ciptaan Illahi. Semuanya aku gambarkan dengan perkataan yang jika dibaca, anda akan terasa seperti sudah mengenali Taman Botanikal Melaka. Pelbagai foto berwarna warni diselang-selikan dengan tulisan aku membuatkan hati semakin dekat dengan taman dan segala yang ada di sekelilingnya. Datanglah melawat Taman Botanikal Melaka. Dapatkan senaskah buku Taman Botanikal Melaka sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Seperti kata pepatah, ilmu itu jika disebarkan, ia bukan sahaja berguna untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang di sekitar kita.

Semoga majlis perasmian esok berjalan lancar. Selamat Hanita.

Aku menulis.
9.07.08 - selamat hari jadi bidadariku Nur Adibah.

Wednesday, June 25, 2008

Sinopsis Haruskah Aku Berlari

Mengahwini insan yang mencintai anda adalah lebih baik daripada mengahwini orang yang dicintai, tetapi tidak pernah menghargai cinta anda. Namun begitu, janganlah anda membina mahligai perkahwinan itu atas dasar kasihan. Sebaliknya, binalah istana cinta berlandaskan cinta dan kasih sayang abadi yang polos dan mulus.

Haruskah Sofea Delaila, gadis yang terperangkap dalam cinta Zahrul yang memukaunya, berlari untuk mengejar cinta Zahrul yang tidak pasti atau melarikan diri dari dikejar oleh cinta Nasir yang abadi?

Ikutilah kisah selanjutnya dengan mendapatkan novel HARUSKAH AKU BERLARI untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Di dalam novel ini, banyak puisi-puisi cinta dan kasih sayang dicipta oleh penulis iaitu aku. Bagi mereka yang sedang bercinta, pasti akan tenggelam dalam emosi pabila membacanya. Kepada pembaca yang pernah membaca karya aku yang bertajuk Adli di Alam Fantasi - Misi Monyet Putih dan Menerobos Terowong Masa, cubalah baca HARUSKAH AKU BERLARI, anda akan masuk ke dalam dunia aku yang berbeza dari kisah-kisah fantasi yang pernah digarap sebelum ini.

Seorang penulis yang serba sempurna, haruslah tahu bagaimana hendak menulis mengikut genre yang berbeza dengan penggunaan bahasa yang berbeza mengikut kategori pembaca. Ini penting untuk mengasah kebolehan anda ketika menulis. Bagi penulis yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan, tidak kira genre apa yang hendak digarap, pastikan jalan ceritanya sesuai dengan khalayak pembaca. Jangan terlalu terikat dengan satu genre novel sahaja tetapi perbanyakkan. Anda pasti puas hati bila mendapatkan hasilnya.

Selamat membaca dan tulislah kerana anda ingin menulis. Untuk menghasilkan bahan bacaan kepada masyarakat di luar sana bukannya mudah. Jika anugerah itu telah ada dalam diri anda, teruskan usaha itu. Anda pasti berjaya.

Aku menulis
25.06.08

Tuesday, June 24, 2008

NOVEL TERBARU

HARUSKAH AKU BERLARI - HANITA HASSAN
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 2008

Dapatkan segera di pasaran.

Wednesday, June 18, 2008

AKU MENULIS KERANA AKU MAHU MENULIS

Novel-novel aku diterbitkan sebaik sahaja aku tamat urusan belajar aku di ITM (kini UiTM) penghujung 1994. Tahun 1995 aku mula menulis novel. Ketika itu, agak sukar mendapat pekerjaan. Aku bekerja sebagai wartawan sambilan di Melaka. Dalam masa yang sama, waktu lapang aku isi dengan menulis novel.

Cubaan pertama aku berjaya. Karya aku tidak dibuang begitu sahaja. Hasilnya novel pertama aku iaitu Diari Buat Rothman terbitan Melati Publisher diterbitkan tahun 1996. Ketika itu, wang bukannya faktor utama. Apa yang penting ialah melihat karya sendiri dalam bentuk buku. Pabila melihat novel pertama aku, timbul keinginan untuk membuat sebuah lagi novel. Dalam masa yang singkat aku dapat menyiapkan sebuah manuskrip dan menghantar ke sebuah syarikat penerbitan. Tanpa banyal soal, novel kedua aku diterima oleh Alaf 21. Walau bagaimanapun, aku diminta menambah beberapa bab. Tahun 1997, produk terbaru aku iaitu Hafiz Iskandar berada di pasaran. Aku makin bersemangat walaupun kutipan royalti masih tidak menampakkan kesan untuk menjadikan aku orang kaya.

Aku menulis lagi. Sempat aku menyiapkan manuskrip ketiga sebelum melangsungkan perkahwinan tahun 1998. Kali ini aku cuba menghantar ke penerbitan lain iaitu Rhytm. Tanpa banyak soal, karya aku diterima. Tahun 1999, karya aku bertajuk Lelaki Akukah Yang Terlewat mendapat perhatian. Aku tidak pernah menggunakan nama samaran. Nama Hanita Hassan terus digunakan sebagai cara untuk mempromosikan diri sendiri. Nasib aku mungkin baik berbanding penulis-penulis baru lain yang sering karya mereka ditongsampahkan. Selain menulis novel, aku meneruskan minat menulis sajak. Banyak sajak aku tersiar di majalah terutama Majalah Wanita dan di radio Melaka. Aku turut menulis skrip drama radio. Mungkin nasib sentiasa menyebelahi aku dan dengan mudah skrip drama aku disiarkan di Radio Melaka. Itu adalah percubaan pertama aku. Sajak aku Danial Al-Amin adalah antara sajak yang diterbitkan dalam Himpunan Buku Sumpah Setia Bahasa terbitan Rhytm dan Gapena tahun 1999. Selepas itu, aku mula menyepikan diri.

anak-anakku yang comel.Mereka sumber inspirasi aku untuk menulis semula.

Kesibukan berkeluarga, menimang cahayamata dan tugas sebagai Ketua Pengarang dan wartawan di akhbar Suara Melaka (akhbar tabloid kerajaan negeri Melaka) menidakkan aku untuk meneruskan usaha menulis. Tumpuan aku lebih kepada kerjaya masa hadapan. Aku mengambil keputusan menguruskan keluarga dan kerjaya. Aku yakin aku boleh menulis bila-bila masa. Aku mula membina kerjaya di negeri Hang Tuah.


Aku menulis
18.06.08

Tuesday, June 17, 2008

PENANTIAN


Penantian itu menyeksakan
Sudah puas aku menunggu
Sudah berabad rasanya
Kemaruk di jiwa
Namun saat dinanti
Masih tak kunjung tiba


Aku menulis
17.6.08

Friday, June 13, 2008

Haruskah Aku Berlari

Dapatkan di pasaran sebuah novel cinta remaja bertajuk Haruskah Aku Berlari!
Karya novel remaja terbaru 2008
Pengarang = Hanita Hassan
Penerbit = Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hasil jerit perih aku akhirnya selamat berada di pasaran setelah sekian hampir dua tahun aku menunggunya.

Dapatkan segera.

Thursday, June 12, 2008

BERSAMA PENULIS ADLI DI ALAM FANTASI




Pertama kali aku telah menerima jemputan menyertai Pesta Buku Melaka oleh pihak penerbit PTS Publication. Pesta itu diadakan bersempena ulang tahun ke-60 sebuah syarikat buku terbesar di negara kita.

Walau bagaimanapun, sambutan yang diterima agak menghampakan. Namun, aku menghargai jemputan itu sebagai antara pengalaman yang baru dalam diari hidup aku.

Monday, June 02, 2008

KUCING OH KIKO

Minggu kedua cuti sekolah baru sahaja bermula. Hari ini Isnin. Anak-anak di rumah menghabiskan cuti mereka. Aku seperti biasa bersiap seawal pagi pergi ke tempat kerja. Esok hari terakhir aku bekerja. Rabu aku mula bercuti bersama anak-anak. Yahoo...

Hari Sabtu lepas,kenduri arwah emak dan kenduri kesyukuran bapa saudara yang telah pencen April lalu setelah 32 berkhidmat dalam bidang perguruan. Selamat menjalani kehidupan sebagai YB (Yang Bersara). Meskipun tidak ramai saudara mara dan adik beradik aku yang dapat hadir, kenduri itu dapat dijalankan dengan lancar.

Dalam kesibukan mengadakan kenduri, tiba-tiba keluarga aku dikejutkan dengan berita kehilangan KIKO, seekor kucing berbulu gebu berwarna kelabu. Kakak aku, suami dan anak-anak dia sibuk mencari kucing yang hilang itu. Kerisauan itu berlanjutan sehingga ke petang. Keluarga kakak aku langsung tidak menjamah makanan kenduri akibat risau. Ini bukan pertama kali KIKO dibawa pulang dari Seremban ke Melaka (Bukit Piatu). Sudah beberapa kali KIKO ke Melaka tetapi hendak dijadikan cerita, kucing itu hilang pulak.


Tragedi oh tragedi...Kakak aku yang sulung dan suaminya tidak kurang risaunya akibat kehilangan kucing itu. Selepas selesai kenduri dan saudara mara telah pulang, suami kakak aku dan anak lelakinya telah berjumpa dengan kawannya menilik ke mana kucing KIKO tu pergi??? Tidak sangka pula sampai ke tahap itu. Maklumlah, kakak sulung aku tu memang prihatin. Kata kawannya, kucing itu mungkin telah disimpan oleh budak-budak yang terjumpa dengannya. Mungkin selepas beberapa hari atau seminggu barulah kucing itu akan dijumpai. Mendengarkan itu, kakak aku yang kehilangan KIKO bertambah risau.

Nak dijadikan cerita, petang itu, sebelum maghrib menjelang, suami aku menggoncang-goncangkan makanan kucing di dalam bekas untuk memanggil kucing-kucing di rumah aku makan malam. Kebetulan aku dan suami memang membela kucing. Rasanya ada lebih kurang enam ekor kucing kecil dan lima ekor kucing dewasa. Mendengarkan itu, kucing-kucing aku terus datang mengejar makanan yang diberikan oleh suamiku. Itu sebagai tanda kami panggil kucing makan. Kadangkala kucing yang tak berkenaan pun datang sama.

Kakak aku melihat itu, terus terfikir membuat perkara yang sama kepada KIKO. Akhirnya dia berjumpa juga dengan KIKO di atas bukit di dalam semak samun di belakang rumah Mak Mertua adik aku. Sanggup dia anak beranak meredah semak samun dan tidak menghiraukan hal-hal lain kecuali untuk mendapatkan KIKO.

Sehari suntuk dia tidak menghiraukan kenduri, tidak makan disebabkan seekor kucing. Kata kakak aku, apa agaknya yang akan terjadi jika kita kehilangan anak. Baru kucing hilang dah tak tentu hala. Malam itu barulah dia dapat makan dengan seleranya.

Ironinya ialah sedangkan binatang kesayangan kita, dibela bagaikan menatang minyak yang penuh, inikan pula kaum keluarga kita terutama orang tua kita. Sejak kecil mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Apabila kita dewasa, sudah berkeluarga, kita tinggalkan sahaja mereka, tidak datang menjenguk dan membiarkan mereka dengan kehidupan mereka sendiri. Entah makan atau tidak, entah sihat atau tidak, entah rindukan kita agaknya??? Hanya dia sahaja yang tahu. Agaknya terguris perasaan ibu atau bapa jika melihat anak sendiri lebih sayangkan binatang peliharaannya dari bapa sendiri.

Aku percaya dan penuh yakin bahawa dalam dunia hari ini, semuanya dibayar tunai oleh Allah SWT. Jadi kita harus muhasabah diri dan sentiasa luangkan sedikit waktu untuk bersama kedua ibu dan bapa kita. Jika tidak dapat menjenguk, tanyalah khabar melalui telefon. Seperti kata pepatah apabila orang yang kita sayang telah tiada, tidak guna lagi kita tangisi pemergiannya mereka.

Semoga kita semua menjadi anak yang mengambil berat hal ibu bapa kita.

Thursday, May 22, 2008

MENULIS

Aku terasa hendak menulis pagi ini setelah lama tidak menjengok blog ini. Menulis rasanya macam sudah sebati dalam jiwa aku. Selepas satu projek menulis, ke projek seterusnya dan ia ibarat rencah dalam makanan. Tidak menulis terasa ada yang tidak kena dengan diri ini. Jadi jika ada sedikit kelapangan, aku lawatlah ke blog ini untuk mula menulis semula. Namun, aku cuba mengawal keadaan agar tidak terlalu leka menulis di blog sedangkan novel yang berlambak tidak aku siapkan masih kejap di dalam komputer riba aku. Tunggu masa untuk dilaksanakan...bila hanya Allah yang maha mengetahui.

Rasanya amat rugi jika seseorang penulis tidak menulis secara sistematik dan memastikan satu atau dua novel ataupun apa sahaja genre penulisannya dapat diterbitkan setiap tahun sedangkan dia punya banyak idea untuk dikongsi bersama umum.

Di pejabat aku menulis, aku menyemak buku-buku berbentuk am dan lebih ilmiah di samping menguruskan projek seminar, bengkel dan sebagainya. Di rumah, aku menulis juga tetapi dalam genre yang berbeza. Bila aku mula menulis novel cerita fantasi dalam siri ADLI DI ALAM FANTASI - MISI MONYET PUTIH, ADLI DI ALAM FANTASI - MENEROBOS TEROWONG MASA dan yang terbaru ADLI DI ALAM FANTASI - .....tunggu kehadirannya lewat penghujung tahun ini, aku terasa ia sesuatu yang amat luar biasa.

Cara aku menulis mungkin berbeza dengan penulis di luar sana. Aku boleh menyiapkan novel setebal 300 helaian dalam waktu dua minggu. Jika aku terdesak untuk terpaksa mengikut jarak waktu yang telah ditetapkan, aku boleh menyiapkannya. Mungkin hasilnya tidak sebagus penulis yang menulis sehingga bertahun-tahun lamanya. Setiap orang ada persepsi masing-masing. Ada stail masing-masing. Bagaimana cara hendak melaksanakannya, hanya penulis itu sendiri yang tahu. Walau bagaimanapun, jangan menyimpan terlalu lama manuskrip anda. Bimbang nanti ia tidak sesuai untuk diterbitkan. Penggunaan tarikh dan masa atau tahun di dalam manuskrip anda mungkin menyebabkan ia harus ditukar setiap kali ia bertukar tahun.

Nasihat saya, jika penulis hendak menulis, tulislah sesuatu yang boleh dibaca pada bila-bila masa walau seribu tahun akan datang. Meskipun manuskrip itu dihasilkan pada tahun 1998, dan diterbitkan pada tahun 2005, namun ia masih sesuai dibaca dan digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat hari ini iaitu tahun 2008. Isu-isu yang digarap tidak perlu isu besar tetapi ia mencakupi keadaan kehidupan sesebuah masyarakat yang tidak mungkin berubah walaupun ditelan zaman.

Selamat menulis.

Haruskah Aku Berlari. Nantikan kemunculannya.

Monday, May 12, 2008

NOVEL TERBARU

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan menulis, akhirnya sebuah lagi novel kanak-kanak dapat aku siapkan. Novel dalam siri ADLI DI ALAM FANTASI untuk Siri Ketiga ini penuh dengan aksi pertarungan. Aku sepatutnya telah menyiapkannya lebih awal. Namun kita merancang, hanya DIA sahaja yang lebih mengetahui

Bukan mudah untuk menulis dalam keadaan aku yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja penyelidikan, penulisan, sebagai Editor dan Perhubungan Awam. Kesemua kerja-kerja itu memerlukan aku menggunakan kepakaran dalam bidang penulisan. Apabila sepanjang hari berfikir dan menulis, sudah tentu natijahnya otak semakin penat. Itulah cabaran yang harus aku hadapai.

Pulang ke rumah, aku sering berjanji dengan diri sendiri untuk menyelesaikan novel-novel aku yang banyak terbengkalai. Namun setiap kali itulah, janji akan tetap tinggi janji.

Di rumah, aku harus menguruskan empat orang cahayahatiku. Selepas selesai semuanya, kadang waktu aku terlelap. Bunyi alarm juga tidak aku sedari. Bangun pagi, harus memasak untuk anak-anak dan suami sebelum ke tempat kerja. Namun semuanya aku lakukan tanpa sebarang rungutan. Itulah tanggungjawab wajib yang harus aku tunaikan.

Menulis juga adalah tanggungjawab yang harus aku lakukan untuk diriku sendiri. Nasib baik tidak pernah aku dihalang oleh suami. Malah mendapat galakkan. Sejak anak-anak semakin dewasa, boleh berdikari, aku terasa bahawa aku harus meningkatkan usaha menulis. Ada beberapa novel di dalam simpanan yang tidak sempat aku tamatkan. Jika mahu difikirkan, banyak benda yang aku ingin lakukan, tetapi aku hanyalah manusia biasa.

Kepada semua penulis di luar sana, tulislah sebanyak mana sekalipun. Tulislah kerana kamu mahu menulis. Tulislah bukan kerana siapa-siapa. Tetapi untuk diri kamu sendiri.

Friday, April 18, 2008

PROMOSI TEATER DI MELAKA FM

Aku bersama-sama Penolong Pengarah dan tiga pelakon utama telah ditemuramah di Radio Melaka FM pada 16 April 2008 dalam Rancangan Secawan Kopi. Sebaran berita tentang teater kanak-kanak muzikal pertama di Melaka semakin rancak dilaksanakan. Pamplet, poster, jemputan dan sebagainya telah mula diedar dan ditampal serta digantung di Pusat Membeli-belah, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dan banyak lagi.

Saya berharap usaha dan kerja keras seluruh produksi Teater Hikayat Luqmanul Hakim:Ratu Jengking dan Daun Seribu Nyawa mendapat tempat di hati para peminat dan penonton teater di negeri Melaka Bersejarah ini.

Salah seorang pelakon yg memegang watak Tok Kala (Rizal Fakhlifi) adalah pelajar Universiti Multimedia berasal dari Kalimantan. Tok Kala adalah jengking yang telah lanjut usia. Bongkok tua, berperwatakan jahat serta menakutkan. Dia sentiasa bersama tongkat, batu hikmat dan geluk tilik. Anda pasti terpesona dengan watak Tok Kala.

Pelakon utama yang memegang watak sebagai Lukmanul Hakim: adik Muhammad Akmal Ramadan berusia 11 tahun amat petah menghafal skrip dan menghayati setiap lakonannya dengan baik serta berkesan. Babak Lukman dimarah oleh ibu tirinya Asyar lakonan Suziyanti Waid begitu berkesan sehingga jika penonton melihatnya pasti mengalir air mata.

Puak jengking dan beluncas pula adalah dua puak serangga yang sering berbalah di dalam hutan Buana Sari. Busana pelakon berwarna-warni dan pasti memikat penonton cilik.

Datanglah beramai-ramai. Masuk percuma. Waktu tayang pada 18 - 20 April 2008 adalah jam 8.30 malam. Tayangan tambahan pada 19 dan 20 April 2008 adalah pada jam 2.30 petang.

Selamat menonton dan masuk ke dunia fantasi Lukman.

Tuesday, April 15, 2008

Majlis Pra Pelancaran Teater Luqmanul Hakim







Majlis pra pelancaran Teater Hikayat Luqmanul Hakim: Ratu Jengking dan Daun Seribu Nyawa telah disempurnakan oleh Y.B Datuk Seet Har Cheow, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Melaka. Turut hadir ialah Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Datuk Haji Mohd Said Yusof, Timbalan Pengerusi IKSEP, Datuk Dr Haji Mohd Jamil Mukmin, Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Datuk Profesor Dr Abd Latiff Bakar dan Pengarah DBPWS, En Abd Nasir.

Upacara pra pelancaran telah diadakan di Kompleks Melaka Mall disaksikan lebih 300 penonton yang berlegar di sekitar pusat membeli-belah itu.

Datanglah beramai-ramai menyaksikan fantasi seorang budak miskin bernama LUKMANUL HAKIM bersama kumpulan serangga iaitu beluncas menentang Ratu Jengking dan pengikutnya yang ganas. Teater ini menampilkan Pengarah Ahmad Khusyairi Mohd Ali dan pelakon-pelakon yang merupakan pelajar-pelajar Universiti Multimedia Melaka dan belia-belia dari Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri, Melaka.

Kombinasi kesemua pelakon dengan iringan muzik sejak awal hingga akhir pasti membuatkan penonton tidak mahu meninggalkan panggung menyaksikan teater kanak-kanak yang julung kali bakal diadakan di negeri Hang Tuah ini.

Datanglah beramai-ramai kerana MASUK ADALAH PERCUMA. Lima tayangan bakal dipersembahkan iaitu dari 18 - 20 April 2008.

18 April 2008 - 8.30 malam
19 April 2008 - 2.30 petang & 8.30 malam
20 April 2008 - 2.30 petang & 8.30 malam

Monday, April 14, 2008

TEATER MUZIKAL LUQMANUL HAKIM: RATU JENGKING DAN DAUN SERIBU NYAWA

Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) akan mempersembahkan sebuah teater muzikal kanak-kanak bertajuk Hikayat Luqmanul Hakim: Ratu Jengking dan Daun Seribu Nyawa.

Teater anjuran Kerajaan Negeri Melaka diselenggarakan oleh IKSEP adalah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Negeri Melaka dan Multimedia Arts and Theatre Club (MATA), Universiti Multimedia Melaka, Bahagian Sahabat Belia, Majlis Bandaraya Bersejarah Melaka dan Oren Arts and Theatre Studio akan dipersembahkan kepada umum pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:


Tarikh : 18, 19 & 20 April 2008
Masa : 8.30 Malam - Tayangan Umum

: 19 & 20 April 2008
: 2.30 Petang – Matinee Show

Tempat : Taman Budaya, Ayer Keroh, Melaka
Tetamu Jemputan : Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Ketua Menteri Melaka

Teater ini mengisahkan pengembaraan seorang anak yatim piatu bernama Luqman. Luqman menjadi yatim piatu semenjak kematian ayahnya dalam satu malapetaka dan sejak itu dia dipelihara dan dilayan seperti hamba oleh ibu tirinya. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayahnya telah menghadiahkan sebuah seruling sebagai kenang-kenangan dan seruling itulah yang menjadi peneman di kala duka Si Luqman. Akibat daripada penderaan dan layanan buruk oleh ibu tiri dan adik tirinya, Luqman membawa diri dan bermulalah pengembaraannya hinggalah dia tiba ke suatu dunia fantasi serangga di mana satu pengalaman hebat bakal ditempuhinya.
Di dalam dunia fantasi serangga itu, Ratu Jengking merupakan ketua bagi segala serangga. Ratu Jengking adalah pemerintah yang sangat zalim dan kejam. Beliau selalu menindas puak-puak serangga yang lemah dan membunuh serangga-serangga lain yang ingkar akan arahannya sewenang-wenangnya. Pada satu pesta keraian, Tok Kala, Tukang Tilik Ratu Jengking telah memberitakan kepada Ratu Jengking akan wujudnya Daun Seribu Nyawa yang mampu mengekalkan hayat yang disimpan secara rahsia oleh puak beluncas. Ini menimbulkan kemurkaan Ratu Jengking lalu memerintahkan agar panglima-panglimanya menyerang dan merampas Daun Seribu Nyawa itu.
Di dalam pengembaraan Si Luqman, beliau bertemu dengan segerembolan ulat beluncas. Rupa-rupanya seruling ajaib milik Luqman mempunyai kuasa hikmat pelbagai guna membolehkan dia berkomunikasi dengan serangga-serangga yang tinggal di dalam dunia fantasi itu. Berceritalah si Luqman akan kisahnya yang ditindas oleh ibu tirinya yang amat kejam. Pada ketika itu jugalah, angkatan panglima Ratu Jenking bertindak menyerang gerombolan beluncas yang akhirnya mengorbankan beberapa pengikut Raja Beluncas. Daun Seribu Nyawa telah bertukar milik setelah Panglima Ratu Jengking beroleh kejayaan merampas kotak simpanan daun itu.
Si Luqman dan gerembolan beluncas yang terselamat daripada serangan puak Jengking itu berasa amat sedih. Mereka telah berpakat dan berjanji untuk menuntut keadilan di atas kekejaman Ratu Jengking. Si Luqman telah mendapat buah fikiran yang bijak bagaimana hendak menundukkan Ratu Jengking dan puaknya.
Sepurnama berlalu, kini tibalah malam upacara santapan Daun Seribu Nyawa oleh Ratu Jenking yang amat zalim itu. Pada ketika itulah, sekumpulan beluncas diketuai oleh Raja Beluncas datang mengadap Ratu Jengking. Bukan kepalang terkejutnya Ratu Jengking di atas keberanian Raja Beluncas dan pengikutnya datang mengadap setelah kejadian tempoh hari. Raja Beluncas dengan pantas memberitakan akan kedatangan mereka adalah untuk bersama-sama meraikan upacara santapan Daun Seribu Nyawa dan sebagai tanda mengakui kebesaran dan keagungan Ratu Jengking.
Raja Beluncas dan pengikutnya turut membawa sembah satu hadiah berupa kepompong rama-rama yang diwar-warkan sebagai bakal sang rerama yang paling cantik dalam koloni serangga itu untuk dijadikan dayang diraja. Apakah muslihat dan perancangan Luqmanul Hakim dan Raja Beluncas serta pengikut-pengikutnya sebenarnya? Dapatkah dia menundukkan Ratu Jengking dan merampas kembali Daun Seribu Nyawa seterusnya menuntut bela di atas kematian puak beluncas?

Datanglah beramai-ramai. MASUK ADALAH PERCUMA.

Wednesday, April 09, 2008

PULAU BINTAN YANG KUTINGGALKAN

Pulau Bintan
Tidak sekalipun kita pernah bersua
Tidak sekalipun pernah terfikir di benakku
Memijak tanahmu bumi sejarah
Raja Ali Haji tempat bersemayam

Lalu semalam
Pabila kakiku melangkah pergi
Tinggalkan bumi permaimu
Tinggalkan sebuah kenangan
Lantai enam lantai tiga
Ada hati yang gembira
Ada hati yang duka

Air lautmu membiru
Ombak putihmu masih di situ
Memukul pantai
Nyaman udaramu masih di situ
Meski ramai datang dan pergi
Engkau masih kejap di situ bertahan

Sebuah bumi bertuah
Kekal tersemat di dalam hatiku
Ada kenangan indah
Bawa bekal pulang
Ada kenangan indah
Untuk aku lakarkan
Sebuah cerita sebuah kisah
Jadi memori terindah
Dalam sebuah kehidupan


Hanita Hassan
Pulau Bintan – 8 April 2008

Tuesday, April 01, 2008

SEMANGAT SEORANG AKU

Apabila keinginan untuk menulis itu terjadi secara semulajadi di dalam diri aku, tidak pernah sekelumit pun rasa bosan atau marah sekiranya hasil karyaku tidak dapat diterbitkan tepat pada waktu yang dijanji. Itu aku tujukan kepada Novel Kanak-Kanak pertama tulisan aku yang diterbitkan oleh penerbit tersohor di Malaysia iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Meskipun segala surat-menyurat serta perjanjian telah diterima sejak tahun 1998, namun ia hanya dapat diterbitkan dan berada di pasaran sekitar 2005. Masalah itu berlaku kepada semua penulis. Meskipun ia telah disuarakan, namun aku pasti masalah itu akan kekal begitu.

Itulah natijahnya perjuangan seorang penulis kecil seperti aku yang tidak pernah mengharapkan apa-apa. Bayaran royalti dari hasil tulisan itu hanyalah sekadar satu imbuhan dari usaha aku untuk menjadikan sesebuah karya itu satu kenyataan. Mungkin kerana aku sudah punya jawatan dan gaji yang lumayan? Itu bukan persoalannya. Aku dilahirkan untuk menulis. Aku tidak pernah hampa setiap kali menghantar karya untuk diterbitkan. Seingat aku, cuma sekali sahaja, karya atau manuskrip aku dipulangkan semula. Itupun kerana syarikat penerbitan itu tidak menerbitkan karya kanak-kanak.

Aku yakin dengan apa yang aku buat. Aku menulis sesuatu yang relevan dan boleh dibaca sepanjang zaman. Itulah aku.

Blog ini telah tidak aku tulis sekian lama akibat terlalu sibuk menulis blog lain menggunakan bahasa yang berbeza dari bahasa ibundaku sendiri. Aku tidak cuba meninggi diri dengan menggunakan bahasa keduaku itu, namun di sebalik kecekapan aku menggunakan bahasa itu membuatkan aku menjadi semakin kreatif dan pandai dalam banyak perkara yang dahulunya aku tidak pernah sedar.

Selamat mencuba untuk menulis. Sekiranya anda ingin menulis, tulislah dengan hati yang ikhlas. Tulislah kerana anda mahu menulis bukan kerana imbuhan yang bakal anda terima.

Monday, March 31, 2008

TEROKA ALAM, DALAMI MISTERI





Buku
Tajuk: Lima Sekawan Di Bukit Botak
Penulis: Hanita Hassan
Penerbit: Dewan Bahasa & Pustaka
Sasaran: Murid darjah tiga

APA agaknya aktiviti yang adik-adik lakukan semasa cuti sekolah minggu lalu?
Mamat dan rakan-rakannya seperti Farid dan Rashid memilih untuk meneroka hutan belantara di Bukit Botak.

Kegiatan mesra alam itu memang seronok.

Sayangnya, keseronokan itu bertukar menjadi satu peristiwa yang membahayakan diri apabila mereka bertemu dengan sekumpulan penyeludup kayu balak.

Berjayakah Mamat dan rakan-rakannya menumpaskan kegiatan penyeludupan itu?
Novel kanak-kanak tulisan Hanita Hassan ini diterbitkan Dewan Bahasa & Pustaka dalam 1998.

Sedekad telah berlalu, namun isu moral, semangat gotong-royong dan setia kepada rakan yang dipaparkan tetap relevan hingga ke hari ini.

Ia menunjukkan bahawa kanak-kanak daripada latar belakang yang berbeza boleh berkawan akrab dan bergantung antara satu dengan lain.

Nota: Buku ini boleh dipinjam di Central Lending Library, Lembaga Perpustakaan Negara.

Thursday, February 28, 2008

ADLI DI ALAM FANTASI 3

Xendolia menyaksikan segalanya
Bertarung sehabis kuasa
Bertarung untuk sebuah tahta
Benua agung bumi makmur
Laut Rhu sebagai saksi
100 tahun penyelamat alam

Tiada kesedihan
Tiada kesengsaraan
Tidak juga kekesalan
Demi semangat sebuah negara
Sanggup berkorban apa sahaja

Friday, December 28, 2007

PUISI SYAHDU BUAT SEORANG GADIS

PUISI SYAHDU BUAT SEORANG GADIS

Hatiku resah sejak senja semalam
sejak kakiku meninggalkan wad satu katil satu
sejak mata hatiku menyaksikan musibah yang diturunkan Tuhan
ke atas hambaNYA yang begitu kerdil
lalu air mataku berlinang tanpa diminta
kerana sayu dan pilu yang teramat sangat
rupanya sayang juga aku pada seorang anak gadis
yang bernama Alin

Kalau rakyat Acheh kemaruk dengan bencana tsunami
tetapi aku di sini kemaruk mencari kesalahan diri
entah apakah yang hendak diberikan Tuhan
kepada hambaNYA yang kerdil ini

Jauh di sudut hatiku…
bila agaknya dia akan sembuh
bila agaknya seorang perempuan bernama Haslinda
akan sedar dari tidur yang panjang
kembali dengan suatu kekuatan serta azam baru

Aku percaya
jika Tuhan bisa merentap kebaikan ke atas makluknya
tidak mustahil Dia bisa kembalikan semula
segala apa yang telah dirampas

Semalam senja juga
aku lihat kesayuan dalam mata seorang ibu
aku lihat tiada lagi air mata yang mengalir
kerna kata ibu itu…kering sudah air mata untuk dilimpahkan
hatinya sudah hancur melihat anak tersayang yang segar bugar riang
tiba-tiba terleput di atas katil

Di dalam hatiku berdoa
ya Tuhan…
aku penuh yakin
setiap yang berlaku ini ada hikmahnya
aku redha…


Hanita Hj Hassan
20 Januari 2005
3.55 petang

BAHASAKU TERCINTA

Bahasaku tercinta
Kian terhakis dalam bicara
Tuturan harian warga negara
Bahasa penjajah jadi banggaan
Bimbang aku tentang kemalapannya
Yang kian bermaharajalela
Dalam dunia siber teknologi maklumat
Bahasa Melayu hilang entah di mana

Berkurun sudah ia diguna
Bahasa tamadun warisan bangsa
Budaya akar pribumi negara
Gusar ia dicampak generasi penerus
Kerna antara kecamuk mencari
Mana bahasa Melayu
Antara kecamuk mencari
Mana identiti diri
Masing-masing hanyut dek gagasan globalisasi
Yang memuntahkan ledakan hebat
Sukar ditempiak


Globalisasi telah memesong aku, dia dan mereka
Maju negara haruslah maju bahasa
Tetapi maju negara
Bahasaku makin sepi, pilu dan terbiar lesu
Seperti Sungai Melaka
Yang alirannya makin lesu
Dek arus permodenan




Nukilan rasa oleh:
HANITA HASSAN
Melaka

Monday, November 19, 2007

SI KECIL

Dan airmataku pun gugur
tanpa aku sedari
pabila mata memandang si kecil
yang tidak mengenal erti hidup
duduk bersama si ibu
di dalam sangkar besi
jauh dari hiruk pikuk kehidupan
jauh dari segalanya

Dan air mataku pun gugur
entah ke berapa kali
aku cuba menahan sebak
aku cuba mengawal emosi
namun perasaan ini bagai disentap
melihat kepolosan si kecil

Semoga Allah memberi hidayah
kepada si kecil dan si ibu
yang bakal melihat dunia sebenar
selang beberapa bulan mendatang
merasa panas mentari dan dingin malam
melihat bintang dan menikmati anugerah Illahi
yang ditarik Allah bertahun lalu
atas tindakan si ibu

Semoga Allah memberkati
si kecil dan si ibu
Amin

Kajang, 18 Nov 2007

Friday, September 28, 2007

DAN SYAWAL PUN DATANG LAGI

Dan syawal pun datang lagi
Tanpa kehadiranmu di sisi
Syawal ini syawal kelima rupanya
Aku tidak bersamamu ibu

Ibu...
Tidak sempat rupanya
anakmu ini menatap wajahmu
walau untuk kali terakhir
pada hari-hari kau mengadap illahi

Aku...
Cuba mencari kesalahan diri
Aku cuba mengertikan situasi itu
Aku tiada untuk sama-sama menangisi
Pemergianmu ibu tersayang
Walau Bangkok terlalu jauh
Namun kugagah hati pulang
Dengan harapan melihat wajahmu ibu

Namun
Sudah suratan Illahi
Wajah tua yang amat aku sayangi
Tidak juga dapat aku dakap
Untuk terakhir kalinya
Wajah tua yang amat aku sayang
Tidak juga dapat aku kucup
Untuk terakhir kalinya

Gundah gulana hati ini
Tuhan sahaja yang mengerti
Ketika mata terpaku menatap nisan kaku
Hanya wajah ibu terbayang di mata
Wajah yang paling aku rindu
Dan air mata ini mengalir lagi
Tidak bisa aku tahan
Walau ku cuba sedaya upaya
Aku cuma insan biasa

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosanya
Tempatkanlah dia
Bersama orang-orang yang engkau sayangi
Amin.

Friday, September 07, 2007

RINDU MASIH DI DADA

Pantai ini
mengingatkan aku tentang pulau itu
tempat aku dan dia
menjalin kasih asmara

Dan beburung ombak laut
menyapa diriku mesra
ketika aku memerhati semuanya
sedang percikan air laut mengena wajahku
menyapa sebuah rindu
seorang wanita seorang pelukis
sebuah kehidupan sebuah realiti
yang telah lama meninggalkan mereka

Pagi ini
di pantai yang sama
aku cuba menghitung memori semalam
yang penuh kisah suka
yang penuh kisah duka
yang mahu kulakarkan dalam sebuah cerita
tentang segala isi hati penghuni pulau


Pagi ini
tidak seperti pagi dahulu
yang penuh keperitan
yang penuh kenangan
kerana pagi ini
ada tawa ria anak-anak
mengiringi ikatan kasih
aku dan dia


Hanita Hassan
Pantai Puteri
2 September 2007

Thursday, September 06, 2007

RINDU SEMALAM

Entah sudah berapa lama
aku tidak bermain ombak
membina istana pasir
merasa masin air laut
melihat beburung terbang bebas
mendengar desiran ombak
memandang sang nelayan
memerhati kapal-kapal

Entah sudah berapa lama
aku tidak melihat sang ketam
bersembunyi di celah-celah pasir pantai
menyaksikan semuanya
milik Yang Maha ESA

Rasa rindu itu kejap di dada
bila kupijak pasir pantai
yang lama kutinggalkan
rasa rindu itu menggamit memori
tentang pulau dan segala isinya
tentang cerita dongeng nenek kebayan
dari gunung ledang
yang tidak ada kesudahan
entah-entah harta karun cerita dahulu
sudah ditemui

Aku lihat nun di sana
hijau pepohon melitupi pulau
sunyi dan sepi menyelubungi
entah bila kaki ini akan ke sana
bersama dia yang tersayang
bersama anak-anak pengikat kasih

Hanita Hassan
2 September 2007
Pantai Puteri, Melaka

ADLI DI ALAM FANTASI...MENEROBOS TEROWONG MASA




Selepas Adli berjaya menyempurnakan misi berbahaya di alam fantasi, Adli kembali ke dunia nyata. Malangnya, akibat kelalaian Adli, pintu masuk dari dunia fantasi ke dunia nyata masih terbuka.

Makhluk dunia fantasi bebas masuk ke dunia nyata. Lebih merumitkan keadaan, pintu itu hanya berkesan di dunia fantasi sahaja. Sedangkan cara menutup pintu itu memerlukan Adli ke dunia fantasi.

Bagaimana Adli mahu menyelesaikannya. Dapatkan siri kedua ADLI DI ALAM FANTASI-MENEROBOS TEROWONG MASA Terbitan PTS ONE dan ditulis oleh HANITA HASSAN dengan harga RM13.00 sahaja.

Wednesday, January 24, 2007

MANUSKRIP HARUSKAH AKU BERLARI

Pagi ini saya menerima satu utusan mel yang sekaligus telah mencetuskan semangat utk saya terus berkarya. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka memberitahu bahawa manuskrip saya berjudul HARUSKAH AKU BERLARI...DEMI SEBUAH CINTA, telah diluluskan penerbitannya oleh ahli jawatankuasa editorial DBP Kuala Lumpur. Meskipun mereka memutuskan untuk hanya meletakkan judul HARUSKAH AKU BERLARI, namun aku sudah berpuas hati dengan penerimaan pihak DBP. Aku tidak sangka novel ini menarik perhatian mereka untuk dijadikan best seller pada thn ini (jika terbit thn 2007). Selepas ini, novel tersebut akan masuk ke jawatankuasa ahli lembaga untuk pengesahan terakhir. Pihak DBP juga telah memutuskan untuk mencetak novel ini sebyk 3000 naskhah bagi cetakan yg pertama.

Aku tidak sangka aku akan pergi sejauh ini. Aku yakin bahawa dengan anugerah Tuhan yang ada pada aku yang tidak ada pada orang lain, harus aku gunakan sebaik mungkin. Setiap karya yang aku hasilkan, ada cerita di sebaliknya. Untuk menjadi seorang penulis yang baik, seseorang itu harus menulis sesuatu yang dia benar-benar faham. Jangan sekali-kali menulis kerana ingin menjadi seperti orang yang lain. Tulislah apa sahaja asal ia datang dari hati dan perasaan kita. Insya-Allah kita akan menghasilkan sesuatu yang baik tanpa kita sedari. Kita boleh jadikan faktor sekeliling sebagai latar tempat dan kawan-kawan serta sahabat handai sebagai watak-watak utama dalam setiap karya yang bakal kita hasilkan. Setiap perkara yang berlaku di dalam hidup kita boleh dijadikan cerita yang menarik tanpa kita sedari. Cerita di kedai kopi sekalipun boleh dijadikan permulaan untuk menulis satu bab yang menarik.

Sahabat-sahabatku di luar sana yang ingin menjadi penulis akan merasa perbezaannya apabila mencuba melakukan seperti apa yang saya praktikan ini. Tulislah dari mata hati dan sahabat semua akan melihat perubahan pada karya anda.

Selamat berkarya.

Tuesday, January 09, 2007

ADLI DI ALAM FANTASI



Alhamduliallah, semuanya telah berhasil. Lembaran 2006 yang menutup tirainya beberapa hari yang lalu telah mula menampakkan wajah ceria untuk lembaran 2007 yang masih jauh perjalanannya. Buku yang kutunggu-tunggu akhirnya diterbitkan jua. Aku sedar untuk menjalankan kerja-kerja penyuntingan manuskrip bukanlah satu perkara yang mudah. Editor harus mengejar deadline sekiranya mahu menerbitkannya dalam waktu yang telah ditetapkan. Pelbagai proses harus diambil kira. Pertama perlu mengenal pasti kebolehpasaran manuskrip, penyuntingan, konsep, illustrasi dan pelbagai ragam. Cuma mereka yang terlibat di dalamnya sahaja yang boleh bersabar dengan karenah-karenah yang mampir. Bagi aku, manuskrip yang kuhantar sekitar Jun 2006 yang lalu kepada pihak PTS One, penerbitannya seawal penghujung Disember 2006 adalah satu perkara yang luar biasa. Aku masih ingat dan tidak mungkin aku padam dari ingatan ini bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil masa bertahun-tahun untuk menerbitkan sebuah manuskrip dalam bentuk buku. Pengalaman itu mengajar aku banyak perkara sehingga terbitlah sebuah karya kanak-kanak dengan tajuk LIMA SEKAWAN DI BUKIT BOTAK. Setelah manuskrip aku diterima dan disahkan oleh DBP untuk diterbitkan tahun 1998, aku juga telah menerima salinan surat perjanjian. Aku juga ada beberapa kali berhubung dengan Editor yang menguruskan manuskrip aku. Editor yang terbabit mengenali aku kerana aku telah menghasilkan beberapa novel remaja sekitar tahun 1996. Jadi nama aku tidak asing bagi dia.

Pada awal tahun 2005, ketika aku mengikuti kursus dengan DBPWS, aku terpanggil untuk mengajukan masalah itu kepada pihak DBP. Nasihat mereka supaya aku menulis surat kepada Unit terbabit. Jawapan mereka, atas sebab-sebab tertentu, maka ia terpaksa tertangguh. Aku juga dikhabarkan bahawa editor yang terbabit juga sudah pencen. Walaubagaimanapun, akhirnya Disember 2005, aku menerima 10 naskah buku yang tidak dapat dicetak sejak tujuh tahun itu dengan kulit buku yang menarik yang sekaligus membuang amarah yang kusimpan sejak bertahun itu. Aku bersyukur dan aku tidak pernah marah atas kelewatan itu. Semuanya memberi banyak rahmat ke atas diri aku.

Ketika aku menulis manuskrip Lima Sekawan Di Bukit Botak, ia adalah untuk pertandingan sempena hari alam sekitar. Ketika itu aku belum berumah tangga dan menulisnya sekadar untuk mengasah minat di samping mendapatkan hadiah yang lumayan. Apakan daya, manuskrip aku dipulangkan. Aku tidak putus asa, aku menghantarnya ke sebuah penerbitan terkenal di ibu kota. Aku gagal juga kerana penerbitan karya kanak-kanak bukan keutamaan syarikat penerbitan ketika itu. Aku tidak mengalah malah terus terfikir untuk menghantarnya ke DBP. Aku tidak sangka manuskrip setebal 100 mukasurat itu yang bertaip menggunakan mesin taip elektrik aku, telah diterima. Ketika itu aku tidak punya komputer. Garapan ceritanya kutulis atas pengetahuan aku yang gemar membaca buku-buku pengembaraan dan penyiasatan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Di dalam almari buku di rumah, penuh dengan buku-buku tersebut yang dibelikan oleh mak saudaraku.

Setelah buku Lima Sekawan diterbitkan, timbul keinginan untuk aku meneruskan usaha menulis karya kanak-kanak. Hasrat itu membesar di dalam dadaku. Aku kemudian diperkenalkan dengan Pengurus PTS One. Perbincangan melalui e-mel dan telefon membuatkan aku terfikir untuk menghasilkan ADLI DI ALAM FANTASI. Kertas cadangan aku utarakan kepada pihak penerbit. Ketika itu aku menghantar lima sinopsis siri tersebut yang akhirnya tidak akan penghujungnya. Pihak penerbit mendiamkan diri mungkin kerana ketika itu mereka teramat sibuk mengejak deadline untuk Pesta Buku Antarabangsa 2006 di PWTC. Aku masih tertanya-tanya sama ada mereka mahu aku meneruskan karya ini atau sebaliknya. Aku ditemani suami terus ke PWTC untuk berjumpa dengan pengurus terbabit tetapi hampa sekali. Keadaan sesak yang berlangsung sehingga petang menyebabkan aku sendiri tidak punya kesempatan untuk masuk ke dalam pesta itu. Akhirnya aku pulang dengan tangan kosong.

Setelah semuanya lega, mungkin, aku e-mel sahabatku di DBPWS untuk menghantar cadangan itu kepada pihak DBP. Atas nasihat mereka, aku berhubung semula dengan pihak penerbit. Akhirnya mereka menggalakkan aku menyiapkan manuskrip siri pertama iaitu Adli Di Alam Fantasi...terperangkap di bandar Latos (tajuk asal). Mungkin kerana aku bukan penulis popular, aku dilayan seadanya sahaja dan tekad menghasilkan sesuatu yang berlainan dengan karya sedia ada. Pada asalnya ia boleh diterbitkan lebih cepat tetapi atas sebab tertentu manuskrip aku terpaksa ditunda hinggalah ke bulan Disember.

Alhamduliallah. Jika tidak berlaku semuanya dalam hidup aku, sudah tentu aku tidak setabah ini untuk meneruskan karya-karya aku.


Bagi para penggemar misteri dan fantasi, dapatkan karya terbaru ini untuk dihadiahkan kepada anak-anak anda. Anda juga harus membacanya.

Wednesday, November 22, 2006

SEL 2030

Aku agak terperanjat apabila menerima sebungkusan majalah dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan lewat sebulan lalu di hadapan porch rumahku. Waktu itu hujan lebat. Aku kebetulan tidak ada di rumah. Mungkin juga ada urusan bisnes. Encik Posmen telah mencampakkannya di tengah porch dengan harapan tidak basah dek hujan. Aku segera mencapai bungkusan itu. Agak terperanjat kerana tidak menjangka pihak DBPWS akan mengirimkan keluaran bulan itu kepada aku. Sedangkan aku kenal benar dengan kawan-kawan di sana. Mereka tidak perlu pos majalah itu. Biasanya dihantar terus apabila kawan-kawanku turun ke Melaka terus singgah ke pejabat. Setelah puas memikirkannya, aku menyelak helaian demi helaian Jendela Selatan itu. Rupa-rupanya, Cerpen aku yang telah kuhantar lewat bulan yang lalu tersiar di dalamnya. Alhamduliallah. Itulah ucapan dari mulutku. Jadi disebabkan blog aku ini begitu kosong dan menjemukan, maka aku sertakan cerpen itu untuk tatapan bersama.

Selamat membaca.


SEL 2030
oleh: HANITA BINTI HAJI HASSAN

Fikiranku kosong. Hatiku semakin membeku. Aku tidak tahu, apa lagi yang harus aku lakukan ketika ini, sedangkan landlover polis berwarna biru gelap yang akan membawa aku ke Penjara Wanita Kajang, telah pun tiba di perkarangan Balai Polis tempat aku dilokap. Aku masih menaruh harapan agar tidak dimasukkan ke sana, tempat di mana, segala jenis penjenayah wanita berada di dalamnya. Aku terus berdoa agar ada kelibat manusia-manusia yang memahami situasi yang berlaku ke atas diriku, datang memeluk erat diriku yang sedang duka nestapa, tanpa tempat bergantung. Datang membelai dan memujuk hatiku yang rawan dan nestapa. Aku pilu, aku keseorangan, aku kosong, beku dan terperangkap dalam diriku sendiri. Namun, siapa di belakang aku ketika aku begitu memerlukan mereka. Keluarga jauh sekali. Aku bagaikan sampah yang harus dibuang jauh-jauh daripada timbunannya agar bau busuknya tidak melekat di wajah mereka.

“Saya tak bersalah cik, sumpah saya tidak lakukannya?” Aku masih ingat lagi ketika dua polis wanita berbadan sasa singgah ke rumah pagi Jumaat itu. Pagi itulah, aku diheret ke balai polis atas laporan yang dibuat oleh anak-anak ibu tua yang aku rompak tiga hari yang lalu. Ketika aku mengetahui kedatangan polis wanita itu, aku dengan segera mencapai bayiku yang berumur satu tahun enam bulan dan terus menyembunyikan diri di dalam almari pakaian di salah sebuah bilik di rumah. Nasib aku kurang baik, suara tangisan bayi yang kukendung, didengari dua polis tersebut dari luar dan aku akhirnya digari dan dibawa ke sel sial ini.
“Saya tak bersalah cik, sumpah saya tak buat apa-apa? Kenapa tahan saya?” Suara sayu yang keluar daripada mulut aku tidak langsung diendahkan oleh polis wanita berkenaan. Aku seperti biasa, dengan wajah penuh kesayuan, cuba mencari helah agar tidak ditangkap, namun kali ini, tidak seperti helah-helah aku yang lalu, aku tertangkap juga.

“Kami hanya menjalankan tugas. Segala aduan dan ketidakpuasan hati, cik boleh kemukakan di balai nanti,” kata polis tersebut. Kebetulan pagi aku ditangkap, emak, abah dan adik bongsuku tiada di rumah. Seawal pagi lagi, mereka telah meninggalkan rumah. Entah untuk urusan apa, aku sendiri tidak ambil pusing. Dua anak perempuan aku belajar di sekolah berhampiran, telah pun kuhantar seawal jam 7.00 pagi. Yang tinggal hanya aku bersama bayi dan adik lelakiku. Aku menyerahkan bayi lelaki yang kukendung itu kepada adik lelakiku, yang kebetulan bekerja shif malam dan baru sahaja pulang dari kerja pagi itu. Tangisan bayiku menambah sayu dan pilu dihati kecilku ini.

Sejak hari sial itu, aku terus-terusan dikurung di lokap sementara menunggu kes aku didengar di mahkamah. Pada awal aku ditangkap, aku tidak boleh dijamin, tetapi atas budi bicara pihak polis dan mahkamah, atas alasan kasihan dengan anak-anakku yang masih kecil, aku dibenarkan untuk diikat jamin sementara menanti hari perbicaraan. Dan kes aku juga telah disebut di Mahkamah Tinggi.

“Emak, abah, abang dan adik-adik yang lain entah ke mana. Anak-anak di rumah, entah apa khabar agaknya mereka ketika ini,” aku mengeluh. Jam di dinding yang tersangkut di luar lokap menunjukkan ke angka 10 pagi. Setengah jam lagi, aku akan dibawa ke Penjara Wanita Kajang. Aku tidak pernah menyangka, aku akan merengkok di dalam penjara dalam usia aku baru mencecah ke angka 27 tahun.

Selama 12 hari aku di dalam lokap, aku sama sekali terpisah dengan dunia luar, dunia yang penuh keseronokan. Aku juga turut terpisah dari mendengar keriuhan dan kepetahan anak-anakku yang masih kecil, mungil, bersih, sebersih sehelai kain putih yang tunggu untuk diwarnakan sahaja. Aku terperangkap dengan kekalutan yang menguasai fikiran hingga sanggup merompak dan cuba mencederakan seorang ibu tua yang tidak bersalah sama sekali. Aku lakukan itu semata-mata kerana wang, wang, wang. Wanglah yang telah memenjara hati dan fikiran aku ketika itu. Entah ibu jenis apakah aku, sehingga aku lali dan lupa, segala yang aku lakukan, ada musibah yang perlu ditanggung oleh seluruh keturunanku sehingga akhir hayat mereka. Musibah inilah yang akan dibawa bersama anak-anakku, sehingga mereka dewasa.

“Mak, kalau boleh Syuhada tak nak ke penjara Kajang tu. Syuhada tak nak,” tanpa rasa kesal, aku memaksa emak untuk menjamin aku. Walaupun aku sedar, aku memang melakukan kesalahan itu, namun aku mohon agar emak dan adik beradik yang lain berbincang untuk menjamin aku.
“Berapa wang jaminnya,” tanya emak sambil tersedu-sedu menangisi nasib anak perempuannya yang malang sungguh itu.
“Tujuh ribu ringgit. Tapi, kalau kita letak geran tanah pun boleh mak,” kata aku dengan nada yang lembut dan penuh sopan, bagaikan aku tidak melakukan kesalahan itu. Aku cuba memujuk hati emak yang cepat cair itu.
“Mak, tolong Syuhada ya mak, Syuhada tak nak pergi penjara kat Kajang tu,”tanpa air mata, dengan keras hati, tabah dan kuat, aku terus mendesak emak dengan nada yang menusuk hingga ke jantung. Air mata sudah tidak ada lagi dalam kotak simpanannya. Air mataku bagaikan sudah kekeringan sejak banyak peristiwa yang berlaku dalam diari hidupku. Aku keseorangan lagi, tanpa tujuan setelah suami yang amat aku sayang meninggalkan alam yang fana ini. Dan dalam usia yang terlalu muda ini, aku digelar ibu tunggal atau bahasa yang mudah difaham, aku sudah menjadi janda dengan tiga orang anak.

Suami aku meninggalkan aku dan anak-anak dengan bebanan hutang yang terpaksa aku langsaikan. Duit KWSP tinggalan arwah suami aku, aku gunakan untuk membayar hutang-hutang dengan peminjam lintah darah yang kebiasaannya digelar along. Hajat hati ingin menyimpan wang tersebut bagi persekolahan anak-anakku terpaksa aku tangguhkan. Kalau tidak dibayar hutang-hutang tersebut, mati aku dikejar along dan kuncu-kuncunya.

“Sudah sebulan lu tidak bayar hutang lu, bunga sudah naik, bila lagi lu nak bayar hah, nanti gua culik anak lu kat rumah, baru lu tahu,” itulah ugutan yang selalu bermain di cuping telinga aku, setiap kali aku tidak dapat melangsaikan hutang-hutang tersebut tepat pada waktunya. Bunga dari pinjaman semakin bertambah. Pinjaman yang sedikit, bertambah berkali ganda dari asalnya.

“Bukan aku tak nak bayar, aku tak de duit sekarang, nanti bila aku ada duit, aku bayar dua kali ganda termasuk bunganya sekali,” jawapan-jawapan yang sama keluar dari mulut aku setiap kali aku kehabisan duit untuk melangsaikan hutang. Siapa yang ambil peduli, aku hidup ke, aku mati ke, tidak ada seorang pun ahli keluargaku yang ambil pusing. Aku hidup, hanya menyusahkan emak, abah dan keluargaku.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, aku sering menyusahkan emak dan abah. Ketika itu, aku bersekolah di asrama, aku terikut-ikut dengan kebebasan hidup bersama teman lelakiku, yang akhirnya menjadi suamiku. Aku bebas melakukan apa sahaja tanpa pengetahuan emak dan abah. Setiap kali cuti hujung minggu, aku membohongi emak dan abah bahawa aku tidak dapat pulang ke rumah atas sebab kerja sekolah yang terlampau banyak. Kepada warden asrama pula, aku katakan, aku pulang ke rumah emak dan abah aku. Padahal, dalam diam, aku mengikut teman lelakiku, dan ketika inilah aku dikenalkan dengan sejenis dadah yang aku sendiri tidak pasti jenis apakah itu. Bagi aku, hidup ketika itu adalah kebebasan dan kebebasan adalah hidup sebenar. Aku bukan penagih tegar, aku cuma mengambilnya sekali sekala, sekadar untuk suka-suka dan menghilangkan kebosanan yang bersarang dalam dada. Semuanya kerana keimanan dalam diri yang begitu nipis dan tipis hingga aku kalah dengan godaan syaitan. Dan kerana pengambilan dadah itu jugalah, aku sehingga kini, mengidap sakit di bahagian pinggang.

Aku tidak pernah memikirkan kepentingan keluarga dalam hal kebebasan aku, aku cuma tahu, aku mahu bebas dan hidup senang lenang. Bukan seperti kedua orang tua aku, yang sejak aku kecil hingga dewasa, aku lihat hidup mereka tidak pernah sesenang seperti orang lain. Mereka sering dihimpit kesusahan. Aku mahu lari dari kepompong masalah itu dan disimbahi wang. Kehadiran teman lelaki aku, yang sering menabur aku dengan wang ringgit, membelikan apa sahaja yang aku inginkan, membuatkan dunia aku yang gelap bertukar cerah.

“Ah...buat apa aku toleh ke belakang. Benda dah terjadi. Itu semua kemahuan aku, aku cari sendiri, bukan salah sesiapa, aku yang pilih jalan ini,” desis aku sambil mengesat peluh yang menyimbah membasahi pipi dan tengkuk. Pakaianku basah dek peluh yang mengalir dari tubuh badanku. Terik mentari jam 10.15 pagi itu, memasuki lokap dari celah-celah tingkap. Lokap akan aku tinggalkan 15 minit lagi. Namun, tidak ada siapa-siapa yang nampaknya akan datang menjamin aku. Doa masih terus-terusan aku panjatkan agar aku tidak dihantar ke penjara jahanam itu.

Sel berbau hamis, busuk dan berhabuk yang diduduki aku sejak 12 hari yang lalu, bakal aku tinggalkan. Sel yang tidak pernah dijaga itu sudah menempatkan entah berapa puluh pesalah di dalamnya. Aku salah seorang daripada pesalah itu. Beberapa sel lagi yang mengisi pesalah-pesalah yang tidak tahu apa kesalahannya, tapi sudah tentu kesalahan jenayah, masih terpersuk di celahan sel besi yang tegap, pejal dan kaku.

“Siti Nor Syuhada, awak akan dibawa ke Penjara Wanita Kajang, pagi ini, boleh bersiap sekarang,” suara garau polis wanita yang bertugas pagi itu mengejutkan lamunan aku. Suara itu adalah arahan, dan setiap arahan aku harus patuhi. Di sel ini, aku adalah pesalah walau sekecil mana kesalahan yang aku lakukan, aku tetap pesalah yang harus dihukum. Aku tidak menjawab, malah membatukan diri dengan keadaan diriku yang tidak terurus dan berbau hapak, aku bagaikan orang gila. Aku menarik-narik rambutku yang panjang dan gatal. Kemudian, aku duduk di lantai simen berdebu, sehingga meninggalkan kesan di atas seluar hitam yang aku pakai. Aku membetulkan ikat rambutku yang kusut. Tiada lagi air mata yang mengalir. Ia bagaikan tersekat.

Dua polis wanita berbadan sasa menghampiri sel dan membuka kunci sel, lalu membawa aku pergi. Masih kelibat-kelibat manusia yang berhati mulia, yang aku harap dapat membantu aku, tidak kelihatan. Aku tertunduk sayu. Harapanku musnah.

“Ini semua barang-barang yang awak bawa bersama ketika datang ke balai ini, sila pastikan semuanya ada,” kata salah seorang polis yang tertera namanya Zaiton. Aku meneliti satu persatu, barang-barang yang pernah kubawa tempoh hari, ketika hari aku ditangkap. Ada dompet duit, telefon bimbit dan baju yang dibawa oleh emak dan abah ketika melawat aku tempoh hari.

“Terima kasih.” kata aku kepada pegawai polis tersebut. Landlover polis yang telah dihidupkan enjinnya, sedia menanti aku. Aku diarah menaikinya dan duduk di dalamnya bersama-sama dua anggota polis wanita dan seorang pemandu. Landlover itu memecut laju meninggalkan perkarangan balai tempat aku ditahan reman.

“Selamat tinggal anak-anakku, ibu terpaksa menempuhi kesusahan yang lebih hebat lagi selepas ini. Semoga anak-anakku, kau akan meneruskan hidup ini dengan penuh ketabahan, amin,” aku berdoa berterusan. Dalam kesusahan begini, hanya Tuhanlah tempat aku bergantung. Tiada tempat lain lagi. Kalau sebelum ini, aku alpa padaNYA, kini baru aku sedar, aku benar-benar insaf, aku hanya ada DIA tempat mengadu. Landlover masih terus bergerak laju menuju tempat yang tidak pernah terlintas di benakku untuk menghuninya. Penjara Wanita Kajang sedang menggamit kedatangan aku. Telefon bimbit yang kupegang, sempat aku menghantar pesanan ringkas kepada adik aku.

“Tolonglah Iman, Angah tak nak ke penjara, pinggang angah dah semakin membengkak dan terlalu sakit, tolonglah minta emak datang jamin angah di penjara nanti,” dihantarnya pesanan ringkas itu ke telefon bimbit adik lelakinya. Hatinya puas. Aku berharap, hati emak dan abah akan cair dan membawa aku pulang dengan segera.

Jam ditanganku menunjukkan ke angka 12.30 tengah hari. Aku semakin menghampiri kawasan penjara. Suasana muram dan kelam, seperti keadaan penjara itu juga. Kuteliti tembok besar yang teguh, kaku dan sayup tingginya. Aku akhirnya tiba juga di sini. Aku kemudiannya diserahkan kepada pegawai penjara dan di sinilah, aku bakal menghabiskan sisa-sisa muda remaja aku di dalamnya. Sel 2030 akan menjadi tempat persinggahan aku, sementara aku dijatuhkan hukuman oleh mahkamah tinggi.

Hidup ku kaku dan beku
Dalam sel 2030
Beku, kaku, keras tanpa perasaan
Aku...
hidupku, kaku tanpa perasaan
Aku, beku, tanpa perasaan

Tinggallah aku di sini, bertemankan tembok batu yang kaku, beku tanpa kata. Oh Tuhan! Adakah lagi manusia-manusia lain yang masih menaruh simpati terhadap aku. Bermulalah hidup aku di dalam Sel 2030.

Friday, July 21, 2006

Kereta Kabel

Melaka bakal menjadi negeri ketiga di Malaysia mempunyai perkhidmatan kereta kabel? Kenyataan itu memeranjatkan ramai pihak. Nampaknya negeri Hang Tuah akan bertambah sibuk seperti ketika zaman kegemilangannya pada sekitar akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16. Apa tidaknya, apabila kemudahan perkhidmatan baru diperkenalkan di negeri pelancongan ini, sudah tentu lebih ramai pelancong yang ingin datang ke Melaka. Apatah lagi, Melaka terletak di antara dua buah lapangan terbang utama di bahagian Selatan iaitu KLIA dan Senai(Johor). Saya percaya, meskipun keputusan mengadakan perkhidmatan kereta kabel ini masih di peringkat awal, namun rakyat Melaka sudah mula memperkatakan tentangnya di mana-mana sahaja. Tidak salah mempersoalkannya, namun sebagai rakyat Melaka, kita seharusnya memberi pandangan membina yang boleh membantu kerajaan negeri mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan sedia ada selaras dengan hasrat Melaka yang akan mencapai negeri Maju menjelang 2010 iaitu 10 tahun lebih awal dari Malaysia iaitu 2020.

Pada ketika ini, perkhidmatan kereta kabel hanya boleh diperolehi di dua negeri iaitu di Pahang (Genting Highlands) dan di Kedah (Gunung Raya, Langkawi).