Wednesday, December 17, 2008

IDEA MENCURAH-CURAH

Apabila idea mencurah-curah, aku selalunya berhenti dan tidak mengeluarkan kesemuanya. Aku suka buat macam gitu. Jadi dalam masa aku membuat kerja lain, kepala akan terus berfikir tentang idea yang belum tertulis itu. Maka apabila aku mula duduk di depan komputer, sudah tentu idea mencurah-curah dan boleh menulis sehingga selesai satu bab atau lebih.




Aku sedang menyiapkan sebuah manuskrip novel. Manuskrip ini telah dihasilkan untuk pertandingan sayembara novel 50 tahun DBP tetapi aku tidak meraih apa-apa hadiah. Jadi aku telah baca semula manuskrip ini dan mendapati banyak yang harus ditambah dan dibuang. Maka itu, aku sedang membedah manuskrip itu dan sedang menulis di bahagian-bahagian akhir untuk menjadikan cerita ini lebih bagus dari yang asal.

Aku masih berfikir-fikir ke mana harus aku hantar manuskrip ini?

Saturday, December 13, 2008

KAMBING OH KAMBING

Eiduladha sudah beberapa hari meninggalkan kita. Para jemaah haji akan pulang ke tanahair setelah menunaikan ibadat haji. Rindu kepada keluarga akan terubat bila bertemu semula dengan keluarga tercinta. Hari Raya Haji tahun ini memberi seribu kepuasan kepada aku serta suami dan seluruh ahli keluarga. Tahun ini, rezeki kami dimurahkan dan keinsafan bertambah membuatkan aku merancang melakukan ibadah korban.

Cerita pasal korban, ia datang dengan tanpa aku rancang. Beberapa hari sebelum hari raya haji, aku mengajak suami untuk melakukan korban. Tanpa banyak soal, hanya dengan satu soalan "Duit ada ke?" aku pula menjawab "dah ada." Terus kami mencari beberapa tempat kononnya untuk masuk dalam korban kelompok. Malang sekali, kebanyakan tempat telah tutup. Jika tidak dengan lembu, boleh gunakan kambing. Maka pencarian pun bermula.

Nak cari kambing pun susah. Ada satu tempat tu yang jual sehingga RM1 ribu lebih untuk seekor kambing jenis import. Aku masih berusaha dan tidak putus asa. Masa tu dah jumaat. Nak dijadikan cerita, dalam perjalanan ke tempat kerja, aku dan suami ternampak papan tanda menjual kambing untuk korban. Apa lagi, kami pun ambillah nombor telefonnya. Ada dua tempat. Satu tempat jual RM620 seekor dari kambing jenis Boer iaitu kambing import dari IndoChina. Satu tempat lagi jual dengan harga RM650 seekor.

Maka kami pun bersetuju dengan tempat yang jual dengan harga RM620. Petang itu, pulang dari kerja, kami singgah di tempat jual kambing. Alhamdulillah kebetulan tinggal dua ekor sahaja kambing yang boleh dijual untuk korban. Kedua-dua kambing itu sihat dan besar. Rezeki kami.

Pencarian untuk kambing dah selesai. Kemudian kami jumpa imam di kampung. Berbincang tentang siapa yang nak sembelih dan kenduri. Aduhai...aku kecewa sebab pak imam tak boleh buat pada hari raya pertama. Sibuk sebab telah dipanggil menyembelih di kandang di kampung aku. Suami aku setuju pulak. Sedangkan pada hari raya kedua aku kena kerja. Tidak boleh cuti sebab ada mesyuarat lembaga pengarah di pejabat. Satu hal, kebanyakkan adik beradik aku tidak boleh balik.

Maka pencarian untuk orang sembelih dan melapah kambing kami bermula dengan harapan dapat juga buat pada hari raya pertama. Dengan pertolongan dari seorang pakcik, kawan baik kami, akhirnya seorang bilal di kampung aku bersetuju sertelah dipujuk. Dia dan anak menantunya akan menyembelih dan melapah. Lega satu bab walaupun terpaksa dibuat pada sebelah petang. Setelah semuanya confirm, barulah aku menghubungi adik beradik menjemput.

Rupa-rupanya bukannya satu kerja mudah untuk melakukan korban. Seseorang yang ingin berkorban itu harus melalui banyak perkara sebelum hari korban itu. Pengajarannya ialah, amalan korban adalah amalan yang besar. Jadi sekiranya kita mahu melakukannya, kita harus merancang dari awal dan membuat persedian. Tetapi kata orang tua, kerja baik itu sudah tentu akan dirahmati Allah. Dengan niat yang ikhlas dari hati aku serta suami, akhirnya ibadat korban itu dapat dilakukan di rumah sendiri.

Korban dapat dibuat, adik beradik berkumpul, kenduri doa selamat dan tahlil juga dapat dilakukan. Banyak hikmahnya dari ibadah korban yang kami lakukan pada tahun ini. Aku yakin bila kita hendak melakukan benda yang baik, jangan berkira-kira. Sudah tentu ada sahaja rezeki akan datang menjengah.

Selamat malam.

Saturday, November 29, 2008

SUARA DARI BALKONI

Angin petang berhembus perlahan. Hawa sejuk menerawang sehingga masuk ke dalam kondo yang aku serta suami sewa. Anak-anak sibuk melihat bilek masing-masing. Aku dan suami membiarkan mereka dengan aktiviti mereka. Aku tahu, hati anak-anak lapang bila dapat bercuti. Hari ini adalah hari Jumaat. Hari Jumaat adalah penghulu bagi segala hari dan aku paling suka bila tiba Jumaat.

Nun jauh di hadapan mata,kelihatan ombak menghempas pantai. Burung-burung terbang rendah seakan mencari makanan di pasir pantai. Kalau bernasib baik, dapat juga cacing, mungkin anak ketam untuk makanan mereka petang itu. Terasa mahu segera ke pantai. Cuaca panas di luar membuatkan aku harus bersabar ditambah dengan keadaan diri yang tidak sihat. Entah kenapa pantai dan diri aku amat sebati sekali. Pantai membawa begitu banyak kenangan dalam hidup aku mahupun suami. Ilham pasti lahir setiap kali aku duduk di bangku balkoni di kondo yang aku sewa.

Puas hati aku kerana akhirnya dapat juga aku, suami dan anak-anak berlibur walaupun beberapa jam. Seronok lihat anak-anak mandi manda di kolam renang. Aku sendiri terasa lega bila dapat keluar dari rutin harian dan bercuti bersama keluarga.

Waktu-waktu yang terbatas, sentiasa mengejar waktu, kami harus membahagikan waktu antara pekerjaan, perniagaan dan anak-anak. Memang dalam keadaan sekarang, masa itu emas. Jika lambat, anda pasti akan ditinggalkan jauh. Kalaupun mahu kembali ke waktu yang telah kita tinggalkan itu, tidak mungkin waktu yang kita impikan itu sama. Kecuali kita punya kuasa untuk kembali ke masa lalu macam cerita-cerita dalam novel aku Adli di Alam Fantasi.

Anak-anak memerlukan perhatian dalam waktu mereka sedang membesar. Apabila melihat perangai anak-anak yang macam-macam, aku sedar bahawa mereka juga manusia biasa yang memerlukan belaian yang lebih dari sepatutnya. Bila aku dan suami dapat membawa anak-anak berlibur, mereka terus sihat. Kalau tidak, macam-macam hal. Demam, muntah, selsema dan batuk. Semua sakit itu datang serentak kepada tiga dari empat anak aku. Aku sendiri tidak sihat.

Sejak aku diperkenalkan dengan blog XMC, aku terasa rindu setiap kali berjauhan dan tidak menatap blog itu. Bermacam cerita yang dicoretkan tidak kurang yang mengenang kisah lalu, kisah suka duka, pendapat yang pelbagai, yang aku sendiri tidak sempat untuk meninggalkan jejak aku dengan komen-komen mereka. Setiap orang punya pendapat masing-masing dalam banyak perkara yang dibincangkan. Semua pendapat itu benar tertakluk kepada pendirian mereka yang menulis itu. Bagi aku, insan yang serba kekurangan ini, apa juga pendapat, mencerminkan diri kita sendiri.

Apabila mahu menulis sesuatu topik, kita harus berfikir terlebih dahulu. Tidak terlalu emosi dan tulis sesuatu yang boleh memberi semangat kepada orang lain.

Wednesday, November 26, 2008

RINDU UNTUK MENULIS

Melihat ketidakaktifan blog ini, aku terpanggil untuk menulis sesuatu. Banyak perkara yang ingin aku kongsi bersama kalian tetapi apakan daya, aku tidak punya kesempatan untuk meluahkan segala isi hatiku ini.

Apabila leka menulis blog, nanti banyak kerja tertangguh?

Aku cuba membuat jadual menulis di blog, menyelesaikan tugas pejabat, menulis buku dan novel dalam masa 24 jam. Waktu seakan terlalu singkat. Detik waktu tidak boleh aku tahan-tahan. Dalam masa yang sama, aku juga harus memperuntukkan waktu untuk suami dan anak-anak yang semakin membesar. Semuanya memerlukan belaian aku. Kadang-kala aku terfikir, tidak penatkah buat semua kerja-kerja itu setiap hari?

Sehingga ke hari ini, aku suka semua kerja yang aku lakukan. Ditambah dengan kesibukan aku melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama Badan Bukan Kerajaan di negeri Hang Tuah ini, rasanya hidup aku lebih terisi dan dapat memanfaatkan semua pengetahuan dengan masyarakat di sekeliling aku.

Suami semakin memahami aku. Sejak anak-anak sudah pandai berdikari, boleh mengurus diri masing-masing, tugas aku semakin mudah. Adibah, Adib, Adli dan Adam, anak-anakku yang comel. Mereka amat memahami aku. Malah kagum melihat novel-novel yang aku tulis walaupun belum lagi berupaya untuk membacanya.

Cuti sekolah sudah hampir dua minggu. Tidak banyak aktiviti yang aku atur untuk anak-anak kecuali anak kedua yang aku hantar ke kelas pemulihan intensif. Semuanya untuk membantu dia menulis dan membaca dengan lancar. Dahulu, ketika anak sulung aku bersekolah darjah satu, dia tidak punya banyak masalah. Dia boleh membaca dan menulis dalam bahasa melayu dengan baik dan boleh membaca dan menulis dalam bahasa inggeris juga dengan baik. Jadi ketika di darjah satu, dia tidak ketinggalan di dalam kelas.

Namun, apabila anak kedua aku yang bermasalah masuk ke sekolah yang sama dengan kakaknya, banyak masalah timbul. Semuanya gara-gara anak aku itu tidak berapa pandai membaca dan menulis. Jadi natijahnya maka anak aku itu seperti ditinggalkan walaupun belajar di sebuah sekolah yang memang terkenal dengan kebagusannya. Jadi dalam hal ini, aku sedar, anak itu harus dididik dari rumah bukan di sekolah. Jika kita sebagai ibu bapa tidak dapat mendidik anak kita sendiri, belum tentu pihak sekolah boleh.

Nampaknya setelah hampir dua minggu di kelas pemulihan, banyak perubahan yang telah dia perolehi. Aku memohon agar Allah sentiasa memberi anak-anakku peluang untuk menjadi yang terbaik dan aku akan pastikan mereka dapat yang terbaik dari usaha aku dan suami sendiri.

Banyak lagi yang tersimpan di dalam kepala. Tetapi tidak mungkin aku dapat curahkan semuanya dalam satu masa. Ada masa ada kesempatan, aku akan mampir lagi dengan cerita yang lebih baik.

Selamat berkarya.

Friday, September 12, 2008

Memburu dan Diburu Cinta

Judul : Haruskah Aku Berlari
Penulis : Hanita Hassan
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM25.00
Pengulas : Saira Salim

Dewan Sastera September 2008


Haruskah aku berlari bagi mengejar cintamu, atau haruskah aku berlari bagi melarikan diri daripada diburu oleh cintamu, merupakan hambatan perasaan yang membungkus hidup Sofea Delaila. Sofea Delaila, siswa yang keliru dikejar dan mengejar cinta berada dalam dilema untuk membuat keputusan memilih antara dua jejaka yang berjaya menambat hatinya.

Zahrul, merupakan jejaka pertama yang dicintainya, sejak di alam persekolahan. Zahrul yang telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti, berjanji akan membawa bersama cinta Sofea Delaila ke kampus. Dia berjanji akan menanti Sofea Delaila dengan penuh kesetiaan di sana. Dengan semangat dan cinta Zahrul itu, Sofea Delaila berazam akan belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan suatu hari nanti dia akan dapat bersama-sama Zahrul, sebagaimana yang dijanjikan.

Namun begitu, setelah Zahrul berada di kampus, dia telah melupakan janjinya. Dia telah menemui gadis lain, yang biarpun tidak secantik Sofea Delaila, tetapi gadis itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bahkan, gadis itu dapat memenuhi tuntutan hidupnya yang terdesak dengan kesempitan kewangan. Gadis itu daripada keluarga berada dan dengan kemewahan wang ringgitnya, dia dapat membeli hati Zahrul hingga Zahrul tidak lagi mengingati janji setianya bersama-sama Sofea Delaila.

Sofea Delaila yang setia dalam penantian amat kecewa, namun kedinginan Zahrul tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran. Dalam kesepian dan keterasingan disisihkan oleh jejaka yang dicintainya sepenuh hati itu, dia telah diketemukan secara tidak sengaja dengan seorang jejaka yang sangat jujur, baik dan mengasihinya sepenuh hati. Nasir, jejaka yang sudah stabil dari segi profesion dan kewangan, juga jauh lebih matang daripada Zahrul. Nasir, telah merasai derita kehilangan tunang yang telah pergi buat selama-lamanya. Dia amat berhati-hati dalam menilai dan menghargai sebuah cinta.

Nasir tetap sabar menanti Sofea Delaila membuka pintu hati untuk menerima cinta murni daripadanya. Biarpun terlalu banyak kebaikan yang dinilai oleh Sofea Delaila sendiri terhadap Nasir, namun hatinya tetap terpaut pada cinta Zahrul yang rapuh dan tidak berpendirian. Zahrul pula dalam keadaan terpaksa membuat pilihan antara dua orang gadis itu. Zahrul mulai merasakan dia sepatutnya menerima Sofea Delaila. Dia berasa amat bersalah kerana telah mengingkari janji yang dibuat olehnya. Maka, Zahrul bertekad untuk menebus segala dosanya kepada Sofea Delaila. Dia telah mengaturkan temu janji untuk menautkan kembali cinta yang terlerai sekian lama. Dapatkah Zahrul membuktikan kejujurannya?

Sebuah novel cinta romantis yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh pembaca begitu sahaja di rak buku atau di mana-mana sahaja. Novel ini membongkar sikap seorang lelaki terhadap nilai sebuah cinta dan lelaki yang hanya menjadikan wanita sebagai mangsa keegoan dan ketamakan hati.

Thursday, September 11, 2008

ULASAN NOVEL HARUSKAH AKU BERLARI DALAM DEWAN SASTERA SEPT 08

Aku teruja pabila mengetahui bahawa novel aku bertajuk Haruskah Aku Berlari yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2008 telah pun diulas di dalam Dewan Sastera keluaran September 2008.

Kesibukan menguruskan aktiviti untuk anak-anak yatim dalam bulan Ramadhan ini membuatkan aku tidak sempat untuk mendapatkan naskah tersebut. Memang aku rasa teruja bila mendapat tahu novel aku diulas kerana ia satu penghargaan buat aku, apakan daya semalam ketika singgah di sebuah kedai menjual majalah, pekerja kedai mengatakan naskah dewan sastera belum dihantar ke kedainya.

Hampa. Tidak mengapa aku harus bersabar. Sudah banyak tahun aku bersabar takkan kali ini tidak boleh. Sejak berpuasa, aku terasa begitu letih. Siang bekerja seperti biasa, malam berjaga menyudahkan banyak kerja penulisan yang harus disiapkan sebelum hari raya. Mengejar deadline ni memang kegemaran aku. Bila ada deadline, baharulah bekerja dengan bersungguh-sungguh. Kalau tidak, aku akan buat sambil lewa.

Parlimen akan bersidang selepas hari raya. Banyak perkara akan dibahaskan. Tugas aku untuk meneliti dan membuat penyelidikan serta menulis perbahasan bertambah banyak. Aku berdoa agar Allah sentiasa memberikan aku kesihatan yang baik agar dapat aku menyelesaikan tanggungjawab ini.

Nampaknya menjelang hari raya, aku akan mendapat bayaran royalti untuk beberapa buah buku yang aku tulis. Lumayan. Aku harap aku akan sentiasa diberi idea yang kreatif oleh Allah untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu.

Selamat berkarya kepada warga penulis.

Friday, August 22, 2008

Politik dan Penulisan

Sudah beberapa bulan aku menemuramah seseorang (tokoh politik dan budaya) yang terkemuka, namun sukar sekali rasanya untuk menyiapkan sebuah manuskrip pada hal semua informasi yang aku perlukan sudah ada dalam simpanan aku. Juga seingat aku, sudah beberapa kali juga aku buka dan tutup komputer riba aku, dan hampir setiap malam aku peruntukkan khusus untuk menulis dan menyudahkan sebuah manuskrip bukan kreatif ini, namun sehingga ke hari aku menulis makalah ini, aku masih tidak bisa menyelesaikannya.

Apabila aku mula menceburi bidang penulisan, aku hanya menulis karya-karya kreatif seperti sajak, cerpen, skrip drama dan novel khasnya. Tetapi aku lebih menyerlah dalam penulisan novel tidak cerpen.

Namun, aku terasa begitu sukar sekali untuk menulis buku berbau politik ini. Ia terasa seperti batu berat yang sedang duduk di atas kepalaku. Susah teramat susah. Satu mungkin kerana aku bukannya dari golongan politik dan aku tidak langsung terlibat dalam dunia politik. Cuma aku dikelilingi dengan orang-orang politik peringkat tertinggi dan juga bawahan atas sebab jawatan yang aku sandang ini. Namun, untuk terlibat secara langsung, tidak pernah terlintas di hati aku.

Jika kita baca buku-buku berbau politik, kita selalu menganggap buku-buku seperti ini hanyalah sebuah penulisan yang ringan tetapi jauh di sudut pandangan penulis politik, ia sebenarnya suatu kerja yang cukup berat. Penulis masih harus membuat penyelidikan untuk mendapatkan bahan. Malah semua bahan yang diperolehi hendaklah benar-benar sahih supaya apabila buku ini sudah dicetak, tidak akan timbul soal salah fakta dan sebagainya.

Apabila seseorang penulis sudah bersetuju menerima tanggungjawab untuk menulis sebuah buku bau politik, sudah tentu banyak perkara yang perlu difikirkan. Setiap perkataan yang ditulis juga harus berhati-hati kerana dibimbangi ada ayat-ayat atau perkataan sensitif yang boleh menyebabkan buku itu dihalang dari diedarkan di pasaran terbuka.

Mungkin sudah jodoh aku dengan tokoh terbabit, akhirnya aku juga yang dipilih untuk menulis buku berkenaan. Semoga apa yang aku tulis ini direstui oleh Allah.

Amin.

Friday, July 25, 2008

MUSIM MENUAI




Aku masih ingat, semasa kecil sebaik sahaja padi menguning dan sudah boleh dituai, emak tersenyum lebar, begitu juga dengan abah. Sawah dua petak yang diwarisi emak dari nenek sudah cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

Bagaimana rasanya bila tuaian kita mengeluarkan hasil yang baik dan banyak? Aku baru sedar hari ini setelah apa yang aku tanam telah mula membuahkan hasil.

Seronok bila tiba musim menuai. Penat menanti tuaian masak pun sudah tidak terasa. Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa memberkati usaha aku ini.

Kepada mereka yang masih menunggu musim tuaian masing-masing, bersabarlah. Sabar itu separuh daripada iman. Apa yang terjadi semuanya sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Nantikan kemunculan SIRI TERBARU ADLI DI ALAM FANTASI....lebih suspen

aku menulis - 25.07.08

Sunday, July 13, 2008

PELANCARAN BUKU TAMAN BOTANIKAL MELAKA

menerima sijil penghargaan

bersama Datuk A. Samad Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya

bersama Datuk Haji Yaakob Md Amin, Exco Pengajian Tinggi Melaka

aku tidak melepaskan peluang meminta tandatangan Datuk untuk bukunya 68 Sonata Pohon Ginkgo

Seorang penulis kecil diganding bersama seorang Sasterawan Negara yang dikenali ramai di Malaysia dalam satu majlis pelancaran buku Datuk A.Samad Said, aku terasa begitu kerdil dan diberi penghormatan yang cukup besar. Buku Taman Botanikal Melaka hanyalah sebuah karya kecil aku tentang taman dan kehijauan serta kedamaiannya.

Aku seharusnya gembira dengan pencapaian tahun ini.

Ada beberapa buah buku yang sedang dan bakal aku tulis. Nampaknya, jadual aku bertambah padat. Dan aku sedang berfikir-fikir tentang menulis sesuatu yang besar. Jika diizinkan Allah, dibukakan hati ini, aku akan mula menulis buku tersebut dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.

Wednesday, July 09, 2008

PELANCARAN BUKU TAMAN BOTANIKAL MELAKA





Beberapa jam lagi, fajar Subuh akan menjelma dan sebuah lagi buku terbaru yang ditulis oleh aku, Hanita Hassan, akan dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Ketua Menteri Melaka. Pelancaran Buku Taman Botanikal Melaka akan dilaksanakan di Kampung Buku Melaka bersama Buku Warisan Melaka, iaitu sembilan buah buku karya Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang telah dicetak semula dengan versi kulit buku yang lebih bernyawa.

Tidak pernah terlintas atau terdetik di fikiran bahawa aku akan bersama-sama seorang penulis tersohor iaitu Sasterawan Negara esok sedangkan aku hanyalah seorang penulis penyek yang masih jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan Datuk A.Samad Said. Siapalah aku. Namun, jika ditanya tentang buku Datuk bertajuk Salina, aku tidak ingat berapa kali aku membacanya. Aku masih boleh menggambarkan apa yang ditulis oleh Datuk meskipun hanya membacanya melalui ayat-ayat yang dibinanya yang begitu teliti dan aku seperti melihat diri aku di dalam dirinya.

Alhamdulillah, semua yang berlaku telah dijodohkan oleh Allah yang maha berkuasa. Pasti semuanya berlaku ada hikmahnya. Semuanya adalah kerja Allah. Aku cuma insan biasa yang tidak pernah merancang semuanya ini. Aku selalu mengingatkan diri aku bahawa menulis itu aku lakukan dalam hati yang tulus dan ikhlas. Hasilnya juga berbeza jika anda membaca karya tulisan aku.

Bacalah karya-karya yang telah aku garap kerana ia akan membuatkan hidup anda berubah dan terasa seperti berada di dalam cerita-cerita itu.

Buku Taman Botanikal Melaka aku garap dengan penuh perasaan. Aku bermain dengan segala keindahan flora dan fauna serta kehijauan dan keindahan alam ciptaan Illahi. Semuanya aku gambarkan dengan perkataan yang jika dibaca, anda akan terasa seperti sudah mengenali Taman Botanikal Melaka. Pelbagai foto berwarna warni diselang-selikan dengan tulisan aku membuatkan hati semakin dekat dengan taman dan segala yang ada di sekelilingnya. Datanglah melawat Taman Botanikal Melaka. Dapatkan senaskah buku Taman Botanikal Melaka sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Seperti kata pepatah, ilmu itu jika disebarkan, ia bukan sahaja berguna untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang di sekitar kita.

Semoga majlis perasmian esok berjalan lancar. Selamat Hanita.

Aku menulis.
9.07.08 - selamat hari jadi bidadariku Nur Adibah.

Wednesday, June 25, 2008

Sinopsis Haruskah Aku Berlari

Mengahwini insan yang mencintai anda adalah lebih baik daripada mengahwini orang yang dicintai, tetapi tidak pernah menghargai cinta anda. Namun begitu, janganlah anda membina mahligai perkahwinan itu atas dasar kasihan. Sebaliknya, binalah istana cinta berlandaskan cinta dan kasih sayang abadi yang polos dan mulus.

Haruskah Sofea Delaila, gadis yang terperangkap dalam cinta Zahrul yang memukaunya, berlari untuk mengejar cinta Zahrul yang tidak pasti atau melarikan diri dari dikejar oleh cinta Nasir yang abadi?

Ikutilah kisah selanjutnya dengan mendapatkan novel HARUSKAH AKU BERLARI untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Di dalam novel ini, banyak puisi-puisi cinta dan kasih sayang dicipta oleh penulis iaitu aku. Bagi mereka yang sedang bercinta, pasti akan tenggelam dalam emosi pabila membacanya. Kepada pembaca yang pernah membaca karya aku yang bertajuk Adli di Alam Fantasi - Misi Monyet Putih dan Menerobos Terowong Masa, cubalah baca HARUSKAH AKU BERLARI, anda akan masuk ke dalam dunia aku yang berbeza dari kisah-kisah fantasi yang pernah digarap sebelum ini.

Seorang penulis yang serba sempurna, haruslah tahu bagaimana hendak menulis mengikut genre yang berbeza dengan penggunaan bahasa yang berbeza mengikut kategori pembaca. Ini penting untuk mengasah kebolehan anda ketika menulis. Bagi penulis yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan, tidak kira genre apa yang hendak digarap, pastikan jalan ceritanya sesuai dengan khalayak pembaca. Jangan terlalu terikat dengan satu genre novel sahaja tetapi perbanyakkan. Anda pasti puas hati bila mendapatkan hasilnya.

Selamat membaca dan tulislah kerana anda ingin menulis. Untuk menghasilkan bahan bacaan kepada masyarakat di luar sana bukannya mudah. Jika anugerah itu telah ada dalam diri anda, teruskan usaha itu. Anda pasti berjaya.

Aku menulis
25.06.08

Tuesday, June 24, 2008

NOVEL TERBARU

HARUSKAH AKU BERLARI - HANITA HASSAN
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 2008

Dapatkan segera di pasaran.

Wednesday, June 18, 2008

AKU MENULIS KERANA AKU MAHU MENULIS

Novel-novel aku diterbitkan sebaik sahaja aku tamat urusan belajar aku di ITM (kini UiTM) penghujung 1994. Tahun 1995 aku mula menulis novel. Ketika itu, agak sukar mendapat pekerjaan. Aku bekerja sebagai wartawan sambilan di Melaka. Dalam masa yang sama, waktu lapang aku isi dengan menulis novel.

Cubaan pertama aku berjaya. Karya aku tidak dibuang begitu sahaja. Hasilnya novel pertama aku iaitu Diari Buat Rothman terbitan Melati Publisher diterbitkan tahun 1996. Ketika itu, wang bukannya faktor utama. Apa yang penting ialah melihat karya sendiri dalam bentuk buku. Pabila melihat novel pertama aku, timbul keinginan untuk membuat sebuah lagi novel. Dalam masa yang singkat aku dapat menyiapkan sebuah manuskrip dan menghantar ke sebuah syarikat penerbitan. Tanpa banyal soal, novel kedua aku diterima oleh Alaf 21. Walau bagaimanapun, aku diminta menambah beberapa bab. Tahun 1997, produk terbaru aku iaitu Hafiz Iskandar berada di pasaran. Aku makin bersemangat walaupun kutipan royalti masih tidak menampakkan kesan untuk menjadikan aku orang kaya.

Aku menulis lagi. Sempat aku menyiapkan manuskrip ketiga sebelum melangsungkan perkahwinan tahun 1998. Kali ini aku cuba menghantar ke penerbitan lain iaitu Rhytm. Tanpa banyak soal, karya aku diterima. Tahun 1999, karya aku bertajuk Lelaki Akukah Yang Terlewat mendapat perhatian. Aku tidak pernah menggunakan nama samaran. Nama Hanita Hassan terus digunakan sebagai cara untuk mempromosikan diri sendiri. Nasib aku mungkin baik berbanding penulis-penulis baru lain yang sering karya mereka ditongsampahkan. Selain menulis novel, aku meneruskan minat menulis sajak. Banyak sajak aku tersiar di majalah terutama Majalah Wanita dan di radio Melaka. Aku turut menulis skrip drama radio. Mungkin nasib sentiasa menyebelahi aku dan dengan mudah skrip drama aku disiarkan di Radio Melaka. Itu adalah percubaan pertama aku. Sajak aku Danial Al-Amin adalah antara sajak yang diterbitkan dalam Himpunan Buku Sumpah Setia Bahasa terbitan Rhytm dan Gapena tahun 1999. Selepas itu, aku mula menyepikan diri.

anak-anakku yang comel.Mereka sumber inspirasi aku untuk menulis semula.

Kesibukan berkeluarga, menimang cahayamata dan tugas sebagai Ketua Pengarang dan wartawan di akhbar Suara Melaka (akhbar tabloid kerajaan negeri Melaka) menidakkan aku untuk meneruskan usaha menulis. Tumpuan aku lebih kepada kerjaya masa hadapan. Aku mengambil keputusan menguruskan keluarga dan kerjaya. Aku yakin aku boleh menulis bila-bila masa. Aku mula membina kerjaya di negeri Hang Tuah.


Aku menulis
18.06.08

Tuesday, June 17, 2008

PENANTIAN


Penantian itu menyeksakan
Sudah puas aku menunggu
Sudah berabad rasanya
Kemaruk di jiwa
Namun saat dinanti
Masih tak kunjung tiba


Aku menulis
17.6.08

Friday, June 13, 2008

Haruskah Aku Berlari

Dapatkan di pasaran sebuah novel cinta remaja bertajuk Haruskah Aku Berlari!
Karya novel remaja terbaru 2008
Pengarang = Hanita Hassan
Penerbit = Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hasil jerit perih aku akhirnya selamat berada di pasaran setelah sekian hampir dua tahun aku menunggunya.

Dapatkan segera.

Thursday, June 12, 2008

BERSAMA PENULIS ADLI DI ALAM FANTASI




Pertama kali aku telah menerima jemputan menyertai Pesta Buku Melaka oleh pihak penerbit PTS Publication. Pesta itu diadakan bersempena ulang tahun ke-60 sebuah syarikat buku terbesar di negara kita.

Walau bagaimanapun, sambutan yang diterima agak menghampakan. Namun, aku menghargai jemputan itu sebagai antara pengalaman yang baru dalam diari hidup aku.

Monday, June 02, 2008

KUCING OH KIKO

Minggu kedua cuti sekolah baru sahaja bermula. Hari ini Isnin. Anak-anak di rumah menghabiskan cuti mereka. Aku seperti biasa bersiap seawal pagi pergi ke tempat kerja. Esok hari terakhir aku bekerja. Rabu aku mula bercuti bersama anak-anak. Yahoo...

Hari Sabtu lepas,kenduri arwah emak dan kenduri kesyukuran bapa saudara yang telah pencen April lalu setelah 32 berkhidmat dalam bidang perguruan. Selamat menjalani kehidupan sebagai YB (Yang Bersara). Meskipun tidak ramai saudara mara dan adik beradik aku yang dapat hadir, kenduri itu dapat dijalankan dengan lancar.

Dalam kesibukan mengadakan kenduri, tiba-tiba keluarga aku dikejutkan dengan berita kehilangan KIKO, seekor kucing berbulu gebu berwarna kelabu. Kakak aku, suami dan anak-anak dia sibuk mencari kucing yang hilang itu. Kerisauan itu berlanjutan sehingga ke petang. Keluarga kakak aku langsung tidak menjamah makanan kenduri akibat risau. Ini bukan pertama kali KIKO dibawa pulang dari Seremban ke Melaka (Bukit Piatu). Sudah beberapa kali KIKO ke Melaka tetapi hendak dijadikan cerita, kucing itu hilang pulak.


Tragedi oh tragedi...Kakak aku yang sulung dan suaminya tidak kurang risaunya akibat kehilangan kucing itu. Selepas selesai kenduri dan saudara mara telah pulang, suami kakak aku dan anak lelakinya telah berjumpa dengan kawannya menilik ke mana kucing KIKO tu pergi??? Tidak sangka pula sampai ke tahap itu. Maklumlah, kakak sulung aku tu memang prihatin. Kata kawannya, kucing itu mungkin telah disimpan oleh budak-budak yang terjumpa dengannya. Mungkin selepas beberapa hari atau seminggu barulah kucing itu akan dijumpai. Mendengarkan itu, kakak aku yang kehilangan KIKO bertambah risau.

Nak dijadikan cerita, petang itu, sebelum maghrib menjelang, suami aku menggoncang-goncangkan makanan kucing di dalam bekas untuk memanggil kucing-kucing di rumah aku makan malam. Kebetulan aku dan suami memang membela kucing. Rasanya ada lebih kurang enam ekor kucing kecil dan lima ekor kucing dewasa. Mendengarkan itu, kucing-kucing aku terus datang mengejar makanan yang diberikan oleh suamiku. Itu sebagai tanda kami panggil kucing makan. Kadangkala kucing yang tak berkenaan pun datang sama.

Kakak aku melihat itu, terus terfikir membuat perkara yang sama kepada KIKO. Akhirnya dia berjumpa juga dengan KIKO di atas bukit di dalam semak samun di belakang rumah Mak Mertua adik aku. Sanggup dia anak beranak meredah semak samun dan tidak menghiraukan hal-hal lain kecuali untuk mendapatkan KIKO.

Sehari suntuk dia tidak menghiraukan kenduri, tidak makan disebabkan seekor kucing. Kata kakak aku, apa agaknya yang akan terjadi jika kita kehilangan anak. Baru kucing hilang dah tak tentu hala. Malam itu barulah dia dapat makan dengan seleranya.

Ironinya ialah sedangkan binatang kesayangan kita, dibela bagaikan menatang minyak yang penuh, inikan pula kaum keluarga kita terutama orang tua kita. Sejak kecil mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Apabila kita dewasa, sudah berkeluarga, kita tinggalkan sahaja mereka, tidak datang menjenguk dan membiarkan mereka dengan kehidupan mereka sendiri. Entah makan atau tidak, entah sihat atau tidak, entah rindukan kita agaknya??? Hanya dia sahaja yang tahu. Agaknya terguris perasaan ibu atau bapa jika melihat anak sendiri lebih sayangkan binatang peliharaannya dari bapa sendiri.

Aku percaya dan penuh yakin bahawa dalam dunia hari ini, semuanya dibayar tunai oleh Allah SWT. Jadi kita harus muhasabah diri dan sentiasa luangkan sedikit waktu untuk bersama kedua ibu dan bapa kita. Jika tidak dapat menjenguk, tanyalah khabar melalui telefon. Seperti kata pepatah apabila orang yang kita sayang telah tiada, tidak guna lagi kita tangisi pemergiannya mereka.

Semoga kita semua menjadi anak yang mengambil berat hal ibu bapa kita.

Thursday, May 22, 2008

MENULIS

Aku terasa hendak menulis pagi ini setelah lama tidak menjengok blog ini. Menulis rasanya macam sudah sebati dalam jiwa aku. Selepas satu projek menulis, ke projek seterusnya dan ia ibarat rencah dalam makanan. Tidak menulis terasa ada yang tidak kena dengan diri ini. Jadi jika ada sedikit kelapangan, aku lawatlah ke blog ini untuk mula menulis semula. Namun, aku cuba mengawal keadaan agar tidak terlalu leka menulis di blog sedangkan novel yang berlambak tidak aku siapkan masih kejap di dalam komputer riba aku. Tunggu masa untuk dilaksanakan...bila hanya Allah yang maha mengetahui.

Rasanya amat rugi jika seseorang penulis tidak menulis secara sistematik dan memastikan satu atau dua novel ataupun apa sahaja genre penulisannya dapat diterbitkan setiap tahun sedangkan dia punya banyak idea untuk dikongsi bersama umum.

Di pejabat aku menulis, aku menyemak buku-buku berbentuk am dan lebih ilmiah di samping menguruskan projek seminar, bengkel dan sebagainya. Di rumah, aku menulis juga tetapi dalam genre yang berbeza. Bila aku mula menulis novel cerita fantasi dalam siri ADLI DI ALAM FANTASI - MISI MONYET PUTIH, ADLI DI ALAM FANTASI - MENEROBOS TEROWONG MASA dan yang terbaru ADLI DI ALAM FANTASI - .....tunggu kehadirannya lewat penghujung tahun ini, aku terasa ia sesuatu yang amat luar biasa.

Cara aku menulis mungkin berbeza dengan penulis di luar sana. Aku boleh menyiapkan novel setebal 300 helaian dalam waktu dua minggu. Jika aku terdesak untuk terpaksa mengikut jarak waktu yang telah ditetapkan, aku boleh menyiapkannya. Mungkin hasilnya tidak sebagus penulis yang menulis sehingga bertahun-tahun lamanya. Setiap orang ada persepsi masing-masing. Ada stail masing-masing. Bagaimana cara hendak melaksanakannya, hanya penulis itu sendiri yang tahu. Walau bagaimanapun, jangan menyimpan terlalu lama manuskrip anda. Bimbang nanti ia tidak sesuai untuk diterbitkan. Penggunaan tarikh dan masa atau tahun di dalam manuskrip anda mungkin menyebabkan ia harus ditukar setiap kali ia bertukar tahun.

Nasihat saya, jika penulis hendak menulis, tulislah sesuatu yang boleh dibaca pada bila-bila masa walau seribu tahun akan datang. Meskipun manuskrip itu dihasilkan pada tahun 1998, dan diterbitkan pada tahun 2005, namun ia masih sesuai dibaca dan digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat hari ini iaitu tahun 2008. Isu-isu yang digarap tidak perlu isu besar tetapi ia mencakupi keadaan kehidupan sesebuah masyarakat yang tidak mungkin berubah walaupun ditelan zaman.

Selamat menulis.

Haruskah Aku Berlari. Nantikan kemunculannya.

Monday, May 12, 2008

NOVEL TERBARU

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan menulis, akhirnya sebuah lagi novel kanak-kanak dapat aku siapkan. Novel dalam siri ADLI DI ALAM FANTASI untuk Siri Ketiga ini penuh dengan aksi pertarungan. Aku sepatutnya telah menyiapkannya lebih awal. Namun kita merancang, hanya DIA sahaja yang lebih mengetahui

Bukan mudah untuk menulis dalam keadaan aku yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja penyelidikan, penulisan, sebagai Editor dan Perhubungan Awam. Kesemua kerja-kerja itu memerlukan aku menggunakan kepakaran dalam bidang penulisan. Apabila sepanjang hari berfikir dan menulis, sudah tentu natijahnya otak semakin penat. Itulah cabaran yang harus aku hadapai.

Pulang ke rumah, aku sering berjanji dengan diri sendiri untuk menyelesaikan novel-novel aku yang banyak terbengkalai. Namun setiap kali itulah, janji akan tetap tinggi janji.

Di rumah, aku harus menguruskan empat orang cahayahatiku. Selepas selesai semuanya, kadang waktu aku terlelap. Bunyi alarm juga tidak aku sedari. Bangun pagi, harus memasak untuk anak-anak dan suami sebelum ke tempat kerja. Namun semuanya aku lakukan tanpa sebarang rungutan. Itulah tanggungjawab wajib yang harus aku tunaikan.

Menulis juga adalah tanggungjawab yang harus aku lakukan untuk diriku sendiri. Nasib baik tidak pernah aku dihalang oleh suami. Malah mendapat galakkan. Sejak anak-anak semakin dewasa, boleh berdikari, aku terasa bahawa aku harus meningkatkan usaha menulis. Ada beberapa novel di dalam simpanan yang tidak sempat aku tamatkan. Jika mahu difikirkan, banyak benda yang aku ingin lakukan, tetapi aku hanyalah manusia biasa.

Kepada semua penulis di luar sana, tulislah sebanyak mana sekalipun. Tulislah kerana kamu mahu menulis. Tulislah bukan kerana siapa-siapa. Tetapi untuk diri kamu sendiri.

Friday, April 18, 2008

PROMOSI TEATER DI MELAKA FM

Aku bersama-sama Penolong Pengarah dan tiga pelakon utama telah ditemuramah di Radio Melaka FM pada 16 April 2008 dalam Rancangan Secawan Kopi. Sebaran berita tentang teater kanak-kanak muzikal pertama di Melaka semakin rancak dilaksanakan. Pamplet, poster, jemputan dan sebagainya telah mula diedar dan ditampal serta digantung di Pusat Membeli-belah, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dan banyak lagi.

Saya berharap usaha dan kerja keras seluruh produksi Teater Hikayat Luqmanul Hakim:Ratu Jengking dan Daun Seribu Nyawa mendapat tempat di hati para peminat dan penonton teater di negeri Melaka Bersejarah ini.

Salah seorang pelakon yg memegang watak Tok Kala (Rizal Fakhlifi) adalah pelajar Universiti Multimedia berasal dari Kalimantan. Tok Kala adalah jengking yang telah lanjut usia. Bongkok tua, berperwatakan jahat serta menakutkan. Dia sentiasa bersama tongkat, batu hikmat dan geluk tilik. Anda pasti terpesona dengan watak Tok Kala.

Pelakon utama yang memegang watak sebagai Lukmanul Hakim: adik Muhammad Akmal Ramadan berusia 11 tahun amat petah menghafal skrip dan menghayati setiap lakonannya dengan baik serta berkesan. Babak Lukman dimarah oleh ibu tirinya Asyar lakonan Suziyanti Waid begitu berkesan sehingga jika penonton melihatnya pasti mengalir air mata.

Puak jengking dan beluncas pula adalah dua puak serangga yang sering berbalah di dalam hutan Buana Sari. Busana pelakon berwarna-warni dan pasti memikat penonton cilik.

Datanglah beramai-ramai. Masuk percuma. Waktu tayang pada 18 - 20 April 2008 adalah jam 8.30 malam. Tayangan tambahan pada 19 dan 20 April 2008 adalah pada jam 2.30 petang.

Selamat menonton dan masuk ke dunia fantasi Lukman.

Tuesday, April 15, 2008

Majlis Pra Pelancaran Teater Luqmanul Hakim







Majlis pra pelancaran Teater Hikayat Luqmanul Hakim: Ratu Jengking dan Daun Seribu Nyawa telah disempurnakan oleh Y.B Datuk Seet Har Cheow, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Melaka. Turut hadir ialah Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Datuk Haji Mohd Said Yusof, Timbalan Pengerusi IKSEP, Datuk Dr Haji Mohd Jamil Mukmin, Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Datuk Profesor Dr Abd Latiff Bakar dan Pengarah DBPWS, En Abd Nasir.

Upacara pra pelancaran telah diadakan di Kompleks Melaka Mall disaksikan lebih 300 penonton yang berlegar di sekitar pusat membeli-belah itu.

Datanglah beramai-ramai menyaksikan fantasi seorang budak miskin bernama LUKMANUL HAKIM bersama kumpulan serangga iaitu beluncas menentang Ratu Jengking dan pengikutnya yang ganas. Teater ini menampilkan Pengarah Ahmad Khusyairi Mohd Ali dan pelakon-pelakon yang merupakan pelajar-pelajar Universiti Multimedia Melaka dan belia-belia dari Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri, Melaka.

Kombinasi kesemua pelakon dengan iringan muzik sejak awal hingga akhir pasti membuatkan penonton tidak mahu meninggalkan panggung menyaksikan teater kanak-kanak yang julung kali bakal diadakan di negeri Hang Tuah ini.

Datanglah beramai-ramai kerana MASUK ADALAH PERCUMA. Lima tayangan bakal dipersembahkan iaitu dari 18 - 20 April 2008.

18 April 2008 - 8.30 malam
19 April 2008 - 2.30 petang & 8.30 malam
20 April 2008 - 2.30 petang & 8.30 malam

Monday, April 14, 2008

TEATER MUZIKAL LUQMANUL HAKIM: RATU JENGKING DAN DAUN SERIBU NYAWA

Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) akan mempersembahkan sebuah teater muzikal kanak-kanak bertajuk Hikayat Luqmanul Hakim: Ratu Jengking dan Daun Seribu Nyawa.

Teater anjuran Kerajaan Negeri Melaka diselenggarakan oleh IKSEP adalah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Negeri Melaka dan Multimedia Arts and Theatre Club (MATA), Universiti Multimedia Melaka, Bahagian Sahabat Belia, Majlis Bandaraya Bersejarah Melaka dan Oren Arts and Theatre Studio akan dipersembahkan kepada umum pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:


Tarikh : 18, 19 & 20 April 2008
Masa : 8.30 Malam - Tayangan Umum

: 19 & 20 April 2008
: 2.30 Petang – Matinee Show

Tempat : Taman Budaya, Ayer Keroh, Melaka
Tetamu Jemputan : Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Ketua Menteri Melaka

Teater ini mengisahkan pengembaraan seorang anak yatim piatu bernama Luqman. Luqman menjadi yatim piatu semenjak kematian ayahnya dalam satu malapetaka dan sejak itu dia dipelihara dan dilayan seperti hamba oleh ibu tirinya. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayahnya telah menghadiahkan sebuah seruling sebagai kenang-kenangan dan seruling itulah yang menjadi peneman di kala duka Si Luqman. Akibat daripada penderaan dan layanan buruk oleh ibu tiri dan adik tirinya, Luqman membawa diri dan bermulalah pengembaraannya hinggalah dia tiba ke suatu dunia fantasi serangga di mana satu pengalaman hebat bakal ditempuhinya.
Di dalam dunia fantasi serangga itu, Ratu Jengking merupakan ketua bagi segala serangga. Ratu Jengking adalah pemerintah yang sangat zalim dan kejam. Beliau selalu menindas puak-puak serangga yang lemah dan membunuh serangga-serangga lain yang ingkar akan arahannya sewenang-wenangnya. Pada satu pesta keraian, Tok Kala, Tukang Tilik Ratu Jengking telah memberitakan kepada Ratu Jengking akan wujudnya Daun Seribu Nyawa yang mampu mengekalkan hayat yang disimpan secara rahsia oleh puak beluncas. Ini menimbulkan kemurkaan Ratu Jengking lalu memerintahkan agar panglima-panglimanya menyerang dan merampas Daun Seribu Nyawa itu.
Di dalam pengembaraan Si Luqman, beliau bertemu dengan segerembolan ulat beluncas. Rupa-rupanya seruling ajaib milik Luqman mempunyai kuasa hikmat pelbagai guna membolehkan dia berkomunikasi dengan serangga-serangga yang tinggal di dalam dunia fantasi itu. Berceritalah si Luqman akan kisahnya yang ditindas oleh ibu tirinya yang amat kejam. Pada ketika itu jugalah, angkatan panglima Ratu Jenking bertindak menyerang gerombolan beluncas yang akhirnya mengorbankan beberapa pengikut Raja Beluncas. Daun Seribu Nyawa telah bertukar milik setelah Panglima Ratu Jengking beroleh kejayaan merampas kotak simpanan daun itu.
Si Luqman dan gerembolan beluncas yang terselamat daripada serangan puak Jengking itu berasa amat sedih. Mereka telah berpakat dan berjanji untuk menuntut keadilan di atas kekejaman Ratu Jengking. Si Luqman telah mendapat buah fikiran yang bijak bagaimana hendak menundukkan Ratu Jengking dan puaknya.
Sepurnama berlalu, kini tibalah malam upacara santapan Daun Seribu Nyawa oleh Ratu Jenking yang amat zalim itu. Pada ketika itulah, sekumpulan beluncas diketuai oleh Raja Beluncas datang mengadap Ratu Jengking. Bukan kepalang terkejutnya Ratu Jengking di atas keberanian Raja Beluncas dan pengikutnya datang mengadap setelah kejadian tempoh hari. Raja Beluncas dengan pantas memberitakan akan kedatangan mereka adalah untuk bersama-sama meraikan upacara santapan Daun Seribu Nyawa dan sebagai tanda mengakui kebesaran dan keagungan Ratu Jengking.
Raja Beluncas dan pengikutnya turut membawa sembah satu hadiah berupa kepompong rama-rama yang diwar-warkan sebagai bakal sang rerama yang paling cantik dalam koloni serangga itu untuk dijadikan dayang diraja. Apakah muslihat dan perancangan Luqmanul Hakim dan Raja Beluncas serta pengikut-pengikutnya sebenarnya? Dapatkah dia menundukkan Ratu Jengking dan merampas kembali Daun Seribu Nyawa seterusnya menuntut bela di atas kematian puak beluncas?

Datanglah beramai-ramai. MASUK ADALAH PERCUMA.

Wednesday, April 09, 2008

PULAU BINTAN YANG KUTINGGALKAN

Pulau Bintan
Tidak sekalipun kita pernah bersua
Tidak sekalipun pernah terfikir di benakku
Memijak tanahmu bumi sejarah
Raja Ali Haji tempat bersemayam

Lalu semalam
Pabila kakiku melangkah pergi
Tinggalkan bumi permaimu
Tinggalkan sebuah kenangan
Lantai enam lantai tiga
Ada hati yang gembira
Ada hati yang duka

Air lautmu membiru
Ombak putihmu masih di situ
Memukul pantai
Nyaman udaramu masih di situ
Meski ramai datang dan pergi
Engkau masih kejap di situ bertahan

Sebuah bumi bertuah
Kekal tersemat di dalam hatiku
Ada kenangan indah
Bawa bekal pulang
Ada kenangan indah
Untuk aku lakarkan
Sebuah cerita sebuah kisah
Jadi memori terindah
Dalam sebuah kehidupan


Hanita Hassan
Pulau Bintan – 8 April 2008

Tuesday, April 01, 2008

SEMANGAT SEORANG AKU

Apabila keinginan untuk menulis itu terjadi secara semulajadi di dalam diri aku, tidak pernah sekelumit pun rasa bosan atau marah sekiranya hasil karyaku tidak dapat diterbitkan tepat pada waktu yang dijanji. Itu aku tujukan kepada Novel Kanak-Kanak pertama tulisan aku yang diterbitkan oleh penerbit tersohor di Malaysia iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Meskipun segala surat-menyurat serta perjanjian telah diterima sejak tahun 1998, namun ia hanya dapat diterbitkan dan berada di pasaran sekitar 2005. Masalah itu berlaku kepada semua penulis. Meskipun ia telah disuarakan, namun aku pasti masalah itu akan kekal begitu.

Itulah natijahnya perjuangan seorang penulis kecil seperti aku yang tidak pernah mengharapkan apa-apa. Bayaran royalti dari hasil tulisan itu hanyalah sekadar satu imbuhan dari usaha aku untuk menjadikan sesebuah karya itu satu kenyataan. Mungkin kerana aku sudah punya jawatan dan gaji yang lumayan? Itu bukan persoalannya. Aku dilahirkan untuk menulis. Aku tidak pernah hampa setiap kali menghantar karya untuk diterbitkan. Seingat aku, cuma sekali sahaja, karya atau manuskrip aku dipulangkan semula. Itupun kerana syarikat penerbitan itu tidak menerbitkan karya kanak-kanak.

Aku yakin dengan apa yang aku buat. Aku menulis sesuatu yang relevan dan boleh dibaca sepanjang zaman. Itulah aku.

Blog ini telah tidak aku tulis sekian lama akibat terlalu sibuk menulis blog lain menggunakan bahasa yang berbeza dari bahasa ibundaku sendiri. Aku tidak cuba meninggi diri dengan menggunakan bahasa keduaku itu, namun di sebalik kecekapan aku menggunakan bahasa itu membuatkan aku menjadi semakin kreatif dan pandai dalam banyak perkara yang dahulunya aku tidak pernah sedar.

Selamat mencuba untuk menulis. Sekiranya anda ingin menulis, tulislah dengan hati yang ikhlas. Tulislah kerana anda mahu menulis bukan kerana imbuhan yang bakal anda terima.

Monday, March 31, 2008

TEROKA ALAM, DALAMI MISTERI





Buku
Tajuk: Lima Sekawan Di Bukit Botak
Penulis: Hanita Hassan
Penerbit: Dewan Bahasa & Pustaka
Sasaran: Murid darjah tiga

APA agaknya aktiviti yang adik-adik lakukan semasa cuti sekolah minggu lalu?
Mamat dan rakan-rakannya seperti Farid dan Rashid memilih untuk meneroka hutan belantara di Bukit Botak.

Kegiatan mesra alam itu memang seronok.

Sayangnya, keseronokan itu bertukar menjadi satu peristiwa yang membahayakan diri apabila mereka bertemu dengan sekumpulan penyeludup kayu balak.

Berjayakah Mamat dan rakan-rakannya menumpaskan kegiatan penyeludupan itu?
Novel kanak-kanak tulisan Hanita Hassan ini diterbitkan Dewan Bahasa & Pustaka dalam 1998.

Sedekad telah berlalu, namun isu moral, semangat gotong-royong dan setia kepada rakan yang dipaparkan tetap relevan hingga ke hari ini.

Ia menunjukkan bahawa kanak-kanak daripada latar belakang yang berbeza boleh berkawan akrab dan bergantung antara satu dengan lain.

Nota: Buku ini boleh dipinjam di Central Lending Library, Lembaga Perpustakaan Negara.

Thursday, February 28, 2008

ADLI DI ALAM FANTASI 3

Xendolia menyaksikan segalanya
Bertarung sehabis kuasa
Bertarung untuk sebuah tahta
Benua agung bumi makmur
Laut Rhu sebagai saksi
100 tahun penyelamat alam

Tiada kesedihan
Tiada kesengsaraan
Tidak juga kekesalan
Demi semangat sebuah negara
Sanggup berkorban apa sahaja