Tuesday, September 29, 2009

Selamat Hari Lahir



Maaf anakku kerana tidak sempat untuk kami menyambut kegembiraan hari lahirmu yang kelapan semalam. Ibarat kata pepatah segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Doa kami untukmu agar sentiasa dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur serta dipermudahkan perjalanan hidupmu di dunia mahupun di akhirat kelak.


Untukmu abah,
Semoga cepat sembuh

Pepohon hijau yang dahulu rimbun
Lebat buahnya menjadi santapan
Kini semakin luruh hijau dedaun
Tinggal reranting penuh harapan

Ku renung seraut wajah nan sayu
Ku tatap bola matanya nan polos
Pilu sungguh perasaan hati ku
Mahu sahaja ku bantu penuh tulus

Kuusap rambutnya penuh makna
Ada getar dalam detak nafasku
Rindu dan sayang amat bermakna
Untuk dia abah ku yang satu

Ada rindu dalam matanya
Mengenang isteri jauh di mata

Sunday, September 27, 2009

SEMINGGU BERHARI RAYA

Kemboja gugur satu persatu
Melatari kawasan perkuburan
Langkah ku hayun satu persatu
Lalu kukarang puisi tanda ingatan

Salam Aidilfitri buatmu ibu
Salam dari kami untukmu tersayang
Lama sungguh tidak ketemu
Wajahmu indah terkenang-kenang

Wahai ibuku yang tercinta
Usah risau usah gundah
Kami semua sudah bersama
Teratak tua semakin indah

Cahaya terang mula menyinar
Cahaya suram semakin menghilang

Salam Aidilfitri.





Terasa masa pantasnya bergerak. Pejam celik, sudah hari kelapan kita berhari raya. Tahun ini terasa cepatnya masa berlalu atas kesibukan saya sekeluarga mengunjungi sanak dan taulan. Kalau tidak ke rumah saudara mara, sudah tentu kesibukan beraleh kepada hal-hal bisnis.

MBU 6729 sudah menjadi milik saya sekeluarga sejak petang hari raya kelima. Jika dihitung, sudah dua hari saya menggunakan khidmatnya. Syukur kepada Allah atas segala kurnia-NYA.

Mahu menulis dan berkongsi kisah gembira sejak di malam raya, namun rasanya bagaikan tidak cukup waktu. Hari Raya ini amat bermakna kerana semua adik beradik dapat berkumpul beramai-ramai tidak seperti hari raya yang lalu. Alhamdulillah segala dugaan dan cabaran yang diberikan Allah telah dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Dalam kegembiraan ini, saya terpandangkan wajah mak yang tersenyum dari jauh ditemani nenek. Moga roh mak dan nenek sentiass berada bersama-sama orang yang beriman.

Sayang sungguh kerana tidak menulis sejak seminggu lalu. Namun akan saya cuba berkongsi segala kegembiraan itu dari masa ke semasa. Novel terbaru akan keluar seawal penghujung tahun ini. Novel Sejarah akan saya sambung penulisannya yang tersangkut sejak berbulan-bulan lalu. Dua buah buku ilmiah sedang disiapkan dan hati ini berdebar-debar mahu membahagikan setiap inci waktu yang diberikan Allah itu. Bisnis keluarga berjalan lancar dan juga perlukan perhatian. Alhamdulillah, anak-anak sentiasa membantu dan memahami.

Arus perubahan yang melanda hidup saya sekeluarga telah merubah hampir 360 darjah kehidupan lalu dan hari ini. Moga arus deras itu tidak tersangkut di celah-celah batu sebelum semuanya bergerak dengan lancar. Amin.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Thursday, September 17, 2009

PENGHUJUNG PUASA

Lewat petang itu, mahu sahaja aku meloncat meraikan kegembiraan yang sedang berlaku dalam hidupku. Ah...nanti apa pula kata mata yang memandang. Kulupakan niat itu seketika dan fokus kepada semua yang kulakukan sepanjang hari tadi. Semuanya seperti magic dan laksana petir yang memancar. Hari Raya ini adalah hari raya yang cukup indah buat aku, suami dan anak-anak. Aku tersenyum dan menggenggam erat tangan suami dan kami benar-benar bersyukur atas anugerah Allah itu.

Puasa sudah sampai hari ke-27. Seakan masa itu terlalu pantas berlalu untuk aku lepaskan Ramadhan kali ini yang cukup bermakna. Atas segala macam tugas hakiki di pejabat, aku masih diberikan ruang dan masa yang cukup untuk melaksanakan aktiviti dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Aku terasa bagaikan tidak cukup waktu yang ada untuk membantu mereka. Alhamdulillah Ramadhan kali ini aku sekeluarga dapat membantu anak-anak yang benar-benar memerlukan bantuan.

Aku sentiasa berdoa agar apa yang kulakukan bersama suami akan berterusan malah dilipatgandakan setiap tahun usaha kami.

Persiapan Hari Raya masih belum sempurna. Banyak perkara yang harus kulakukan sebelum menjelang pagi raya. Tahun ini terasa mahu berhari raya sebulan kerana ada tekad dan azam baru untuk menziarah semua sanak dan taulan dan mengeratkan hubungan yang terputus sekian lama.

Salam Aidilfitri untuk rakan penulis. Untuk tips ketika Hari Raya, banyak rakan taulan yang akan anda termui ketika musim perayaan begini. Sudah pasti banyak cerita dan idea baru boleh muncul. Maka gunakanlah kesempatan berhari raya untuk menulis karya baru dan bertemu watak baru untuk sebuah cerpen, novel atau puisi baru sempena hari raya.

Selamat berkarya.

Wednesday, September 09, 2009

MENERIMA SESUATU



Sebuah perjalanan lelahku sudah mula membuahkan hasil yang amat mengujakan. Perlahan-lahan aku melelapkan mataku melayan fikiran yang menerawang jauh mengenangkan setiap detik kepayahan yang telah kutinggalkan jejaknya di belakang.

"Ah...semua beban yang menyelubungi diri dan keluarga semakin menampakkan keberhasilan atas kesabaran yang aku sendiri lakukan sekian lama." Sesekali hela nafas yang ku hembus perlahan dapat kurasai kehangatannya. Aku melihat ke sekelilingku sambil tersenyum puas. Esok dan hari-hari seterusnya adalah hari bahagia kerana cahaya gelap itu sudah mula pudar dan cahaya terang mulai menyinari setiap inci ruang hidupku.

Mahu sahaja kukatakan pada mak bahawa segala kejayaan ini adalah atas keyakinannya dan atas usahanya mendidik aku sehingga menggapai ke puncak yang tertinggi ini. Kalau sahaja dia masih ada, sudah tentu dia juga segembira aku atas kejayaan aku hari ini. Tiba-tiba air mataku mengalir tanpa kutahan-tahan. Mahu sahaja kubiarkan tetapi bimbang ada yang memerhati. Ku kesat air yang membasahi pipi sedangkan hati di dalam masih lagi sebak. Mahu sahaja kukhabarkan kepada sang burung, sang pepohon yang melatari perkuburan mak dan segala-gala isi alam yang bersama-sama mak ketika ini, agar memberitahu mak bahawa anak mak sedang meniti sebuah kejayaan dan kebahagiaan.

Hidup ini amatlah singkat. Nikmatilah ia selagi termampu. Buatlah sesuatu bagaikan akan hidup beribu tahun lagi dan beramallah seakan esok ajal akan menjemputmu.

Salam Aidilfitri. Moga teman-teman penulis sentiasa menulis dan terus berkarya. Lakarkan sesuatu di atas kertas dan mulakan imaginasi anda kerana jika karya-karya ini tidak dihasilkan oleh kita, siapalah lagi yang lebih layak untuk menghasilkannya. Kuatkan semangat, cekalkan hati. Pasti kejayaan berada di puncak.

Tuesday, September 01, 2009

Sesuatu Telah Berlaku dan Sedang Berlaku




"Cuaca diramalkan hujan esok pagi." Itu kata seorang kawan yang baharu sahaja aku kenal kurang dari sebulan. Sama ada aku mahu mempercayai apa yang dikatakan olehnya, itu terpulang kepada aku. Jika tidak benar sekalipun, apa salahnya aku membawa bersama baju hujan atau payung di dalam kereta. Tidak salah sama sekali. Jika hujan, aku terselamat dari basah sebab sudah bersedia. Jika tidak hujan, tak rugi pun aku.

Begitulah dalam hidup kita. Apabila kita bertemu dengan sesuatu yang boleh mengubah kehidupan kita, tidak salah jika kita mencuba apabila sudah terbukti ramai telah berjaya hari ini. Aku terasa beban besar yang duduk di atas kepalaku semakin ringan sejak 15 Ogos 2009 yang lalu bila aku memulakan sesuatu yang baharu dalam hidupku.

Impian mengekalkan hasrat menjadi seorang penulis billionaire masih kejap dalam mindaku. Tidak berganjak walau seinci pun. Bagaimana untuk aku menggapai impian itu, hanya Allah sahaja yang maha mengetahuinya. Itu bukannya kerja aku. Namun jika minda kita sering mengucapkan perkataan itu, sudah barang pasti, tidak mustahil hasrat itu akan menjadi kenyataan.

Dalam aku melaksanakan sesuatu dalam kehidupan harian, aku pasti, aku perlu meletakkan sepenuh keyakinan dalam apa sahaja yang aku lakukan. Jika masih ada perasaan sangsi atau ragu-ragu dengan kebolehan diri sendiri, jangan bermimpilah untuk menggapai impian menjadi yang terbaik. Apa pun, segala yang aku lakukan hari ini adalah bertitik mula dari dalam diri aku sendiri. Jika aku mahu menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan kejayaan hari ini lebih cemerlang dari kejayaan semalam, sudah pasti apa sahaja yang mahu aku lakukan, aku harus memastikan kejayaan hari ini adalah kejayaan yang luar biasa hebatnya dari semalam.

Aku masih ingat lagi ketika tokoh motivasi popular Malaysia, saudara H.M Tuah menyampaikan ceramahnya pada salah satu seminar yang pernah aku uruskan sebulan yang lalu di salah sebuah hotel terkemuka di Melaka. "Jika kita mahu menjadi seorang yang hebat, kita hendaklah berfikir dan melihat sesuatu dari sudut yang lebih berbeza dari sudut pandangan orang biasa."

Ah...tapi ramai orang yang lebih selesa dengan kehidupan yang mereka ada hari ini. Tidak peduli dengan hal-hal lain tetapi cuma pentingkan diri sendiri. Jika kejayaan yang bakal aku kecapi nanti boleh membantu orang lain yang memerlukannya, apa salahnya untuk aku mencapai impian menjadi seorang jutawan. Aku bukan sahaja dapat mengkayakan diri sendiri dan keluarga, tetapi dapat membantu orang susah yang memerlukan.

Suara sindiran untuk bergelar jutawan itu sudah acapkali aku dengar dan suara-suara sumbang itu mungkin menilai aku sudah tidak siuman. Ah...pada aku peduli apa dengan suara-suara sumbang itu. Apa yang penting aku punya keyakinan diri dan mahu terus berjaya.

Kepada para penulis di luar sana yang sering berfikir bahawa seorang penulis di Malaysia tidak boleh kaya raya, itu adalah fikiran jahat yang tidak akan mengkayakan anda semua. Percayalah, sekali kita berkata tidak...segala yang anda lakukan sudah pasti tidak akan mencapai kejayaan.

Jadi mulai hari ini, kepada semua penulis, tanamlah dalam diri anda bahawa penulis di Malaysia juga boleh menjadi jutawan. Selamat berkarya. Menulislah sepanjang hayat kerana jika kita tidak menulis untuk generasi hari ini, mana mungkin generasi akan datang dapat menikmati naskah-naskah bernilai untuk dibaca dan dijadikan panduan.

Saturday, August 22, 2009

Wajah Ramadhan




Sudah enam tahun mak meninggalkan kami dan Ramadhan ini adalah Ramadhan ke tujuh berpuasa tanpa mak. Ah…terasa begitu kehilangan mak. Melihat wajah abah yang sugul, sudah tentu kenangan mak telah kembali menerawang ke dalam fikirannya. Kasihan sekali. Aku dan adik beradik cuba sedaya upaya untuk menggembirakan hati abah. Cuma apa yang tersirat di dalam hatinya, hanya abah sahaja yang tahu.

Kawasan perkarangan rumah sudah kembali sibuk. Seawal jam tujuh pagi, beberapa orang pekerja yang diupah memasak bubur lambuk, makanan wajib yang dimasak untuk diagihkan percuma kepada seluruh penduduk kampung dan kawasan sekitarnya sudah mula menyediakan bahan dan memasak. Meskipun mak tiada lagi, aktiviti Ramadhan di rumah masih berjalan seperti biasa.

Sudah tentu petang nanti, berduyun-duyun peminat bubur lambuk beratur di perkarangan rumahku. Kemeriahan makin terasa bila bau aroma bubur yang dimasak menusuk ke deria bauku. Anak-anak entah ke mana menghilang. Mungkin di hadapan rumah menyaksikan persiapan memasak bubur lambuk. Petang nanti aku berhajat untuk berbuka bersama ibu mertua di kampung suami.

Ramadhan kali ini ada harapan baru untuk sebuah perjalanan yang baharu dalam hidupku sekeluarga.

Monday, August 17, 2009

Perjuangan Baharu Bermula




Tenang sungguh air laut meskipun ombak silih berganti. Laut dan pantai memang menjadi kegilaan aku. Kegemaranku itu diterapkan kepada suami dan anak-anak. Maka setiap kali waktu berlibur tiba, sudah tentu pantai akan menjadi pilihan utama. Anak-anak begitu riang bermain di gigi air. Menyaksikan kegembiraan mereka, hatiku turut merasa puas meskipun ketika itu hatiku sedang memikirkan tentang peluang yang sedang menanti di hadapan mataku ini. Jika dicongak dengan tangan, aku baharu diperkenalkan dengan perniagaan itu

"Mahu atau tak mahu? Mahu atau tak mahu?" perkataan itu asyik mengganggu mindaku meski ketika itu aku, suami dan anak-anak sedang menikmati suasana indah Pantai Tanjung Bidara. Anak-anak bermain seolah-olah tidak ada sesuatu pun yang boleh merosakkan alam permainan mereka. Aku dan suami membiarkan anak-anak dengan dunia mereka. Aku juga mahu masuk ke dalam dunia ku sendiri sambil menikmati keindahan segala isi alam di pantai tersebut. Terkadang, aku seakan mahu sang burung, sang camar atau sang ketam yang terkedik-kedik berlari-lari di pasir nan putih, datang membisikkan keputusan itu ke dalam mindaku.

"Ah...semua itu tidak mungkin berlaku?" Khayalanku berkata-kata. Tetapi yang nyata, aku harus segera berlari mendapatkan sesuatu jika mahu keputusan yang sangat bagus.
Antara percaya dengan tidak, semuanya aku perolehi dengan mudah dan cepat.

Petang itu, segala isi pantai seakan berbisik sesuatu kepadaku. Semangat untuk berjaya semakin berkobar-kobar. "Kalau inilah langkah pertama untuk aku berjaya, kenapa aku harus menolaknya." Kata-kata itu membuat aku tersenyum. Suamiku memandang aku dengan wajah yang sama. Tidak sabar rasanya mahu menterjemahkan keputusan itu. Mentari cerah mula menyinari seluruh hidup aku sekeluarga. Pantai kutinggalkan dengan hati penuh makna.

Monday, August 10, 2009

Cerpen 1 - Titik Permulaan





Dewan yang boleh memuatkan 15,000 orang dalam satu masa itu terus dipenuhi para peserta seminar motivasi mengenal potensi diri. Dalam ramai manusia itu, aku salah seorang dari peserta seminar. Tidak kisahlah apa persepsi orang lain, apa yang penting aku mahu mengenal diri untuk bersedia menjadi seorang yang lebih yakin dan membangunkan diri serta keluarga untuk sebuah masa depan yang lebih cerah. Bukan maksudnya semalam itu tidak elok, tetapi jika aku boleh menjadikan esok lebih baik, kenapa harus aku bertangguh-tangguh. Terngiang-ngiang nasihat seorang teman yang bukannya akrab denganku tetapi melihat potensi diriku yang aku kira sukar untuk kubayangkan sendiri.

Kata temanku itu, “Kita sering merungut tentang masalah kewangan yang tidak pernah cukup. Sayangnya, kita tidak pernah memikirkan untuk mencari peluang sebaliknya selesa dengan apa yang kita ada.” Kata-kata Musni itu jelas di cuping telingaku.

Aku memang setuju dengan pendapatnya itu. “Mungkinkah sinar jutawan itu sudah semakin menghampiri hidup aku sekeluarga?”

Persoalan itu tidak kuambil pusing. Namun, cita-cita menjadi seorang billionaire agaknya sudah semakin mengetuk pintu hidupku. Aku tersenyum sendiri sedang hatiku semakin berdebar. Aku mencari kerusi-kerusi kosong yang tersusun banyak di dalam dewan yang luas dan besar itu. Jika aku mahu mencari ilmu, aku harus mencari kerusi yang di bahagian hadapan. Sedangkan, pagi itu aku diduga dengan pelbagai masalah yang tidak memungkinkan untuk aku hadir ke dewan seminar itu. Alhamdulillah, Allah mengetahui lebih dari segalanya. Semua masalah yang kuhadapi itu langsung tidak mematahkan semangat untuk hadir ke seminar yang telah kubayar tiketnya. Maka ketika sampai ke dewan, kerusi di bahagian hadapan sudah hampir penuh. Aku terpaksa akur tetapi masih berusaha menyelit di antara ribuan peserta itu. Keyakinan aku membuahkan hasil bila ada kalangan peserta yang mengosongkan tempat duduk untuk membolehkan aku bersama-sama duduk di bahagian hadapan.

Aku sentiasa yakin bahawa di mana ada kemahuan, di situ pasti terselit jalan yang boleh aku lalui untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Sayang sekali, temanku yang juga ingin merubah nasibnya dan mencari pendapatan sampingan bagi menampung keperluan perbelanjaan hariannya yang makin meningkat, tidak hadir untuk program seminar itu. Aku kehairanan kerana dia jugalah yang mengenalkan aku dengan teman yang kini rasanya sudah semakin akrab dengan diriku. “Ah…manusia itu sangat berbeza hati budinya. Aku sudah dibukakan pintu hati oleh Allah untuk menerima perubahan itu. Aku bersyukur.”

Kerusi kosong telah dipenuhi peserta. Aku berkenalan dengan beberapa orang peserta seminar yang duduk di sekeliling tempat yang aku duduki. Semuanya ramah-tamah belaka. Mungkin mereka juga punyai hasrat yang sama dengan aku untuk berubah. Apabila kita punyai hasrat dan cita-cita yang sama, perbualan itu lebih mesra meskipun kita baharu sahaja mengenali mereka.

“Apa yang kita lakukan hari ini, akan menggambarkan diri kita kemudian hari. Jika kita mahu berubah, buatlah sekarang atau ia tidak akan pernah berlaku dalam hidup anda” Suara garau dan kuat dari microfon di hadapan jelas. Nada penceramah sungguh bersemangat hingga membuatkan aku begitu teruja. Mendengar celoteh dan ilmu penceramah pagi itu melupakan sementara waktu semua masalah yang sedang kutanggung. Malah, aku terasa begitu lega. Bukan mudah untuk hadir pada majlis ilmu kecuali seseorang itu dilorongkan Allah untuk mendapatkan kebaikan itu. Aku bersyukur kerana aku mendapat rahmat-NYA meski menghadapi pelbagai rintangan untuk hadir ke majlis ilmu tersebut seawal pagi tadi.

Aku yakin bahawa hari itu adalah titik permulaan bagi merubah kehidupan aku. Fikiranku melayang-layang sedangkan aku masih samar akan bayangan masa depan yang baharu bermula itu. Insya-Allah.

Wednesday, August 05, 2009

Pantun




Indah sungguh bait dikarang,
Pantun berisi tentang Melaka,
Marilah kita kongsi dan karang,
Tanda ingatan pernah ke Melaka.

Pantun-pantun ini sengaja dikarang sebagai menambah koleksi peribadi atas tanda amat bersyukur kerana dilahirkan di negeri Hang Tuah dan punya pemimpin yang penuh dedikasi terhadap tugasnya mencipta kecemerlangan Melaka.

Jika anda punya kenangan,
Pahatkan ia sebagai ingatan.


Negeri Melaka jadi sebutan,
Negeri pelancong jolokan diberi;
Asam pedas jadi rebutan,
Makan bertambah tak ingat diri.

Negeri Melaka kaya tradisinya,
Dondang sayang penghibur hati;
Jangan suka buat angkara,
Tenangkan hati muhasabah diri.

Jalan-jalan di kota raya,
Makan-makan di Pantai Puteri;
Melaka sentiasa aman sentosa,
Rakyat bersatu hidup harmoni.

Jika makan buah tempatan,
Jangan lupa buah belimbing;
Negeri Melaka jadi tumpuan,
Bandar indah digemari pelancong.

Banda Hilir tempat bersejarah,
Ramai pelancong datang melawat;
Sungai Melaka bersih dan indah,
Setiap masa ramai pelawat.

Hiris halia tangan terluka,
Sayang tiada yang ambil peduli;
Beramai-ramai ke negeri Melaka,
Bandaraya warisan amat dikenali.

Keliling kota naik beca,
Beca indah berwarna-warni;
Ramai pelancong datang ke Melaka,
Tempat sejarah tumpuan ramai.

Selamat berpantun.

Seseorang penulis juga boleh menyelitkan pantun dalam tulisan anda kerana ia sebagai tanda menghargai warisan bangsa. Selitan pantun juga dapat memberi kepelbagaian dan warna dalam tulisan. Selamat mencuba dan selamat berkarya.

Saturday, July 25, 2009

Cerpen 1 - Mahu Jadi Jutawan




Waktu seakan lambat bergerak sedangkan aku mahu segera keluar dari pejabat. Jika dikira jarum jam yang berdetik, lagi lambat rasanya. Dingin suhu di dalam bilik pejabatku tidak langsung mendinginkan hatiku. Aku cuba menenangkan diri. Jika dalam keadaan tidak tenang, aku tidak boleh memusatkan fikiran untuk menulis tiga ucapan untuk program seminar yang bakal berlangsung itu. “Ah…begitulah resam hidup penulis.” Keluh hatiku.

Ada waktunya, aku boleh siapkan ucapan dalam waktu yang singkat. Adakalanya spirit untuk menulis itu naik 360 darjah tingginya sehingga aku dapat rasakan semua yang ada di dalam kepalaku ini mahu kumuntahkan segera. Aku mahu segala persoalan dan cerita dapat kukongsi bersama pembaca di luar sana. Adakalanya aku dapat rasakan, wujud satu penghalang untuk aku terus memuntahkan idea yang entah kenapa hilang seperti angin. Telefon bimbitku menjerit minta dijawab. Aku membiarkan ia berdering satu dua kali, lalu kujawab juga panggilan itu.

“Assalamualaikum kak! Sibuk?” kata suara di sebelah sana. Aku seakan kenal dengan suara itu. Walaupun bukan teman karib, tetapi sering bertemu di majlis-majlis rasmi mahupun mesyuarat yang berkaitan dengan pejabat.

“Waalikumsalam, aha.. tengah sibuk nie. Minggu depan ada seminar.” Kataku. “Kenapa! Ada cerita baik ke?” tanyaku pula ingin tahu.

“Aha…saya ada tiket untuk program potensi jutawan. Nak ikut tak? Lagipun tiket nie harganya murah je cuma RM30.00. Itu pun cuma tinggal satu tiket sahaja. Kalau nak diikutkan, harga tiket nie RM400 lebih tau.” Kata Musni. Sebelum Musni menelefon aku, dia juga telah mengirimkan sistem pesanan ringkas kepadaku. Namun aku tidak membalas pesanan itu. Kubiarkan sahaja kerana aku mahu berbincang dengan suamiku. Tiba-tiba Musni telefon. Mungkin mahu tahu persetujuan aku.

“Nanti akak fikirkan boleh tak?”
“Kak…jangan fikir lama sangat. Nanti rugi. Bukan senang nak dapat kursus murah macam nie. Tiket pun dah habis terjual.” Musni menyakinkan aku.

“Rahsia potensi jutawan! Nak ikut tak ikut, nak ikut tak ikut!” Hatiku berkata-kata. “Mungkinkah Allah mahu memberiku peluang untuk mengenal diri sebelum menjadi jutawan?” aku tidak boleh mendapatkan jawapan itu. Allah menggerakkan hati Musni sudah tentu ada sebab-sebabnya yang tersendiri. Bila aku fikirkan logik itu, memang ada benarnya. Allah selalu memberikan sesuatu kepada umat-Nya melalui orang perantara. Siapa orang itu, kita sendiri tidak pasti. Itu hanya Allah yang maha tahu.


Rupa-rupanya bukan mudah untuk menjadi jutawan. Setakat kerja makan gaji, sampai tua pun aku tidak akan jadi jutawan. Memang hasratku untuk menjadi penulis billionaire, tetapi tidak tahu bilakah hasrat itu akan terlaksana. Banyak buku baruku yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Banyak juga buku yang sedang kutulis dalam kesibukan melaksanakan tugas di pejabat. Kadang-kadang aku terfikir untuk melantik seorang pembantu untuk membantu aku dalam kerja-kerja penulisan. Namun hasrat itu belum lagi kutunaikan.

Rahsia jadi jutawan. Aku mencongak-congak hari. Jika tidak ada aral yang melintang, mungkin aku mahu mengikuti program sehari itu. Leka dengan impian menjadi jutawan, aku tersenyum sendiri dan mahu menelefon suami tentang perkara itu. Dentingan jam di tempat perakam waktu adalah tanda untuk aku segera pulang. Moga ada mentari jutawan yang sedang masuk ke dalam hidupku. Aku tersenyum dan terus keluar dari pejabat dengan perasaan penuh lega dan bersemangat.

Monday, July 20, 2009

Cerpen 1




Beberapa ekor kucing bersih bulunya berkeliaran di sekitar kedai makan. Aku tidak ambil pusing, malah terus makan tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Tulang-tulang ikan yang ada di pinggan tidak kubuang ke tanah. Aku biarkan kucing itu berusaha mencari makanannya. Kedai makan yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan pejabat itu memang sering kukunjungi. Meskipun ada banyak lagi deretan kedai berhampiran yang menjual makanan, namun kedai itu juga yang menjadi pilihanku.

Air teh limau panas telah habis kuminum. Perut sudah kekenyangan. Aku membayar harga makanan yang kumakan lalu beredar dari situ. Di dalam fikiranku hanya memikirkan tentang tugas yang belum diselesaikan di pejabat. Ada tiga ucapan yang harus kukarang. Itu tidak termasuk urusan tentang penceramah, urusan hotel, penyertaan peserta dan banyak lagi yang tidak sempat diingat semuanya. Tugas-tugas itu harus kubahagi-bahagikan dengan kakitanganku agar kerja yang kutanggung dapat dikurangkan ke paras minimum.

Tugas-tugas kecil boleh kuserahkan kepada kakitanganku tetapi tidak dalam urusan penulisan teks ucapan. Ia harus kutulis sendiri. Itulah anugerah Allah yang paling berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Namun jika aku tidak didedahkan dengan tugas-tugas menulis ucapan oleh datuk, sudah tentu aku sendiri tidak tahu akan kelebihan diri sendiri. “Ah…terasa menyesal pula memarahi datuk tadi.”

Tergesa-gesa aku berjalan ke arah pejabat. Aku ingin menghantar sistem pesanan ringkas kepada datuk memohon maaf akan perangaiku tadi. Kasut tumit tinggi jenama kurang terkenal itu kuredah. Habuk berterbangan menerpa pipiku. Sesekali kubetulkan tudung yang sedikit berkelipit dihembus angin tengah hari. Baju kurung berwarna hijau putih itu ku padankan dengan tudung hijau lumut. Padan sekali kelihatannya di mataku. Entah bagaimana penerimaan orang lain, aku tidak begitu ambil pusing. Jika mahu diikutkan fesyen semasa, sudah tentu akulah orang yang selalu ketinggalan.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang pejabat, telefon bimbitku berbunyi. Deringannya membingitkan. Aku segera menjawabnya.

“Amy dah masuk labour room. Kata doktor sudah buka tiga cm.” Berita itu sedikit sebanyak mengganggu tugas-tugas aku pada petang itu. Jika ikut pengalaman aku, sekiranya bukaan untuk laluan bayi baharu tiga cm, maknanya mungkin bayi akan keluar dalam masa beberapa jam lagi. Ada kes yang mana bukaan laluan keluar bayi berlaku dengan pantas. Ada kes berlaku sebaliknya. Mengingatkan waktu-waktu melahirkan, aku jadi ngeri. Terlupa sebentar akan kerja-kerja yang sudah lama menanti untuk aku siapkan.

“Petang nanti kita jengok Amy.” Aku tidak mengiakan juga tidak menidakkan. Dalam keadaan tertekan, aku perlu orang lain membantuku membuat keputusan. Itulah kelemahan yang ada dalam diriku. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk tidak melayan kelemahan diri tetapi sentiasa cuba melawan kekurangan dengan kelebihan diri.

Tuesday, July 14, 2009

Cerpen 1





Cuaca agak panas di luar. Silau cahaya terasa menyucuk-nyucuk sepasang mataku yang besar dan penuh lesu. Aku memerlukan sesuatu untuk menutup silau itu. Lalu ku buka tas tangan tidak berjenama dan mengambil cermin mata hitam prada yang ku beli dengan harga RM10 menutup kedua belah mata. Jam tangan jenama Alba pemberian suami menunjukkan ke angka satu tengah hari. Seawal pagi, aku tidak sempat melapang sedikit waktu untuk mengisi perut. Konvensyen yang akan berlangsung selang beberapa hari itu mengundang terlalu banyak tugasan yang belum diselesaikan.

Sudah agak lama tidak menguruskan sebuah acara dan sesekali bila terpaksa melakukan pekerjaan itu semula, terasa buntu pula dibuatnya. Namun sebagai pengemudi acara, aku harus gagahkan untuk suatu keberhasilan yang luar biasa. “Caiyok…caiyok, kau pasti boleh lakukan.” Kata hati kecilku. Tengah hari itu aku sudah tekad untuk keluar dari pejabat. Aku mahu menghabiskan satu jam waktu rehat di luar. “Sambil makan boleh juga menjamu mata.” Kataku. Duduk seharian di pejabat seawal lapan pagi juga menyebalkan otakku.

“Walau apapun yang berlaku, aku harus keluar dari pejabat segera sebelum bos cari aku lagi.” Aku segera mengambil tas tangan dan keluar dari pejabat untuk mengisi perut yang mula berkeroncong. Teringat masak asam pedas sambal belacan, air liurku seakan mahu meleleh. “Jika ada jeruk binjai lagi sedap.” Itulah masakan kegemaranku. Seorang teman dari selatan tanahair juga meminati masakan itu. Apa agaknya yang istimewa sehinggakan setiap kali temanku berkunjung ke negeri Melaka, pasti itulah makanan yang dicarinya. Kalau tak dapat, mahu menangis dibuatnya.

“Mungkinkah aku sudah tidak punya hati untuk terus bekerja di sini?” Soalan itu tidak dapat aku jawab. Kubiarkan ia melayang-layang pergi bersama bayu panas yang menghembus pipiku yang gebu. Cermin mata berjenama prada itu kubiarkan terus menutup silau cahaya. Fikiranku kacau memikirkan berita sedih yang kuterima lewat beberapa hari lalu. Semuanya berlegar-legar di dalam kepala.

“Pastikan ucapan YAB Ketua Menteri disiapkan segera. Cari statistik tentang perceraian dan perkahwinan pasangan muda.” Arahan dari Datuk aku iyakan sahaja. Ingin sahaja aku baling fail-fail yang bertimbun di atas meja kerana arahan sebentar itu. Sayang sekali, apa yang kufikirkan tidak kulakukan.

Monday, July 13, 2009

Taman Botanikal Melaka Edisi Baru



Taman Botanikal Melaka untuk edisi baru bakal diterbitkan tahun ini. Bunyinya sungguh hebat dan menggembirakan kerana saya telah ditawarkan untuk sekali lagi menulis buku ini. Tawaran itu sebenarnya menggusarkan hati saya kerana ia harus disiapkan dalam jarak waktu tiga bulan. Saya mencongak waktu dan tarikh serta beberapa manuskrip yang harus disiapkan yang masih diuliti untuk mengejar deadline.

Sebagai seorang penulis, saya tidak pernah mengatakan tidak kepada semua pelawaan yang pernah, akan atau telah saya terima untuk menulis. Saya cuba penuhi permintaan yang datang sementara diperlukan. Banyak sekali buku yang sedang saya tulis tidak langsung berkaitan dengan apa yang saya pelajari semasa di universiti (kewartawanan). Contohnya buku Taman Botanikal seharusnya ditulis oleh seorang yang dekat dan tahu mengenai alam, tumbuh-tumbuhan, hutan, cuaca dan sebagainya. Jika difikirkan logik, bagaimana seorang bekas pelajar kewartawanan atau mantan Pengarang akhbar tabloid Suara Melaka boleh menulis sesuatu yang di luar skop bidang? Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, pasti di situ ada jalannya. Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Jika sesuai, apa salahnya mencuba. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Apa pun, untuk berjaya menjadi penulis billionaire, saya mahu mencuba semuanya. Doakan semoga semuanya sukses.

Kepada para penulis di luar sana, buatlah apa sahaja, kerana untuk nama anda dikenali di persada tanah air bukanlah sesuatu yang mudah. Untuk mendapat peluang juga bukan mudah, tetapi anda haruslah mengejar peluang yang ada. Jika peluang sudah ada di depan mata, jangan sesekali lepaskan ia.

Selamat berkarya.

Friday, July 10, 2009

Novel Kekuatan Cinta

- "Sesungguhnya kebahagiaan dalam meniti gerbang perkahwinan punya banyak suka dan duka. Hanya wanita yang cekal dan tidak pernah kenal erti putus asa akan menggapai bahagia. Imaginasi dan kreativiti penulis dialirkan dengan penuh bersahaja tetapi bisa meruntun perasaan segenap pembaca dalam novel Kekuatan Cinta karya Sastri Bakri. Syabas!" Hanita Hassan - Novelis Malaysia.


Sebuah novel cinta tentang dunia keperempuanan sedang saya baca dengan penuh semangat. Seingat saya sudah agak lama tidak membaca novel disebabkan kerja-kerja yang harus disiapkan sehingga tidak berkesempatan membaca satu persatu novel-novel yang sudah berlambak di rak-rak buku. Kali ini, melihat sahaja grafik luar kulit buku meruntun perasaan saya dan dengan penuh perasaan dan konsentrasi, saya mula membaca dua hari yang lalu. Membuka lembaran pertama, hati saya sudah terasa ingin terus membacanya. Novel karya Sastri Bakry itu adalah novel dari Indonesia yang dikirim penulisnya lewat beberapa hari lalu sebagai penghargaan untuk saya menitipkan satu dua coretan untuk cetakannya yang terbaru.

Benar sekali kata orang, kekuatan cinta itu jika wujud dalam diri sepasang suami isteri, apa pun yang terjadi, dua jiwa itu tetap akan bersatu. Sukar dibayangkan dalam dunia moden, lelaki atau suami tidak segan melakukan kerja-kerja yang sejak azali dilakukan oleh kaum wanita. Sementelaah pula sang isteri amat sibuk dengan kerja-kerja di pejabat mahupun kerja-kerja persatuan. Namun kerana cinta suami kepada isteri, segalanya bisa dilakukan. Saya seperti melihat diri saya di dalam novel ini.

Beberapa babak yang saya baca menyebabkan ada air mengalir dari kelopak mata ini. Entah kenapa terasa sungguh terharu. Setiap kali saya membaca dari bab ke bab, ceritanya semakin meruntun perasaan dan terasa seperti cerita itu amat dekat dengan diri penulis sehingga siapa sahaja yang baca pasti akan merasa sedih.

Sesungguhnya kekuatan cinta bisa membuatkan seorang isteri itu tabah menghadapi saat-saat kematian suami yang amat dia cintainya.

Thursday, July 09, 2009

Buku Politik

Tiba awal pagi di perkarangan pejabat, hanya kelihatan sebuah kereta milik setiausaha bos. Saya terlupa bahawa hari ini ada beberapa pegawai dan staf di pejabat yang akan menuju ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Jika dihitung dengan jari, rasanya setiap kali berlakunya pilihanraya kecil, setiap kali itulah ada sahaja program yang berkaitan dilaksanakan oleh pejabat.

Melihat perkembangan politik mutakhir ini, menyaksikan berita-berita politik yang tidak pernah ada kesudahannya membuatkan saya mempercepatkan penulisan sebuah buku mengenai tokoh politik dan budayawan yang telah dimulai projek itu sejak tahun 2008 yang lalu. Alhamdulillah setelah beberapa kali menemuramah tokoh, maka siap akhirnya tulisan itu.

Dahulu, setiap kali saya membaca buku berbau politik, dan bila mendengar pandangan umum, ramai yang berpendapat menulis buku genre ini tidaklah sukar. Penulis cuma perlu mencari fakta dan menulis mengikut gaya penulis sendiri. Namun berlainan bagi saya kerana setelah menulis buku seperti ini, terasa begitu sukar untuk menterjemahkan semua yang berlaku dengan perkataan dan ayat yang betul. Saya sentiasa percaya bahawa apa sahaja yang kita tulis bakal menjadi rujukan generasi masa kini dan generasi akan datang. Maka saya cuba menulis yang baik-baik sahaja meskipun dari segi logik dan seharusnya perkara yang buruk juga harus diterjemahkan untuk pengetahuan umum, namun tulisan itu perlu tidak dengan emosi. Banyak sudut yang perlu penulis fikirkan ketika menulis buku berbau politik. Tentang adakah boleh ditulis corak begini, atau bolehkah disiarkan semua yang rahsia dan sebagainya.

Jika penulis di luar sana yang amat teruja dan berbakat menulis buku politik, tulislah perkara yang baik untuk agama, bangsa dan negara. Ketahuilah bahawa mata pena itu lebih tajam dari segalanya.

Selamat berkarya.

Tuesday, July 07, 2009

Projek Penulisan

Projek penulisan yang perlu diselesaikan masih banyak yang tersangkut. Perkara pokok yang harus dilakukan dalam lingkungan keluarga telah diselesaikan. Rasanya dalam jangka waktu senggang ini, saya harus siapkan semuanya agar tidak tersangkut lagi. Masa untuk berkarya terutama dalam genre novel sudah tidak dilakukan. Asyik menguliti buku non-fiction mengundang rindu pada suasana kreatif alam fantasi. Ada dua novel yang masih tersangkut di dua penerbit yang saya harapkan dapat mengetuk pintu peminat novel fantasi dan dewasa dalam masa terdekat. Insya-Allah doakan semoga semuanya berjalan lancar.

Tanggal Julai sudah menandakan waktu menghantar manuskrip untuk sebuah pertandingan novel sejarah sudah semakin hampir. Seingat saya, sudah berbulan juga tidak meneliti manuskrip yang telah sebahagian kecil siap. Fakta-fakta sejarah yang dikumpul juga belum selesai. Tapi usaha itu kalau tak diteruskan seakan suatu pembaziran. Jika tidak ada aral melintang, akan saya selesaikan kerja-kerja yang tertangguh itu.

Monday, June 15, 2009

Seribu Satu Pengalaman





Pengalaman mengembara ke negara orang terutama di Indonesia memberi saya peluang melihat dan menelusuri budaya dan adat resam masyarakatnya. Mungkin jika sekali atau dua kali ke Indonesia, keadaannya terasa agak janggal. Namun, sejak tahun 2001, saya telah berulang alik ke Indonesia kerana urusan pelbagai seminar dan bengkel menyebabkan negara itu seakan negara kedua saya. Tidak ke sana terasa rindu. Apatah lagi, saya sudah boleh berbahasa Indonesia dan setiap kali jejak kaki ke tanah seberang, saya boleh menukar bahasa Melayu saya kepada bahasa Indonesia.

Di Indonesia, meskipun punyai pelbagai kaum, namun penggunaan bahasanya masih tetap satu iaitu bahasa Indonesia. Tidak hairan jika bangsa Cina boleh bertutur dalam loghat Indonesia dengan lancar dan baik sekali. Tanda nama jalan, semuanya menggunakan bahasa Indonesia. Malah setiap kelahiran yang lahir di negara itu dinamakan dengan nama Indonesia. Tidak seperti di Malaysia, meskipun bahasa Melayu dikatakan sebagai bahasa kebangsaan, namun dalam banyak perkara, ia masih tidak dikuatkuasakan. Malah bahasa lain masih digunakan secara meluas dalam urusan harian.

Maka, jika kita sering menganggap bahawa orang Indon atau Indonesia ‘tidak bagus’ dalam banyak perkara, maka kita harus melihat kepada diri kita sendiri dahulu. Konsep satu Malaysia yang diperkenalkan sejak Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengambilalih pucuk pimpinan, sebenarnya telah lama diamalkan oleh pemerintah dan rakyat di Indonesia. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menyokong hasrat Perdana Menteri dan faham bahawa kewujudan konsep itu tidak mungkin menjejaskan orang Melayu tetapi akan menyatukan semua bangsa dalam satu acuan yang lebih baik dari lebih 50 tahun yang lalu.

Ada pihak yang teruja dan tidak kurang juga ada pihak yang menganggap segala-galanya sebagai slogan kosong. Kosong atau tidak, itu semua bergantung kepada sokongan rakyat. Jika di kedai kopi, di kedai mamak, di hotel, di seminar-seminar, di bengkel-bengkel, di rumah, di sekolah dan di mana-mana sekalipun, orang Malaysia bercakap soal konsep satu Malaysia. Namun, lebih ramai yang tidak faham malah beremosi ketika bercerita.

Maka, sebagai seorang penulis yang aktif serta konsisten dengan penghasilan karya, saya percaya pengalaman mendengar cerita-cerita dari mulut ke mulut ini boleh dijadikan bahan dalam penulisan cerpen atau mungkin boleh diselitkan dalam satu dua babak dalam novel anda bagi memberi gambaran tentang keadaan semasa yang berlaku di negara ini. Penulis kreatif akan melihat di luar tabii manusia biasa dan dari perkara yang sekecil-kecil hama kepada yang sebesar-besarnya dijadikan asas untuk menulis sebuah karya. Cuma, sejauh mana cerita itu akan digarap terpulang kepada kreativiti penulis itu sendiri.

Saya percaya, pembaca di Malaysia dahagakan karya yang baru yang berkisar tentang keadaan yang berlaku di sekitar sama ada dalam hal politik, sosial mahupun ekonomi. Kepada penulis yang tidak punyai idea, tulislah hal-hal ini kerana meskipun ia kelihatan tidak popular, namun karya sebegini punyai darjatnya yang tersendiri.

Selamat berkarya.

Acheh … Bumimu Ku Jejaki Jua

Siapa sangka, bumi serambi Mekah yang ingin sekali saya lawati akhirnya dijejaki tanggal 12 Jun 2009, tepat jam 1.45 tengah hari waktu Malaysia atau sejam lebih awal jika dihitung waktu di Indonesia. Rasanya sudah acap kali saya ingin mengikut rombongan kerja-kerja amal ketika tsunami melanda bumi Acheh lima tahun lalu, namun entah kenapa semuanya itu belum dilorongkan Allah. Lima tahun lalu, Biro Wanita Dunia Melayu Dunia Islam turut sama membantu menghulurkan bantuan berupa makanan dan pakaian serta selimut untuk para mangsa yang dikutip daripada pelbagai badan kerajaan mahupun swasta serta orang perseorangan yang belas atas kejadian tsunami. Hanya selepas lima tahun kejadian tsunami melanda Acheh, barulah kaki ini dapat memijak bumi yang penuh dengan kesan tragis sukar digambarkan kecuali berdiri di tempat-tempat kejadian serta bekas tinggalan tsunami. Sungguh insaf dan kerdil sekali rasa diri ini yang penuh dengan dosa.

Kuasa Allah amat besar sehingga tidak boleh terfikir di benak bagaimana ia ditimpakan ke atas umat manusia dan semuanya berlaku dalam sekelip mata. Anak kehilangan ibu dan bapa serta abang dan kakak, bapa kehilangan anak dan isteri begitulah sebaliknya. Paling sedih bila mendengar kisah seorang anak yatim yang selamat dari tsunami, yang ketika kejadian itu, dia berusia tiga tahun. Anak lelaki ini telah dimasukkan ke dalam peti ais oleh kedua ibu bapanya (meninggal akibat tsunami) dan peti ais itu terdampar di atas bukit di kampung itu. Hidupnya bergantung kepada air laut dan ketika dijumpai oleh pasukan penyelamat, dipenuhi lumpur dan kekotoran. Anak kecil itu terpaksa dirawat selama enam bulan sebelum benar-benar sembuh.

Sewaktu tsunami menggegarkan seluruh Acheh, sapi-sapi sudah terlebih awal berlari-lari menuju ke atas bukit berhampiran. Burung bangau yang selalunya bermain di gigi air turut terbang menuju ke arah perbukitan setelah berlaku gegaran. Seluruh isi alam sudah mengetahui akan musibah itu, dan menyelamatkan diri masing-masing. Saya cuba membayangkan keadaan musibah itu sepanjang berada di bumi Acheh ini kerana banyak sekali cerita yang diberitahu secara lisan oleh pemandu pelancong. Ada cerita-cerita yang masih di benak dan ingin sekali dikongsi bersama para pembaca di luar sana.

Sekiranya seorang penulis itu mahu menulis sesuatu yang luar biasa, cerita-cerita tsunami boleh dijadikan latar dalam lakaran novel anda. Banyak perkara boleh ditulis dan ia tertakluk kepada olahan penulis. Cerita boleh ditulis mengenai pengalaman mangsa tsunami atau pengalaman orang yang membantu mangsa. Jika ditulis dengan sepenuh jiwa dan raga, buku atau novel ini pasti boleh dijadikan rujukan sepanjang hayat kerana cerita-cerita yang didengar dari mulut ke mulut yang tidak didokumen pasti akan terkubur begitu sahaja jika tidak dibukukan. Sekiranya dibukukan, pasti akan menjadi bahan bacaan teladan buat generasi akan datang.

Fikir-fikirkanlah wahai penulis di luar sana. Insya-Allah.
Penulisan sebegini memerlukan usaha dan siasatan yang terperinci. Selamat mencuba.

Tuesday, June 09, 2009

Walimatu urus

Selesai sudah urusan perkahwinan adinda hujung minggu lepas. Majlis akad nikah berjalan seperti rancangan yang diatur tanpa gangguan pada 5 Jun 2009. Malamnya, majlis berinai besar diikuti persandingan keesokkan harinya. Para tetamu diraikan dengan hidangan nasi jagung dengan lauknya yang enak pada 6 Jun 2009. Tetamu-tetamu penting yang dijemput turut menghadirkan diri mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan perkahwinan pengantin. Segala kepenatan sejak sekian lama hilang begitu sahaja pabila majlis berlangsung dengan lancar. Alhamdulillah berkat hidayah dan petunjuk dari Allah, majlis baik ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.









Kesibukan urusan perkahwinan adinda menyebabkan saya tidak berkesempatan menjengok blog ini sedangkan saya perlu mengisinya dengan pelbagai perkara yang menghantui benak dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besarnya. Belum habis penat, kaki akan melangkah ke negara serambi Mekah pada hujung minggu akan datang. Phobia menaiki kapal terbang mula menghantui. Ada cerita di sebalik kenangan menaiki pesawat. Namun, rasanya saya belum bersedia menceritakannya.

Monday, June 01, 2009

MELAKA SEBAGAI BAHAN PENULISAN





Indah sungguh foto yang diambil rakan yang sempat saya simpan sesalinan wajah senja di muara Sungai Melaka beberapa bulan lalu ekoran satu artikel yang ditulis untuk sebuah akhbar Melayu tempatan. Keindahan wajah senja dan roda raksaksa yang satu-satunya terdapat di negeri berstatus Bandaraya Warisan Dunia ini harus diterokai sekiranya menjejak kaki di bumi Hang Tuah penuh sejarah. Kehebatan ketua negerinya yang menguliti negeri kecil ini sejak 10 tahun lalu, memajukan semula Empayar Melaka yang dahulunya runtuh akibat banyak faktor dalaman, maka sudah pasti para penulis yang imaginasinya cukup kecil harus mengimbau kegemilangan Melaka melalui perspektif pandangan dan lakaran sebenar sekiranya amat berminat menulis kisah-kisah sejarah dalam genre cerpen, puisi mahupun novel.

Novel ADLI DI ALAM FANTASI - MENEROBOS TEROWONG MASA yang digarap oleh saya beberapa tahun lalu adalah hasil imaginasi mengenai sejarah lampau Melaka yang dikaitkan dengan pertemuan kapal portugis dan dijadikan sebuah cerita fantasi untuk bacaan kanak-kanak lingkungan umur 10 - 17 tahun. Buku terbitan PTS Publication Sdn Bhd itu adalah siri novel Adli di Alam Fantasi yang ke-2 dengan novel siri pertama berjudl ADLI DI ALAM FANTASI - MISI MONYET PUTIH.

Apabila memperkatakan mengenai Melaka, tentunya tidak akan kekeringan bahan kerana terlalu banyak yang hendak dikatakan. Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan Majapahit antara tahun 1396 hingga 1403. Kesultanan Melaka memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511 yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque. Sultan Mahmud Shah adalah sultan terakhir bagi Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah 11 menubuhkan Kesultanan Johor bagi kesinambungan Kesultanan Melaka.

Kewujudan, perkembangan dan kebangkitan Melaka sebenarnya ‘ulangan semula’ tradisi Srivijaya, yang secara kebetulan merupakan warisan langsung leluhur Parameswara. Melaka muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang dilihat setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya dan China. Kejayaan mengalih tumpuan perdagangan dari Srivijaya ke Melaka secara tidak langsung mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi. Ketika itu, hanya kuasa-kuasa besar sahaja mampu mengendalikan pusat perdagangan dengan segala macam kemudahan infrastruktur serba moden yang diperlukan oleh kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhannya.

Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah peniaga borong yang terbesar dan jumlah perkapalan serta perdagangan yang terbanyak di dunia…(Duarto Barbosa- seorang Portugis).

Zaman pemerintahan tiga raja pertama Melaka merupakan era kewujudan dan pengukuhan. Sehingga awal pertama abad ke-16, Melaka mengalami era pengembangan dan keemasan. (Prof Emeritus Datuk Wira Dr Muhammad Yusoff Hashim – Pertemuan Selat Melaka dalam Selat Melaka:Gapura Sejarah Alam Melayu).

Keupayaan Melaka dan kegahannya menyaksikan sebilangan besar negeri di bawah kekuasaan Siam dan Jawa beraleh untuk bernaung di bawah kekuasaan Melaka. Antara negeri tersebut ialah Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah dan Patani. Negeri-negeri ini secara sukarela beranung di bawah Melaka. Pasai yang terkenal dengan pusat perdagangan dan agama sentiasa berkirim salam dengan Melaka. Apabila Melaka berjaya menangkis serangan Siam sebanyak dua kali sehingga berjaya menakluk Kelantan menjelang kurun ke-16, dan memutuskan hubungan hormat dengan Siam, maka kuasa besar baru selepas Siam adalah Melaka. Perluasan wilayah Melaka berkembang sama pesat dengan perkembangan pemerintahannya.

Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Meski dikatakan Melaka adalah warisan Srivijaya, namun secara keseluruhan pencapaian Melaka berbeza jika dibandingkan dengan Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Pada era kegemilangan Melaka, pemerintahnya telah mengambil langkah bijak dengan mengembangkan kekuasaannya, mengukuhkan hubungan luar melalui pernikahan dan kerjasama diplomatik, melaksanakan pentadbiran yang cekap dan sistematik, berperanan sebagai pusat pengembangan agama Islam, merupakan pusat kegiatan segala ilmu dan pusat perdagangan yang sibuk dan pesat. Kewujudan Melaka sebagai sebuah entiti politik dan kerajaan amat besar ertinya dalam sejarah Malaysia. Jika diteliti secara kasar, wajar jika sejarah awal negara dimulakan dengan tradisi Melaka kerana di sinilah segala-galanya bermula.

Thursday, May 28, 2009

Garapan Novel Haruskah Aku Berlari



Proses menulis novel ini berlaku dalam dua zaman iaitu ketika zaman remaja dan setelah saya bekerja serta berkeluarga. Pertarungan sebagai pelajar kewartawanan di UiTM banyak digunakan dalam novel HARUSKAH AKU BERLARI. Watak-watak yang digarap juga sebahagiannya ada kaitan dengan diri penulis sebagai pelajar ketika itu. Atas faktor semasa, maka tidak sempat untuk saya menyiapkan novel itu. Saya menyambung semula penulisan itu ketika saya sudah mempunyai empat orang cahayamata dan mempunyai kerja yang stabil.

Saya percaya, setiap apa yang digarap itu harus berlaku sama ada dalam kehidupan penulis sendiri atau rakan taulan yang terdekat. Dari situ, maka wujudlah proses kreativiti serta imaginasi yang melampau bagi menambah rasa supaya penulisan itu menjadi lebih sempurna.

Pengalaman setelah bekerja sebagai pengurus acara yang menguruskan banyak seminar di hotel-hotel membuka minda saya tentang banyak perkara. Dan semua pengalaman itu turut saya muatkan dalam beberapa babak ketika saya menulis HARUSKAH AKU BERLARI.

Untuk menjadi pencerita yang baik, maka seorang penulis harus bercampur dengan pelbagai pihak tidak tertakluk kepada dunia penulisan penulis semata-mata. Maka jika semua percampuran itu diadun dengan baik, saya yakin, akan lahir sebuah penulisan yang baik apatah lagi sekiranya seseorang itu adalah penulis yang baik.

Walau bagaimanapun, penulis harus mencari masa untuk menulis agar pengalaman-pengalaman yang ditempuh itu tidak tertinggal dan dilupakan begitu sahaja.

Wednesday, May 27, 2009

Kesabaran Membuahkan Hasil



Saya tidak ingat kenapa dan bagaimana kegemaran berkebun bunga mulai tumbuh mekar dalam jiwa ini. Tapi mungkin sifat itu diwarisi dari arwah mak tersayang. Sewaktu kanak-kanak, saya selalu diminta tolong menyapu halaman kerana mak suka tanam pokok bunga jenis puding. Maka bila tiba musim luruh, banyaklah daun-daunnya yang gugur. Saya salah seorang anaknya yang selalu menyapu halaman dan mengutip dedaunan yang gugur itu. Setiap kali mak tanam pokok, tidak pernah saya lihat mak letak baja atua sebagainya, dan peliknya pokok-pokok bunga mak tumbuh dengan suburnya.

Sejak saya membeli rumah kira-kira lima tahun lalu, dan kebetulan ada tanah untuk berkebun, maka saya mula menanam banyak jenis pokok. Dari pokok buah-buahan hinggalah ke pokok bunga aneka jenis. Disebabkan selalu membeli anak pokok bunga, saya cuba menanam orkid yang banyak karenahnya. Orkid yang saya beli itu sedang berbunga ketika itu dan warnanya merah hati. Dan setelah dengan sabar menjaga orkid itu bertahun-tahun, akhirnya semalam ketika tiba di halaman rumah sepulang dari kerja, saya terharu melihat orkid itu sudah berbunga. Bunganya kembang dan mekar dengan sihat sekali.

Sebenarnya yang membuatkan saya mahu berkongsi cerita ini bukanlah kerana orkid itu sendiri, tetapi sifat sabar yang wujud dalam diri harus ada untuk memperolehi sesuatu. Sebagai seorang penulis, seseorang itu perlu sentiasa bersabar dalam menghasilkan karya-karya mereka atau berhentilah jadi penulis. Karya tidak menang pertandingan bukan bermakna hidup ini sudah punah, karya ditongsampahkan tidak bermakna dunia mahu kiamat dan begitulah seterusnya.

Untuk menjadi seorang penulis besar, banyak cabaran dan dugaan harus dilalui. Saya akui itu. Dan dalam menghasilkan karya sama ada puisi, cerpen mahupun novel atau skrip, tulislah cerita yang benar-benar dekat dengan diri anda atau faktor sekeliling. Jangan dicabar kebolehan minda anda dengan tulisan-tulisan yang anda sendiri tidak faham apatah lagi orang yang akan membaca karya anda.

Berbalik kepada kisah orkid, mungkin atas sifat kecintaan saya terhadap alam dan tumbuh-tumbuhan, maka lahirlah sebuah buku Taman Botanikal Melaka...Dunia Hijau Damai dan Ilmu pada tahun 2008. Buku yang diterbitkan Perbadanan Hang Tuah Jaya itu memuatkan kisah taman dan segala macam tumbuh-tumbuhan dan pepohon hutan yang terdapat di Taman Botanikal Melaka. Jika anda membaca buku ini, anda boleh dapat rasai segalanya yang ada di taman itu.

Selamat berkarya.

Tuesday, May 26, 2009

IBU







Saya teringin menulis tentang mak sudah agak lama iaitu sejak sebelum Hari Ibu disambut seluruh dunia. Namun, setiap kali saya cuba menulis tentang mak, setiap kali itulah, nostalgia mak terbayang di ruang mata, dan tidak semena-mena pasti air mata akan mengalir. Banyak peristiwa bersama mak yang masih jelas di ruang minda.

Hidup tanpa mak, meskipun sudah dewasa dan berkeluarga, amat berbeza sekali apatah lagi terpaksa menguruskan perkahwinan adinda selang dua minggu dari entry ini ditulis. Banyak tugas yang harus dilakukan yang dahulunya hanya mak sahaja yang menguruskannya. Meskipun mak tidak pernah pergi sekolah, tidak tahu membaca, namun amat takjub sekali kerana mak dapat menjaga dan mendidik saya dan adik beradik yang lain dengan penuh ilmu di dada. Itulah magiknya anugerah seorang ibu.

Sesungguhnya tanpa mak siapalah saya. Tanpa mak segalanya tidak pernah punya erti. Saya ingat lagi sewaktu berumur sepuluh tahun, ketika itu saya mengalami simptom sakit kulit yang amat teruk. Namun, siapalah orang yang paling prihatin jika tidak mak. Setiap hari saya dibawa ke hospital. Berkat kesabaran mak, sembuh juga penyakit yang saya hidapi itu. Pelik sekali, hanya saya seorang sahaja yang mengidap sakit itu sedangkan adik beradik lain tidak berjangkit walaupun duduk serumah. Itulah kuasa Allah.

Mak...
Kalau bisa ku putar semula
Waktu-waktu indah bersamamu
Ingin sekali ku dakap erat dirimu
Ingin sekali ku kucup pipimu
Ingin sekali ku lakukan apa sahaja
Demi untukmu tersayang

Mak...
Kaulah ratu
Kaulah segalanya
Belaianmu mendamaikan hati nan gundah
Bicaramu menyejukkan minda
Renungan matamu seakan mutiara
Aku rindu padamu

Wednesday, May 13, 2009

HARI-HARI YANG TERTINGGAL




Sudah 13 hari Mei menampakkan wajahnya. Ini bermakna sudah lebih 13 hari juga saya tidak menulis sesuatu di dalam blog ini, atau blog-blog yang lain, juga tidak berkesempatan membaca blog-blog favorite lain.

Apakan daya, menulis itu sudah menjadi satu pekerjaan. Maka apabila kerja-kerja menulis datang bertimpa-timpa, ada yang terpaksa dilepaskan untuk sementara waktu untuk menguliti tugas-tugas tidak formal yang memberi pulangan yang agak lumayan.

Deadline untuk menyiapkan sebuah buku tentang Melaka semakin hampir. Hati ini asyik berdebar-debar. Tidak mahu mengira-ngira harinya kerana lagi dikira, kebimbangan itu bermaharajalela. Ia seperti perempuan mahu bersalin, yang sentiasa mengira masa. Jika tidak mengira waktu, bimbang pula melakukan sambil lewa.

Apabila menulis buku non-fiction, corak pendekatannya berbeza dengan menulis buku fiction. Ia tidak memerlukan daya imaginasi yang tinggi tetapi perlu menyediakan segala fakta dan bahan agar semua maklumat yang diperlukan tidak tercicir.

Penulisan novel sejarah yang digarap untuk pertandingan novel sejarah Johor sudah dihentikan buat sementara waktu. Saya harus menulis mengikut mana yang didahulu di dahulukan. Itulah dia dunia penulis. Selagi boleh menulis, saya akan terus menulis.

Selamat menulis dan terus berkarya sepanjang hayat.

Wednesday, April 29, 2009

RINDU

Sudah agak lama tidak menulis. Terasa rindu teramat sangat. Namun apakan daya, ada perkara yang lebih penting dari kerja menulis yang harus aku selesaikan. Nampaknya semua telah kembali sihat. Bila anak-anak tidak sihat, saya juga turut mengalami tempiasnya. Alhamdulillah, pada saya itu semua adalah dugaan yang diberikan Allah untuk umat-Nya menerima seadanya. Saya selalu yakin bahawa apa sahaja yang diberikan itu adalah rahmat dan sudah tentu Dia tidak akan memberikan dugaan itu jika saya tidak boleh menanganinya.

Sudah dua hari tidak ke pejabat terasa rindu. Kerja-kerja pejabat semakin banyak tetapi masih boleh ditangguhkan. Cuma bimbang kerana banyak kerja menulis yang tidak sempat disiapkan mengikut tarikh yang dijanjikan.

Friday, April 24, 2009

Pantun





Ideanya meluncur dari ingatannya dengan licin dan mudah, dilafaz dan disusun menjadi imej-imej indah dalam baris-baris perkataan melalui keakraban dan kepekaan,bayangan-bayangan kelam mula menampakkan nyata setelah semua yang terpendam di dalam minda dilemparkan di atas sekeping kertas putih. Terhasillah bait-bait perkataan yang disusun empat kerat menjadi sebuah pantun. Kecelaruan fikiran makin menyusut setelah perkataan indah dilemparkan menjadi bait indah sebuah pantun.

Seorang penulis pantun adalah sebenarnya seorang yang punya banyak kosa kasa dan kreativitinya melangkaui minda. Perkataan yang dipilih kena sahaja dengan maksudnya dan tidak semua boleh menghasilkan sebuah cerita yang baik kecuali penulis pantun dan pemantun hebat.

Pabila hidup diselubungi pantun seawal kokokan ayam hingga terbenamnya mentari, fikiran asyik memikirkan tentang pantun yang tidak sudah ceritanya, walau itulah hakikat yang harus dilakukan untuk sebuah paksaan yang akhirnya membuahkan sesuatu yang harus diakui semakin bijak mengatur bahasa. Syukuri nikmat Allah atas segala rahmat-Nya.

Janji bertemu di tepi permatang,
Sehingga senja tidak menjelma;
Hatinya gundah asyik terkenang,
Saat indah tika bersama.

Kapal berlayar dari Palembang,
Angkat sauh putar kemudi;
Kami miskin harta pun kurang,
Hajat meminang orang tak sudi.

Raden Mas dalam perahu,
Hajat bersiar melihat dunia;
Tuan pemurah hamba terharu,
Ke mana pergi disanjung semua.

Pisang emas dimasak goyang,
Jatuh sebiji di dalam raga;
Tuan seorang yang saya sayang,
Makan dan minum bagai tak rasa.

Friday, April 10, 2009

KABINET BARU 2009

Kabinet baru sudah diketahui namanya. Tugas besar sudah menanti. Kita mengharapkan yang terbaik dari senarai nama yang dipilih itu. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat ke atas para pemimpin kita. Amin.




Senarai penuh anggota kabinet
Apr 9, 09
Senarai jemaah menteri yang diumumkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PERDANA MENTERI
Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi) (Senator)
2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)
4. Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam) (Senator)

Timbalan-timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong
2. Datuk Dr Mashitah Ibrahim
3. Datuk S.K. Devamany
4. Ahmad Maslan
5. T Murugiah

MENTERI KEWANGAN:
Datuk Seri Najib Tun Razak

MENTERI KEWANGAN II:
Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan:
1. Datuk Chor Chee Heung
2. Datuk Dr Awang Adek Hussin (Senator)

MENTERI PELAJARAN:
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan:
1. Datuk Dr Wee Ka Siong
2. Dr Mohd Puad Zarkashi

MENTERI PENGANGKUTAN:
Datuk Ong Tee Keat

Timbalan:
1. Datuk Abdul Rahim Bakri
2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

MENTERI PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:
Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan:
1. Datuk Hamzah Zainudin

MENTERI DALAM NEGERI:
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan:
1. Datuk Wira Abu Seman Yusop
2. Jelaing anak Mersat

MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:
Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim

Timbalan:
1. Datuk Joseph Salang Gandum
2. Senator Heng Seai Kie

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:
Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan:
Noriah Kasnon

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:
Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan:
1. Datuk Hassan Malek
2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

MENTERI PENGAJIAN TINGGI:
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan:
1. Datuk Dr Hou Kok Chung
2. Datuk Saifuddin Abdullah

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:
Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan:
1. Datuk Mukhriz Mahathir
2. Datuk Jacob Dungau Sagan

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:
Datuk Dr Maximus Ongkili

Timbalan:
Fadillah Yusof

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:
Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan:
Tan Sri Joseph Kurup

MENTERI PELANCONGAN:
Datuk Ng Yen Yen

Timbalan:Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:
Datuk Noh Omar

Timbalan:
1. Datuk Johari Baharum
2. Datuk Rohani Abdul Karim

MENTERI PERTAHANAN:
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan:
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

MENTERI KERJA RAYA:
Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan:
Datuk Yong Khoon Seng

MENTERI KESIHATAN:
Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan:
Datuk Rosnah Rashid Shirlin

MENTERI BELIA DAN SUKAN:
Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan:
1. Datuk Razali Ibrahim
2. Wee Jeck Seng

MENTERI SUMBER MANUSIA:
Datuk Dr S Subramaniam

Timbalan:
Datuk Maznah Mazlan

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:
Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan:
Datuk Tan Lian Hoe

MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:
Datuk Kong Cho Ha

Timbalan:
Datuk Lajim Ukin

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:
Datuk Seri Sharizat Jalil (Senator)

Timbalan:
Datin Paduka Chew Mei Fun (Senator)

MENTERI LUAR:
Datuk Anifah Aman

Timbalan:
1. A.Kohilan Pillay
2. Datuk Lee Chee Leong

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Senator)

Timbalan:
Datuk M Saravanan

Thursday, April 09, 2009

MENJADI PENULIS

Ramai dalam kalangan penulis di luar sana yang menulis atas faktor ingin mencari duit tambahan, hobi, mengisi masa lapang, tanggungjawab sosial, dan untuk menjadi popular.

Saya menulis kerana saya suka meluahkan apa yang terpendam di dalam minda. Saya menulis atas dasar menghabiskan waktu-waktu terluang. Cuma baru-baru ini sahaja baharu saya sedar bahawa menulis boleh mengisi kantung yang bukan sedikit.

Maka saya mula menanam impian dan matlamat untuk menjadi antara penulis billionaire suatu hari nanti. Insya-Allah.

Bagi saya, untuk menjadi penulis billionaire, seseorang penulis itu harus menulis sesuatu yang lahir dari sanubarinya. Apa yang ditulis juga berkait rapat dengan masyarakat setempat. Tulislah sesuatu yang dekat dengan sekeliling kita supaya hasil yang ditulis itu lebih hidup dan boleh dibaca sehingga 100 tahun akan datang.

Selamat menulis.

Tuesday, April 07, 2009

GAWAT POLITIK





Aku menyaksikan sebuah kematian
Seorang manusia yang ranap jiwanya
Seorang insan yang berkecamuk mindanya
Sedang impian setinggi gunung
Bagaikan terbang melayang seperti angin
Hilang lenyap menyentak sanubari

Di mana silapnya
Di mana salahnya
Di mana...mana...mana
Gema suara hanya pecah di sana
Meski cuba ditepis segala tantangan
Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui

Jalan lurus masih terbentang
Luas di hadapan menanti peluang
Moga diri sentiasa tenang
Meniti hari-hari yang walang

Thursday, April 02, 2009

TERKENANG WAKTU MELAHIRKAN

Saya masih ingat ketika melahirkan anak kedua, memanglah teramat mudah. Kata orang yang lebih berpengalaman, jika jarak antara anak pertama dan kedua terlalu dekat, maka laluan untuk anak kedua lebih mudah. Saya mengakuinya. Anak pertama berusia 2 tahun 2 bulan, anak kedua lahirlah. Masa hari kejadian, saya sepatutnya menghadiri satu mesyuarat penting yang berlangsung pada jam 9.30 pagi.

Pagi tu, tidak terasa apa-apa dan tidak ada tanda saya akan melahirkan bayi saya. Seperti biasa sebelum bersiap ke pejabat, saya sempat memasak. Dalam jarak waktu jam 7 pagi ke 8 pagi, keadaan diri sudah rasa tidak selesa. Tapi masih tidak menjangka akan melahirkan kerana tarikhnya masih jauh. Gagah juga masuk kereta nak ke pejabat. Kebetulan kakak minta bantuan hantar ke klinik. Maka dengan selamba, menumpangkannya ke klinik sedangkan perut sudah macam memulas-mulas. Kalau tidak kerana ada mesyuarat penting, saya mungkin tidak ke tempat kerja pagi tu.

Nak dijadikan cerita, kerana tak tahan sakit, suami mencadangkan singgah sahaja ke hospital kerana jarak rumah dan hospital cuma 5 minit menaiki kenderaan. Setelah diperiksa, semua yang ada dalam bilik kelam kabut. Terjerit-jerit sebab laluan saya untuk melahirkan sudah terbuka 7 cm. Biasanya bayi akan keluar bila bukaan sudah 10 cm.

'Baby dah nak keluar.' Jerit Staff Nurse bertugas. Saya sendiri kelam kabut kerana mental belum bersedia ketika itu.

Berlari-lari staff nurse tolak saya masuk ke dalam bilik bersalin. Tepat jam 9.14 minit pagi, anak kedua pun lahir. Suami saya belum pun selesai buat pendaftaran di kaunter mendaftar, bayinya sudah pun selamat dilahirkan. Nasib baik segala keperluan bayi sudah ada di dalam kereta.

Suami saya sempat berseloroh, kalau nak pergi mesyuarat masih sempat lagi sebab baru jam 9.15 pagi. Dalam sakit sempat ketawa.

Pengajaran dari kisah benar ini, tidak kira wanita itu sudah bersuami atau sedang mengandung, prestasi kerjanya tetap tip top. Apa yang penting kerjasama dengan pihak pengurusan dan keluarga itu amat penting. Sudah tentu dunia akan menjadi lebih aman. Tidak ada hasad dengki dan sebagainya. Amin.

Wednesday, April 01, 2009

NOVELIS PERLU BERIMAGINASI & KREATIF




Sebuah novel haruslah mempunyai perasaan di dalamnya. Sebuah novel bukan sekadar sebuah penceritaan yang deskriptif tetapi lebih dari itu. Sebuah novel yang berperasaan harus dapat menyentuh jiwa pembaca dan dapat membawa mereka masuk ke dalam cerita yang diterjemahkan melalui imaginasi perasaan sang penulis yang penuh kreatif seolah-olah ketika membaca novel, dapat meruntun perasaan amarah, sedih dan gembira sekaligus memberangsangkan minda untuk pembaca terus membaca.

Apabila menulis sebuah novel sejarah, penulis tidak harus membataskan pemikiran mereka dengan hanya menulis fakta-fakta yang dangkal dan kaku tetapi harus diterjemahkan dengan penuh perasaan seolah-olah penulis berada pada waktu kejadian itu berlaku.

Penulis novel sejarah juga harus menulis dan mencurahkan sepenuh kreativiti serta masih perlu berimaginasi sepertimana ketika menulis novel-novel kreatif biasa kerana selayaknya yang dipanggil novel itu haruslah mempunyai unsur-unsur penulisan kreatif bukan sekadar deskriptif untuk membolehkan ia dikategorikan sebagai sebuah novel.

Fakta-fakta yang dikumpulkan harus dihalusi dan disusun mengikut babak dan boleh melompat dari satu babak ke babak seterusnya tanpa menyulitkan pembaca untuk memahami cerita yang hendak disampaikan.

Tuesday, March 31, 2009

Novel Semangat Zaman

Novel sejarah yang sedang kugarap semakin menimbulkan suatu semangat yang sukar digambarkan. Setiap saat, aku asyik memikirkan tentang sejarah dan watak yang sedang aku kembangkan, tentang Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, tentang keghairahan Sultan kepada Cik Pong, gundik paling cantik di istana, tentang kedurjanaan dan kegilaan Sultan Abdul Jalil yang sanggup membunuh sekalian wanita mengandung sulung semata-mata mahu menghapuskan keturunan Sultan Mahmud dari menaiki tahta Johor.

Semangat sejarah yang sedang kugarap ini seakan sedang menerobos ke dalam seluruh jiwa dan sedang berlaku dalam kehidupan nyata sejak kebelakangan ini. Mungkinkah magis Sultan Mahmud sudah mulai meresap ke dalam jiwa penulis kecil ini sedang malam semalam babak yang kugarap dua tiga hari kebelakangan ini seolah-olah sedang berlaku ke atas diri sendiri. Aku cuba tidak mempedulikan hal-hal itu kerana dibimbangi akan mengganggu kehidupan harian. Semoga Allah membantu aku menyiapkan manuskrip sejarah ini.

Waktu mengarang itu semakin luas dan bagai dilorong oleh Allah s.w.t banyak fakta baru yang aku temui sejak akhir-akhir ini tanpa sedar. Kerja menulis menjadi bertambah mudah namun aku yang mempunyai kerja tetap selain menulis yang hanyalah hobi masih harus membahagikan waktu itu sebaik mungkin agar tidak ada hati yang terluka.

Sunday, March 29, 2009

SEJAM LOHONG HABA DITUTUP





Apa pun yang harus dilakukan oleh manusia, telahpun dilakukan semalam selama satu jam. Satu jam lohong haba ditutup oleh manusia-manusia prihatin seluruh dunia atas faktor memberi nafas baru kepada bumi. Aku tidak berpeluang menyertai program Earth Hour itu kerana sepanjang satu jam lohong haba ditutup, aku masih di dalam kenderaan untuk sebuah perjalanan dari bumi ikan patin ke bumi Hang Tuah.

Sepanjang perjalanan melalui hutan, kampung, pekan, ladang dan sebagainya, hanya sebuah stesen pam minyak sahaja yang prihatin dan menyahut seruan memadam lampu. Rutin harian manusia masih bergerak seperti biasa seakan program itu tidak punyai makna sama sekali.

Adakah lohong haba yang ditutup semalam cukup sejuk untuk bumi terus menampung kepanasan dunia untuk 365 hari lagi?

Wednesday, March 25, 2009

Politik





Isu apa yang lebih seronok didengar dan dibicarakan jika bukan hal-hal politik tanahair ketika ini. Walau hujan, ribut atau taufan sekalipun, yang dipaparkan dalam Berita Utama Jam 8.00 malam hanyalah hal-hal politik. Di kedai-kedai kopi atau lebih moden digelar kopitiam, topik politik adalah menu yang paling utama dari sejak sarapan pagi sambung ke makan tengah hari, minum petang hinggalah jejak ke malam. Paling sadis bila di atas katil juga, isu politik masih dibincangkan.

Isu paling hangat dan penting adalah siapa yang menang dalam pertandingan Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ketua Pemuda?

Sebenarnya bila Datuk Seri Shahrizat diberitakan memenangi kerusi wanita, aku memang teruja. Ini bermakna satu-satunya kerusi yang tidak pernah kalah sejak berpuluh tahun lalu, tumbang juga. Sekurang-kurangnya kaum wanita hari ini sudah pandai menilai dan mahukan perubahan dalam wanita.

Namun, yang paling aku terharu sekali bila Shahrizat dengan penuh hormatnya menjemput suami dan anak-anaknya naik ke atas pentas. Terasa tinggi darjat wanita itu bila suaminya masih diletakkan di tempat teratas dan diperkenalkan kepada semua meskipun dia telah berada di puncak. Maka pemilihan pucuk wanita ke atas Shahrizat sememangnya suatu pemilihan yang cukup bijak dan kena pada tempatnya.

Aku doakan semoga kepimpinan wanita yang baru ini akan membawa kaum wanita ke persada dunia tanpa mengenepikan hal-hal hakiki.

Tuesday, March 24, 2009

SEBUAH PERASAAN






Hari yang indah disambut dengan penuh keriangan. Beburung sepagi Subuh sudah membingitkan telinga. Apakan daya, aku harus bangkit dan melakukan rutin harian sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja. Bukan perkara mudah melakukan semua itu dalam satu masa.

Waktu berputar pantas dan di antara pusingan pagi, petang hingga ke malam. Putaran ini adalah putaran alam yang cukup nikmat kiranya setiap insan di muka bumi ini mensyukuri akan apa yang diperolehinya. Rahmat Allah itu besar serta tidak terhitung. Hanya manusia sahaja yang tidak pernah menyedarinya.

Perhimpunan besar sebuah parti iaitu Persidangan Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung selama lima hari bermula dari 24 hingga 28 Mac 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menyaksikan perhimpunan terbesar umat Melayu dan Islam membincangkan pelbagai isu Melayu semasa. Bagi calon-calon yang bertanding, terlalu banyak andaian yang bermain di benak masing-masing. Kalau menang, ia suatu petanda bahawa masa hadapan mereka semakin cerah. Sudah pasti ada jawatan besar yang bakal menanti. Walau bagaimanapun, bagi yang kalah, itulah hari yang paling sial dalam hidup mereka.

Dalam hidup ini, adat menang dan kalah itu semuanya perkara biasa yang harus diterima dengan hati terbuka. Langit memang tidak selalunya cerah. Itulah perumpamaan yang harus diterima. Apabila hujan turun, apabila kekalahan berpihak kepada individu tertentu, jangan ditamatkan hidup yang masih panjang. Hujan yang turun sebenarnya untuk mensucikan segala dosa yang dilakukan tanpa sedar sepanjang bergelumang dalam dunia politik penuh bangsat. Mungkin hari ini seseorang itu jatuh, esok lusa belum tentu nasibnya bagaimana? Apa yang berlaku, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui rahmat di sebaliknya.

Pejabat tiga tingkat yang sunyi lagi sepi sejak akhir-akhir ini semakin diselubungi sepi. Kerja-kerja hakiki yang harus diselesaikan masih tersisa di atas meja di dalam komputer. Semangat kerja yang hadir dalam hati ini sudah semakin malap.

Mac sudah semakin meninggalkan aku. Janji untuk menyiapkan sebuah buku untuk seorang kawan masih tertangguh sejak beberapa bulan yang lalu kerana tugas membantu ketua adalah tugas nombor wahid. Itu aku harus akui. Namun, apakan daya, bila langit itu mendung dan hujan turun mencurah-curah, ke mana agaknya mahu dialirkan air yang turun itu? Kasihan dan kecewa merajai hati pabila penat lelah yang dilakukan punah begitu sahaja. April bakal menjelma. Aku punya masa dua bulan untuk menyudahkan sebuah manuskrip untuk janji yang telah aku patrikan. Moga Allah memberikan aku waktu lapang itu untuk menyiapkan manuskrip itu.

Novel Sejarah yang sedang aku garap sudah nampak akan jalan ceritanya. Kisah Sultan Mahmud 11 yang membunuh Wan Anum adalah sebab yang membawa kepada akibat campurtangan putera-putera Bugis lima bersaudara keturunan Opu Daeng Rilaka ke atas pemerintahan Johor. Cuma aku sedang memikirkan tajuk apa yang harus aku letak bagi menggambarkan keseluruhan novel itu. Fakta-fakta yang kuharapkan masih terapung-apung dengan pelbagai versi yang membuntukan fikiran untuk memilih yang mana satu. Moga semua pekerjaan yang sedang kulakukan dapat disiapkan menjelang deadline.

Selamat menulis kepada penulis di luar sana. Jiwa kosong jangan dibiarkan begitu sahaja tanpa dirawat. Berceritalah dan tulislah sebuah diari bagi menyatakan perasaan dan segala kebuntuan yang pastinya akan meredakan segala kepayahan hidup.

Tuesday, March 17, 2009

SOMBONG

Bila seseorang lupa diri, apa yang patut dia lakukan? Apa pula yang harus kita lakukan!

Hari ini mungkin nasib menyebelahi dia, namun Allah itu kan lebih mengetahui akan semua kejadian yang DIA turunkan terhadap umatNYA.

Insya-Allah, semua ujian yang diberikan ini membuatkan aku lebih kuat dan matang. Moga Allah sentiasa mencurahkan rahmat terhadap orang yang tersebut itu meskipun terlalu banyak yang dia lakukan yang telah menyinggung seluruh keturunanku.

Friday, March 13, 2009

MENULIS BUKU LAGI

Waktu senggang aku sudah mulai susut. Waktu juga sudah semakin dekat. Banyak lagi yang harus dilakukan yang seharusnya sudah dilakukan sejak dahulu lagi. Apa kan daya, sebagai seorang pekerja, semua arahan harus diiakan sahaja tanpa boleh berkata tidak. Itulah dia adat dunia. Kadang-kala aku terasa mahu lari dari melakukan semua tugas ini.

Sedang menulis sebuah buku untuk diterbitkan selewat-lewatnya minggu hadapan iaitu sebelum pemilihan. Harap-harap semuanya dapat diselesaikan dengan segera. Rasanya, sejak aku mula sibuk dengan banyak kerja menulis, ditambah mahu sertai penulisan novel sejarah Johor, banyak perkara yang harus dilakukan dalam masa 24 jam. Jarang sudah aku melayari blog sedangkan aku terasa harus menulis sesuatu di dalamnya agar hari-hari yang berlalu itu tidak ditinggalkan sepi tanpa tulisan agar kenangan-kenangan dan cerita-cerita tentang hidup untuk hari itu dapat dikongsi bersama penulis di luar sana.

Rasanya sudah banyak kertas kerja dan buku sejarah mengenai Johor sudah aku baca dan teroka. Ada banyak versi yang aku jumpa namun tidak lengkap untuk dijadikan watak. Agak sukar untuk memulakan cerita, namun sekiranya sudah ketemu watak yang sesuai, pasti sebuah cerita itu lebih jelas dan lebih mudah digarap. Rasanya tidak berbaloi dengan segala usaha aku sekiranya tidak aku selesaikan penulisan aku itu. Maka besarlah harapan aku agar dapat menyiapkan semua kerja yang sedang aku lakukan ini dengan tenang dan teratur.

Menulis dalam keadaan tegang kadang kala juga amat menyeronokkan. Apatah lagi bila harus mengejar deadline. Sudah pasti semua kerja beres dalam waktu yang ditetapkan. Terkenang sewaktu menjadi wartawan. Itulah pengalaman manis yang banyak mengajar aku berdikari.

Kepada penulis yang masih tidak tahu hendak menulis apa, tulislah tentang hal-hal yang bersangkutan dengan diri sendiri dan orang sekeliling anda. Pasti anda akan berpuas hati dengan hasilnya nanti. Selamat menulis.

Tuesday, March 03, 2009

NOVEL HARUSKAH AKU BERLARI TERLARIS

Rasa terharu pabila mendapat khabar dari seorang teman bahawa novel aku, Haruskah Aku Berlari terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berada di tempat ketiga antara 10 buah buku terlaris kategori buku kreatif terbitan DBP.

Mahu sahaja aku berlari mendapatkan majalah Dewan Siswa sebaik sahaja mendapat tahu berita itu melalui khidmat sistem pesanan ringkas. Alhamdulillah aku benar-benar bersyukur.

Di bawah ini adalah senarai judul terlaris terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka

Buku kreatif
1. Kumpulan cerpen Biduk Lalu Kiambang Bertaut
2. Suara Dari Rimba
3. Haruskah Aku Berlari
4. Pantun Setia Kasih Untukmu Malaysia
5. Kasih Bertaut
6. Rindu Berbisik
7. Kumpulan Puisi: Bingkai Waktu
8. Mulai Detik Ini
9. Kumpulan Cerpen Cinta : Mazhab Cinta
10. Sangeetha

Monday, March 02, 2009

Fasal Awal Novel Sejarah

Aku sedang memasuki fasa awal menulis sebuah novel sejarah. Rasa-rasanya ia suatu pengalaman yang amat besar dalam hidup aku setakat ini. Rupa-rupanya benarlah seperti kata penulis-penulis yang pernah dan sedang mencuba menulis novel sejarah, ia bukannya perkara yang mudah. Namun aku sentiasa percaya, jika sudah Allah gerakkan hati ini untuk menulis tentang apa yang akan aku tulis ini, aku akan selesaikan apa yang aku lakukan ini.

Sudah tentu barangkali apa sahaja yang digerakkan itu, ada hikmah yang besar di sebaliknya. Aku sentiasa cuba mencari sesuatu yang positif agar fikiran yang sedang kusut ini dapat ku sejukkan. Ah...amat sukar untuk mencipta watak-watak dalam penceritaan kali ini. Aku masih mencari dan membaca semua jenis buku yang berkaitan sejarah zaman yang sedang aku tulis itu.

Aku melihat banyak perkara, dari sekecil-kecil benda kepada yang sebesar-besarnya kerana dalam menulis sesuatu, penulis harus mengetahui tentang perkara itu sebelum melebarkan sayap kreativiti kepada tingkat yang lebih tinggi.

Aku sedang berada dalam babak perjalan laksamana di dalam sebuah kapal perang. Apakah yang harus aku selitkan dalam mengisi watak-watak di dalam kapal itu? Persoalan inilah yang menjadi beban ketika ini. Aku cuba mencari watak-watak yang memang wujud di dalam kapal seperti nakhoda, jurumudi, awak-awak, panglima perang, imam, budak suruhan panglima, anak raja dan berbagai lagi untuk menghidupkan suasana di dalam kapal perang itu sendiri.

Aku jangkakan akan mula menulis pada pertengahan tahun ini, tetapi nampaknya Allah telah menggerakkan hati aku untuk bermula lebih awal. Alhamdulillah, semoga Allah memberi aku waktu yang lapang dan hati yang tenang untuk menyudahkan babak-babak seterusnya.




Sunday, February 22, 2009

NENEK

Akhirnya pada tanggal 21 Februari 2009 selepas solat Isyak, nenek menghembuskan nafasnya yang terakhir. Maka, dengan pemergian nenek, tiada lagi tempat untuk aku mengadu nasib. Setelah enam tahun pemergian emak, nenek menyusul. Dua orang wanita yang aku sayang akhirnya pergi mengadap Illahi. Ketika emak menghembuskan nafas terakhir, aku tidak ada di sisi emak. Aku bersyukur kerana dapat melihat nenek untuk kali terakhir. Sempat aku membelikan nenek buah kegemarannya seminggu sebelum dia menghembuskan nafas terahir.

Ah...terasa hidup ini begitu kerdil sekali. Ketika memandikan nenek, hati terasa begitu sebak. Tidak dapat memandikan emak, tugas itu aku lakukan ke atas nenek sebagai mewakili emak. Kesemua adik beradikku turut memandikan nenek termasuk anak nenek yang paling bongsu. Apabila kita pergi meninggalkan alam yang fana ini, semua akan kita tinggalkan. Cuma yang dibawa adalah bekalan iman.

Nenek sudah 86 umurnya. Namun, dalam usianya yang lanjut itu, ingatannya tidak pernah luntur ketika hayatnya. Dia boleh mengingati nama anak dan cucu serta cicitnya dengan baik.

Nenek...semoga rohmu ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. AMIN.

Monday, February 16, 2009

Dedaun Hijau Mulai Mekar

Dedaun hijau sudah mulai kelihatan di kiri kanan jalan menuju ke kampung. Pokok-pokok getah yang beberapa minggu sudah, kelihatannya seakan-akan sepohon pokok yang seakan kering, mulai menghasilkan dedaun hijaunya. Warna hijau daunnya masih terlalu muda. Jika daun-daun hijau muda itu bertukar warna hijau tua, maka hasil tuaian susu getah juga akan kembali seperti asalnya.

Nampaknya ada juga di antara pohon-pohon getah itu yang masih menyimpan dedaun keringnya seakan-akan sayang sekali mahu melepaskan musim luruh itu dari pergi jauh meninggalkan waktu isterihat yang panjang. Seperti manusia juga, pepohon getah juga punyai waktu tersendiri untuk istirehat dari menghasilkan susunya. Itulah dia hukum alam.

Ketika pohon-pohon getah sudah mula berdaun, dan daunnya masih muda, ketika ini susu getah amat sedikit. Ditambah pula jika ketika pohon getah itu ditoreh, keadaan cuaca sejuk dengan angin bertiup perlahan, sudah tentu susu yang keluar adalah susu pekat. Maka jenuhlah sang penoreh yang tahunya hanyalah menoreh sukar mahu menambah pendapatan. Namun hati mereka tetap tenang dan bersyukur atas segala nikmat-NYA.

Emm...alam dan isinya adalah ciptaan Yang Maha ESA. Namun, masih adakah manusia yang melihat semua kejadian itu sebagai suatu keinsafan. Sedangkan di luar sana, banyak sekali berlaku percanggahan ideologi sehingga mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan. Meskipun hasil getah semakin menyusut sepanjang musim luruh ini, namun sang penoreh masih meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan tenang.

Thursday, February 05, 2009

PASTI

Saat yang ditunggu-tunggu
Seakan semakin hampir
Hati ini asyik berkata-kata
Mungkin sudah tiba masanya...

Hanya Allah yang maha mengetahui
Aku sentiasa pasrah